Ada yang mencari resepi putu piring? Nak beli memang sangat susah untuk dicari kerana bukan semua tempat menjual kuih tradisional ini. Putu piring paling dikenali ramai di negeri Perak hingga peminat-peminat kuih ini menggelarkannya Putu Perak.

Lain negeri, lain nama panggilannya beserta warna dan bentuk. Ada yang bewarna kuning dan ada juga bewarna putih. Intinya pula ada yang meletakkan gula Melaka dan ada yang menggunakan parut kelapa.

Tak ramai yang berkongsikan resepi ini kerana caranya yang berlainan dan bagi sesetengah orang, ia kelihatan rumit untuk dibuat. Nak tahu rumit atau tidak? Jom tengok resepi-resepi putu piring di bawah.

Putu Piring Gula Melaka

Putu piring mempunyai dua jenis inti iaitu gula melaka dan serbuk kelapa. Jika anda penggemar putu piring gula Melaka, ikuti cara Ni Aini yang dikongsikannya di Facebook. Resepi ini khas untuk portion yang kecil iaitu 15 keping. Caranya cukup unik dan pasti sedap kerana dihidangkan bersama kelapa parut dan gula melaka.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung beras
  • 3/4 sudu garam
  • 150ml air panas
  • 1/2 cawan kelapa parut (ambil yang putih sahaja dan gaul dgn ½ sudu teh garam)
  • 1/2 cawan gula melaka (diparut)
  • 5-6 helai daun pandan
  • Kain muslin (kain putih jarang berukuran 6-8inci persegi)
  • Daun pisang digunting 2 inci persegi

Cara membuatnya:

1. Tepung beras digoreng tanpa minyak selama 5 minit. Kemudian ayak dan biarkan sejuk.

2. Campurkan garam dengan air panas dan daun pandan. Biar sebentar untuk mendapatkan bau pandan. Renjis-renjiskan pada tepung.

3. Gaulkan supaya dapat hasil seperti serbuk roti.

4. Panaskan pengukus.

5. Gariskan acuan putu dengan sedikit minyak.

6. Tabur sedikit tepung , kemudian sedikit gula merah.

7. Tambah sedikit tepung lagi diatasnya.

8. Letakkan kain muslin diatasnya dan telangkupkan acuan pada pengukus (elok guna pengukus khas).

9. Biarkan selama 3-4 minit dan angkat acuan. Biarkan putu dalam kain muslin selama kira-kira seminit lagi sebelum kain dan putu diangkat.

10. Buka kain muslin dan letakkan sedikit kelapa parut yang telah digaul dgn sedikit garam. Letakkan daun pisang di atasnya dan terbalikkan putu.Sedia untuk dihidang dan disantap.

Putu Piring Versi Gebu

Resepi yang dikongsikan oleh Roshidah Abu Bakar Shidah juga sedap dan mudah. Sama seperti resepi putu sebelum ini, putu piring ini turut menggunakan inti gula Melaka. Namun yang membezakannya adalah bentuk dan cara memasak. Sebelum terlupa, resepi ini sesuai untuk 20 biji putu.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung
  • Gula gerek/gula melaka yang ditumbuk
  • Daun pandan
  • Sedikit garam
  • Secawan air
  • Penapis

Cara-cara Memasak:

1. Masak secawan air dengan daun pandan dan tambah sedikit garam. Apabila bau pandan sudah naik, boleh tutup api dapur.

2. Dalam mangkuk lain, masukkan tepung beras. Campur 13 sudu besar air yang dimasak tadi (tambahkan sedikit lagi jika anda mahu). Gaul rata dan tepung akan menjadi berketul kerana basah.

3. Tapis tepung (gosok kuat pada penapis untuk menjadi serbuk semula).

4. Apabila sudah siap, masukkan tepung separuh acuan. Bahagian tengah tepung, letakkan gula Melaka. Kemudian isi semula dengan tepung (jangan terlampau padat atau tekan tepung tu).

5. Masukkan putu ke tempat kukus. Bahagian atas lapik kain menggunakan tuala muka pun tak apa, supaya air tak masuk.

6. Dalam gambar ini menggunakan acuan kuih lompang. Masak dalam 10-15 minit sahaja. Jika acuan yang anda gunakan tebal, masak lama sedikit.

Putu Piring Halba

Jarang kita boleh lihat putu piring berwarna kuning ini di kedai-kedai. Hanya negeri tertentu sahaja masih menjual putu ini. Di sesetengah tempat, ia digelar putu halba. Resepi milik Zaleha Yusof ini menggunakan 1 bungkus tepung beras iaitu 500gram.

Bahan-bahan:

  • 4 cwn / 500g tepung beras (disangai sekejap)
  • 1 ½  cwn air
  • 2 helai daun pandan
  •  Pewarna kuning
  • ½  sk garam halus
  • Gula melaka / nisang yang telah dihancurkan
  • Kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam & dikukus sekejap

Cara memasak:

1. Jerang air berserta daun pandan dan garam hingga mendidih.

2. Masukkan tepung beras ke dalam mangkuk lalu masukkan beberapa titik pewarna kuning.

3. Sambil gaul, masukkan air sedikit demi sedikit sehingga tepung menjadi berderai (lembab).

4. Ayak adunan untuk mendapat adunan yang halus.

5. Masukkan adunan ke dalam acuan (1/2 acuan) dan tabur pula gula Melaka atau nisang yang telah dihancurkan.

6. Tambah lagi adunan sehingga penuh acuan dan ratakan (tak perlu mampatkan).

7. Kukus sehingga masak selama lebih kurang 20 minit.

Putu Halba

Cara untuk membuat putu halba versi Puan Norwati Che Kat ini berlainan dengan resepi sebelum ini kerana beliau tidak menggunakan pewarna kuning untuk menghasilkan warna kuning pada putu. Nak tahu apa yang membuatkannya berwarna kuning? Ikuti resepi ini.

Bahan-bahan asas:

  • 1 bungkus tepung beras cap teratai (500g)
  • 1 ½  inci kunyit basah
  • ½  inci halia
  •  ¾  cawan air (guna untuk kisar kunyit dan halia)
  • Garam kasar
  • Sedikit halba
  • Daun pandan

Cara-caranya:

1. Semua bahan dicampur sekali dengan air kunyit yang dikisar, tidak perlu ditapis kecuali halba dan daun pandan. Tuang air sedikit demi sedikit. Jika kurang boleh tambah sedikit air. Hasil campuran mestilah seperti serbuk roti.

2. Kemudian ayakkan adunan tepung tersebut.

3. Selepas diayak, sediakan pengukus yang dialas dengan kain muslin. Taburkan daun pandan dan halba.

4. Kukus sehingga tepung itu masak dengan anggaran 30 hingga 45 minit bergantung pada kekuatan api.

5. Selepas masak, keluarkan tepung dari pengukus dan digemburkan masa panas-panas. Tujuannya untuk mengelakkan tepung berketul dan keras.

6. Rehatkan tepung.

7. Jika anda hendak membuat kuih putu piring, ambil tepung yang sudah dimasak tadi (hanya ambil untuk tujuan masak sahaja) dan gaulkan dgn air lalu ayak lagi. Jangan masukkan air kesemua tepung kerana tepung yang dah dikukus boleh simpan dengan lama difreezer dan tidak akan basi.

*Jika tepung yang dah dimasukkan air biasanya tidak akan tahan lama jika dibiarkan seharian di udara luar. Tepung akan mudah masam. Tepung yang sudah digaul air jika tidak habis digunakan mesti dimasukkan ke freezer.

8. Masukkan tepung sedikit ke dalam acuan khas putu piring. Masukkan gula melaka (diracik halus) dan tutup kembali dengan tepung. Pastikan acuan kering supaya tepung tidak melekat.

9. Tutup dengan kain dan sedia utk dikukus dengan anggaran 10 minit.

Putu Perak

Mariam Yusof telah berkongsi resepi putu perak milik Cik Puan Nurshima. Pasti ramai yang tahu keenakan putu perak yang tiada tandingannya. Jika anda penggemar putu perak, ikuti resepi di bawah yang pasti membuatkan anda puas hati.

Bahan-bahan:

  • 4 cawan tepung beras
  • 1 cawan tepung pulut
  • 1 cawan air
  • 1 cawan gula kastor
  • Acuan putu
  • Kain kasa/ kain cotton dipotong 4 segi

Inti:

  • Kelapa parut muda + garam secukup rasa

Cara-Cara:

1. Campurkan tepung beras dan tepung pulut.

2. Gaul bagi rata.

3. Tuang air dan ramas sehingga nampak seperti ketulan-ketulan.

4. Kisar kering hingga halus dan ayak supaya halus.

5. Campurkan gula ke dalam tepung yang diayak tadi.

6. Gaul hingga betul-betul sebati.

7. Panaskan air kukusan hingga mendidih.

8. Ambil acuan putu lalu masukkan sedikit dalam acuan. Buat lubang di tengah-tengah dan masukkan inti dan tutup pula dengan tepung.

9. Ratakan atas acuan.

10. Ambil kain kasa lalu tutup atas acuan dan telangkupkan pada periuk kukus.

11. Kukus selama 3 minit atau hingga masak.

12. Siap.

Secara ringkasnya, bahan-bahan yang perlu ada semestinya tepung, gula Melaka, inti kelapa, garam dan air secukupnya beserta kain muslin (kain lapik) untuk mengukus putu.

Di sesetengah tempat, mereka mengggunakan periuk khas untuk membuat putu. Jika anda tiada periuk tersebut, guna sahaja pengukus.

Mudah bukan resepi putu piring di atas? Jika sudah teringin buat sahaja sendiri pasti lebih puas dan boleh membuat mengikut kuantiti dan citarasa sendiri.

Nak resepi aneka kuih tradisional yang lain yang mudah dan sedap? Jom tengok resepi di bawah:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.