Sekiranya anda menginginkan sebuah hidangan pencuci mulut yang kaya dengan rasa yang bervariasi, seperti manis masam dan juga lemak, disini kami mencadangkan satu hidangan yang sudah tentu membuatkan sesiapa sahaja terliur iaitu, Pavlova. Pavlova adalah pencuci mulut yang meringue-based, memberikan rasa manis daripada telur putih yang telah dipukul bersama gula sehingga kembang. Meringue amatlah ringan dan caranya memerlukan skil. Akan tetapi, dengan latihan yang berterusan dan kesabaran, sesiapa sahaja mampu untuk membuat pavlova dengan mudah!

Bahagian atas pavlova ini selalunya akan dihiasi bersama dengan buah buahan yang masam rasanya, seperti strawberry ataupun kiwi. Bagaimanapun, ianya terpulang kepada anda untuk menvariasikan hidangan pavlova anda.

Kami akan bawakan satu resepi khas buat anda sekalian, dimana resepi ini telah dikongsikan oleh Wawa Farah Najwa dan telah mendapat banyak perkongsian di Facebook.

Resepi Pavlova

pavlova

Image via Facebook

 

Bahan – bahan:

Bahan untuk pavlova:

  • 4 biji putih telur / 167-170g
  • 1 cawan gula kastor / 194 g
  • 2 sudu besar tepung jagung / 13g
  • 2 sudu kecil cuka / 8ml

Bahan untuk krim:

  • 1 cawan dairy whipping cream (suka jenama Shani lebih berkrim)
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 1 sudu kecil gula aising

Bahan hiasan (boleh ditukar mengikut selera masing-masing):

  • Buah strawberry
  • Buah kiwi
  • Coklat ganache

Cara – cara membuat pavlova:

  1. Panaskan oven pada suhu 150 C. Kalau nak senang guna convection oven (oven yang berkipas). Tapi saya guna oven gas Berjaya pun menjadi.
  2. Pastikan semua alat-alat bersih, tidak basah dan bebas minyak (kalau terdapat kesan minyak atau air lagi sila lap). Untuk mendapat putih telur pun pastikan telur dan tangan kering.
  3. Mulakan dengan memukul telur menggunakan mixer dalam mangkuk pengadun. Gunakan kelajuan yang sederhana dahulu (takut putih telur terpercik-percik). Bila dah mula berbuih boleh lajukan mixer. Masukkan gula sedikit demi sedikit sambil pukul dan pukul sehingga stiff peak forms dan apabila mangkuk diterbalikkan putih telur tak jatuh.
  4. Masukkan tepung jagung dan kaup balik menggunakan spatula. Disambung dengan cuka. Pastikan bahan semua digaul sebati dan mesra.
  5. Sediakan parchment paper di atas loyang. Menggunakan teknik capan, terapkan sedikit cutter ke atas putih telur dan capkan atas parchment paper tadi. Menggunakan teknik ini, anda tak perlu susah-susah lukis bulat satu-satu guna pensil. (Teknik ni juga boleh digunakan untuk membuat macaroon)
  6. Setelah selesai teknik capan, masukkan baki adunan ke dalam piping bag dan pipe adunan ke atas bentuk-bentuk bulat tadi.
    Pavlova

    Image via Facebook

     

  7. Masukkan ke dalam oven. Setelah 10 minit, turunkan suhu kepada 110 C. Teruskan membakar lagi 20 minit sehingga pavlova nampak kembang, kering dan rangup. Tutup oven dan biarkan pavlova menyejuk di dalam oven.
  8. Langkah yang ke-7 ni sangat teknikal di mana oven tidak semuanya sama. Kalau boleh cuba dahulu satu biji. Kalau jadi baru bakar yang lain. Yang penting, jangan buka oven selagi pavlova tak sejuk.

Cara – cara membuat krim:

  1. Campurkan semua bahan, pukul sehingga kental. Kalau dah nampak kental jangan teruskan pukul nanti krim pecah.
  2. Hiaskan mengikut cita rasa anda.
  3. Siap!

Resepi – resepi lain yang menarik:

Terdapat pelbagai resepi juga yang anda boleh cuba dan sudah tentu ianya sangat sedap. Sebelum itu, jangan lupa untuk kongsikan resepi ini bersama yang tersayang ya!

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.