Cendawan merupakan jenis sayuran yang cukup berkhasiat. Ianya kaya dengan Beta Glucan yang mampu menguatkan sistem pertahanan badan.
Bukan itu sahaja, jenis cendawan juga ada berbagai. Rasanya yang sedap serta kegunaannya dalam masakan yang pelbagai membuatkan cendawan menjadi antara sayuran yang direbut di pasaran.
Masih tertanya-tanya tentang resepi berasaskan cendawan? Jangan risau, berikut kami senaraikan 12 resepi masakan cendawan untuk anda. Teruskan membaca!
#1 Wantan Cendawan Goreng Tepung
Selalunya anda terdengar nama cendawan goreng tepung, kali ini apa kata anda cuba wantan enoki goreng tepung pula? Resepi ini dikongsikan oleh Aishah Masri di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Cendawan enoki
Kulit wantan
Tepung goreng serbaguna
Minyak untuk menggoreng
Cara-cara:
Buang akar cendawan, basuh dan leraikannya. Kemudian, toskan sehingga kering air.
Balut dengan kulit wantan seperti dalam gambar. Lekatkan kulit wantan menggunakan air.
Salutkan dengan tepung, tak perlu gunakan telur.
Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan.
Sedia untuk dihidang.
#2 Mushroom Soup
Mushroom soup atau sup cendawan merupakan antara hidangan berasaskan cendawan yang cukup popular, jadi anda wajib cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Eila Rostam di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 biji bawang putih (dicincang halus)
1 sudu butter
4-5 biji cendawan butang (dicincang)
½ cawan cendawan shitake (dicincang)
Sedikit serbuk lada hitam
Sedikit serbuk lada sulah
200 ml susu segar
1 sudu besar tepung gandum (dibancuh bersama air)
1-2 cawan air (ikut kepekatan kuah yang diingini)
1 kiub ayam
1 keping keju cheddar (boleh tambah jika suka)
½ sudu kecil serbuk parsley
Garam & serbuk perasa secukupnya
Cara-cara:
Cairkan mentega dan sentiasa perhatikan api supaya mentega tidak hangus.
Tumis bawang putih sebentar.
Masukkan kedua-dua jenis cendawan, tumis sekata.
Masukkan serbuk lada hitam & serbuk lada sulah. Tumis sekata.
Masukkan susu dan kacau sebati.
Masukkan serbuk parsley.
Masukkan kiub ayam, air dan tepung gandum. Teruskan kacau untuk mengelakkan tepung daripada bergentel.
Masukkan sekeping keju. Kacau sehingga keju cair.
Perasakan dgn garam & serbuk perasa jika perlu.
Sesuaikan rasa. Jika dah cukup rasa, matikan api.
Sedia untuk dihidang.
#3 Nasi Goreng Cendawan
Hidangan ini kerap kita lihat di kebayakan kedai makan. Anda juga boleh cuba resepi nasi goreng cendawan ini di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Tuan Abam Aduka di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
1 biji bawang merah ros
8 biji cili padi
Secubit belacan
Bahan lain:
2 biji telur
Udang basah
4 batang sosej (dihiris)
1 sudu besar sos tiram
Cendawan tiram
Serbuk lada hitam *optional
Nasi sejuk
Garam dan perasa
Cara-cara:
Tumbukkan bahan tumbuk.
Tumiskan bahan tumbuk tadi.
Masukkan bahan-bahan lain mengikut turutan hingga masak.
Sedia untuk dihidang.
#4 Claypot Ayam Shitake
Claypot ayam shitake ini merupakan antara resepi masakan cendawan yang viral. Resepi ini dikongsikan oleh Ben Safwan di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan nasi:
1 pot beras Jasmine Siam wangi (dicuci bersih dan direndam 30 minit)
1 pot air rebusan ayam (guna pot sukatan beras) / kiub pati ayam + air panas
Sedikit minyak bijan
Bahan untuk ayam:
2 keping dada + peha ayam
½ inci halia (ditumbuk halus/ mayang nipis)
2 ulas bawang putih (ditumbuk halus/ mayang nipis)
1 sudu besar sos tiram
¼ sudu kecil chinese 5 spice
2 sudu besar minyak bijan
1 sudu besar kicap pekat
1 sudu besar kicap cair
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil gula perang
1 sudu kecil tepung jagung
Sedikit air rebusan ayam
Sedikit minyak masak
Bahan cendawan shitake:
5-7 kuntum cendawan shitake kering
2 tangkai daun bawang (dipotong kecil)
3 tangkai cili kering(di cuci & potong-potong)
1sudu besar lobak asin (direbus dulu, kemudian cincang halus) –*optional
Sedikit minyak bijan
Bahan hiasan:
Daun bawang
Bawang goreng
Peralatan:
Mangkuk tanah atau claypot
Cara-cara:
Rebus ayam dulu sehingga 50-60% masak dan barulah gaulkan ayam dengan semua bahan-bahan untuk ayam dan ketepikan selama 30 minit. Boleh juga jika tidak direbus.
Panaskan sedikit minyak bijan, kemudian tumis daun bawang & cili kering hingga naik bau.
Kacau hingga sebati, perasakan dengan sedikit gula & garam. Angkat dan ketepikan.
Kemudian, masukkan air rebusan ayam ke dalam mangkuk tanah, tutup mangkuk dan jerang di atas api sehingga mendidih.
Bila mendidih, masukkan beras yang dah dibasuh bersih,kecilkan api. Tutup mangkuk tanah dengan penutupnya, biarkan hingga nasi 80% masak.
Sementara nasi masak, tumiskan ayam dan bahan-bahan perap.
Masukkan air rebusan ayam, biarkan hingga ia agak pekat dan ayam masak.
Bila nasi sudah 80% masak, gemburkan sedikit dengan garpu.
Masukkan ayam dan cendawan yang dah masak tadi ke dalam mangkuk.
Tabur sedikit daun bawang, tutup semula mangkuk dan masak dengan api yang kecil sehingga nasi masak 100% dan daging ayam empuk.
Matikan api.
Tabukan dengan sedikit lagi bawang goreng.
Sedia untuk dihidang.
#5 Sup Cendawan Shitake dan Isi Ketam
Ingin menikmati hidangan bersup? Cubalah resepi sup cendawan shitake dan isi ketam ini, memang sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Laila Aznam di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 paket jejari ketam (disiat halus)
Cendawan shitake (dihiris & direndam hingga lembut)
Beberapa batang jagung muda ( potong kecil2 )
Lobak (dipotong dadu)
Beberapa keping isi ayam (dipotong dadu dan direbus, ambil airnya buat air rebusan)
4 ulas bawang putih cincang
½ inci halia hiris
1 biji telur (dikocok)
2 -3 sudu besar sos tiram
Serbuk lada sulah
Lada hitam hancur
Sedikit minyak bijan
Garam secukup rasa
Bancuhan air tepung jagung
Cara-cara:
Panaskan minyak. Tumis halia dan bawang putih cincang hingga naik bau.
Masukkan air rebusan ayam secukupnya bersama isi ayam, jagung muda, lobak, cendawan shitake, sos tiram, minyak bijan, serbuk lada sulah, lada hitam hancur secukupnya dan biar mendidih.
Perasakan dengan garam jika kurang rasanya dan masukkan jejari ketam. Kacau hingga mendidih.
Masukkan jejari ketam dan kacau lagi hingga mendidih.
Masukkan bancuhan tepung air tepung jagung, kemudian masukkan bancuhan air tepung jagung.
Masukkan telur, kacau dengan segera dan biar seketika. Tutup api.
Siap dihidangkan semasa masih panas.
#6 Tauhu Telur & Cendawan Shitake Masak Tiram
Pernah terdengar nama hidangan ini? Jika belum, anda wajib cuba kerana ianya merupakan antara resepi yang viral. Resepi ini dikongsikan oleh Mastura Khalid di laman Facebook.
Bahan-bahan:
2 paket tauhu telur (dipotong bulat, jangan terlalu nipis dikhuatiri akan hancur)
4 pokok cendawan shitake / butang / tin
4-5 ulas bawang putih (dicincang)
5 sudu besar sos tiram
Minyak untuk menggoreng
Daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan
Cara-cara:
Panaskan minyak dan goreng tauhu dalam minyak terseut.
Semasa terbalikkan tauhu, terbalikkan dengan perlahan-lahan kerana dikhuatiri tauhu telur akan hancur.
Setelah digoreng, angkat dan toskan minyak.
Untuk kuahnya, tumis bawang putih hingga kekuningan.
Masukkan cenawan shitake dan goreng sehingga cendawan kelihatan agak layu.
Masukkan sos tiram, biar sekejap supaya ia mendidih.
Setelah mendidih, masukkan tauhu telur tadi dan gaulkan dengan kuah tersebut.
Masukkan sedikit air.
Perasakan dengan garam jika perlu. Angkat setelah ia masak.
Taburkan daun bawang dan bawang goreng di atasnya.
Sedia untuk dihidang.
#7 Popia Cendawan Keju
Sukakan cendawan dan keju? Alang-alang suka, cubalah resepi popia cendawan keju ini. Resepi ini dikongsikan oleh Diela Jalaludin di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 tin cendawan butang (dipotong dadu)
2 batang lobak (dipotong dadu/ memanjang)
1 biji bawang Holland (dipotong dadu)
3 batang sosej (dihiris kecil)
3 keping daging ayam
1 tin krim cendawan Prego (tin biru)
3 keping keju cheddar
Sedikit susu krim penuh
Sedikit mentega
Cara-cara:
Panaskan mentega.
Masukkan bawang Holland dan tumis hingga naik bau.
Masukkan daging ayam, kacau hingga hancur dan tak berketul.
Masukkan sosej, cendawan, lobak dan kacau.
Masukkan krim cendawan dan kacau sebati.
Jika terlalu pekat, masukkan susu krim penuh namun jangan terlalu banyak.
Perasakan dengan sedikit lada hitam, gula dan garam.
Setelah sebati, masukkan kepingan keju dan gaul hingga keju cair.
Sedia untuk dihidang.
#8 Chawanmushi
Chawanmushi merupakan puding telur kastard Jepun yang menggunakan cendawan sebagai salah satu bahan utamanya. Resepi ini dikongsikan oleh Puan Sall di laman Facebook.
Bahan-bahan:
3 biji telur
1½ setengah air
1 sudu besar stok ayam
1 sudu kecil kicap masin
Sedikit garam
Lobak (dipotong dadu) *optional
Cendawan shitake (dihiris nipis)
Sedikit daun bawang
Cara-cara:
Panaskan air untuk kukusan.
Bancuh telur, air, kicap, stok ayam dan perasakan mengikut selera anda.
Tambahkan garam jika kurang masin.
Masukkan udang, lobak dan cndawan.
Masukkan telur dan masukkan daun bawang.
Kukus selama 5-10 minit mengikut ketebalan cawan kukusan yang digunakan.
Sedia untuk dihidang.
#9 Masak Lemak Cendawan Kukur
Satu lagi resepi masakan cendawan kukur yang boleh anda cuba ialah masak lemak cendawan kukur, sejenis masakan kampung. Resepi ini dikongsikan oleh Najib Norra di laman Facebook.
900 ml santan sederhana pekat atau 200 ml santan kotak + 700 ml air
Garam & serbuk perasa secukupnya
Cara-cara:
Tumbuk kulat yang dibersihkan da direndam menggunakan lesung batu dengan lembut (jangan sampai hancur).
Tumbuk pula ramuan seperti cili padi, ikan bilis, bawang merah & bawang putih hingga lumat.
Masukkan santan, bahan tumbuk, serai, kulat yang ditumbuk, garam dan serbuk perasa.
Menggunakan api sederhana, masak, bahan tersebut sambil mengacaunya sentiasa.
Jika boleh, masukkan sekeping asam gelugur.
Matikan api setelah ianya sudah secukup rasa.
Sedia untuk dihidang.
#10 Sate Cendawan Tiram
Jarang didengari, namun sebaik sahaja anda cuba, kami yakin anda akan menyukainya. Sate tiram ini juga mudah untuk disediakan. Resepi ini dikongsikan oleh Eka Zahra di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Cendawan tiram (dibasuh)
Bawang putih
Serbuk ketumbar
Serbuk jintan manis
Cili padi *optional
Serbuk perasa
Kicap manis
Minyak goreng atau minyak bijan
Cucuk sate
Cara-cara:
Rebus cendawan sekejap hingga lembut, toskan dan perah airnya.
Tumbuk lumat bawang putih, cili padi, serbuk ketumbar dan serbuk jintan manis.
Kemudian, gaulkan dengan serbuk perisa, kicap manis dan minyak. Gaulkan cendawan dan perap 30 minit.
Cucuk cendawan dengan cucuk sate.
Campurkan minyak goreng atau minyak bijan dengan kicap manis. Kemudian, gaulkan sate cendawan.
Bakar sate cendawan hingga kecoklatan.
Hidangkan bersama kuah kacang atau sambal kicap.
#11 Pekasam Cendawan
Salah satu resepi masakan cendawan yang boleh anda cuba ialah pekasam cendawan. Rasanya yang masam dan masin pasti akan bikin anda ketagih. Resepi ini dikongsikan oleh Iza Fariza Mohamed di laman Facebook.
Bahan-bahan:
500 g cendawan tiram kelabu
2 sudu besar garam kasar
3 keping asam keping
1 genggam beras sangai ditumbuk/dikisar
Cara-cara:
Siatkan cendawan, cuci bersih dan tapis sekejap.
Gaulkan cendawan dengan garam kasar dan asam keping.
Perap selama 5-6 jam (tanpa air).
Setalah itu, tapis atau sejat hingga kering airnya (tak perlu bilas).
Gaulkan dengan beras yang disangai dan buat selapis demi selapis.
Peramkan selama 2 malam.
Kemudian, boleh goreng dengan meletakkan cilia pi dan bawang.
Sedia untuk dihidang.
#12 Cendawan Kukur Petai Berlada
Ada penggemar cendawan kukur di sini? Ianya mempunyai banyak cara masakan, dan salah satunya ialah cendawan kukur petai berlada. Resepi ini dikongsikan oleh Zaid Azizy Yaakob di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Cili api
Bawang merah
Bawang putih
Ikan bilis
Cendawan ukur
Petai (diambil isinya)
Garam
Gula
Santan atau air (jika tidak mahu kering)
Cara-cara:
Tumiskan cili api bersama bawang sehingga masak.
Masukkan ikan bilis dan gaul rata.
Masukkan cendawan kukur dan gaul rata.
Masukkan petai, garam dan gula.
Jika terlalu kering, boleh letakkan santan atau air.
Sedia untuk dhidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi masakan cendawan, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!