Mencari resepi masakan Barat?

Masakan Barat memang popular bukan sahaja di negara kita, malah di serata dunia. Di negara kita, restoran makanan Barat juga ada banyak, jelas membuktikan yang orang kita juga turut menyukai masakan Barat.

Mencari idea untuk resepi masakan Barat? Berikut kami senaraikan 10 resepi masakan Barat untuk anda cuba sendiri. Teruskan membaca!

#1 Spicy Spaghetti Carbonara Tomyam

resepi masakan barat
Imej via Facebook

Selalunya kita menikmati Spagetti Carbonara, kali ini apa kata anda gabungkan selera Barat dan Asia? Ada rasa berkrim dan manis manis masam, dijamin sedap! Resepi ini dikongsikan oleh Aien Mohamad di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 sudu besar Buttercup
  • 5 ulas bawang putih (dicincang halus)
  • Cendawan butang
  • Cili padi (kalau nak pedas)
  • 2 kotak kecil cooking cream Emborg/susu cair 400ml
  • 2 sudu besar pes tomyam
  • Udang
  • Daun limau purut
  • Spagetti (direbus dahulu selama 10 minit)

Cara-cara:

  1. Cairkan Buttercup. Tumis bawang putih sehingga naik bau.
  2. Masukkan cendawan butang.
  3. Masukkan cooking cream. Guna susu cair pun boleh kalau tak ada cooking cream. Dan kalau nak lebih kuah, boleh lebihkan ya cooking cream/susu cair.
  4. Masukkan 2 sudu besar pes tomyam.
  5. Masukkan 1 sudu besar susu pekat untuk pekatkan kuah. Kacau sebati.
  6. Masukkan udang/sotong/ayam. Kemudian masukkan cili padi.
  7. Masukkan spagetti dan daun limau purut. Gaul sebati.
  8. Sedia untuk dihidang.

#2 Stew Daging

resepi makanan barat
Imej via Facebook

Stew daging ini merupakan antara menu yang terkenal di negara Barat. Ianya cukup menyelerakan dan mengenyangkan, sesuai dengan citarasa ramai. Resepi ini dikongsikan oleh Nooryanis Al-Baraqwan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 500 g daging
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 3 sudu besar mentega
  • 2 ulas bawang putih  (dicincang halus)
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 1 batang saleri (dihiris)
  • 1 sudu besar puri tomato
  • Sedikit daun thyme
  • Sedikit daun basil
  • 2 helai daun bay
  • 2 biji buah tomato (dibelah 4)
  • 1 sudu besar lada hitam kasar
  • 1 sudu besar kicap manis
  • 1 batang lobak
  • 2 biji kentang (dibelah 4)
  • Kacang pis
  • 1 biji lada benggala (dihiris)
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

  1. Rebus daging hingga empuk. Ketepikan.
  2. Tumis bawang besar, bawang putih, saleri hingga kekuningan. Masukkan tepung gandum.
  3. Masukkan puri tomato, daun bay, basil, thyme, lada hitam, tomato, kicap, kentang, dan lobak.
  4.  Masukkan daging dan air rebusannya hingga mendidih.
  5. Masukkan kacang pis, lada benggala, garam dna gula.
  6. Taburkan daun parsley. Jika kurang pekat, boleh tambah bancuhan tepung gandum.
  7. Sedia untuk dihidang.

#3 Chicken Grill

Imej via Facebook

Ini pula merupakan resepi masakan Barat yang menyihatkan – ayam panggang. Isi ayam yang lembut dan juicy pasti akan membuatkan anda ketagih! Resepi ini dikongsikan oleh Cik Merpati Putih di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ayam
  • Sos lada hitam
  • Serbuk herba rosemary
  • Serbuk herba tyhme
  • Serbuk lada hitam
  • Garam
  • Gula (lebihkan)
  • Sedikit air panas/air suam

Cara-cara:

  1. Basuh ayam.
  2. Kemudian, masukkan sos lada hitam (jika pekat, tambahkan air suam/panas).
  3. Kacau sebati, kemudian perasakan dengan garam, serbuk herba rosemary, serbuk lada hitam, serbuk herba thyme dan gula.
  4. Kacau sebati dan masukkan ayam. Perap semalaman.
  5. Bakar menggunakan ketuhar/air fryer menggunakan suhu 200°C  selama 17 minit.
  6. Sedia untuk dihidang.

#4 Mac and Cheese

Imej via Facebook

Ini merupakan antara hidangan Barat yang cukup popular – Mac & Cheese. Nampak seperti susah, namun cara penyediannya mudah sahaja. Resepi ini dikongsikan oleh Mya Ja’amat di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 5 cawan susu segar
  • 300 g makaroni
  • 2 cawan keju cheddar (diparut)

Cara-cara:

  1. Masukkan susu segar dalam periuk atau kuali sehingga hampir mendidih.
  2. Terus masukkan pasta macaroni dalam susu. Kacau sehingga pasta tu al dante (kembang dan hampir masak).
  3. Masukkan semua keju yang diparut dan gaul sebati.
  4. Sedia untuk dihidang.

#5 Corn Dog

resepi masakan barat
Imej via Facebook

Corn dog merupakan hidangan yang viral tahun lepas. Ianya adalah hidangan sosej berkeju yang disalut dengan serbuk roti, memang sedap! Resepi ini dikongsikan oleh Alia Nella di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Keju mozarella (dipotong sederhana)
  • Lidi
  • Sosej
  • Serbuk roti
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan adunan tepung:

  • Tepung gandum
  • Garam
  • Gula
  • Serbuk penaik
  • Air

Cara-cara:

  1. Gaulkan tepung gandum bersama gula, serbuk penaik dan garam.
  2. Masukkan telur dan susu segar. Kacau sehingga sebati.
  3. Masukkan adunan ke dalam cawan yang tinggi supaya mudah untuk mencelup sosej.
  4. Salutkan sosej dengan keju dan cucuk dengan lidi.
  5. Sejukkan sosej ke dalam peti sejuk lebih kurang 20 minit.
  6. Celup sosej yang telah sejuk tadi ke dalam adunan tepung.
  7. Kemudian, salutkan pula dengan serbuk roti dan terus goreng di dalam minyak yang panas sehingga garing.
  8. Sedia untuk dihidang.

#6 Fajitas Ayam

resepi masakan barat
Imej via Facebook

Fajitas merupakan hidangan dari Mexico yang merupakan hidangan ayam atau daging yang dimakan bersama taco. Resepi ini dikongsikan oleh Lina Thomas di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan bumbu:

  • 3 sudu kecil serbuk cili (atau 2 sudu kecil serbuk cili + 1 sudu kecil paprika)
  • 1½ sudu kecil serbuk jintan manis
  • ½ sudu kecil serbuk ketumbar
  • 1½ sudu kecil garam
  • ½ sudu kecil serbuk lada hitam

Bahan inti fajita:

  • 3 keping dada ayam tanpa tulang (dihiris ½ inci memanjang)
  • 1 biji bawang besar bombay di hiris memanjang
  • 1 biji lada benggala merah
  • 1 biji lada benggala hijau
  • 1 biji lada benggala kuning
  • 2 ulas bawang putih (dicincang halus)
  • 3 sudu besar minyak zaitun
  • 2 sudu besar air jus limau nipis segar
  • 3 sudu besar daun sup (dicincang)

Bahan topping:

  • 8 keping roti tortilla
  • Krim masam
  • Hirisan avocado atau guacamole
  • Tomato (dipotong dadu)
  • Parutan keju

Cara-cara:

  1. Panaskan ketuhar hingga 200 ° C.
  2. Sapu sedikit minyak zaitun rata dalam loyang pembakar besar.
  3. Untuk bumbu, dalam mangkuk kecil, campurkan serbuk cili, cumin, ketumbar, 1½  sudu kecil garam dan ½ sudu kecil serbuk lada hitam, Ketepikan.
  4. Untuk inti fajita, masukkan kesemua lada benggala dan bawang bombay ke dalam loyang yang telah disapu dengan minyak zaitun.
  5. Masukkan ayam, taburkan bawang putih dan bumbu sekata di atas ayam.
  6. Masukkan minyak zaitun dan kacau sebati. Ratakan dalam loyang pembakar.
  7. Bakar dalam ketuhar kira-kira 20 minit.
  8. Bungkus roti tortillas dengan foil dan panas di dalam ketuhar selama 5 minit terakhir memasak fajita.
  9. Setelah siap bakar, keluarkan dari ketuhar dan masukkan jus limau nipis . Taburkan dengan daun, dan kacau sebati.
  10. Hidangkan dengan tortilla suam dengan topping yang dikehendaki.
  11. Sedia untuk dihidang.

#7 Buffalo Wings

Imej via Facebook

Hidangan Buffalo Wings ini cukup terkenal di Amerika Syarikat. Namun, anda juga boleh cuba resepinya yang mudah diikuti ini. Resepi ini dikongsikan oleh Siti Aishah Idris di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan ayam:

  • 500 g kepak ayam (dibelah dua)
  • 1 sudu lada sulah
  • 2 biji telur
  • ¼ cawan tepung jagung
  • ¼ cawan tepung beras
  • ¼ tepung gandum
  • Sedikit garam
  • Sedikit perasa

Bahan sos:

  • Mentega
  • 4 sudu besar sos cili
  • 8 sudu besar sos BBQ
  • 3 sudu besar gula

Cara-cara:

  1. Gaul rata bahan ayam dan goreng dalam masa 5 minit. Untuk gorengan pertama, jangan terlalu garing.
  2. Goreng untuk kali kedua sehingga garing. Ketepikan.
  3. Panaskan mentega sehingga cair.
  4. Masukkan sos cili dan sos BBQ. Kacau rata.
  5. Kemudian, perasakan dengan gula.
  6. Masukkan kepak ayam goreng tadi ke dalam sos dan kacau sehingga sos betul-betul kering.
  7. Sedia untuk dihidang.

#8 Ayam Panggang ala Kenny Rogers

Imej via Facebook

Ada yang sukakan hidangan yang dipanggang? Cubalah resepi ayam panggang ala Kenny Rogers ini, pasti ramai akan memuji masakan anda! Resepi ini dikongsikan oleh Gaithri Cheran di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 kg ayam

Bahan ditumbuk/ digiling halus

  • 2 cm halia  
  • 6 ulas bawang putih
  • 1 biji  bawang merah
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar lada hitam kasar
  • Serbuk lada hitam secukup rasa
  • 1 sudu besar serbuk lada putih
  • 1 sudu besar gula
  • Garam secukup rasa
  • 5 sudu besar madu
  • 1 biji tomato  (dipotong dadu)
  • 1 biji kentang (dipotong enam)
  • 1 biji lobak (dipotong bulat)
  • 50 g mentega

Cara-cara:

  1. Lumurkan bahan-bahan digiling dan semua bahan lain kecuali madu dan perap semalaman.
  2. Panaskan oven pada suhu 180°C.
  3. Sapu madu dengan rata pada ayam dan masukkan tomato, kentang & lobak.
  4. Masukkan potongan kecil mentega pada permukaan atas dan tepi ayam. Bakar pada suhu 180°C.
  5. Balik-balikkan ayam setelah setengah jam supaya ayam dibakar dengan sekata.
  6. Setelah ayam dibakar sekata, asingkan ayam ke pinggan yang lain.
  7. Baki tomato, kentang & lobak disusun cantik bersama ayam tadi.
  8. Sisa kuah dibakar ayam tadi dipanaskan semula hingga pekat dan dijadikan sos.
  9. Sedia untuk dihidang.

#9 Bruschetta

Imej via Facebook

Bruschetta merupakan hidangan Itali yang menggabungkan roti bakar bersama topping yang beraneka. Resepi ini dikongsikan oleh Siti Fariza Mat Tahir di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Sebuku french loaf (dipotong serong)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Bawang besar (dihiris)
  • Beberapa ketul ayam (dihiris)
  • Cendawan butang (dihiris)
  • Susu segar
  • Keju
  • Serbuk herba (oregano/herba campuran)
  • Sedikit lada hitam

Cara-cara:

  1. Sapukan mentega pada roti yang dipotong serong tadi.
  2. Gorengkan roti di atas kuali. Ketepikan.
  3. Menggunakan kuali yang sama, panaskan kuali dan cairkan mentega. Boleh tambah minyak zaitun jika suka.
  4. Tumiskan bawang putih dengan bawang besar tadi.
  5. Bila bawang dah layu sikit, masukkan kepingan ayam. Kacau rata hingga ayam masak.
  6. Masukkan cendawan yang dipotong nipis. Sambung kacau lagi sehingga ayam masak.
  7. Masukkan susu segar mengikut kepekatan yang diinginkan.
  8. Setelah mendidih, masukkan keju dan masak sehingga kuah pekat.
  9. Perasakan dengan lada hitam, herba, garam dan gula. Setelah masak, padamkan api.
  10. Tuangkan kuah ke atas roti tadi.
  11. Sedia untuk dihidang.

#10 Enchilada

Imej via Facebook

Resepi masakan Barat ini juga menarik untuk dicuba – enchilada. Enchilada adalah tortilla jagung yang digulung dengan inti dan sos. Resepi ini dikongsikan oleh Danish Harraz di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Tortilla
  • 250 g daging lembu kisar (boleh juga guna ayam)
  • 1/2 biji bawang holland (dicincang)
  • 2 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1½ tin kecil sos bolognese / marinara (¾ tin untuk Sos Daging ¾ tin untuk Enchiladas)
  • 2 sudu besar sos tomato atau pes tomato
  • 1 biji tomato saiz besar (dicincang)
  • Serbuk lada hitam*
  • ½ sudu teh serbuk parsli
  • 1 sudu teh serbuk cili
  • Garam halus
  • 2 sudu besar minyak zaitun / mentega / minyak Masak
  • Jagung manis (beku / dalam tin)
  • ½ cawan air / air rebusan daging (boleh juga guna kiub pati)
  • Parutan keju mozzarella dan cheddar secukupnya

Cara-cara:

  1. Untuk sosnya, masukkan minyak.
  2. Masukkan bawang holland yang dipotong dadu, daging cincang dan tomato.
  3. Masukkan sos Bolognese / marinara dan pes tomato. Gaul sebati.
  4. Tambahkan air.
  5. Masukkan jagung manis dan perasakan serbuk lada hitam, parsli dan cili. Masak sehingga sos pekat.
  6. Perasakan dengan garam dan kacaukan. Ketepikan sos.
  7. Ratakan sos marinana atau bolognese pada loyang pembakar.
  8. Masukkan daging, sos dan cheddar ke dalam tortilla dan gulungkan.
  9. Masukkan enchilada ke dalam loyang pembakar yang diratakan dengan sos tadi.
  10. Ratakan lagi dengan sos Bolognese atau marinara.
  11. Taburkan parutan keju mozzarella dan cheddar serta daun parsli pada bahagian atas enchilada.
  12. Bakar dalam ketuhar pada suhu 160°C selama 30 minit.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi masakan Barat, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.