Beli sayur kailan tetapi tak tahu nak masak resepi kailan yang berlainan? Sebut sahaja kailan pasti ramai yang terbayang kailan ikan masin. Ada saja kailan di rumah, pasti kailan ikan masin yang menjadi santapan.

Sesekali cuba masakan baru pasti tidak jemu. Kadangkala ramai yang tidak suka makan kailan kerana rasanya yang pahit. Namun jika masak dengan cara yang betul, kepahitannya akan hilang. Ada kailan di rumah? Jom cuba resepi yang berbeza seperti di bawah.

Kailan Sos Tiram Mabelesss

Resepi kailan yang pertama adalah resepi milik Rohani Ahmad yang telah dikongsikan melalui laman Facebooknya. Kali ini beliau berkongsi resepi kailan dengan sos tiram. Kuantiti resepi di bawah cukup untuk seorang atau dua orang makan sahaja.

Bahan-bahan:

  • 1 genggam kailan
  • 3 Ulas bawang putih dicincang halus
  • Cili api (potong)
  • ½ sudu teh ajinomoto
  • ½  sudu makan gula
  • 1 senduk sos tiram
  • Air sedikit

Cara-cara memasak:

1. Masak air dalam periuk dan titiskan sedikit minyak masak.

2. Celur sayur kailan namun jangan biarkan terlalu lama. Angkat, toskan dan susun di atas pinggan.

3. Di dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga naik baunya dan masukkan sos tiram, cili padi, ajinomoto dan gula. Garam tak perlu diletakkan kerana sos tiram sudah masin.

4. Biarkan mendidih seketika dan masukkan sedikit air.

5. Apabila kuah agak pekat sedikit, angkat dan curah keatas sayur tadi.

4. Siap untuk dihidangkan.

Resepi Kailan Ikan Masin Ala Thai

Kailan ikan masin adalah menu yang sering dilakukan dan dirasa oleh kebanyakan orang terutama ketika dikedai makan, dan memakannya bersama tomyam dan nasi. Nak tahu rahsia kesedapan kailan ikan masin original seperti di kedai Thai, ikuti resepi dari Zaleha Yusof ini.

Bahan-bahan:

  • 2 ikat sayur kailan – ambil pucuk kalian yang berbunga sahaja
  • 2 cm ikan masin sebaik-baiknya ikan tenggiri
  • 2 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 biji cili api – ditumbuk dan dititik
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar nampla – sos ikan Thai
  • Minyak bijan

Cara-cara memasak:

1. Bersihkan sayur kailan dan potongkan kecil-kecil mengikut citarasa anda.

2. Ambil bawang merah dan putih lalu hiriskan dengan halus.

3. Ambil ikan masin dan bersihkan dahulu dan dipotong kecil-kecil.

4. Goreng ikan masin di dalam minyak yang panas sehingga betul-betul garing.

5. Masukkan semua bawang dan goreng bawang tersebut sehingga layu.

6. Selepas itu, masukkan sos tiram dan kacau sehingga sebati.

7. Setelah betul-betul sebati, masukkan pula sos nampla dan terus kacau.

8. Masukkan sayur kailan.

9. Setelah itu kacau sayur dan jika kelihatan kering, anda boleh masukkan sedikit air .

10. Goreng sehingga sayur kailan layu dan masak sepenuhnya.

11. Kailan ikan masin siap untuk dihidangkan.

Nota: Penggunaan garam tidak perlu di dalam resepi ini kerana ikan masin sudah cukup untuk memasinkan masakan ini.

Resepi Kailan Pekasam Daging

Pernah dengar atau cuba kailan pekasam daging? Jika tidak pernah, apa kata anda cuba resepi unik yang dikongsikan oleh Yatt Aurora Gold. Agak sukar untuk mencari pekasam daging di kedai-kedai biasa. Jika tiada, anda boleh membelinya di Shopee. Ini resepi mudah buat anda!

Bahan-bahan:

  • 250 gram pekasam daging
  • 2 genggam kailan
  • 2 biji bawang merah (dipotong)
  • 2 ulas bawang putih (dipotong)
  • 2 biji cili padi (diketuk)
  • 1 biji cili merah (dipotong)
  • 1 sudu sos tiram
  • 1 sudu sos ikan

Cara-cara memasak:

 1. Tumis daging pekasam sehingga sedikit garing.

2. Masukkan semua bahan lain dengan satu persatu.

3. Perasakan mengikut citarasa anda.

4. Siap untuk dihidangkan.

Sup Sayur Kailan

Pasti ada yang tak tahu bahawa kailan juga sedap dimasak dengan sup. Resepi yang dikongsikan oleh Sumayyah Basir ini memang sangat mudah dan lain daripada yang lain. Mana tidaknya, beliau yang mengolahkan masakan kailan dengan sendiri. Nak tahu rasanya? Jom cuba!

Bahan-bahan:

  • Bawang putih
  • Ikan bilis
  • 5 cawan air
  • Sos tiram
  • Sos ikan
  • Suhun
  • Garam
  • Lada Hitam

Cara memasak:

1. Tumis bawang putih dan ikan bilis.

2. Masukkan air lima cawan.

3. Masukkan sos tiram dan sos ikan sedikit.

4. Masukkan suhun dan sayur kegemaran anda.

5. Perasakan dengan garam dan lada hitam.

6. Siap untuk dihidangkan.

Kailan Goreng Suhun

Fendy Eey juga mengolah sendiri resepi kailan dengan cara menumisnya bersama suhun dan beberapa sayur lain. Adanya ikan bilis yang digoreng garing dan dicampur bersama sayur, pasti lebih sedap dan rangup. Ini bahan dan cara memasaknya.

Bahan-bahan:

  • Sawi
  • Kailan
  • Suhun – direndam dengan air dan toskan
  • Ikan bilis – di goreng
  • Lada merah – di hiris
  • Bawang besar – di hiris
  • Bawang putih – di hiris
  • 1 sudu besar sos tiram
  • Sedikit garam

Cara memasak:

1. Panaskan minyak lalu tumis semua bahan-bahan yang dihiris sehingga hingga layu.

2. Masukkan sos tiram, garam dan suhun.

3. Masukkan sawi dan kailan.

4. Kacau sekejap lalu tutupkan api.

5. Taburkan ikan bilis goreng di atas sayur semasa hendak dihidangkan.

6. Siap!

Mudahnya resepi-resepi kailan di atas. Walaupun kesemua resepi mudah, percayalah rasanya pasti mantap hingga menjilat jari. Makan bersama nasi panas dan ikan goreng, pasti menambah selera kerana gabungan menu-menu ini saja cukup buat ramai orang berselera.

Jika di kedai makan, masakan kailan sedap dimakan bersama telur dadar, nasi panas dan tom yam. Rasanya lebih umphh! Dah ada resepi, jom cuba buatnya sendiri. Pasti lebih berpuas hati.

Sebelum terlupa, ada sedikit tips buat mereka yang mahu hilangkan rasa pahit kailan. Caranya adalah rendam kailan dengan air garam serta potong kailan dengan cara menyerong. Elakkan makan pada bahagian batang kailan yang keras. Selamat mencuba!

Nak tahu resepi padanan untuk makan bersama kailan? Kami cadangkan anda untuk masak menu-menu di bawah yang pasti membuatkan anda menambah selera iaitu:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.