Ikan pari merupakan antara jenis ikan yang kerap digunakan dalam masakan. Ianya juga sesuai dinikmati bersama apa jenis kuah atau sambal, jadi tidak hairan lauk ini memang cukup popular di kebanyakan gerai.
Tiada idea untuk memasak ikan pari? Tidak mengapa, berikut kami senaraikan 10 aneka resepi ikan pari untuk anda. Teruskan membaca!
#1 Ikan Pari Bakar
Ikan pari bakar ini sememangnya jenis masakan ikan pari yang sangat digemari. Kelembutan dan kelembapan isi ikan pari serta aromanya harum memang menggamit selera. Resepi ini dikongsikan oleh Erma Azizie di laman Facebook.
Bahan-bahan:
3 ekor ikan pari sedang (dipotong dua)
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
10 batang cili kering (dibuang biji dan direbus)
3 batang cili besar
4 batang cili padi
Garam
Gula
Serbuk perasa
Asam keping
Daun limau purut (mayang halus)
Daun kunyit (dimayang halus & dibuang urat tengah)
Daun pisang
Kerajang aluminium
Cara-cara:
Cuci bersih ikan pari.
Kisar bawang besar, bawang putih, cili kering, cili besar, dan cili padi.
Ambil kuali bersih, masukkan minyak dan tumis semua bahan kisar hingga garing.
Masukkan asam keping, garam, gula, serbuk perasa.
Masukkan daun limau purut dan daun kunyit.
Ambil kerajang aluminium dan lapikkan daun pisang.
Ambil sambal dan letak sikit atas daun pisang.
Letakkan ikan dan letak lagi sambal. Balutkan.
Bakar sehingga ikan masak (boleh guna oven atau pemanggang ajaib).
Sedia untuk dihidang.
#2 Asam Pedas Ikan Pari
Satu lagi resepi ikan pari yang boleh anda cuba ialah asam pedas ikan pari. Resepinya bukan sahaja mudah, malah bahan-bahannya juga tidak terlalu banyak. Resepi ini dikongsikan oleh Farhana Ismail di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan pari
Bunga kantan *optional
Daun kesum
Tomato
Bahan kisar:
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
Belacan
Halia
Lengkuas
2 batang serai (dititik)
5 sudu besar cili kisar (nak pedas lebihkan)
Air asam jawa
Garam dan gula
Cara-cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan cili kisar.
Masukkan serai dititik dan tumis sampai pecah minyak.
Tambah air asam jawa. Tambah air ikut kepekatan yang anda mahu.
Biar mendidih dan masukkan ikan, daun kesum dan bunga kantan.
Perasakan garam gula secukup rasa.
Masukkan tomato dan setelah masak, matikan api.
Sedia untuk dihidang.
#3 Ikan Pari Masak Lemak Pecel
Pernah cuba resepi ikan pari masak lemak pecel? Bukan mudah untuk jumpa hidangan ini di kedai makan, jadi anda cuba sahaja sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Tengku RosElyza Raja Muhammad di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan pari bakar
Air asam
Santan
Daun kunyit /daun cekur
Isi cekur
Bawang merah dan bawang putih
Cili padi
Cara-cara:
Tumbuk isi cekur, bawang merah, bawang putih dan cili padi.
Tumiskan bahan tumbuk dan masukkan sedikit air.
Masukkan ikan pari, air asam dan santan. Masak sehingga mendidih.
Masukkan sedikit garam dan taburkan dengan daun cekur atau daun kunyit.
Sedia untuk dihidang.
#4 Hati Ikan Pari Masak Pais Cili Api
Pernah terdengar teknik masakan ini – masak pais? Ianya merupakan ikan atau lauk yang diletakkan rempah dan dimasak dalam bungkusan daun pisang. Resepi ini dikongsikan oleh Hayati Hj Hasnan di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Hati ikan pari
Cili api
Kunyit hidup
Garam
Air limau kasturi
Hirisan daun kunyit
Daun pisang untuk alas
Cara-cara:
Buangkan hempedu hati ikan pari.
Kisarkan cili api, kunyit hidup dan garam.
Alaskan ikan pari di atas daun pisang dan lumurkan dengan bahan kisar.
Perahkan air limau kasturi dan taburkan hirisan daun kunyit ke atas hati pari.
Biarkan atas api sederhana hingga keluar minyak.
Setelah masak, sedia untuk dihidang.
#5 Ikan Pari Cicah Sambal Kerisik Bersantan
Ikan pari cicah sambal kerisik bersantan – hidangan yang bukan sahaja mudah untuk disediakan, malah melazatkan. Resepi ini dikongsikan oleh Dtn Seri Nor di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan pari
Kunyit
Garam
Asam jawa
Bahan sos
10 biji cili api
5 biji cili besar
4 sudu besar kerisik
3 biji bawang besar
4 biji limau kasturi
Belacan ikut kesukaan
Santan atau susu cair
Gula
Garam
Serbuk perasa
Cara-cara:
Rebus ikan pari dengan kunyit, garam dan asam jawa.
Kisarkan cili api, belacan, gula, garam dan serbuk perasa bersama santan.
Gaulkan bahan kisar dengan kerisik dan perahkan limau kasturi.
Masukkan bawang besar yang dihiris.
Sedia untuk dihidang.
#6 Ikan Pari Masak Sagol
Bagi pembaca yang menetap di Sabah, pasti anda biasa terdengar cara masakan masak sagol ini, bukan? Ianya juga sesuai untuk ikan pari. Resepi ini dikongsikan oleh Nana Sabrina Sarsan di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan A:
6 biji bawang merah*
6 ulas bawang putih*
2 inci halia*
2 batang serai dititik
Tumbuk bahan bertanda * (pastikan tidak dikisar)
Bahan B:
1 kg ikan pari
Serbuk kunyit secukupnya
Serbuk lada putih/sula
Garam gula dan serbuk perasa
1½ cawan minyak
Air
½ gelas air asam jawa
Cara-cara:
Potong ikan pari bersaiz sederhana.
Didihkan air dalam kuali dan masukkan ikan pari. Rebus sehingga masak.
Angkat ikan dan bilas dengan air bersih. Toskan.
Asingkan isi ikan dan tulang kasar.
Perapkan ikan pari dengan serbuk kunyit, garam, gula, serbuk perasa dan lada putih selama 15 minit. Gaul rata.
Dalam mangkuk kecil, masukkan serai terlebih dahulu diikuti dengan bahan yang telah dtumbuk. Gaul hingga layu.
Masukkan air yang telah dibancuh bersama serbuk kunyit dan akr asam jawa tadi. Gaul sehingga mendidih.
Masukkan ikan dan perlahankan api, gaul sehingga air nampak agak kering.
Gaul sentiasa agar ikan tidak melekat pada kuali.
Sedia untuk dihidang.
#7 Hati Ikan Pari Masak Pengantin
Selalunya kita terdengar lauk hati lembu masak pengantin, kali ini apa kata anda cuba resepi hati ikan pari masak pengantin pula? Resepi ini dikongsikan oleh Azura Jack Jaafar di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Hati ikan pari
2 cawan air
3 sudu besar minyak
Bahan kisar:
5 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
½ inci halia
Cili kering ikut kepedasan (direndam air panas)
1 sudu besar jintan manis
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh lada hitam(direndam air panas)
Cara-cara:
Panaskan minyak. Tuangkan semua bahan kisar dan tambahkan air.
Masukkan hati pari dan masukkan garam, gula, air dan asam jawa secukup rasa. Pastikan api sederhana sahaja.
Biarkan dan jangan kacau. Masak sehingga kuah memekat.
Sedia untuk dihidang.
#8 Ikan Pari Sinagol
Ikan pari sinagol ini merupakan resepi orang Sabah. Sinagol bermaksud tumis kunyit yang rasanya seolah-olah singgang ikan tetapi versi kering. Resepi ini dikongsikan oleh Mamy Shiema di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ubi kayu (siap diparut)
Sedikit garam
Minyak masak
Sedikit kelapa parut
Ikan pari (dipotong kecil dan dibuang bahagian insang. Hati diasingkan. Basuh bersih)
Tomato (dipotong empat)
Daun limau purut (digunting)
Air asam jawa yang sedikit pekat
Garam dan serbuk perasa
Cili ikut kepedasan (digunting)
Bahan tumbuk:
Bawang merah
Bawang putih
Bawang besar
Kunyit hidup
Halia
Serai
Cili api
Cara-cara:
Gaulkan garam bersama ubi kayu, sedikit minyak masak, sedikit kelapa parut hingga sebati.
Letakkan bahan tadi ke dalam loyang kukus dan kukuskan sehingga masak semua permukaan. Ketepikan.
Basuh ikan pari dengan air tepung gandum yang pekat dan cuci bersih untuk hilangkan hanyir pari.
Rebus ikan pari hingga masak.
Setelah masak, tapis dan hancurkan isi pari menggunakan sudu.
Asing bahagian tulang-tulang besarnya.
Tumbuk bahan tumbuk dan panaskan minyak. Pastikan jumlah minyak sedikit banyak. Tumis sehingga naik bau.
Masukkan tomato, daun limau purut dan ikan pari yang telah hancur tadi. Gaul sebati.
Masukkan air asam yang sedikit pekat.
Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
Tambahkan serbuk kunyit jika kelihatan pucat.
Boleh tambahkan cili jika mahu sedikit pedas.
Masak hingga mendidih dan sebati.
Sedia untuk dihidang.
#9 Ikan Pari Masak Lemak Pecal
Bagi yang sukakan hidangan yang rasanya berlemak dan pedas, anda wajib cuba resepi ikan pari masak lemak pecal ini. Resepi ini dikongsikan oleh Khaulah Abdullah di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan pari
Bawang merah
Bawang putih
Halia
Cekur
Lada kecil ikut kepedasan
Kunyit hidup/serbuk kunyit *optional untuk warna kuah
Santan kotak
Air asam
Daun cekur
Cara-cara:
Bakar ikan pari supaya isi tidak pecah semasa memasak.
Tumbukkan bawang merah, bawang putih, halia, lada kecil, cekur, kunyit hidup atau serbuk kunyit.
Tumis bahan tumbuk hingga pecah minyak.
Masukkan air asam, santan kotak dan masukkan ikan.
Setelah mendidih, masukkan serbuk perasa, garam dan gula.
Hiriskan daun cekur dan taburkan di atas ikan. Matikan api.
Sedia untuk dihidang.
#10 Asam Pedas Nonya Ikan Pari
Pernah cuba resepi asam pedas nyonya? Asam pedas nyonya ini rasanya lebih berempah, memang sedap! Resepi ini dikongsikan oleh Rossma Arianie di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan pari (dipotong 6 keping atau 5 ekor ikan)
5 sudu besar cili kering kisar (boleh tambah)
1 sudu kecil pes asam jawa
Garam
Bahan tumbuk:
2 sudu ketumbar biji
2 sudu jintan manis
Serai
Bahan kisar:
8-9 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
2 inci halia
Bahan tambahan
Daunkesum
Bunga kantan
Tomato
Bendi
Halba
Daun limau purut
Cara-cara:
Panaskan minyak yang agak banyak, sesuai dengan bahan yang hendak ditumis.
Tumis bahan kisar, bahan tumbuk dan cili kisar sehingga wangi dan benar-benar garing, masak dan terbit minyak.
Masukkan air secukupnya. Bila kuah mendidih, baru dimasukkan ikan pari
Masukkan garam, gula dan air asam secukupnya.
Sesuaikan rasa dan boleh angkat.
Sedia untuk dihidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi ikan pari, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!