Adakah anda mencari resepi hari raya yang popular dan sedap?

Hari raya Aidilfitri disambut setahun sekali sahaja, jadi semestinya orang kita ingin menggunakan kesempatan itu untuk menikmati juadah raya yang terenak di samping meluangkan masa bersama sanak saudara.

Jangan risau jika anda kekeringan idea untuk memasak juadah raya, kerana kami ada sediakan senarai 10 resepi hari raya yang sedap dan boleh dicuba. Teruskan membaca!

#1 Nasi Impit

Imej via Facebook

Antara kebanyakan resepi hari raya, resepi nasi impit ini merupakan antara yang paling mudah untuk dicuba. Tetapi, harus kena dengan caranya ya! Resepi ini dikongsikan oleh Wan Ros Ina Lina di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan beras biasa
  • 3 cawan air

Cara-cara:

  1. Basuh beras sehingga bersih.
  2. Di dalam pressure cooker, masukkan air, pastikan nisbah beras dan air ialah 1:3.
  3. Tekan butang congee /soup dan tunggu nasi impit masak.
  4. Beberapa minit setelah dimasak, buka tudung pressure cooker.
  5. Angkat periuk dan tekan-tekan nasi impit sehingga padat dan kemas.
  6. Biarkan sejuk dan sedia untuk dihidang.

#2 Kuah Kacang

Imej via Facebook

Nasi impit boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah, kuah kacang merupakan salah satunya. Resepinya tidak terlampau susah, memang boleh cuba sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Abdul Razak Abdul Rahim di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 sudu kecil asam jawa (tanpa biji)
  • 2 cawan kacang goreng kering (dikisar)
  • Gula melaka/gula biasa
  • Garam
  • Sedikit air

Bahan kisar:

  • 3 batang serai
  • 2 inci halia
  • 2 biji bawang merah (besar)
  • Segenggam cili kering

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar kecuali kacang goreng hingga pecah minyak.
  2. Masukkan asam jawa sedikit demi sedikit untuk adjust rasa masam.
  3. Masukkan kacang goreng kisar. Jika kurang pekat, tambahkan lagi jumlahnya.
  4. Masukkan gula melaka dan garam secukupnya.
  5. Tunggu sehingga pecah minyak dan sedia untuk dihidangkan.
  6. Jika kuah terlalu pekat, boleh tambahkan air.

#3 Lemang

Imej via Facebook

Tak sahlah senarai ini jika kami tidak senaraikan lemang sekali! Walaupun tidak menggunakan buluh, anda boleh menggantikannya dengan tin minuman dan daun pisang. Resepi ini dikongsikan oleh Ruzita Abdul Rahim di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Tin minuman (dipotong bahagian atas)
  • Daun pandan
  • Beras pulut (dibasuh dan ditoskan)
  • Santan pekat
  • Sedikit air
  • Garam
  • Gula
  • Daun pisang

Cara-cara:

  1. Tuangkan santan pekat dan tambahkan sedikit air.
  2. Masak dan letakkan daun pandan, garam & gula.
  3. Masukkan daun pisang ke dalam tin
  4. Masukkan beras pulut separuh dari tin.
  5. Kemudian, masukkan santan melebihi pulut sedikit.
  6. Panaskan kukusan terlebih dahulu dan terus kukus hingga santan kering.
  7. Setelah permukaan lemang kelihatan masak, tunggu lemang sejuk.
  8. Ketuk tin supaya lemang turun. Tarik daun pisang dengan perlahan.
  9. Hiris dan sedia untuk dihidangkan.

#4 Ketupat Daun Pisang

Imej via Facebook

Ketupat ada pelbagai cara untuk disediakan. Ada yang anyam dengan daun palas, ada juga yang balut dengan daun pisang. Resepi ini dikongsikan oleh Hairul Hamid di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 cawan beras pulut
  • 2 biji kelapa (santan)
  • 1 helai daun pandan
  • 1 helai daun pisang
  • Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Rendam beras pulut selama 2 jam.
  2. Kuku beras pulut bersama santan, sedikit garam dan daun pandan. Boleh kukus sehingga masak atau separuh masak.
  3. Biarkan pulut sejuk dan boleh balut dengan daun pisang.
  4. Setelah siap balut, kukus sekali lagi selama 15 minit atau 20 minit. Sedia untuk dihidangkan.

#5 Wajik

Imej via Facebook

Seperti lagu Suasana di Hari Raya, hidangan wajik jangan dilupakan untuk juadah raya. Cara penyediaan wajik juga agak mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Siti Mariam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 cawan pulut
  • 5 cawan santan
  • 4 cawan gula merah
  • 1 cawan air
  • 1 ½ cawan gula putih

Cara-cara:

  1. Masak gula merah dengan 1 cawan air dan tapiskan.
  2. Rendam pulut selama 3 jam, kukus selama 25 minit dan ketepikan.
  3. Masak santan bersama gula merah, gula putih dan sedikit garam. Boleh tambah jumlah santan untuk rasa lemak berkrim.
  4. Masak sehingga bertali atau pekat, kemudian masukkan pulut.
  5. Setelah cantik dan sekata, boleh masukkan dalam loyang atau talam. Sedia untuk dihidangkan.

#6 Lontong

Imej via Facebook

Selain daripada menjadi menu sarapan, ianya juga boleh dijadikan sebagai juadah raya. Rasa lemaknya membuatkannya enak dinikmati bersama nasi impit dan sambal. Resepi ini dikongsikan oleh اراني زواوي‎ di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • ¼ biji kubis
  • 1 batang lobak merah (dipotong panjang)
  • 9 batang kacang panjang
  • 1 ikat soo hoon
  • 1 keping fucuk (dipotong panjang)
  • 1 keping tempe (dipotong dadu dan goreng dahulu)
  • 2 batang serai (diketuk)
  • 1 cawan udang hidup
  • 1/2 biji kelapa parut
  • Garam gula secukup rasa
  • Serbuk kunyit

Bahan kisar:

  • 8 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci halia
  • 2 sudu besar udang kering

Cara-cara:

  1. Masukkan bahan kisar dan serai bersama separuh periuk air. Masak sehingga mendidih supaya bahan kisar masak sepenuhnya.
  2. Masukkan udang dan sayur-sayuran yang keras.
  3. Masukkan santan separuh periuk. Kacau hingga mendidih.
  4. Masukkan kunyit sehingga warnanya cantik.
  5. Masukkan semua sayur, soo hoon dan tempe yang digoreng. Kacau guna menggunakan api perlahan.
  6. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Sedia untuk dihidang.

#7 Serunding Daging

Imej via Facebook

Serunding daging memang enak dimakan bersama ketupat dan lemang. Jika dinikmati besama nasi putih dan roti putih juga sedap, memang bervariasi cara hidangannya! Resepi ini dikongsikan oleh Sifu Aya Maria Fathil di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 kg daging
  • 6 batang serai
  • 4 biji bawang besar/15 biji bawang merah kecil
  • 1 labu bawang putih
  • 20 tangkai lada kering (lebih pedas, tambah 5 tangkai lada kering)
  • Sedikit lengkuas
  • Sedikit halia
  • 11 sudu besar gula pasir
  • 3½ sudu kecil garam
  • 2 biji kelapa (santan)/1 kg santan

Cara-cara:

  1. Kisar semua bahan kecuali santan, bahan perasa dan daging.
  2. Masukkan dalam kuali bersama santan dan daging yang telah disiat.
  3. Masak dan kacau hingga kering. Masukkan garam dan gula secukupnya.

#8 Dodol

Imej via Facebook

Satu lagi juadah raya yang wajib disediakan – dodol. Rasanya yang manis dan teksturnya yang lembut mampu memikat hati sesiapa sahaja. Resepi ini dikongsikan oleh Yuziana Yusop di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Tepung pulut 500g
  • 1.5 liter air paip
  • 500 ml air
  • 2 kg santan pekat
  • 1 kg gula merah
  • Beberapa helai daun pandan
  • 300g gula putih

Cara-cara:

  1. Kacau tepung pulut bersama 1.5 liter air paip supaya tidak bergentel.
  2. Masak gula merah bersama 500 ml air dan beberapa helai daun pandan hingga larut. Tapis dan ketepikan.
  3. Satukan kesemua bahan dalam kuali dahulu barulah hidupkan api.
  4. Kacau sentiasa tanpa henti supaya tak berkerak untuk beberapa jam (2-3 jam) hingga dodol masak.
  5. Untuk tahu dodol masak, bila disungkit dodolnya dengan sudip, dodol terus terputus dan tidak bertali.

#9 Rendang Tok

Imej via Facebook

Berbeza dengan rendang biasa, rendang tok ini mempiunyai tekstur yang kering. Namun, keenakkannya memang tidak terkata. Resepi ini dikongsikan oleh Rozi Abdul Rahman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • 1 sudu ketumbar
  • 1 sudu jintan manis
  • 1 sudu jintan putih
  • 1 sudu lada hitam
  • – sangai dan tumbuk

Bahan B:

  • 3 batang serai
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 20 biji bawang kecik
  • 3 ulas bawang putih
  • (hiris nipis/kisar)
  • 20 tangkai cili kering (direbus dan dikisar)

Bahan C:

  • 1 kg daging potong dadu (saiz besar)
  • 1 kg santan
  • 3 sudu kerisik
  • 2 ketul gula kabung
  • 2 sudu rempah kari daging
  • 1 sudu serbuk cili
  • Sedikit belacan
  • 1 batang kayu manis
  • 2/3 kuntum bunga lawang
  • 3/4 tangkai bunga cengkih
  • 3/4 biji buah pelaga
  • 2 biji buah keras (ditumbuk)
  • Sedikit garam

Cara-cara:

  1. Masukkan semua bahan ke dalam kuali dan masak menggunakan api perlahan.
  2. Kerisik boleh dimasukkan semasa langkah terakhir/semasa kuah sudah sedikit.

#10 Burasak

Imej via Facebook

Bagi yang belum pernah terdengar tentang juadah ini, burasak merupakan makanan tradisional Bugis yang berasaskan beras dan santan. Ianya enak dinikmati bersama serunding atau rendang. Resepi ini dikongsikan oleh Hairul Nizam Ijam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 biji kelapa wangi
  • 1 biji kelapa (diparut dan diambil santan)
  • Garam secukup rasa
  • Daun pucuk pisang berukuran A4 beberapa keping (jemur atau salai)
  • Daun pisang tua panjang lebih kurang 3 jengkal

Cara-cara:

  1. Beras dibasuh 2 hingga 3 kali.
  2. Panaskan santan hingga mendidih. Setelah mendidih, api dikecilkan.
  3. Masukkan garam secukup rasa. Setelah santan sudah berubah warna, padamkan api.
  4. Tuang santan panas ke dalam beras sambil gaulkan, masak seperti nasi lemak.
  5. Biarkan beras lembab sedikit, tetapi agak merata.
  6. Menggunakan daun pisang, lipat nasi seperti melipat kuih lepat pisang, urut-urut atas bungkusan leper dan padat. Jangan terlalu nipis atau terlalu tebal.
  7. Susun bungkusan berlima dengan tali rafiah.
  8. Mulakan balutan dari satu hujung ke hujung yang satu lagi. Simpulkan di tempat permulaan.
  9. Buatlah sehingga semua beras siap dibungkus.
  10. Rebus burasak selama 1-3 jam atau lebih, dan sebaiknya direbus dalam periuk besar kayu api yang marak.
  11. Setelah masak, angkat dan tos seperti merebus ketupat.
  12. Buka tali dan buangkan daun pisang tua.
  13. Biarkan sejuk dan sedia untuk dihidang.


Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi hari raya, kami juga ada menulis tentang koleksi resepi menarik yang lain. Jangan lupa untuk memberi komen dan berkongsi dengan rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.