Pasti ada yang rindu untuk makan dodol dan mencari resepi dodol tradisional yang mudah dan sedap. Bukan apa, nak beli memang susah dicari lebih-lebih lagi yang duduk di bandar. Kadangkala rasa teringin untuk makan makanan yang diinginkan memang tidak tertahan.

Apa kata buat sahaja sendiri. Buat dodol kedengaran seperti rumit. Realitinya hanya menggunakan beberapa bahan sahaja. Tambahan pula dengan pelbagai kemunculan teknologi kini, anda dapat membuat dodol dengan lebih mudah dan cepat.

Di sini kami sediakan 10 resepi dodol tradisional dengan resepi berlainan dan setiap resepi menggunakan teknik masak yang berbeza. Nak tahu apa bezanya? Jom tengok resepi-resepi tersebut.

Resepi Dodol Tradisional

Resepi dodol dimulakan dengan resepi yang paling lejen dari segi bahan dan cara-cara memasaknya. Memang seronok apabila masak dodol dalam kawah bersama keluarga dan sanak-saudara di kampung. Nak rasai dodol lejen dengan cara memasak yang menarik, cuba resepi dari Rozita Ab’dullah yang dikhaskan untuk 2KG dodol.

Bahan-bahan:

  • 500g beras pulut
  • 1/2 cawan beras jawi atau tepung beras
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 1kg gula merah
  • 1kg santan pekat
  • 3 cawan air

Cara-caranya:

1. Rendam beras pulut bersama beras jawi atau tepung beras semalaman (12jam).

2. Masak gula merah bersama 3 cawan air sehingga gula hancur dan tapiskan.

3. Cuci beras yang direndam kemudian kisar dengan sedikit air sehingga beras hancur.

4. Masukkan semua bahan iaitu air, gula merah, gula pasir, santan dan beras yang dikisar ke dalam kuali.

5. Masak dengan api yang sederhana dan perlu sentiasa kacau supaya tidak berkerak atau hangit.

6. Kacau sehingga dodol pecah minyak lebih kurang 2 hingga 3 jam bergantung pada kepekatan bancuhan. Jika bancuhan cair, proses pecah minyak menjadi lambat. Dinasihatkan semasa kisar beras janganlah letak terlalu banyak air.

7. Siap untuk dihidang.

Dodol Kukus Pahang

Resepi istimewa yang berasal dari Pahang ini dikongsikan oleh Zaleha Yusof. Caranya memang cukup unik iaitu dimasak dengan cara mengukus serta dimakan bersama tahi minyak. Jika anda tidak pernah dan tak tahu cara memasak dodol dan tahi minyak, resepi ini khas buat anda!

Bahan Untuk Buat Tahi Minyak:

  • 1 cawan santan pekat
  • Sedikit garam

Cara Buat Taik Minyak:

  1. Masak santan dan sedikit garam sehingga pecah minyak menggunakannya api sedang selama lebih kurang setengah jam.

Bahan A:

  • Daun pisang dilayu supaya lembut agar tak pecah semasa dijadikan alas dodol.

Bahan B:

  • 1 cawan gula merah
  • ½ cawan gula pasir
  • 1 cawan air

Bahan C:

  • 2 cawan tepung pulut
  • 1 sudu tepung ubi
  • 1 1/2 cawan santan (1.5 cawan)

Cara memasak:

1. Satukan semua bahan B ke dalam kawah. Masak sampai hancur semuanya dan sejukkan.

2. Masukkan semua bahan C dan gaulkan sampai sebati.

3. Apabila sudah rata dan sebati, masukkan bahan B (suam-suam).

4. Kacau lagi sampai rata dan sebati. Kemudian, tapiskan bahan tersebut.

Cara Buat Dodol Kukus:

1. Panaskan periuk kukus.

2. Ambil minyak dari taik minyak yang telah disediakan dan sapu pada daun pisang.

3. Tuangkan adunan ke dalam loyang yang sudah dialas menggunakan daun pisang.

4. Kukus sampai masak (15 – 20 minit).

5. Apabila sudah siap, taburkan taik minyak di atas dodol kukus. Nak tahu dodol kukus dah masak, ia cantik, licin serta tidak melekat di jari. Warna kehitaman mengikut warna gula.

Dodol Noxxa

Resepi ini khas buat mereka yang mempunyai periuk ajaib Noxxa. Dengan periuk ini, anda boleh membuat dodol dengan hanya 7 minit sahaja. Ikuti resepi yang disediakan oleh Rohida Ibrahim ini:

Bahan A:

  • 1 cawan gula merah pasir
  • ½ cawan gula pasir putih
  • 1 ketul gula kabung (dipotong kecil)
  • 2 cawan air putih
  • 3 helai daun pandan disimpul

Bahan B:

  • 2 cawan tepung pulut
  • 2 sudu besar tepung beras
  • 2 cawan santan pekat (kalau nak lagi lemak boleh tambahkan lagi)
  • Sedikit garam

Cara-caranya:

1. Masak sekejap semua bahan A sehingga gula cair dan tapiskan.

2. Campur bahan A dan B lalu kisar hingga sebati.

3. Masuk dalam periuk noxxa dan tekan set steam 4 minit.

4. Apabila sudah siap, tekan off button steam dan tekan button stir fry.

5. Kacau sampai berkilat dalam 3 minit.

6. Siap untuk dihidangkan.

Dodol Sedap Lembut

Tahukah anda bahawa mesin roti atau breadmaker juga boleh menghasilkan dodol yang kenyal dan enak seperti dodol biasa. Malah boleh menghasilkan dodol yang lebih lembut. Jangan risau, resepi yang dikongsikan oleh Sakura Hanami ini pasti menjadi dan menambat selera penggemar dodol.

Bahan-Bahan A (Air Gula):

  • 300gm gula melaka
  • 100gm gula merah
  • 200ml air
  • 2helai daun pandan

Cara memasak air gula:

1. Potong gula melaka dengan kecil.

2. Masak gula hingga larut dengan api yang sederhana.

3. Tapiskan air gula kerana ada bendasing pada larutan tersebut.

4. Sejukkan sebelum digaul dengan tepung.

Bahan B:

  • 1 kotak santan Kara (200ml)
  • 200ml air

Cara-cara:

  1. Kacau sebati kedua-dua bahan tersebut kerana santan kotak akan mendak dan menjadi pekat.

Bahan C:

  • 250gm tepung pulut
  • 1tsp garam halus

Cara Membuat Dodol:

1. Apabila air gula telah sejuk, gaulkan bersama santan.

2. Gaulkan bersama tepung pulut dan kacau sehingga larut dan tiada tepung bergentel.

3. Tapis dan masukkan dalam breadmaker.

4. Set function jam. Masa akan automatik set (1:20).

5. Setelah habis 1st pusingan jam, tekan semula fungsi jam sebanyak tiga kali. Ulang fungsi ini sehingga jumlah masa menjadi lebih kurang 3 hingga 4 jam. Biarkan ia diproses dengan sendiri.

6. Setelah cukup 3 kali pusingan set fungsi jam, dodol akan menjadi sedang elok serta warna yang lebih gelap. Tekstur likat dan lembut. Jika anda suka dodol yang kenyal dan kental, anda perlu tambah 4 kali jam.

Dodol Kak Hani

Jangan risau jika anda tidak mempunyai sebarang periuk ajaib untuk masak dodol kerana anda boleh memasaknya menggunakan kuali sahaja. Rujuk resepi milik Zalia Zalia Kosmetik ini, memang mudah dan enak.

Bahan  A (kisar) :

  • 1 cawan tepung pulut
  • 1 sudu tepung beras
  • 1 sudu kecil kfc garam
  • 1 kotak kecil santan

Bahan B ( masakkan semua dan tapis):

  • 1/2  cawan gula biasa 
  • 1 cawan gula merah
  • 1 cawan air
  • 2 helai daun pandan
  • * masak sehingga semua gula cair dan sebati lalu tapiskan.

Cara-cara memasak:

1. Masukkan bahan B yang sudah cair ke dalam adunan A.  Kisar sehingga sebati.

2. Masak atas kuali sehingga masak. Untuk adunan yang cantik, hendaklah dikacau sentiasa supaya gula tidak hangus.

3. Anggaran masak untuk menyiapkannya adalah satu jam.

Dodol Breadmaker

Resepi ini pula milik Fatin Nabilah yang dikongsikannya di Facebook. Seperti yang anda tahu, jika anda menggunakan breadmaker, anda hanya perlu meletakkan semua bahan dan tidak perlu mengacaunya selalu. Lebih mudah, jimat masa dan jimat tenaga.

Bahan-bahan:

  • 310g tepung pulut
  • 30g gula pasir
  • 400g gula merah atau gula melaka
  • 500g santan pekat atau guna 2 kotak santan kara + air jadikan 500g
  • 250g air
  • Daun pandan

Caranya:

1. Masukkan gula, air dan daun pandan. Masak sampai gula cair. Sejukkan.

2. Satukan tepung pulut dan santan. Gaul sebati biar tak berketul.

3. Masukkan air gula dalam adunan tepung pulut tadi. Gaul sebati atau anda juga boleh kisar hingga sebati.

4. Tuang adunan dalam breadmaker, tekan JAM dan START.

5. Tunggu hingga selesai selama 1 jam 20 minit.

Dodol 12 Minit Dengan 3 Bahan

Lagi satu resepi dodol menggunakan periuk Noxxa yang pasti menjadi pilihan ramai kerana hanya menggunakan tiga bahan sahaja. Tempok memasaknya pulak hanya 12 minit. Memang cepat dan mudah. Oh ya, resepi ini dikongsikan oleh Nazariza Musa.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan Tepung Pulut
  • 2 cawan Gula Merah
  • 2 cawan Santan
  • Secubit garam

Cara memasak:

1. Kisar semua bahan sehingga hancur.

2. Tapis dan masukkan dalam periuk Noxxa.

3. Masukkan ikatan daun pandan.

4. Tekan button “Steam” selama 4 minit.

5. Bila cukup masa 4 minit, kacau-kacau rata adunan tadi.

6. Tutup kembali dan tekan “Steam” lagi 4 minit. Apabila sudah cukup masa, buka dan kacau rata sekejap sahaja.

7. Tutup untuk kali terakhir dan tekan “Steam” lagi 4 minit. (Jumlah ulangan untuk steam adalah 3 kali dan setiapnya adalah selama 4 minit)

Dodol Durian Sedap

Ini pula merupakan resepi  dodol durian. Pasti ada yang menggemari rasanya yang berlemak dan manis. Jika anda menyukainya, ikut sahaja resepi milik Roslina Omar yang dikongsikannya di Facebook. Bancuhan ini dapat menghasilkan dodol durian sebanyak 1.4 KG.

Bahan-bahan:

  • 310gm tepung pulut
  • 500ml santan fresh
  • 1/2 sd kfc garam halus
  • 50gm gula pasir
  • 500gm gula merah (hancur)
  • 2 helai daun pandan*
  • 250ml air*

Cara memasak:

1. Masak bahan yang bertanda * hingga mendidih lalu tapiskan dan sejukkan seketika.

2. Campurkan tepung pulut dengan santan lalu gaulkan sebati.

3. Tuangkan air gula merah yang telah disejukkan tadi.

4. Campurkan semua bahan  dan gaulkan sebati.

5. Tapis sekali lagi supaya tiada ketulan-ketulan tepung.

6. Tuang adunan dalam breadmaker lalu tekan menu ‘jam’. Untuk bread maker Cosway adalah nombor 9.

7. Tutup bread maker dan biarkan proses memasak berjalan.

8. Apabila bread maker berhenti, ulang sekali lagi sehingga bread maker berhenti untuk kali keduanya.

9. Angkat dan sejukkan dodol di dalam bekas.

Lempuk Durian Cara Tradisional

Dodol durian juga dikenali sebagai lempuk di sesebuah negeri. Bahan-bahan dan cara memasak lempuk ini berbeza dengan resepi sebelum ini. Ikuti resepi yang dikongsikan oleh Muhamad Farid Omar. Paling menarik, beliau juga berkongsikan tips memasak dodol dengan sempurna.

Bahan-bahan:

  • Isi durian beserta biji
  • Sedikit gula putih
  • Sedikit air

Cara-cara memasak:

1. Campurkan semua bahan-bahan ke dalam kuali.

2. Kacau gula dengan api yang perlahan.Jika menggunakan api yang kuat, lempuk akan berkerak dan hangit.

3. Kacau sehingga biji durian terkeluar isi dengan sendiri.

4. Buang biji yang terkeluar dan kacau sehingga lempuk boleh bergolek dalam kuali (jangka masa mengacau memang lama).

5. Alihkan lempuk atas plastik putih dan uli lempuk macam adunan doh (buat semasa lempuk masih panas).

6. Apabila sudah sejuk, jemur ditengah-tengah panas selama 2 atau 3 hari supaya lempuk tahan lebih lama dan tidak berkulat. Jika  betul cara buatnya, lempuk boleh tahan bertahun jika simpan dalam di dalam peti ais.

Petua mak:

1. Guna kuali tembaga kerana kuali biasa ini berat. Apabila dikacau akan menjadi mudah berbanding kuali biasa yang ringan apabila dikacau dan boleh terbalik lempuknya.

2. Untuk sukatan tepat memang susah kerana sukatan adalah agak-agak sahaja. Paling penting kena tahu jenis isi durian mengikut ketebalan atau manis.

3. Seeloknya guna isi durian yang elok dan manis kerana akan mempengaruhi jumlah gula yang digunakan serta air yang akan digunakan.

4. Kena kacau sekali biji dan isi durian baru lempuk menjadi kilat. Fungsi biji itu akan keluarkan minyak apabila dikacau lama. Jika nak lebih mudah, sebelum kacau koyakkan sedikit isi dari biji.

Dodol Thermomix

Sekiranya anda mempunyai Thermomix, anda juga boleh mencubanya. Sangat mudah, jimat masa, jimat tenaga dan enak. Resepi ini dikongsikan oleh Saptuyah Latip di Facebook. Jangan lupa mencubanya!

Bahan-bahan A:

  • 350g gula melaka
  • 150g gula Molasses Organic (guna gula pasir biasa atau gula perang juga boleh)
  • 100g air
  • 3 helai daun pandai (ikat)

Bahan-bahan B:

  • 400g santan pekat (sap guna 250g santan pekat + 150g santan kotak)
  • 200g tepung pulut
  • 1/4 tsp garam pink

Cara memasak:

1. Masukkan bahan A dan set masa selama 5 minit, varoma dan speed 1.

2. Keluarkan daun pandan.

3. Masukkan bahan B dan set masa seperti yang berikut:

  •  4 saat/speed 5
  •  40 minit/ 100c/ speed 3
  • 20 minit /100c / speed 1

4. Siap untuk dimakan.

Mudahkan resepi dodol tradisional di atas. Dengan teknologi terkini, anda dapat membuat dodol dengan lebih mudah, lebih cepat tetapi dapat makan dodol dengan rasa yang sama seperti dodol tradisional cara yang lama.

Tak perlu lagi risau jika susah mendapatkan dodol di kawasan perumahan anda. Buat saja menggunakan resepi di atas. Dalam hanya beberapa minit, anda dapat menikmatinya bersama keluarga.

Jom cuba resepi lain seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.