Semasa stres, semestinya pencuci mulut akan diburu kerana kemanisannya kadangkala dapat mengurangkan rasa stres. Tetapi, kebanyakan pencuci mulut agak susah untuk dibuat.
Namun, tidak semua resepinya susah, banyak juga yang mudah. Jadi, berikut kami senaraikan 10 resepi dessert mudah. Teruskan membaca!
#1 Apam Nasi
Inilah menu yang kami yakin digemari orang ramai orang kita – apam nasi. Nampak macam susah, namun sebenarnya cara penyediannya memang senang. Resepi ini dikongsikan Nurul Izzah Joelati di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 cawan nasi sejuk
1¼ cawan air suam
¾ cawan gula halus
1 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar yis
½ sudu kecil garam halus
Cara-cara:
Kisarkan nasi sejuk, air suam dan gula halus.
Masukkan tepung beras, tepung gandum dan yis. Kacau sebati.
Akhir sekali, masukkan garam. Kacau sebati.
Peram selama setengah jam di dalam bekas tertutup rapat.
Tuang ke dalam acuan yang sudah disapu minyak.
Panaskan pengukus dan kukus selama 15 minit.
Sedia untuk dihidang.
#2 Cha Bang Ang
Cha Bang Ang merupakan minuman pencuci mulut Thai yang boleh dikatakan viral baru-baru ini. Anda juga boleh mencuba resepinya yang ringkas. Resepi ini dikongsikan oleh Maya Miera di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 cawan susu kotak krim penuh
1 tin susu cair
1 tin susu pekat
½ paket biji selasih
1 tiub cincau
2 sudu besar air gula merah
1 sudu kecil esen vanila
Secubit garam
Kiub ais secukupnya
Cara-cara:
Masak susu cair,susu pekat,esen vanila dan secubit garam hingga sebati dan suam-suam.
Potong cincau dan rendam selasih
Satukan semua bahan dan sedia untuk dihidang.
#3 Puding Laici
Satu lagi resepi dessert mudah yang bukan sahaja sedap, malah menyegarkan tekak – puding laici. Resepi ini dikongsikan oleh Mak Usop di laman Facebook.
Bahan-bahan:
10 g serbuk agar-agar atau 1 paket agar-agar biasa (28 gram)
6 gelas air
1½ cawan gula
1 tin susu cair
1 tin laici (dikisar)
1 tin laici (untuk hiasan)
Cara-cara:
Masakkan serbuk agar-agar atau agar-agar biasa bersama air sehingga mendidih.
Masukkan gula dan biarkan mendidih lagi (jika gunakan agar biasa, tapiskan).
Matikan api dan masukkan air laici dan susu cair.
Tuangkan ke dalam acuan. Biarkan sejuk dan masukkan ke dalam peti sejuk.
Hidangkan bersama buah laici yang diasingkan tadi.
#4 Lempeng Soufflé
Ini merupakan menu pencuci mulut yang terkenal di kebanyakan kafe hipster – lempeng soufflé. Kelihatan susah untuk dibuat, namun resepinya ringkas sahaja. Resepi ini dikongsikan oleh Maizatul Azura di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan A
3 biji kuning telur
2 besar sudu susu cair /susu segar
1 sudu teh esen vanilla
2 sudu tepung gandum
Bahan B
3 biji putih telur
3 sudu gula
Cara-cara:
Gaul kesemua bahan A perlahan-lahan hingga sebati.
Untuk bahan B, pukul putih telur dan gula hingga kembang.
Campurkan bahan A dan b secara perlahan-lahan dan gaul sebati.
Panaskan kuali dan sapu nipis minyak masak pada kuali.
Tuangkan adunan.
Sedia untuk dihidang.
#5 Kek Sarang Semut (Tanpa Bakar)
Tiada ketuhar namun masih ingin menikmati kek sarang semut? Tidak mengapa, anda boleh menggunakan periuk nasi untuk membuatnya! Resepi ini dikongsikan oleh Nora Syikin di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 cawan gula pasir
1 cawan air panas
1 cawan tepung gandum
125 g mentega
4 biji telur ayam gred B
½ tin susu pekat
1 sudu besar serbuk penaik
1 unit periuk nasi
Cara-cara:
Panaskan gula menggunakan api sederhana sehingga hangus (bukan hangit).
Bila nampak keperangan, tuangkan air panas sedikit demi sedikit.
Perlahankan api sampai gula hangus tadi dan air sebati.
Kemudian, masukkan mentega dan kacau. Biarkan seketika.
Masukkan telur ke dalam mangkuk. Kacau sebati dengan susu pekat.
Masukkan tepung dan serbuk penaik. Kacau sebati.
Kemudian, tuangkan air gula hangus tadi (ketika masih suam) ke dalam adunan sambil kacau sehingga habis.
Griskan periuk nasi. Kemudian, tuang adunan ke dalamnya dan tudungkan.
Tekan butang memasak. Kek akan masak sendirinya selepas butang masak naik.
Boleh gunakan pisau untuk cucuk sama ada sudah masak atau belum.
Jika perlu tambah masa, tekan kembali butang masak tadi.
Sedia untuk dihidang.
#6 Cheesekut
Satu lagi resepi yang popular dan viral tahun-tahun sebelum ini – cheesekut. Cara penyediaan yang mudah serta rasa yang enak membuatkan ramai mencubanya. Resepi ini dikongsikan oleh Azwaniza Wiwi di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Biskut keju / biskut gandum (mengikut kesukaan)
250 g krim keju
½ tin susu pekat
Cara-cara:
Adunkan krim keju dan susu pekat sehingga kembang dan tidak berketul.
Di dalam berkas yang bersesuaian, susun biskut untuk lapisan bawah.
Selepas biskut disusun, mula lapiskan dengan bahan yang diadunkan tadi (anggaran 2-3 sudu).
Ulang langkah ini sehingga adunan habis.
Untuk lapisan paling atas, boleh hias dengan keju Cheddar / rice colour / lebihan biskut hancur.
Sejukkan di bahagian freezer selama 2 jam.
Sedia untuk dihidang.
#7 Tart Keju
Tart keju merupakan hidangan pencuci mulut yang boleh bikin sesiapa sahaja ketagih. Cara penyediannya sebenarnya ringkas sahaja, jadi cubalah resepinya! Resepi ini dikongsikan oleh Raja Rehan Raja Zammil di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan kulit tart:
170 g mentega
50 g gula aising
1 biji telur gred D
300 gepung red rose/tepung biskut/tepung gandum
Bahan inti keju:
500 g krim keju
100 g gula kastor/halus
1 biji telur gred D
1 penutup esen vanila
Inti mengikut kesukaan
Cara-cara:
Untuk kulit tart, menggunakan senduk kayu, pukul gula dan mentega hingga sebati.
Masukkan telur dan pukul sebati.
Masukkan tepung dan uli hingga menjadi doh.
Adunkan telur dan gula sehingga bertukar warna krim/seakan putih.
Di dalam bekas lain, adunkan krim keju dan esen vanila hingga sebati.
Satukan adunan telur ke dalam adunan krim keju dan adunkan sebati. Pastikan adunan menjadi kental dan tidak cair.
Paipkan adunan ke dalam kulit tart. Paip secara meninggi/membukit.
Bakar pada suhu 170°C selama 10 minit.
Sedia untuk dihidang.
#8 Tart Telur
Tadi kita cuba tart keju, kali ini kita cuba resepi tart telur pula. Hidangan ini bukan sahaja enak, malah mengenyangkan dan mudah dibuat. Resepi ini dikongsikan oleh Ct Zuraihan di laman Facebook.
Bahan kulit tart:
2 cawan tepung gandum
½ cawan marjerin/mentega
1 biji telur
Secubit garam
Bahan inti:
1½ cawan susu cair
3 biji telur
1 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar tepung jagung
4 -5 sudu gula (mengikut kemanisan)
Sedikit esen vanilla
Cara-cara:
Untuk kulit tart, gaul semua bahan sehingga menjadi doh dan tekan di dalam kuali.
Untuk inti, pukul semua bahan dan tuang di atas doh.
Masak atas api kecil dan tutup dengan penutup selama 30 – 40 minit.
Sedia untuk dihidang.
#9 Kek Batik
Hidangan pencuci mulut ini sudah tidak asing lagi namanya. Cara penyediaan kek batik juga cukup ringkas dan bahannya mudah didapati, rugi jika anda tak cuba sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Insyirah di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 ketul Buttercup (250 g)
1 cawan susu pekat manis (boleh kurangkan)
1 / ½ cawan air panas untuk membancuh Milo
200 g serbuk Milo (paket paling kecil)
25 g serbuk koko (botol kecil)
1 paket (300g) biskut marie
Cara-cara:
Cairkan mentega di atas api yang sederhana.
Kemudian masukkan susu pekat. Kacau sebati.
Bancuh serbuk koko dan serbuk Milo dengan sedikit air panas.
Masukkan bancuhan Milo dengan serbuk koko ke dalam mentega tadi dan kacau sebati
Tunggu tekstur menjadi sedikit pekat dan boleh padamkan api.
Masukkan biskut marie yang telah dipatah-patahkan.
Masukkan ke dalam loyang / bekas, mampatkan dan sejukkan di dalam peti ais.
Sedia untuk dihidang.
#10 Puding Karamel
Ini merupakan antara resepi dessert mudah yang cukup popular – puding karamel Ianya bukan sahaja sedap, malah bahan dan cara penyediaannya juga senang. Resepi ini dikongsikan oleh Juman Islam di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan-bahan karamel :
5 sudu besar gula
3 sudu besar air panas
Bahan-bahan puding:
6 biji telur
1 sudu esen vanilla (boleh lebihkan)
1 tin susu cair / sejat
⅓ tin susu pekat (sederhana manis)
¼ cawan air masak
Cara-cara:
Untuk karamel, masak gula menggunakan api kecil sehingga gula cair dan warna keemasan.
Kacau perlahan sehingga sebati & masukkan air panas (hati-hati, boleh merecik).
Tuang ke dalam loyang dan biar karamel seketika.
Masukkan semua bahan puding dan kisar sekejap sahaja.
Tuang ke dalam loyang berisi karamel.
Kukus selama 20-30 minit.
Setelah dikukus, sejukkan di bahagian freezer.
Keluarkan puding dari loyang dan potong puding.
Sedia untuk dihidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi dessert mudah, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!