Resepi ini merupakan resepi yang amat mudah untuk disediakan, boleh dimakan diwaktu tengahari dan diwaktu malam serta mempunya rasa yang amat lazat. Resepi yang kami katakan itu adalah resepi asam rebus.
Kalau di Kelantan ianya dipanggil Asam Pedas. Bergantunglah kepada anda untuk memanggil juadah ini apa, yang penting, kami bawakan resepi ini khas buat anda.
Cara pembuatan asam rebus ini amatlah mudah. Ianya juga boleh dijadikan comfort food bagi mereka yang menggemari rasa masam dan pedas. Ianya juga mempunyai kuah yang banyak dan boleh dihirup! Jadi, jom scroll down!
Asam Rebus Ayam
Resepi asam rebus pertama adalah asam rebus ayam. Apa kata cuba menu lain daripada biasa seperti resepi ini, pasti bertambah ketika makan. Ikuti resepi milik Nur Fakhira Mohd Rosli.
Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam
Air secukupnya
1 helai daun kunyit (koyak-koyak)
1 btg serai (potong 2 & ketuk)
1 inch halia (hiris)
1 inch kunyit hidup (hiris)
3 cili api hijau (nak pedas boleh tmbah lagi & ketuk)
3 ke 4 asam keping
1 biji bawang besar (belah empat)
2 ulas bawang putih (hiris)
1 kiub pati ayam Adabi
Garam & gula secukup rasa
2 biji lada merah (potong serong)
Cara memasak:
Masukkan air, daun kunyit, serai, halia, kunyit hidup, ayam, asam keping, bawang besar dan bawang putih ke dalam periuk. Buka api sederhana. Kacau dan tutup periuk.
Apabila sudah mendidih, masukkan kiub ayam, perasakan garam dan gula. Kacau sampai ayam betul-betul masak.
Masukkan lada merah dan tutup api.
Asam Rebus Ikan
Resepi ini telah dikongsikan oleh Pn Oden dan mendapat beratus like di Facebook! Anda boleh menggunakan apa jua jenis ikan yang sesuai dan digemari.
Bahan – bahan:
Bahan blend:
7 tangkai cili kering
Cili padi ikut kesukaan pedas
1 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
Sedikit halia
Bahan lain:
2 sudu serbuk kunyit
2 batang serai (diketuk)
1 helai daun kunyit (disiat)
Timun batang/bendi/nenas
1 biji tomato (dibelah 4)
2 kerat asam keping
Garam dan gula
1 kiub ikan bilis
Ikan
Cara – cara penyediaan:
Rebus bahan blend dengan sedikit air sehingga mendidih berasap.
Masukkan air, serai, kunyit serbuk, asam keping, garam, gula, kiub ikan bilis, sayur-sayur dan kacau sampai mendidih manja.
Masukkan ikan dan daun kunyit.
Apabila ikan sudah masak, masukkan tomato.
Siap.
Singgang Daging Tok Sipoh
Kali ini resepi asam rebus menggunakan daging. Resepi ori dari Kelantan ini telah dikongsikan oleh Alos Musa di Facebook. Resepi ini menggunakan setengah kilogram daging, sesuai untuk hidangan satu keluarga.
Bahan-bahan:
1/2 kg daging (hiris/potong kecik) *
1½ inci lengkuas (ketuk)*
1 inci halia (hiris memanjang, kecil-kecil) *
2 sudu besar ketumbar (tumbuk kasar) *
3 ulas bawang putih (mayang) *
4 ulas bawang merah (mayang) *
3 tangkai lada kering (tumbuk bersama ketumbar, tidak lumat) *
Nissan (gula melaka) *
3 keping asam keping
Garam
Serbuk perasa dan budu (jika suka)
Air
Cara memasak:
Masukkan semua bahan bertanda * ke dalam periuk dan gaul bersama daging tanpa air.
Rebus bersama daging tanpa air sebentar (mati awas). Ini rahsia kesedapan singgang kerana rasa bahan-bahan masuk ke dalam daging.
Masukkan air.
Biarkan sehingga daging empuk. 5.Masukkan garam dan asam keping. Masak lagi sehingga betul-betul empuk.
Boleh letak serbuk perasa dan budu.
Tutup api dan boleh dihidangkan.
P/s: Tambah cili api (lada burung) untuk lebih kaw. Garam dan asam tidak dimasukkan awal untuk elak daging jadi liat.
Asam Rebus Ikan Nenas
Norashikin Ismail pula telah berkongsi resepi asam rebus ikan. Resepi ini berbeza dari resepi di atas kerana menggunakan nenas untuk menambah rasa masamnya. Jangan risau, ia tidak terlampau masam malah lebih kaw kerana nenas tersebut.
Bahan-bahan:
Ikan kembong
Kunyit hidup *
1 biji bawang besar *
2 ulas bawang putih *
4 tangkai cili kering *
1 biji cili merah besar *
3 biji cili padi *
2 keping asam keping
Daun kesum
Nenas + bendi
Garam kasar
Cara memasak:
Kisar bahan bertanda * .
Didihkan air, masuk bahan bertanda *, asam keping dan daun kesum.
Apabila sebati semua bahan, perasakan dengan garam.
Masukkan nenas dan bendi.
Masukkan ikan dan perlahan api.
Ikan siap dimasak.
Asam Rebus Keladi
Tahukah anda, asam rebus juga sedap dimasak bersama keladi. Resepi milik Azimah Abdul Malik ini sesuai untuk hidangan 4 orang. Rasanya memang cukup puas lebih-lebih lagi dimakan bersama nasi panas dan ikan goreng.
Bahan-bahan:
30 bilah keladi
Daun kesum
5 keping asam gelugor
Bahan kisar:
2 biji cili merah
Ikan bilis sejemput
6 ulas bawang merah
1 inci belacan
3 sudu cili boh
Cara memasak:
Rebus keladi hingga lembut, toskan dan letak tepi.
Masukkan bahan yang telah dikisar bersama 4 cawan air kedalam periuk.
Masukkan asam keping dan masak hingga didih.
Letakkan keladi dan perasakan dengan garam.
*Kalau ada serbuk ikan bilis atau kiub pun boleh diletakkan sikit.
Resepi – resepi lain yang menarik:
Ada pelbagai lagi resepi lain yang anda boleh cuba dan menambah idea masakan anda! Jangan lupa untuk tekan butang share dan kongsikan resepi ini!