Boleh ngences kalau tak dapat makan, tambah lagi kalau perempuan mengandung. Anak yang lahir mungkin akan sentiasa ngences setiap masa.
Menurut kamus orang Jawa, ngences membawa maksud air liur meleleh atau terliur yang berkait rapat dengan makanan. Kalau ada bayi yang sentiasa mengalir air liur, itu bermakna ada makanan yang diidamkan ibunya sewaktu mengandung tidak dipenuhi. Jadinya, ngences saja bayi itu.
Ngences Noodles Café yang terletak di Klang, Selangor ini merupakan sebuah restoran yang menyajikan hidangan istimewa. Café ini merupakan milik Fazli Mohd Isa dan isteri, Amy Normala.
Restoran ini menghidangkan mee rebus ketam, mee rebus tulang, mee rebus seafood dan juga mee rebus ribs. Mee rebus yang dihidangkan mempunyai kuah yang sederhana pekat menampilkan rasa masam dan manis. Ia ditaburi dengan cili hijau potong menyerikan lagi hidangan tersebut.
Mee rebus tulangnya begitu enak dengan kehadiran kepingan daging yang begitu lembut sekali. Bagi yang memilih mee rebus ketam pula, anda akan dihidangkan bersama seekor ketam bersaiz besar dan memenuhi mangkuk hidangan. Ketam yang digunakan adalah segar dan padat dengan isi di dalam cengkerang.
Anda pasti terkesima sewaktu melihat hidangan ini tiba di atas meja dan pasti tidak sabar untuk menjamahnya. Kemanisan isi ketam yang dihidangkan membuatkan anda pasti keriangan menikmatinya. Kombinasi kuahnya yang sederhana pekat bersama isi ketam yang manis sememangnya gabungan yang sangat padu.
Selain itu juga, anda boleh memilih hidangan mee rebus seafood yang menggabungkan pelbagai makanan laut. Ia adalah gabungan udang, pepahat dan juga siput lala. Anda pasti tertarik dengan mee rebus ribs yang tidak kurang hebatnya.
Resepi mee rebus yang digunakan di restoran ini merupakan milik Haji Zainal yang merupakan kenalan ibu Fazil, Siti Hawa Abdul Rahman. Ia merupakan resepi asal orang Johor, namun ia telah ditambah baik tanpa menjejaskan keaslian rasanya.
Haji Zainal yang dahulunya sama – sama berniaga gerai makan di Johor Bahru telah menghadiahkan resepi tersebut kepada Siti Hawa sebelum berpindah ke Klang. Ia sebagai tanda persahabatan kerana mereka sama – sama membuka gerai makan di Johor Bahru.
Melalui resepi ini, maka tercetus idea bagi Fazil untuk membuka Ngences Noodle Café yang menghidangkan variasi mee rebus. Selain menyajikan mee rebus, terdapat menu lain yang menjadi kegemaran ramai.
Antara menu yang turut menjadi perhatian pelanggan di Ngences Noodle Café ini adalah mee bandung, mee Jawa, laksa Johor, bubur nasi, roti Arab dan juga laksa utara. Walau bagaimanapun, mee rebus tetap pilihan nombor satu pelanggan yang datang.
Harga mee rebus yang dikenakan adalah sangat berbaloi dengan keenakan yang pasti memuaskan hati pelanggan. Untuk mee rebus tulang, harganya hanyalah RM 8.00, mee rebus seafood, RM 11.00, mee rebus ribs, RM 15.00 dan mee rebus ketam pula hanyalah RM 18.00.
Yang pasti, hidangan di Ngences Noodle Cafe ini menepati cita rasa penggemar mee rebus asli. Kafe ini dibuka setiap hari mulai jam 10.00 pagi hingga jam 9.00 malam kecuali hari Isnin.
Alamat : No 43, Jalan Sri Sarawak 20A, Taman Sri Andalas, Klang