Sudah tentu anda dapat meneka menu utama yang dihidangkan di restoran ini tatkala mendengar nama restorannya. Restoran Nasi Lemak Ayam Kampung yang terletak di Jalan Ali Pitchay Ipoh, Perak ini sering mendapat kunjungan ramai yang terdiri dari berbilang bangsa.

Keistimewaan Restoran Nasi Lemak Ayam Kampung Ipoh

Apa yang istimewanya di sini adalah nasi lemak disajikan bersama ayam kampung goreng. Sebut sahaja ayam kampung, sudah pasti ramai yang menggemarinya. Terbayang – bayang di minda tentang keenakan ayam kampung yang digoreng panas dimakan bersama nasi lemak.

Jika ke restoran ini, pastikan anda mencuba nasi lemak ayam kampungnya yang begitu menyelerakan. Ia dihidangkan bersama sambal yang tidak begitu pedas, telur rebus, kacang & ikan bilis serta ayam kampung yang digoreng. Kombinasi yang cukup padu.

Nasi Lemak Ayam Kampung

Imej via myselera

Sebaik sahaja anda melangkah masuk ke restoran ini, anda akan disajikan dengan kelincahan hidupan belut di dalam akuarium restoran ini.

Belut – belut ini bukan sekadar hiasan serta daya penarik dari akuarium, tetapi hidangan belut di sini akan menggunakan belut – belut segar yang diternak di dalam akuarium ini. Belut segar ini akan ditimbang terlebih dahulu sebelum dijadikan menu hidangan.

Harga masakan pula adalah berdasarkan berat belut yang telah ditimbang. Antara menu masakan berasaskan belut adalah seperti sup belut, belut goreng pedas, belut goreng kunyit dan pelbagai hidangan lain.

Sup Belut

Imej via openrice

 

Rasa isi belut ini seakan-akan isi ayam dan ia tidak berbau hanyir. Pelanggan yang datang ke restoran ini pasti mencuba sup belut yang dikatakan antara menu rare yang sering menjadi pilihan para pelanggan.

Selain nasi lemak ayam kampung dan juga hidangan belut, restoran ini turut menyajikan masakan panas lain yang berunsurkan masakan dari Thailand seperti tomyam, sup pedas, siakap stim dan bermacam – macam lagi. Jangan tak tahu, restoran ini turut menyediakan hidangan makanan Barat yang juga sedap rasanya.

Maskaan Ala Thai

Imej via foodadvisor

Para pelanggan semakin ramai apabila menjelang lewat malam. Malah, kelihatan tempat duduk agak penuh dengan kunjungan para pelanggan. Namun, jangan khuatir kerana tempat duduk biasanya mencukupi serta dapat menampung jumlah kehadiran para pelanggan yang datang silih berganti.

Kehadiran pelanggan adalah agak ramai jika menjelang cuti perayaan, atau pun cuti hujung minggu kerana rata – rata para pelanggan akan menjamu selera di sini setelah puas bersiar – siar di sekitar bandar Ipoh yang mempunyai pelbagai tarikan yang tersendiri.

Harga makanan di restoran ini adalah sangat berpatutan dan sangat berbaloi.

Pulut Mangga

Imej via myselera

Restoran ini dibuka setiap hari bermula jam 3.30 petang hingga jam 2.00 pagi. Pastikan anda menikmati hidangan pencuci mulut yang disediakan seperti bubur manis yang terdiri dari kacang hijau bubur sagu, pengat pisang madu lebah, bubur pulut hitam, bubur jagung, bubur chaca dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan juga pulut mangga pasti dinikmati sebelum pulang.

Alamat : Nasi Lemak Ayam Kampung, No 43/45 Jalan Ali Pitchay, Ipoh, Perak

 

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.