Bukan sahaja orang Utara yang menggemari menu ini, kami yakin seantero Malaysia, tidak mengira negeri atau bangsa turut menggilai makanan ini. Hidangannya sahaja cukup meriah – nasi dan lauknya yang banyak dan kuah yang melimpah-limpah hingga ke luar pinggan. Mengenyangkan dan cukup berbaloi, itulah Nasi Kandar!

Bagi yang sudah lama mengidam Nasi Kandar dan masih tercari-cari gerai manakah yang menghidangkan Nasi Kandar yang terbaik, kami tahu tempat apa yang patut anda tuju! Nasi Lan Peruda yang bertempat di Alor Setar, Kedah ialah pilihan yang cocok buat anda yang mahu makan sarapan atau makanan tengahari yang mengenyangkan!

Nasi Lan Peruda

Imej via Foursquare

Mula beroperasi sekitar tahun 1982 lagi, tidak keterlaluan jika kami katakan yang Nasi Lan Peruda ini memang ‘legend’ Nasi Kandar di Kedah! Hari demi hari ada sahaja pelanggan yang berpusu-pusu memenuhi gerai Nasi Lan Peruda, sampai ada yang berebut tempat duduk dan tempat parkir! Mari kita lihat apa yang membuatkan gerai Nasi Lan Peruda begitu istimewa sekali!

Nasi Kandar Sambal Sotong

Imej via Instagram

Nasi Kandar Sambal Sotong, Memang Bikin Terliur

Yang istimewanya, restoran ini terletak di sebuah lorong bersebelahan dengan kompleks Peruda. Cukup santai dan ringkas, tapi menunya bukan biasa-biasa! Antara menu yang cukup laku di gerai Nasi Lan Peruda ini ialah nasi kandar yang dihidangkan bersama lauk sambal sotong.

Dihidangkan bersama nasi yang berwarna kuning, sambal sotong yang besar, segar dan pedas, kuah campur yang disediakan menggunakan rempah ratus rahsia yang menjadi pelengkap rasa, menu ini cukup berbaloi dengan harganya. Melihat gambarnya sahaja sudah cukup untuk buat anda terliur, inikan menjamah menu yang enak ini sendiri!

Nasi Kandar Ayam Madu

Imej via Instagram

Nasi Kandar Ayam Madu, Keenakan yang Mengujakan

Kalau gerainya terkenal dengan Nasi Kandar, tidak sahlah jika tiada nasi kandar ayam madu! Nasi Kandar Ayam Madu ini memang terbaik, nasi kuning yang dihidangkan bersama ayam madu yang manis namun tidak pula memuakkan, bersama kuah kari yang melengkapi keenakkannya, memang mengancam! Sepinggan memang tak cukup!

Nasi Kandar Ayam Kunyit

Imej via Foursquare

nasi kandar daging hitam

Imej via Foursquare

Banyak Lagi

Bagi yang teringin merasai menu lain, anda boleh cuba Nasi Kandar berlaukkan ayam kunyit. Ayamnya memang besar, tidak terlalu masin dan cukup rangup, dimakan bersama kuah campur dan nasi kuning, anda pasti berpuas hati. Anda juga boleh mencuba lauk lain seperti udang, kerang, limpa dan yang paling istimewa, daging masak hitam! Dimakan bersama begedil, tauhu, acar dan sayuran pula, sememangnya menambat selera ramai!

Lauk Telur Sotong @ Nasi Lan Peruda

Imej via Instagram

Lauk Telur Sotong di gerai Nasi Lan Peruda di sini boleh juga digunakan sebagai lauk sampingan di samping lauk lain seperti lauk sambal sotong, sotong kembang, daging masak hitam, limpa dan ayam goreng kunyit. Nampak ringkas tapi bila dah rasa, memang boleh bikin ketagih! Rasanya yang cukup segar, dimakan pula besama kuah campur yang melimpah, memang mengenyangkan!

Jika kami senaraikan satu persatu menu yang terbaik di gerai Nasi Lan Kedah ni, sampai Subuh pun tak habis. Kami sarankan anda cuba sendiri nasi kandar di sini. Waktu operasinya ialah seawal jam 7 pagi hingga 2 petang, bertempat di tepi lorong Kompleks Peruda, Jalan Dato’ Wan Mohamad Abdul Saman, di Alor Setar, jom pekena nasi kandar di Nasi Lan Peruda! Dijamin berpuas hati, pasti nak lagi dan lagi!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.