Bajet ketat, namun masih ingin merasai makanan yang enak-enak belaka? Kami faham, zaman sekarang bukan senang mahu mencari gerai yang menghidangkan makanan yang sedap pada harga yang berpatutan, terutamanya jika anda menetap di kawasan bandar.

Di Shah Alam, gerai Nasi Bukit Padang Jawa ini cukup terkenal di kalangan ramai terutamanya pelajar. Anda pasti tertanya-tanya Nasi Bukit ini mendapat namanya daripada mana, bukan? Ianya merupakan gambaran nasi yang banyak yang memenuhi pinggan dan bentuknya seakan-akan bukit, memang unik!

Mungkin nama yang cukup popular di sini ialah satu nama sahaja iaitu Nasi Bukit, namun menu di gerai ini memang berbagai. Kami yakin anda sendiri pasti rambang mata!

Nasi Goreng Bukit @ Gerai Nasi Bukit Padang Jawa

Imej via Foursquare

Nasi Goreng Bukit, Paling Laku & Murah

Sudah semestinya menu yang laku keras di Gerai Nasi Bukit Padang Jawa ialah masakan panas iaitu Nasi Goreng Bukit. Nasi Goreng Bukit ini merupakan nasi goreng biasa yang dihidangkan bersama daging, ayam dan sayur-sayuran yang dicincang.

Nama sahaja nasi goreng biasa tapi sedapnya luar biasa! Tidak terlalu pedas namun tidak pula tawar rasanya. Harga untuk hidangan yang enak dan bersaiz besar ini? Hanya RM5, memang berbaloi!

nasi ayam masak merah @ Gerai Nasi Bukit Padang Jawa

Imej via Foursquare

Nasi Goreng Ayam Merah, Menu Paling Digilai

Menu ini merupakan antara menu yang digemari ramai pelanggan di gerai Nasi Bukit Padang Jawa – Nasi Goreng Ayam Merah! Nasi goreng biasa yang ‘membukit’ yang dihidangkan bersama ayam masak merah ini cukup istimewa.

Bukan sahaja kerana saiz hidangannya yang besar, malah rasanya juga enak. Ayam masak merahnya memang secukup rasa, cukup menyelerakan apabila dinikmati bersama nasi goreng yang panas!

nasi goreng ayam penyet @ Gerai Nasi Bukit Padang Jawa

Imej via Foursquare

ayam penyet @ Nasi Bukit Padang Jawa

Imej via Foursquare

Nasi Goreng Ayam Penyet, Berganda Kekenyangan & Keenakan

Anda pernah makan nasi goreng bersama ayam penyet? Yang saiz hidangannya cukup besar, sampaikan dua orang makan pun belum tentu habis? Haa, di gerai Nasi Bukit Padang Jawa, menu ini sentiasa menjadi sebutan ramai. Agak-agak kenapa ya?

Nasi goreng yang banyak yang dihidangkan bersama ayam penyet yang saiznya besar, tidak hairanlah jika kami katakan yang menu ini berganda kekenyangannya. Dilengkapi bersama sambal ayam penyet yang pedas, memang patutlah menu ini menjadi sebutan!

mee hailam @ Nasi Bukit Padang Jawa

Imej via Foursquare

Banyak Lagi

Bukan nasi goreng sahaja yang dihidangkan di gerai Nasi Bukit Padang Jawa ini, hidangan lain seperti hidangan mi, bihun dan char koey teow turut disajikan di sini. Pilih sahaja yang mana berkenan di hati!

Antara hidangan lain yang turut terkenal di gerai Nasi Bukit Padang Jawa ialah Mi Hailam. Dihidangkan bersama udang dan sotong yang banyak dan kuah mi yang banjir, menu ini pasti bikin anda jatuh cinta!

char koey teow @ gerai Nasi Bukit Padang Jawa

Imej via Foursquare

Anda juga boleh mencuba menu ini – Char Kuey Teow! Menu ini memang tidak asing lagi di negara kita, kami yakin anda yang membaca pasti merupakan antara penggemarnya juga.

Menu yang bersaiz besar ini cukup sesuai dinikmati oleh sesiapa sahaja, terutamanya yang betul-betul lapar – dijamin kenyang! Dihidangkan bersama udang dan sotong yang banyak kuantitinya, kami yakin anda pasti akan berpuas hati setelah mencubanya!

Banyak betul tarikan di gerai Nasi Bukit Padang Jawa ini. Ini baharu sahaja kami senaraikan beberapa menu terbaik, belum lagi kami senaraikan kesemuanya!

Bertempat di Taman Baru, Shah Alam, Selangor dan beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 12.30 tengahari hingga 11 malam, bagi yang sudah mula berminat, cepat-cepatlah terjah gerai Nasi Bukit Padang Jawa ya!

Penulis: Nurul Hani Muhamad Sabri

Nurul Hani Muhamad Sabri

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.