Jika anda menetap di Perlis, pasti nama restoran Mona Ikan Bakar sudah terbiasa anda terdengar, bukan? Restoran ini merupakan antara restoran yang ‘top’ di Kuala Perlis.

Hal ini dapat dibuktikan dengan jumlah pelanggan yang sentiasa ramai di restoran ini walaupun ianya sudah lewat malam. Wah, nampaknya bukan calang-calang restoran!

Jadi, apa yang membuatkan restoran Mona Ikan Bakar ini begitu popular? Hidangan apa yang wajib dicuba jika ke sini? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

Variasi Makanan Laut Yang Segar Disajikan

Walaupun nama restorannya ‘ikan bakar’, bukan ikan sahaja makanan laut yang boleh didapati di restoran ini. Sebaik sahaja melangkah masuk ke restoran ini, anda akan nampak satu kaunter makanan laut.

Di kaunter tersebut, ada berbagai jenis makanan laut yang anda akan jumpa. Sebut sahaja yang terlintas di minda, semuanya ada.

ikan @ mona ikan bakar

Imej via Foursquare

Antara makanan laut yang ada di sini ialah pelbagai jenis ikan seperti siakap, jenahak, gerut dan terubuk. Setiap ikan mempunyai harga yang berbeza mengikut berat masing-masing.

Makanan laut lain seperti sotong, udang, ketam, kerang dan kepah juga turut disediakan. Kesemuanya segar-segar belaka dan baunya juga tidak hanyir.

Sotong Goreng Tepung, Hidangan Yang Kerap Dipesan Ramai

Menu ini memang tak sahlah kalau tiada di restoran yang menyajikan makanan laut. Tidak keterlaluan jika kami katakan yang berkemungkinan ianya juga merupakan makanan kegemaran anda, bukan?

sotong goreng tepung @ mona ikan bakar

Imej via Foursquare

Di Mona Ikan Bakar, sotongnya yang segar memang enak jika dibuat goreng tepung. Ianya rangup dan tepung yang menyelaputi sotong juga tidak banyak dan tidak berminyak.

menu mona ikan bakar

Imej via Foursquare

Hidangan ini lebih enak jika dimakan bersama menu lain seperti ikan siakap stim, tomyam ‘seafood’, lala masak sambal dan kangkung belacan. Bikin terliur betul!

Ikan Bakar Yang Sedap Tak Terhingga

Seperti yang kami katakan tadi, ikan di restoran ini ada berbagai jenis. Kesemuanya berbeza namun kesegaran dijamin sama sahaja. Jika dibuat ikan bakar, pasti lazat!

siakap bakar mona ikan bakar

Imej via Foursquare

Ikan bakar merupakan antara menu yang mendapat pesanan yang banyak di sini. Pilih sahaja ikan yang anda berkenan dan pilih cara masakannya iaitu untuk dibakar.

Ramai pelanggan memuji hidangannya yang bukan sahaja enak, malah ‘juicy’ isinya. Jika dicicah bersama sambal kicap atau air asam, memang akan buat anda rasa nak makan lagi dan lagi!

Banyak Lagi

Jika anda sukakan lala, anda wajib pesan lala masak sambal di restoran ini. Sambalnya yang bukan sahaja pedas malah manis, ditambah pula dengan lala yang segar memang sangat menyelerakan!

Sambal udang petai juga turut mendapat pujian ramai. Udangnya bersaiz sederhana, namun ianya sudah cukup untuk menjamin kekenyangan jika diambil dalam kuantiti yang bersesuaian.

Kesimpulan

Kami yakin anda pasti tak sabar-sabar mahu mencuba makanan laut yang segar-segar belaka di restoran Mona Ikan Bakar, bukan?

Jangan berlengah-lengah lagi, lekas sahaja singgah jika anda berpeluang ke Kuala Perlis. Berikut kami sertakan alamat dan waktu operasi restoran.

Alamat: Kompleks Makanan Laut Kuala Perlis, 02000 Kuala Perlis, Perlis

Waktu Operasi: Setiap hari, 6 petang – 4 pagi

Mencari lebih banyak tempat makan menarik di Perlis? Klik sahaja di link di bawah. Selamat menjamu selera!
Tempat Makan Best Di Perlis

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

    Tinggalkan Komen!

    Langgan Info Kami

    Berkaitan

    .