Suatu tika dahulu, Mohd Fakaruddin memulakan perniagaan secara kecil – kecilan sahaja. Ia bermula dengan perniagaan makanan di gerai yang terdapat di kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM). Semasa menjalankan perniagaan makanan ini, Fakaruddin telah menyimpan hasrat untuk memiliki sebuah premis makanan yang lebih gah.
Bagi memenuhi impian Mohd Fakaruddin, seluruh ahli keluarganya telah memberi sokongan dan dorongan yang padu kepada beliau. Maka terlahirlah Brotherhood & Co. ini yang diusahakan bersama abang serta kakaknya yang dikenali dengan nama Mohd Adam dan juga Nor Shuhada.
Mohd Adam dilantik sebagai pengurus kafe dan operasi, manakala Nur Shuhada pula adalah pengurus kewangan. Fakaruddin cuba menampilkan kelainan dengan menyajikan hidangan nasi ayam berwarna hijau. Kebiasaannya, hidangan nasi ayam berwarna kuning, dan kelainan warna ini sangat menarik perhatian pelanggan.
Keunikan nasi ayam hijau yang terdapat di restoran ini tidak hanya terletak pada warnanya, namun resepi yang digunakan menggunakan ramuan yang istimewa. Oleh sebab itu, rasanya lebih lazat, berbeza serta berkhasiat kerana menggunakan herba tertentu.
Terdapat juga menu hidangan lain yang ditampilkan dengan nama yang agak unik. Antaranya adalah Nasi Goreng Harley Davidson, Nasi Goreng Z800, Nasi Goreng Shiver, Mee Goreng Honda CB, Spaghetti Tuno, Spaghetti Caponord dan Kuew Tiau RSV4.
Menu istimewa dengan nama – nama pelik ini merupakan inspirasi daripada jenama beberapa motosikal berkuasa tinggi. Nama motosikal berkuasa tinggi ini diambil kerana pemilik café ini merupakan peminat motosikal berkuasa tinggi. Menu – menu ini mempunyai keistimewaan serta kelainan yang tersendiri.
Selain dihidangkan dengan menu – menu unik, café hipster ini turut menyajikan menu masakan tempatan seperti mee goreng, bihun goreng, nasi lemak sotong king dan pelbagai jenis nasi goreng citarasa tempatan.
Sebelum membuka café ini, Fakharuddin telah mengadakan beberapa kajian terhadap menu makanan dan minuman serta membuat sedikit eksperimen terhadap masakan sedia ada. Sedikit pengolahan telah dilakukan supaya hidangan tersebut menjadi lebih istimewa untuk disajikan kepada pelanggan.
Café ini yang bersaiz sederhana mampu menampung sehingga kira – kira 150 orang pelanggan pada satu – satu masa. Ia sering menjadi pilihan ramai kerana harga makanan di café sangat berpatutan.
Dekorasi ruang makan yang berkonsep DIY adalah sangat selesa, kemas dan teratur, malah sedap mata memandang. Frame yang menghiasi dinding turut dihiasi dengan kata – kata mutiara yang sangat positif.
Café ini turut tersedia bagi pelanggan yang ingin mengadakan majlis – majlis kecilan seperti sambutan hari jadi, majlis peribadi, reunion dan sebagainya. Ia dibuka setiap hari mulai jam 12.00 tengahari hingga jam 12.00 malam.
Pada hujung minggu, setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad para pelanggan akan dihiburkan dengan dendangan lagu yang dipersembahkan oleh kumpulan “live band”. Pasti anda terhibur melihat persembahan yang diadakan sambil menikmati hidangan yang lazat.
Alamat : Aag-02, Jalan Plumbum Aa7/Aa, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor