Makanan laut merupakan antara sumber makanan manusia yang terdiri dari ikan serta kerangan. Kategori kerangan ini termasuklah spesis ekinoderma, kurstasea dan juga moluska.
Sejak dahulu lagi, mamalia laut seperti ikan lumba – lumba dan ikan paus telah dijadikan sebagai salah satu sumber makanan. Namun, kedua – dua spesis ini kurang mendapat permintaan pada era yang serba moden ini.
Selain ikan serta kerangan, tumbuhan laut juga turut menjadi salah satu sumber yang terdiri daripada rumpai laut serta mikroalga. Kedua jenis tumbuhan ini dimakan secara meluas di seluruh dunia terutama di Asia sebagai hidangan seharian.
Makanan laut merupakan sumber protein yang sangat penting dalam diet. Tekstur serta rasa yang unik berbanging daging dan juga ayam, menjadikan ianya kegemaran ramai.
Namun, makanan laut juga turut dijadikan sebagai makanan ikan untuk ternakan ikan lain mahupun haiwan ladang. Sesetengah makanan laut dijadikan sebagai baja dan menjadi makanan tumbuhan lain pula.
Makanan laut yang telah diproses menjadi produk seperti spirulina dan minyak ikan yang menjadi makanan kesihatan diekstrak daripada rumpai laut. Terdapat juga makanan laut yang dijadikan sebagai sumber makanan kepada ikan – ikan belaan akuarium, atau juga diberikan kepada haiwan peliharaan sebagai makanan. Ia juga turut dijadikan sebagai sumber perindustrian serta dijadikan bahan dalam bidang perubatan.
Sebenarnya makanan laut juga tersenarai sebagai sumber hidangan yang berkhasiat selain buah-buahan dan sayur-sayuran. Amalan memakan hidangan yang berkhasiat boleh menjadikan tona kulit muka lebih cantik dan sekata.
Ia juga dapat menjaga kesihatan tulang serta gigi yang sihat. Menurut Juliette Kellow, perunding diet yang bekerja di sektor perikanan United Kingdom, terdapat beberapa jenis makanan laut yang boleh diamalkan bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
Antara manfaat yang terdapat dalam sumber makanan laut adalah seperti berikut :
Ikan sardin mempunyai nutrisi yang tinggi. Ia mengandungi kandungan Omega 3 yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah, malah turut mampu memperbaiki kelancaran serta kesihatan darah dalam tubuh seseorang.
Ia turut membantu mengekalkan kesihatan jantung supaya dapat bekerja dengan normal. Selain itu, ia elok untuk kesihatan otak kerana Omega 3 ini mampu mempertingkatkan memori serta memperbaiki fungsi otak.
Ikan sardin juga kaya dengan vitamin D yang dapat membantu mengekalkkan kesihatan tulang serta gigi yang sihat. Ia juga penting untuk otot bekerja dengan normal serta dapat memastikan sistem imunisasi berfungsi dengan lebih baik.
Keseluruhan ikan sardin boleh dimakan kerana ia turut mengandungi zat besi, kalsium serta vitamin D yang bagus untuk kesihatan tulang dan gigi. Ikan ini juga yang mengandungi ko-enzim Q10 (CoQ10) turut mampu memberi tenaga kepada tubuh individu yang menjadikan ianya sebagai salah satu hidangan dalam diet seharian.
Scientific Advisory Committee on Nutrition (SACN) mencadangkan agar setiap individu mengambil sebanyak 10 mikrogram (mcg) nutrisi vitamin D setiap hari yang boleh diperolehi daripada ikan sardin. Hidangan ikan sardin bakar seberat 140 gram mampu menyumbang sehingga 71 peratus daripada keperluan harian vitamin D.
Rumput laut merupakan tumbuhan laut yang mengandungi sumber vitamin C, zink serta sodium. Malah, ia juga mengandungi sumber protein yang sangat tinggi.
Kandungan karbohidrat kompleks adalah sebanyak 40% dari berat total rumput laut yang mampu memberi tenaga dengan lebih cepat serta mengadungi indeks glikemik yang rendah. Individu yang menjadikan rumput laut sebagai sumber diet mampu merasa kenyang dengan lebih lama malah sangat bagus untuk pencernaan.
Ketam yang juga dikenali dengan krustasea merupakan salah satu makanan yang tinggi dengan protein serta Omega 3. Ia juga turut mengandungi selenium, kalsium, zink, zat besi serta kromium. Selenium merupakan antioksida serta mineral yang tinggi.
Makanan laut ini kebiasannya jarang dimakan secara kerap. Isinya yang padat dengan kandungan kalsium sangat penting untuk kesihatan tulang serta gigi. Ia juga mengandungi zat besi yang mencipta sel darah merah serta dapat mencegah keletihan.
Hidangan ketam yang diambil sebanyak 140 gram adalah cukup untuk memenuhi keperluan badan. Walaupun ketam memiliki pelbagai manfaat untuk tubuh seseorang, namun ianya tidak boleh diambil secara berlebihan kerana turut mengandungi kolesterol yang tinggi.
Sotong juga mengandungi Omega-3, tembaga, zink, vitamin B serta sodium. Ia juga merupakan sumber protein yang baik untuk tubuh manusia.
Kandungan tembaga yang terdapat dalam sotong sangat penting untuk metabolisme, penyerapan, penyimpanan serta pembentukan semula sel darah merah. Vitamin B yang tinggi pula dapat membantu fosfur serta kalsium bagi kesihatan tulang dan juga gigi.
Tiram mengandungi asid amino yang membantu mempertingkatkan mood serta dapat mengurangkan stress seseorang. Ia juga mengandungi vitamin A, C dan B12 yang bagus serta penting dalam memberikan sumber tenaga.
Kandungan mineral yang terdapat di dalam tiram dapat meningkatkan kesuburan ovulasi kaum wanita. Selain itu, ia juga dapat membantu sistem ketahanan tubuh badan serta dapat meningkatkan kesihatan jantung.
Tiram juga dapat membantu menurunkan berat badan kerana mempunyai kalori yang rendah serta tinggi dengan protein. Ia juga mempunyai kandungan kalsium yang tinggi dan bagus untuk kesihatan tulang. Selain itu juga, tiram sangat bagus bagi para ibu yang hamil serta menyusui kerana ia dapat meningkatkan fungsi kognitif serta pengembangan bayi dan janin mereka.
Walaubagaimanapun, tiram juga tidak digalakkan diambil secara berlebihan kerana mengandungi jumlah merkuri yang tinggi.
Kerang adalah bagus untuk mereka yang mengalami masalah pada fungsi tiroid kerana ia mengandungi kadar sodium yang tinggi dan merupakan unsur kimia yang sempurna. Kandungan sodium adalah sangat penting untuk penghasilan hormon tirosin.
Ia sangat bagus bagi golongan wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an yang sering berhadapan dengan masalah lelah. Pengambilan kerang adalah sangat bagus untuk mengatasi masalah kekurangan asid folic dan juga vitamin B12.
Selain sodium, kerang juga mengandungi selenium, asid folic, zat besi, vitamin A, B dan juga zink.
Udang antara makanan laut yang tinggi kolesterol namun tetap mengandungi sumber mineral seperti zink, sodium dan selenium. Namun, udang memiliki kandungan lemak yang sangat rendah iaitu sekitar 100 kalori per 100g.
Udang segar tinggi dengan vitamin B12 yang sangat diperlukan oleh tubuh manusia bagi pembahagian sel. Vitamin B12 hanya boleh diperolehi daripada daging serta ikan sahaja.
Udang dapat memberi keseimbangan hormon badan. Bagi yang aktif bersukan, pengambilan udang dapat membantu menghasilkan hormone serta menyeimbangkan jumlah hormon. Ia juga dikatakan dapat membantu mencegah penyakit kanser kerana terdapat kandungan selenium yang dapat mencegah pertumbuhan sel kanser. kandungan selenium dapat diserap dengan baik oleh tubuh kita.
Udang juga boleh mencegah penyakit jantung, diabetes dan juga tekanan darah tinggi. Ia juga mengandungi anti inflamasi.
Ikan salmon merupakan ikan yang tergolong dalam keluarga ikan berlemak seperti ikan makarel, sardin serta hering. Ia antara ikan yang begitu popular di seluruh dunia kerana reputasinya dalam bidang kesihatan sangat bagus.
Isi ikan ini baik untuk kesihatan jantung dan dapat menurunkan berat badan seseorang. Omega 3 merupakan antara manfaat yang boleh anda perolehi dari ikan salmon ini. Satu kajian telah membuktikan bahawa Omega 3 dapat membantu masalah penglihatan yang berkait rapat dengan usia.
Ikan salmon dikatakan dapat menurunkan tekanan darah kerana ia mengandungi asid eicosapentaenic (EPA), asid docosahexaenoic dan omega-3. Salmon juga merupakan sumber lemak sihat yang bagus untuk tubuh kerana ia dapat membantu membakar lemak serta memberi tenaga.
Ikan yang kaya dengan sumber vitamin A, D, E dan K ini juga sangat baik untuk sendi tulang dan otot, mata, makanan minda serta memberi keseimbangan metabolik.
Ikan siakap turut dikenali sebagai ikan kakap putih. Ia merupakan ikan air tawar dan air masin. Ikan siakap merupakan ikan pemangsa.
Selain ikan salmon, ikan siakap yang berisi putih juga mengandungi Omega 3 yang baik untuk kesihatan. Ia kaya dengan fosforus serta selenium yang juga menyumbang kepada pengambilan potassium.
Ikan siakap juga mengandungi vitamin B1 yang sukar ditemui dalam ikan lain. Kandungan vitamin B1 ini penting kepada sistem saraf dan juga dapat membantu sistem jantung berfungsi dengan normal. Ia dapat membantu menguatkan jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan.
Kandungan Vitamin A yang terdapat pada ikan siakap juga baik untuk kesihatan mata. Ia dapat mencegah kerosakan mata dan dapat menjaga kesihatan mata agar tetap jernih. Selain itu, pengambilan ikan siakap dalam diet pemakanan dapat mengatasi masalah batu karang kerana ia mampu menghancurkan kristal batu karang yang kemudiannya akan keluar bersama air kencing.
Ikan hering merupakan hidupan laut yang berwarna cerah berkilat dan seakan ikan susu. Ia menjadi makanan utama ikan pemangsa seperti ikan tuna, ikan yu, ikan lumba – lumba, ikan paus dan lain – lain.
Ikan hering mempunyai kandungan merkuri yang sangat minima. Ia juga mempunyai perlbagai khasiat yang sangat bagus untuk tubuh manusia.
Ikan hering mengandungi kandungan vitamin D yang tinggi. Hidangan seberat 140 gram dapat menyumbang sebanyak dua kali ganda vitamin D. Ia turut mengandungi nutrisi lain seperti fosforus yang baik untuk tulang dan gigi yang sihat.
Selain itu, ikan hering juga mengandungi protein, iodin, Omega-3, potassium serta selenium yang baik untuk mata, jantung serta otak.
Kupang turut dikenali sebagai siput sudu merupakan makanan laut yang begitu popular di kalangan masyarakat Malaysia. Ia memiliki dua keping cengkerang yang seakan sudu dan berwarna hijau berlumut.
Kupang semakin mudah didapati di pasar – pasar basah dan juga pasaraya. Ia mengandungi zink, selenium dan zat besi. Selain itu, ia juga kaya dengan vitamin B2 dan vitamin B12, tembaga, iodin, fosforus serta Omega 3.
Ia juga dikatakan mempunyai kandungan kalsium yang tinggi. Kandungan kalsium yang tinggi berupaya meningkatkan protein yang membentuk rawan. Kupang dapat mengurangkan risiko serta boleh menyembukan penyakit sendiri, gout serta radang sendi yang haus akibat kecederaan dan sebagainya.
Kupang tinggi dengan kandungan kalsium. Khasiat ini berupaya meningkatkan protein yang membentuk rawan. Ia dapat mengurangkan risiko dan boleh menyembuh penyakit sendi (arthritis), gout serta radang sendi yang sudah haus akibat kecederaan dan kecacatan yang diwarisi.
Obor – obor merupakan makanan laut yang seakan jeli. Ia merupakan haiwan laut yang berbisa dan beracun namun boleh dijadikan sebagai hidangan. Ia antara makanan popular di kalangan penduduk Asia.
Obor – obor ini boleh dijeruk dengan perahan limau dan menjadi makanan tradisi sesetengah masyarakat dan boleh dimakan bersama nasi. Walaubagaimanapun, sebelum ianya boleh dijadikan sebagai hidangan, racun atau bisanya perlu dibuang terlebih dahulu.
Pengambilan obor – obor sebagai hidangan dikatakan boleh mencegah asma, mencegah penyakit kardiovaskular, mengurangkan risiko demensia, keradangan serta diabetes. Namun, pengambilan obor – obor sebagai hidangan perlu diambil secara sederhana sahaja.
Belangkas merupakan hidupan laut yang mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ia berasal dari keluarga Lumulidae mudah ditangkap di tepian pantai kerana ianya tidak menggigit.
Isi dan dagingnya boleh dimakan dan dimasak dengan pelbagai jenis resepi. Namun, selain dijadikan sebagai hidangan, belangkas dikatakan sangat tinggi nilainya dalam bidang perubatan.
Darah belangkas yang berwarna biru sangat bernilai. Ini adalah kerana terdapatnya agen pembekuan khas darah dalam darah belangkas. Kandungan ini membolehkan para saintis mencipta satu ramuan yang dipanggil Limulus amebocyte lysate atau singkatannya LAL.
LAL digunakan bagi memastikan sesuatu vaksin atau alat perubatan tidak dicemari dengan bakteria E-Coli dan salmonella. Selain itu juga, belangkas mempunyai khasiat lain seperti dapat menghilangkan virus dan bakteria dalam tubuh, mengurangkan berat dan menghapuskan lemak serta dapat mengelakkan gatal – gatal badan.
Kulit belangkas dikatakan mempunyai kandungan kitin yang tinggi berbanding udang, ketam dan sotong. Kitin merupakan bahan mentah yang menghasilkan chitosan iaitu makanan untuk diet atau menurunkan berat badan.
Sumber makanan laut juga memiliki pelbagai manfaat yang boleh memberi kebaikan kepada tubuh manusia. Walaubagaimanapun, adalah tidak disarankan seseorang individu mengambil makanan laut secara berlebihan. Ini dikhuatiri ia akan memberi impak negatif terhadap kesihatan tubuh badan seseorang. Oleh itu, anda hanya perlu mengambil makanan laut mengikut kuantiti yang sepatutnya sahaja.