Ada ke kuih simple tiga bahan? Jangan terkejut kerana sememangnya banyak resepi kuih yang menggunakan tiga bahan sahaja.

Sekiranya anda kesuntukan masa atau bajet tetapi mahukan kuih-muih yang sedap, tengok sahaja resepi yang kami kongsikan ini dari Facebook. Mana tahu dapat inspirasi untuk dijadikan sarapan atau minum petang.

Nama pun kuih simple tiga bahan. Sudah tentu cara penyediaannya juga mudah dan boleh dihasilkan dalam masa yang singkat. Jom cuba resepi di bawah!

Lempeng

Kuih tradisi ini sedap dicicah bersama sambal tumis, gula merah, kuah kari mahupun kuah kacang. Resepi yang dikongsikan oleh Muliyana Suhud ini hanya menggunakan tiga bahan utama sahaja dan tidak menggunakan telur. Sukatan di bawah dapat menghasilkan 9 hingga 10 keping lemping.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 cawan air
  • 5 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu teh garam

Cara penyediaan:

  1. Satukan semua bahan dalam pengisar dan kisar sehingga betul-betul sebati kira-kira 3 hingga 5 minit.
  2. Sediakan kuali dan letak satu sudu minyak masak dan sekatakan ia dalam kuali.
  3. Ambil dua senduk kecil adunan dan tebarkan di atas kuali.
  4. Balik-balikkan lempeng dan apabila sudah kekuningan, bolehlah diangkat.
  5. Siap untuk dimakan.

Cucur Manis

Resepi ini juga mudah dan sangat sesuai untuk dijadikan hidangan minum petang bersama teh mahupun kopi. Hanya tiga langkah mudah, anda dapat menghasilkan cucur manis yang sedap. Jom cuba resepi yang dikongsikan oleh Nur Al-Huda di Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cwn tepung gandum tanpa peluntur
  • 2 cwn air panas
  • 3 sdb gula
  • Secubit garam pink

Cara penyediaan:

1. Gaul semua bahan dengan senduk sehingga rata. Hati-hati kerana menggunakan air panas.

2. Sapu minyak masak di tapak tangan untuk bulatkan adunan sebelum digoreng.

3. Goreng sehingga keemasan dan boleh dihidangkan.

Cekodok Pisang

Rossita Omar berkongsikan resepi cekodok pisang. Jika dilihat pada gambar, cekodok yang dihasilkan sangat gebu dan elok terbentuk bulat. Antara tips yang dikongsikannya sewaktu menggoreng adalah menggunakan api yang besar. Jika tidak adunan akan menyerap minyak dan cekodok tidak garing.

Bahan-bahan:

  • 1 sisir pisang lemak manis ( Pisang emas atau pisang berangan)
  • Tepung gandum (Saya guna jenama Baker Choice)
  • ½ sudu kepci soda bikarbonat

Cara penyediaan:

  1. Campur kesemua bahan di atas kecuali tepung gandum bersama 1 sudu KFC garam halus dan 2 sudu besar gula pasir. Mix atau lenyekkan menggunakan food processor atau tangan.
  2. Masukkan tepung gandum dengan sukatan tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat.
  3. Apabila hendak menggoreng, basahkan jari dan cedok adunan menggunakan empat jari ke dalam kuali. Jika adunan sudah mula lekat pada jari, ulang langkah ini sehingga adunan habis digoreng.
  4. Goreng sehingga masak.

Penyaram 

Kuih asli dari Sarawak ini sedap dimakan sewaktu panas. Tekstur yang rangup di bahagian tepi dan lembut di dalam memang syok apabila makan. Rupanya ada cara memasak kuih ini dengan mudah dan menggunakan tiga bahan. Tak percaya? Tengok resepi milik Nur Safura yang menggunakan sukatan gelas.

Bahan-bahan:

  • 2 gelas tepung gandum
  • 2 gelas tepung beras
  • 2 gelas gula apong

Cara penyediaan:

  1. Campur kesemua bahan-bahan bersama dua gelas air masak serta sedikit gula putih (optional) lalu gaul menggunakan senduk kayu.
  2. Masukkan dalam pengisar dan kisar sampai halus lalu simpan di dalam peti sejuk semalaman.
  3. Goreng dengan api sederhana besar. Gunakan kuali kecil jika mahu penyaram terbentuk comel.

Kek Milo

Sesekali buat manisan untuk anak-anak pasti mereka seronok. Apa kata cuba resepi kek Milo yang dikongsikan oleh Noriza Awang Hamat di Facebook. Bukan sahaja mudah, namun mengambil masa yang sekejap saja untuk siap. Buat bekalan pagi ke sekolah juga pasti sempat. Namun perlu ingat, sewaktu mengukus pastikan air tidak menitik pada kek kerana kek akan tidak gebu dan menjadi bantat.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan Milo
  • 4 biji telur
  • 2 sudu susu pekat

Cara penyediaan:

  1. Kisar semua bahan dan kukus selama satu jam.
  2. Semasa mengukus, tutup adunan dengan penutup mangkuk kaca agar air tidak menitik di atas adunan. Kemudian tutup pengukus dengan penutupnya. Dengan cara ini, anda tidak perlu membalut penutup pengukus dengan kain.

Bahulu

Jangan terkejut kerana memang ada resepi bahulu yang hanya menggunakan tiga bahan sahaja. Ikuti resepi dari Azlin Fazlina untuk mendapatkan tekstur bahulu yang rangup di luar dan lembut di dalam.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan telor (5 biji)
  • 1 cawan gula
  • Tepung gandum (ayak dan boleh disangai)

Cara penyediaan:

  1. Panaskan acuan bahulu hingga betul-betul panas.
  2. Pukul telor dengan gula sehingga kembang.
  3. Apabila sudah kembang, boleh bancuh dengan tepung yang sudah diayak.
  4. Sapu acuan dengan minyak dan boleh masukkan bancuhan tadi.
  5. Bakar pada suhu 200° dalam 10 minit mengikut pada oven masing-masing.

Tips:

  1. Semasa bancuh tepung dengan telor, pastikan adunan tidak terlalu pekat kerana kuih akan menjadi keras.
  2. Adunan telor dengan gula perlu kerap dikacau. Sekali nak bancuh sekali pukul.
  3. Basuh dan lap telor sehingga kering sebelum pecahkannya.
  4. Acuan mesti betul-betul panas, jika tidak adunan akan melekat pada acuan.
  5. Sukatan telor dengan gula kena sama banyak.

Apam Polkadot

Kuih simple tiga bahan utama yang ini juga mudah untuk dibuat. Anda boleh membuat mengikut berapa warna yang anda suka. Bancuhan yang dibuat oleh Nitaharry ini mampu menghasilkan 20 biji atau lebih apam polkadot mengikut saiz acuan.

Bahan-bahan:

  • 250g tepung sponge mix
  • 3 biji telur size A
  • Esen vanilla

Cara penyediaan:

  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam mixer. Putar hingga adunan menjadi putih gebu
  2. Bahagi adunan mengikut kadar warna yang anda mahukan. Masukkan pewarna dan kacau sebati. Masukkan ke dalam acuan.
  3. Kukus selama 10 minit.

Dangai Kukus

Nampak sahaja susah untuk membuat dangai kukus, rupa-rupanya kuih simple tiga bahan ini boleh dihasilkan setengah jam sahaja. Bagi penggemar kuih manis yang lain daripada lain, anda boleh cuba resepi dari Anie Japri di bawah.

Bahan-bahan:

  • 3 cwn kelapa parut putih
  • 1 cwn tepung pulut
  • Gula merah @ gula melaka secukupnya

Cara penyediaan:

  1. Gaul sebati kelapa parut, tepung pulut dan sedikit garam.
  2. Sediakan acuan lompang (acuan tidak perlu sapu minyak).
  3. Sudukan adunan tepung tadi ke dalam acuan. Tekan pada bahagian tengah tepung dan masukkan gula merah atau gula melaka.
  4. Sediakan periuk kukus, masukkan daun pandan di dalam air kukusan untuk aroma.
  5. Kukus adunan selama 15 hingga 20 minit.

Putu Lompang

Ada yang memanggil kuih ini sebagai putu piring dan kuih ini sangat terkenal di Perak. Lazimnya terdapat dua inti yang digunakan samaada inti kelapa atau gula melaka. Namun resepi ini mencampurkan keduanya. Buat putu dengan bentuk yang nipis lebih sedap dan mudah dikukus. Resepi ini dikongsikan oleh Eiriya Azira.

Bahan-bahan:

  • Kelapa
  • Tepung beras
  • Gula melaka

Cara penyediaan:

  1. Masak tepung beras tanpa minyak atau sangai. Jangan sangai sampai hangit.
  2. Hancurkan atau parutkan gula melaka sampai hancur. Tumbuk lebih mudah.
  3. Masak air bercampur daun pandan agar lebih wangi.
  4. Apabila tepung yang sudah disangai sejuk, gaulkan bersama kelapa.
  5. Setelah gaul, letak sedikit garam. Renjis sedikit air panas yang telah dijerang bersama daun pandan tadi ke dalam tepung yang digaul bersama kelapa parut. Renjis dan gaul sampai jadi serbuk roti.
  6. Guna acuan lompang dan sapu sedikit minyak.
  7. Ambil sedikit tepung tadi dan masukkan ke dalam acuan. Tekan sedikit dan letak gula melaka. Letak tepung semula di atas gula melaka untuk tutup gula tersebut dan tekan dengan padat.
  8. Kukus selama 3 atau 4 minit lalu terbalikkan acuan tdalam 2 atau 3 minit.  
  9. Setelah masak, angkatkan dari acuan.

Kuih Pintal

Menu ini juga sesuai untuk hidangan petang. Paling penting, ia bebas gluten. Jika ada yang tidak tahu, kuih pintal ini rangup dan isi dalamnya kosong. Tips untuk mendapatkan tekstur seperti ini adalah goreng dengan api yang kecil sehingga warna berubah coklat. Ikuti resepi dari Yaya Ismail.

Bahan-bahan:

  • 1 sudu kecil brown sugar
  • 1 biji telur ayam kampung
  • 1/2 cup tepung pulut (agak-agak kalau tak cukup boleh tambah sikit-sikit)

Cara penyediaan:

1. Pukul gula dengan telur. Whisk lebih mudah.

2. Masukkan tepung pulut sedikit-sedikit sampai jadi doh. Jangan terlebih tepung nanti keras dan tidak boleh lipat liuk. Kalau terkeras sangat, renjis-renjis dengan air dan uli semula.

3. Uli, lipat dan gulung mengikut bentuk yang anda mahu.

4. Goreng dengan api kecil.

5. Angkat dan toskan.

6. Jika mahu lebih sedap, taburkan cinnamon sugar.

Cara penyediaan cinnamon sugar:

  • 1/4 sudu teh brown sugar dikisar dengan 1 sudu teh ceylon cinnamon.

Pelbagai pilihan kuih simple tiga bahan yang boleh anda cuba di rumah. Kesemuanya dapat dihasilkan dengan cepat. Walaupun hanya tiga bahan, namun rasa setiap kuih memang memuaskan.

Kebanyakan bahan yang digunakan juga merupakan bahan asas yang sememangnya ada di rumah. Sudah ada resepi yang menarik tumpuan anda? Jom cubanya sekarang!

Kami juga menulis pelbagai lagi resepi menarik. Jika anda mencari resepi untuk minum petang, jom cuba resepi biskut kelapa rangup, pisang goreng cheese dan resepi coklat chips.

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.