Kisah Kelapa Leleh Kampor

Nama gerai Kelapa Leleh Kampor sangat mengujakan terutamanya bagi masyarakat negeri Perak. Kedai ini tercetus dari kisah seorang jururawat yang pernah bertugas di Arab Saudi pulang ke kampung halaman demi meneruskan impian dan kecintaannya terhadap bidang perniagaan serta meneruskan legasi keluarga lalu terhasillah gerai Kelapa Leleh Kampor ini.

Gerai ini terletak di Gerai Pertanian Jalan Kampar dan berhampiran dengan Masjid An – Nur Kampar serta gerai berhampiran susun ke Teluk Intan.

Gerai ini menjadi semakin terkenal sebaik sahaja kuasa viral diperluaskan oleh netizen. Pada permulaan perniagaan, gerai ini hanya mampu menjual sebanyak 30 biji kelapa sehari dan ia meningkat kepada 200 biji sehari setelah semakin popular.

Kelapa Leleh

Imej via cari

Tarikan Kelapa Leleh Kampor

Agak – agak apa yang menarik sangat dengan Kelapa Leleh Kampor ini ? Sebenarnya, menu utama di sini adalah ais kacang bersama kelapa pandan disajikan bersama ais krim pelbagai perisa dan dihidangkan pula di dalam tempurung kelapa menjadi daya penarik orang ramai untuk mencubanya.

Antara 14 menu yang sering menjadi permintaan ramai ialah Kelapa Leleh Jumbo, Cendol Kelapa Leleh, ABC Kelapa Leleh, Bunnana Split Leleh, Bingsu Strawberry, Coconut Oreo Leleh, Fruity Famafest Special, Mango Boom, Bimbo, Ice Bucket, Chocolate Tower,  Burger Aiskrim Leleh, Vanila Karamel dan banyak lagi pilihan yang boleh di cuba.

Kelapa Leleh

Imej via cari

Menu Terbaru Yang Unik

Menu terbaru yang telah diilhamkan sendiri oleh pemilik kedai ini adalah Nasi Ole Bali Lambak, Western Lambak, Mee Udang Lebor, Tomyam Talam Lambak dan banyak lagi menu tambahan sebagai daya tarikan ke gerai ini selain kelapa leleh.

Anda juga boleh mencuba menu unik yang terdapat di sini iaitu Rojak Buah Leleh yang dihidangkan dalam kelapa lengkap bersama isi kelapa segar dan juga taburan keropok ikan.

Lempeng kelapa, mee rebus, laksa telur goreng dan juga pasembor antara lain yang turut dijual di sini.

Western Kelapa Leleh

Imej via menarikdi

Viral dan Menjadi Sebutan

Sejak menjadi viral di ruangan media social, gerai ini sering diserbu para pelanggan sehingga tidak dapat menampung kehendak pelanggan pada satu – satu masa kerana kehabisan stok kelapa.

Jika anda ingin mencuba kelapa leleh di sini, anda harus tiba awal supaya tidak pulang dengan kecewa.

Tambahan pula sekiranya terdapat cuti umum, maka gerai ini sentiasa dipenuhi para pelanggan terutamanya yang datang dari jauh.

Pelanggan juga digalakkan untuk mendapatkan maklumat di Facebook Kelapa Leleh Kampor untuk mendapatkan sebarang makluman terkini.

Waktu Operasi

Kelapa Leleh Kampor ini dibuka mulai hari Rabu hingga Ahad sahaja dan tutup pada hari Isnin dan Selasa mulai jam 11.00 pagi hingga jam 10.00 malam.

Bagi hidangan makanan Barat, ia hanya bermula pada jam 4.00 petang hingga jam 11.00 malam.

Saiz makanan yang disajikan di sini agak besar dan cukup mengenyangkan. Sebelum anda datang, pastikan anda benar – benar lapar untuk menghabiskan hidangan yang dipesan.

Alamat : No.1 Gerai Pertanian Jalan Iskandar Kampar, Kampung Baharin Pinji, 31900 Kampar, Perak   

Penulis: Harwati Rukari

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.