Ada yang mencari kedai nasi lemak sedap di Penang? Kini nasi lemak bukan sahaja menjadi pilihan menu untuk sarapan, malah ada juga yang mencari menu terkenal di Malaysia ini untuk dijadikan makan tengah hari dan makan malam.
Jika dahulu nasi lemak dihidangkan dengan sambal, ikan bilis, timun dan telur rebus, kini nasi lemak kian popular dengan pelbagai jenis lauk seperti sambal kerang, paru berlada, sambal sotong dan sebagainya. Banyak pilihan lauk yang membuatkan lebih ramai yang ingin memakannya tidak kira waktu!
Di Pulau Mutiara juga ada banyak pilihan kedai nasi lemak sedap di Penang. Berikut kami senaraikan kedai yang mendapat perhatian ramai dan yang pasti sedap! Jom cuba antara kedai nasi lemak di Penang tersebut!
Ali Nasi Lemak Daun Pisang sangat terkenal di Pulau Pinang. Mereka yang suka akan sambal nasi lemak yang pedas, anda pasti puas menikmatinya di sini. Apa yang lebih unik, nasi lemak dibungkus di dalam daun pisang, mengimbau nasi lemak zaman dahulu.
Kuantiti nasi lemak banyak dan sambal banjir, memang terliur. Pelbagai pilihan nasi lemak yang ada termasuklah nasi lemak ikan, nasi lemak ikan masin, nasi lemak bilis telur dan nasi lemak sotong.
Ali Nasi Lemak Daun Pisang menjadi port nasi lemak kegemaran ramai tidak kira kaum. Sebungkus hanya berharga RM 3 sahaja, memang murah!
Alamat: Beach ST, Georgetown, 10200 George Town, Penang
Waktu operasi: Isnin-Sabtu (7.00 am-2.00 pm)
Nasi Lemak Cik Sue merupakan port nasi lemak viral yang sudah mula menjual menu kegemaran rakyat Malaysia ini dari 2016. Tak kira anda datang pukul berapa, nasi lemak tetap ada!
Nasi lemak ayam goreng dan nasi lemak paru sambal antara yang paling laris. Sambal pekat, lengkap dengan timun, sambal bilis, kacang dan telur, ayam goreng sangat rangup dan lembut di dalam.
Sandwich Croissant, Egg Muffin dan Salmon Bagel adalah menu lain yang pasti puas dinikmati selepas makan nasi lemak. Ada juga nasi kerabu, lontong dan nasi kerabu harimau menangis. Patutlah ramai yang suka makan di sini, banyak pilihan menu tak kira daripada menu tempatan mahupun menu barat,
Alamat: 195, Jalan Dato Kramat, Georgetown, 10150 Pulau Pinang
Waktu operasi: Khamis-Selasa (7.00 am-2.00 pm | 6.00 pm-12.00 pm)
Nasi Lemak Nippon juga terkenal dengan keenakan nasi dan sambalnya di Penang. Gerai ini dinamakan nasi lemak Nippon kerana lokasinya berada di hadapan kilang Nippon di Bayan Lepas.
Kedai nasi lemak ini dibuka bermula 6.30 petang. Anda bernasib baik jika anda tidak perlu beratur untuk mendapatkan nasi lemak ini. Aneka lauk disusun di atas meja dan kebanyakannya berasaskan sambal yang pekat! Nasi lemak biasa dijual serendah RM 3 sahaja manakala lauk-pauk lain dijual serendah RM 3.
Alamat: Solok Bayan Lepas, Bayan Lepas Industrial Park, 11900 Bayan Lepas, Penang.
Waktu operasi: Isnin-Jumaat (6.30 pm-10.00 pm)
Terletak di Uptown Perda Bukit Mertajam, nasi lemak di sini dihidangkan di atas daun pisang. Nasi lemak biasa dihidangkan bersama telur rebus, ikan bilis, timun dan sambal. Pelanggan boleh menambah ayam goreng berempah dan harga keseluruhannya bawah RM 9!
Saiz ayam besar dan menyenyangkan. Sambal nasi lemak pula mempunyai rasa manis dan pedas yang seimbang. Rendang daging, sambal soto dan sambal kerang antara lauk yang paling laris.
Alamat: 27, Lorong Perda Utama 6, Bandar Baru Perda, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Waktu operasi: Ahad-Jumaat (4.30 pm-11.30 pm)
Orang kepala batas pasti tahu dimana port nasi lemak paling sedap di sini. Nasi lemak di sini dijual dalam bentuk set seperti nasi lemak sambal paru dan nasi lemak ayam berempah. Paling unik, ada nasi lemak sotong celup tepung, nasi lemak udang celup tepung dan nasi lemak chicken chop. Jika nak cuba kesemua jenis lauk, anda boleh pilih nasi lemak set kahwin.
Selain nasi lemak, lontong dan mi kari adalah menu best seller pilihan ramai. Jika ada yang mempunyai selera terhadap menu barat, anda boleh menikmati chicken chop, meatball, spaghetti bolognese dan crispy chicken sandwich sebagai sarapan.
Permandangan di sini sangat cantik kerana berada di tepi sawah. Datang waktu pagi untuk sarapan lebih nyaman, tenang dan selesa. Sambal makan boleh lihat permandangan yang memukau dan mendengar kicauan burung.
Alamat: Kg Guar Kepayang, Kepala Batas, Penang
Waktu operasi: Khamis-Selasa
Tempat ini pernah tular dengan keenakan nasi lemaknya yang tiada tandingan. Tak ramai yang menjual nasi lemak dibungkus dengan daun pisang. Namun anda boleh dapatkannya di Nasi Lemak Wak Zee.
Dengar cerita sambal nasi lemak di sini paling padu kerana mempunyai rasa yang seimbang. Sambal pekat berwarna merah dan paling best pedas. Nasi dan sambal banyak dihidangkan bersama telur rebus, ikan bilis dan kacang yang banyak.
Nak lebih puas, anda boleh cuba nasi lemak ayam, ikan mahupun udang. Satu bungkus memang tak puas, jadi beli siap-siap kuantiti bersesuaian dengan anda. Harga serendah RM 2 untuk satu bungkus.
Alamat: MS Food Court, Jln Macalister, 10150 George Town, Penang
Waktu operasi: Setiap hari (7.30 am-3.00 pm)
Ada fans kelab bola sepak Liverpool di sini? Tak kiralah anda fans Liverpool, Manchester United mahupun Chelsea, jika ada penggemar nasi lemak, jom datang ke Nasi Lemak Liverpool yang terletak di Georgetown.
Anda boleh dapatkan nasi lemak biasa serendah RM 3 dengan kuantiti yang mengenyangkan. Ada tujuh jenis pilihan sambal yang membuatkan anda pening nak pilih mana satu kerana kesemuanya nampak sedap. Ada ayam masak merah, sambal tahu, sambal sotong dan sambal ikan.
Selain aneka sambal, ramai juga yang makan nasi lemak bersama ayam masak lemak, daging kicap dan kari ikan. Jangan risau, pelbagai masakan panas lain yang turut dijual.
Alamat: 92, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim Jelutong, 11600 George Town, Penang
Waktu operasi: (5.30 pm-11.30 pm)
Warga Penang pasti tahu tentang kedai nasi lemak lejen di Georgetown ini. Nasi lemak ini menjadi juara bukan sahaja di hati penggemar nasi lemak, malah pernah memenangi pertandingan Penang Hawker Masters 2012 dalam kategorinya sendiri.
Nasi Lemak Cili Bilis berada di Medan Selera Persiaran Gurney. Nasi yang dihidangkan lembut kerana telah dikukuskan dan paling penting sambal tak kedekut! Walaupun hanya gerai kecil, namun ramai yang perlu beratur panjang untuk mendapatkannya.
Alamat: Gurney Drive, Georgetown, Pulau Pinang
Waktu operasi: Khamis-Selasa (4.30 pm-11.00 pm)
Teringin nasi lemak pada tengah malam atau lewat pagi? Datang je ke Nasi Lemak 7 Malam. Kenapa dinamakan 7 malam? Kerana kedai nasi lemak ini dibuka 7 malam tanpa henti. Anda boleh menikmati nasi lemak setiap hari pada setiap malam.
Restoran luas, bersih dan selesa. Walaupun ramai orang, pengunjung tetap akan berasa selesa dan tidak padat. Jika mahu ke sini, anda boleh mencarinya dengan nama Mentari Pagi.
Nasi lemak biasa ada dan sudah cukup memuaskan apatahlagi jika anda menambah ayam goreng berempah yang rangup dan juicy. Nak lebih padu, makan bersama sambal paru, sambal sotong atau kerang. Pesan sekali ais kacang, membuatkan tekak anda segar di tengah malam yang sejuk.
Alamat: Jalan Mahkamah, Bayan Lepas, Penang
Waktu operasi: Setiap hari (7.00 pm-5.00 am) | Sabtu (11.30 pm-5.00 am)
Setiap kedai nasi lemak mempunyai keunikan tersendiri termasuklah HH Nasi Lemak Cedok. Keunikannya terletak pada nasi yang terdiri daripada nasi lemak biasa, nasi lemak pandan dan nasi lemuni.
Setiap hari mereka menawarkan lebih 10 jenis lauk dan kebanyakannya terdiri daripada aneka sambal. Buat penggemar sambal tumis petai, disini terdapat beberapa pilihan sambal petai untuk anda makan bersama nasi lemak.
Alamat: Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas
Waktu operasi: Rabu-Sabtu (8.00 am-12.00 pm)
Nak mencari kelainan dalam nasi lemak, anda boleh cuba nasi lemak pandan yang terletak di Balik Pulau. Keunikannya di kedai ini ada pada nasi dan sambalnya. Dua jenis sambal sesuai untuk semua golongan umur kerana ada yang pedas dan tidak pedas.
Penggemar pedas boleh mencuba sambal pedas manakala yang tidak makan pedas boleh memilih sambal manis. Satu lagi kelainan dalam hidangan Nasi Lemak Pandan, anda boleh makan bersama paru masak kicap!
Alamat: Helyda Cafe, Jalan Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang
Waktu operasi: Rabu-Isnin (6.30 am-1.00 pm)
Nasi Lemak Aunty Hasnah memang lejen kerana telah beroperasi lebih 50 tahun. Kedai sangat mudah untuk diakses kerana berada di tepi jalan sahaja. Anda boleh mencarinya bersebelahan kuarters Balai Bomba Jalan Perak.
Paling penting kedai nasi lemak ini halal dan pemiliknya merupakan Chinese-Muslim. Bukan sahaja ada banyak pilihan sambal, malah pelbagai pilihan lauk bergoreng dan kuah kari.
Alamat: Sebelah Kuarters Balai Bomba Jalan Perak, 11600 Jelutong, Pulau Pinang
Waktu operasi: Isnin-Ahad (7.45 am-12.00 pm)
Nasi lemak adalah menu kegemaran rakyat Malaysia yang akan sentiasa menjadi pilihan ramai. Kini anda boleh dapatkannya tidak kira waktu. Malah ada yang menjualnya sehingga larut malam.
Dah jumpa kedai nasi lemak sedap di Penang berdekatan anda? Apa tunggu lagi, jom ajak yang tersayang untuk mulakan misi ‘food hunting’ atau lebih tepat ‘nasi lemak hunting’ di Pulau Mutiara! Selamat menikmati nasi lemak yang sedap!
Apa lagi makanan yang sedap di Penang ya? Jom cuba pasembur Padang Kota, Mafia Kunafa Lebuh Chulia Penang dan Nasi Kandar Kampung Melayu.