Suatu tika dahulu, hidangan kambing bukanlah suatu hidangan yang digemari ramai. Namun, setelah ramai yang mengetahui kebaikan daging kambing dalam diet seharian menjadikan hidangan tersebut semakin popular.
Sehingga hari ini kita akan lihat di serata tempat sudah banyak hidangan kambing disajikan untuk para pelanggan. Dengan pelbagai menu yang menarik, hidangan kambing terus mendapat sambutan ramai.
Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang dewasa, malah ia turut mendapat permintaan dari kalangan remaja dan juga kanak – kanak. Selain hidangan lamb chop yang sangat popular, kambing bakar dan juga nasi goreng kambing turut menjadi kegemaran ramai.
Daging kambing sering dijadikan hidangan lamb chop yang sememangnya sangat popular di kalangan peminat makanan western. Biasanya, lamb chop dimakan bersama sos lada hitam atau sos cendawan, kentang goreng dan juga coleslaw.
Warung Imam Muda ini pula telah menampilkan sedikit kelainan dalam menu hidangannya. Yang pasti, hidangan ini jarang didapati di restoran lain. Hidangan yang menjadi permintaan ramai di sini adalah Nasi Daging Kambing Bakar yang sememangnya lain dari yang lain.
Warung ini dikenali sebagai Warung Imam Muda bukan kerana ia dimiliki oleh Imam Muda Rancangan TV Realiti. Ia sebenarnya kepunyaan seorang Imam Muda di kawasan ini. Menekankan konsep islamik dalam menjalankan perniagaan warung ini serta setiap pekerja mengenakan pakaian menutup aurat yang bersesuaian.
Nasi Daging Kambing Bakar ini antara menu hangat yang sering diperkatakan oleh para pelanggan yang menjamu selera di sini. Hidangan nasi ini dihidangkan bersama semangkuk sup dan juga daging kambing yang telah dibakar. Daging kambing tersebut telah diperap terlebih dahulu untuk menghasilkan rasa yang begitu enak sekali.
Kambing yang telah dibakar disirami dengan sos lada hitam yang tidak terlalu pekat dan tidak terlalu pedas. Namun, mempunyai stigma rasa yang tersendiri dan tidak mengecewakan.
Selain Nasi Daging Kambing Bakar, terdapat juga menu lain seperti Nasi Ayam Penyet, Mee Kuah, Mee @ Bihun Sup, Soto dan banyak lagi pilihan yang mesti anda cuba.
Saiz hidangan pula agak banyak dan sudah tentu mengenyangkan perut yang sedang kelaparan. Tekstur daging kambing yang dibakar tidak keras dan tidak kering. Ia masih tetap berjus dan mudah untuk meleraikan isi dan tulang.
Sup yang dihidangkan dalam mangkuk kecil sebagai penambah rasa untuk makan bersama nasi dan daging kambing. Harga hidangan Nasi Daging Kambing Bakar ini cukup berpatutan iaitu hanya RM 22.50 untuk dua set nasi bersama air limau dan teh o ais limau.
Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 8.00 pagi hingga jam 3.00 petang. Terdapat dua sesi perniagaan iaitu bermula jam 8.00 pagi hingga jam 11.30 pagi untuk sarapan pagi. Sesi kedua bermula jam 11.30 pagi hingga jam 3.00 petang untuk hidangan makan tengahari.
Ruang parkir yang cukup luas disediakan buat para pelanggan dan anda tidak perlu risau untuk meletakkan kenderaan di kawasan yang disediakan.
Alamat : Jalan Haji Hussin, Kampung Jalan Kebun, 40460 Shah Alam, Selangor