Nama-nama terkenal seperti penyanyi dan pelakon sudah tentu dikenali ramai di serata negara. Ia juga merupakan peluang yang baik bagi mereka untuk memulakan perniagaan kerana populariti yang sedia ada. Ramai juga artis-artis di Malaysia yang mencuba nasib dalam dunia perniagaan termasuklah dalam bidang kulinari. Berapa banyak restoran milik selebriti yang anda pernah cuba?

 

  1. Born & Bread – Diana Danielle

Born & Bread

Imej dari gempak.com & Facebook Born & Bread

Membuka kafe merupakan impian Diana Danielle sejak dulu lagi. Kini hasratnya tercapai dengan adanya Born & Bread. Kafe ini terkenal dengan pasta dan sandwichnya yang pelbagai antaranya Bahn Mi Sandwich & Salt Cured Beef Sandwich. Pasta seperti Aglio Olio dan vongole juga sentiasa mendapat permintaan tinggi pelanggan.

Alamat : 23, Jalan Larut, 50400, Kuala Lumpur

Waktu Operasi : Selasa hingga Ahad : 9.00 pagi hingga 11.00 malam. Ditutup pada Isnin.

  1. Kidz and Creme – Aaron Aziz

Kidz & Creme

Imej dari sini.com.my

Menariknya tentang restoran ini, ia berkonsepkan ‘kids-friendly’ bagi mencambahkan minat memasak dalam kalangan kanak-kanak. Di sini anda berpeluang untuk sertakan anak 4 hingga 12 tahun ke dalam kelas pastry yang cukup menarik. Restoran ini juga menyediakan ruang untuk anak-anak bermain dan mengenali dunia kulinari dengan lebih dekat lagi. Antara menu wajib cuba dekat sini termasuk mee rebus dan chocolate tartnya yang sangat sedap! Burger, pasta dan aneka kek pun ada.

Alamat : 5 Jalan Setia Dagang U13/AK Sunsuria 7th Avenue Setia Alam

Waktu Operasi : 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam

  1. Laman Grill – Chef Zubir

Laman Grill

mej dari thestar.com.my

Kalau anda peminat Masterchef, inilah peluang anda untuk merasai air tangan juri profesional iaitu Chef Zubir. Chef yang mempunyai kepakaran dalam masakan barat kini menawarkan menu istimewa seperti aneka steak dan pasta. Semua resepi menu diolah oleh Chef Zubir sendiri agar lebih kena dengan cita rasa orang tempatan. Steak yang mendapat sambutan termasuk New Zealand Lamb Cutlet, Turkish Lamb Kebab, dan Sirloin Steak. Bagi yang nak mencuba pelbagai jenis daging, boleh pesan Meat Lover’s Combo Platter. Pasta seperti Carbonara dan Fettucine pun sedap juga.

Alamat : G33, Blok 5 Laman Seri Business Park, persiaran Sukan Seksyen 13, 40000, Shah Alam, Selangor.

Waktu Operasi : 11.00 pagi hingga 11.00 malam

  1. Love Me Seven Days – Elfira Loy

Love Me Seven Days

Imej dari sini.com.my

Cantik betul kafe ini, secantik pemiliknya. Memang lokasi yang sesuai untuk buat apa-apa sambutan dengan orang tersayang. Kafe ini menawarkan menu fusion yang pelbagai antaranya laksa Sarawak dan Wantan Mini Steamboat. Ramai yang kata butter chicken dekat sini sedap. Kalau nak tau, kenalah cuba sendiri!

Alamat : 66-1 Wisma Alam Damai , Alam Damai, 56000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi : 11.00 pagi hingga 11.00 malam

 

  1.  Joe’s Kitchen – Joe Flizzow

Joe's Kitchen

Imej dari tonguechic.comeatdrinkkl.blogspot.com

Bintang hip hop terkenal tanah air ini memang cukup terkenal dengan restoran Joe’s Kitchen. Beliau menyajikan hidangan berkonsepkan Itali terutamanya pasta dan pizza. Antara menu unik yang terdapat di sini ialah ‘Make Your Own Aglio Olio’ di mana pelanggan berpeluang untuk mengolah pasta tersebut sendiri seperti menyertakan cili padi atau isi daging pilihan. Menu lain seperti carbonara dan lasagna pasti memikat rasa pengunjung. Pencuci mulut pana cotta dan brownies juga antara yang paling laris.  Restoran ini agak kecil kerana Joe Flizzow turut mengusahakan kedai gunting rambut yang dinamakan Joe’s Barber Shop. Bolehlah singgah makan dan gunting rambut sekali di tempat yang sama! 

Alamat : 18, Jalan SS 15/8b, Ss 15, 47500 Subang Jaya, Selangor

Waktu Operasi : 12.00 tengah hari hingga 11.00 malam. Ditutup pada setiap hari Jumaat.

  1. Embun Urai – Mila Jirin

Embun Urai

Imej dari sini.com.my

Artis yang seorang ini memang cukup terkenal dalam bidang perniagaan. Tidak cukup dengan perniagaan kelengkapan pengantin, Mila juga mengusahakan restoran yang dinamakan Embun Urai. Restoran ini menghidangkan lauk pauk istimewa Melayu dan Thailand seperti Tomyam Kelapa Muda, Siakap 3 rasa dan Kerabu Mangga. Masakan barat pun ada!

Alamat : 20-1, Jalan Tasik Prima, 5/1, Block B, Prima Bizhub, Taman Tasik Prima, 47150 Puchong

Waktu Operasi : 3.00 petang hingga 12.00 malam

 

  1. Laksa Sarawak Haji Noh – Noh Salleh

Laksa Sarawak Haji Noh

Imej dari Instagram Noh Salleh

Jangan tak tahu, dekat Ampang pun boleh dapat makanan Sarawak tau! Vokalis Hujan, Noh Salleh mengambil kesempatan untuk memperkenalkan menu kebanggaan Sarawak melalui restoran ini seperti Mi Kolok dan Laksa Sarawak. Orang kata laksa sarawak dekat sini memang terbaik! Kuah cukup pekat penuh rasa. Mee Belacan pun special dekat sini! Makanan barat seperti chicken chop dan fish and chip serta menu lain seperti bakso dan mee rebus, bakso dan soto pun ada.

Alamat : 18A, Jalan Kerja Air Lama 1, Ukay Heights, 68000 Ampang, Selangor

Waktu Operasi : Selasa hingga Ahad. 4.00 petang hingga 12.00 tengah malam. Ditutup pada Isnin.

 

  1. Burgerbyte – Zizan Razak

Burgerbyte

Imej dari rotikaya.com

Pelawak dan pelakon Zizan Razak kini ada 11 cawangan Burgerbyte di seluruh Malaysia! Kalau nak tahu, bukan burger saja yang semata-mata dijual di sini. Memang cukup kreatif cara daging burger digunakan di sini. Ada yang dihidangkan bersama pasta dan dijadikan steak. Antara menu wajib cuba di sini antaranya Naked Burger, Garlic Butter with Cheese Burger, dan Bolognese Pasta Beef. Seafood lambak pun dah ada sekarang untuk santapan pelanggan!

Alamat : B32-B, 2, Jalan Taman Dato Senu, Taman Dato Senu, 51000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Waktu Operasi : 5.00 petang hingga 1:00 pagi

 

  1. Dulang Mas Cafe – Wak Doyok & Fizul Nawi

DUlangmas Cafe

Imej dari Instagram Dulangmas Cafe

Tak tahu pula selama ini ikon fesyen hipster, Wak Doyok ada kafe sendiri. Kafe yang dibuka bersama artis Fizul Nawi ini berkonsepkan Thailand. Siap ada pulut mangga dan penkek Krabi yang terkenal. Makanan western pun tak mengecewakan. Jom datang ramai-ramai dan cuba!

Alamat : No 50G, Jalan Plumbum V7/V, Seksyen 7, 4000, Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi : 12.00 tengah hari hingga 2.00 pagi

 

  1. SukaSucre Bistro – Dato Fazley

SukaSucre

Imej dari sini.com.my

Chef Selebriti seorang ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Kemenangannya dalam Masterchef dahulu dijadikan batu loncatan untuk memulakan perniagaan dalam bidang kulinari. Antara menu fusion unik yang boleh didapati di sini antaranya Daging Masak Cili Api Pasta dan Pasta Sambal Minang. Hidangan western dan pencuci mulut seperti macaron dan churros juga mendapat sambutan baik dari pelanggan.

Alamat :  Jalan 2/90, Taman Pertama, Cheras, 56100 Cheras, Kuala Lumpur

Waktu Operasi : 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam

 

Bukan senang nak usahakan kafe dan restoran. Seperti dalam perniagaan lain pasti ada naik turunnya. Ia sedikit sebanyak memberikan imej yang baik kepada artis tanah air yang bekerja keras dan berani mencuba perkara baru. Anda pula jangan lupa singgah di kafe-kafe ini ya! Kalau bernasib baik dapat jumpa dan bergambar dengan tuan kedai!

 

Penulis: Nazirah Hassan

Penulis yang gemar 'travel' dan mencuba tempat makan baru.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.