Ketika perut anda mula berkeroncong, makanan apa yang selalunya terlintas di minda anda? Jika kami sebut tentang masakan kampung, pasti ramai di kalangan pembaca yang mula kecur air liur.

Masakan kampung ini ada beraneka jenis lauk. Cara masakannya jugak memang berbagai. Ada lauk yang bergoreng, dibuat gulai, asam pedas, masak lemak dan bermacam-macam lagi.

Bagi penggemar tegar masakan kampung terutamanya ayam kampung, kami cadangkan anda singgah di Restoran Hassan Ayam Kampung untuk mencuba masakan kampung yang pasti sesuai dengan citarasa anda!

Restoran A Hassan

Imej via Foursquare

Restoran Hassan Ayam Kampung ini sudah beberapa tahun beroperasi. Pemiliknya yang merupakan anak jati Kelantan, Encik Hassan merupakan bekas tukang masak. Restorannya juga ada beberapa cawangan di sekitar KL dan Selangor. Di R&R Awan Besar pun ada!

Lauk-Pauk Berbagai Jenis, Bikin Rambang Mata!

Selalunya bila memilih lauk-pauk di restoran, pasti anda akan pilih lauk yang biasa anda makan. Namun jika anda singgah sahaja ke sini, anda pasti akan rambang mata kerana lauk yang disediakan memang berbagai!

lauk @ restoran hassan

Imej via Foursquare

makan @ restoran hassan ayam kampung

Imej via Foursquare

Sebut sahaja apa yang anda teringin – ayam kampung goreng, daging cincang, sambal sotong, masak lemak ketam, masak lemak siput sedut, semuanya ada! Jika kami senaraikan lauk-pauk di sini pasti panjang berjela.

ayam kampung

Imej via Foursquare

Namun, menu yang menjadi kegemaran ramai pelanggan di sini ialah semestinya ayam kampung goreng. Rata-rata pengunjung memuji ayam kampung yang segar dan digoreng dengan sempurna. Rangup di luar dan segar isinya, anda wajib cuba!

Aneka Ulam-Ulaman, Penambah Selera Makanan

ulam @ restoran hassan

Imej via Foursquare

Bukan sahaja lauk-pauk yang berbagai di restoran ini, ulam-ulaman juga tidak kurang banyaknya. Ulam-ulaman mungkin kelihatan remeh, namun jika ditambah dalam menu anda, pasti akan lebih menyelerakan dan menyihatkan.

ulam kacang @ restoran hassan

Imej via Foursquare

Antara ulam-ulaman yang anda boleh cuba di sini ialah pucuk pagu, kacang botor, jantung pisang dan banyak lagi. Dicicah pula bersama sambal belacan, pasti mantap!

Harga Yang Berpatutan

Jika kita bercakap tentang restoran yang terkenal, pasti kita risaukan harganya yang ‘cekik darah’, bukan? Biasalah, bila sesebuah restoran itu terkenal, pasti harga yang ditawarkan juga mahal-mahal.

Namun, tidak di Restoran Hassan Ayam Kampung ini! Harga yang ditawarkan untuk setiap lauk memang berpatutan dan berbaloi dengan keenakan dan kualitinya. Jika anda pandai memilih lauk-pauk dan ulam-ulaman, pasti dapat harga kurang RM10!

Banyak Lagi

Bukan sahaja makanan tengahari yang dihidangkan, untuk sarapan juga ada makanan yang disediakan. Menu yang menjadi pilihan ramai ialah roti canai yang dicicah bersama kuah kari, dhal atau sambal.

roti canai @ restoran hassan ayam kampung

Imej via Foursquare

Untuk rasa yang lebih enak, campurkan sahaja ketiga-tiga kuah tersebut. Jika dikenakan bersama teh tarik, dijamin mampu membangkitkan mood pagi anda!

Cawangan-Cawangan Restoran

Seperti yang kami katakan tadi, restoran ini ada beberapa cawangan di sekitar KL dan Selangor. Berikut kami sertakan alamat restoran berserta waktu operasi untuk setiap restoran:

1. KL
Alamat: KESAS, 58200 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Setiap hari, 10 pagi – 7 malam

2. Subang Jaya
Alamat: LDP, 47500 Subang Jaya, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 10 pagi – 5 petang

3.Shah Alam
Alamat: Jalan Lawan Pedang 13/27, Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari, 10 pagi – 4:30 petang

4. Kajang
Alamat: No 1, Jalan Pinggiran Putra, Desa Pinggiran Putra, 43000 Kajang, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari, 9 pagi – 4:30 petang

5. Bandar Baru Bangi
Alamat: 16, Jalan 7/7b, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 11 pagi – 6 petang

Kesimpulan

Kepada pembaca yang sudah mula memasang niat untuk mencuba masakan kampung di Restoran Hassan Ayam Kampung ini, lekaslah berbuat demikian sebelum terlepas peluang ya!

Anda juga dinasihatkan agar datang lebih awal kerana dikhuatiri ruang parkir dan ruang dalam restoran penuh. Biar sempit dengan ruang, jangan sempit dengan peluang. Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.