Jika anda pencinta cendol tegar, pasti anda pernah terdengar tentang restoran di Seremban yang cukup terkenal dengan cendolnya ini – Haji Shariff Cendol.
Sekiranya anda bercadang untuk berkunjung ke Seremban, memang rugi jika anda tidak singgah di Haji Shariff Cendol ini. Bukan apa, rata-rata pengunjung di sini pun sanggup datang dari jauh, membuktikan yang cendol di sini bukan calang-calang!
Agak-agak apa yang istimewa di Haji Shariff Cendol ini? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!
Kebanyakan gerai cendol selalunya menyajikan beberapa jenis cendol sahaja. Hal ini pasti bikin anda bosan kerana hari-hari kena hadap cendol biasa dan cendol ‘special’ sahaja, bukan?
Masalah seperti ini tidak akan anda hadapi jika anda singgah di Haji Shariff Cendol. Tapi, akan ada satu masalah baru yang akan timbul – anda akan rambang mata kerana cendol di sini cukup beraneka!
Antara cendol yang disediakan di sini ialah cendol biasa, cendol pulut, cendol kacang, cendol bandung, cendol jagung dan cendol campur. Bagaimana? Teringin mencuba semuanya, bukan?
Walaupun ada beraneka jenis cendol yang disediakan dan sedap-sedap belaka, ada satu jenis cendol yang cukup digilai pelanggan yang pernah mencubanya – cendol pulut!
Agak-agak apa yang membuatkan cendol pulut begitu disukai ya? Menurut pelanggan, cendol di sini tidak terlampau manis, namun ianya kaya dengan pelbagai rasa.
Cendolnya lemak-lemak manis, dan aroma cendol juga cukup harum. Pulutnya pula lembut namun tidak pula lembik. Pendek kata, setiap suapan menjanjikan keenakan cendol yang menakjubkan!
Pada zaman kini, bukan senang mahu mencari restoran yang menawarkan servis yang berkualiti. Kalau makanan sahaja enak namun servis kurang memuaskan, pelanggan pun lari!
Namun, usah gundah! Restoran Haji Shariff Cendol ini memang menawarkan servis yang baik. Hal ini diakui sendiri oleh pelanggan-pelanggan. Jika dibaca ulasan di Internet, kebanyakannya berpuas hati dengan kecekapan pihak restoran!
Dari segi harga pula, harga di sini tidak mencekik darah! Cendol biasa boleh didapati dengan harga RM 1.50 sahaja untuk makan, manakala menu lain juga berharga kurang RM 5. Berbaloi betul!
Bukan cendol sahaja yang disediakan di sini. Malah, anda juga boleh mencuba menu lain yang tidak kurang hebatnya. Sambil makan cendol, pesan sahaja menu-menu ini untuk kekenyangan yang berganda.
Antara menu lain yang disediakan di Haji Shariff Cendol ialah ABC HSC, rojak dan rojak mi. Rojak mereka juga turut dipuji, terutamanya rojak mi. Bukan sahaja enak rasanya, malah saiznya juga besar. Anda wajib cuba!
Bagaimana? Sudah mula rambang mata, bukan? Tidak dinafikan, cendol di Haji Shariff Cendol ini bukan sahaja bikin ramai pelanggan rambang mata, malah ada yang ketagih dengan kelazatannya.
Kami juga ingin mengingatkan anda supaya datang pada waktu yang sesuai. Selalunya pada waktu kemuncak, memang ramai orang dan ruang parkir juga penuh.
Berikut kami sertakan alamat dan waktu operasi restoran Haji Shariff Cendol. Selamat menjamu selera!
Alamat: 44, Jalan Yam Tuan, Bandar Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 10.30 pagi – 6 petang
Teringin untuk mencuba kopi paling ‘power’ di Seremban? Klik sahaja di link di bawah ini ya!