Burger adalah makanan yang berasal dari Barat dan diilhamkan sebagai makanan ringkas yang lengkap dan mengenyangkan. Ia boleh dimakan ketika sedang bergerak dan tidak memerlukan cara hidangan yang rumit. Burger mempunyai karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan sebagainya di dalam setiap gigitan.

Akan tetapi dewasa ini, fenomena burger bakar mula menular ke seluruh negara. Masyarakat terutamanya golongan muda yang sibuk mula menggemari hidangan burger bakar yang boleh dinikmati sambil bersantai di malam hari. Sama seperti burger biasa, burger bakar turut menyajikan komponen yang sama kecuali dagingnya yang dibakar terus tidak seperti burger biasa yang dibakar di atas ‘pan’.

Hasil pembakaran terus ini menerbitkan aroma yang luar biasa dan biasanya penyajian burger bakar menggunakan patti yang dibuat sendiri. Oleh itu, saiznya pelbagai dan boleh dipilih sendiri oleh pengguna.

Dari utara tanahair sehinggalah ke selatan dan juga pantai timur, perniagaan burger bakar ini semakin berkembang dan mendapat perhatian ramai. Senarai ini akan meninjau perniagaan burger bakar di setiap negeri dan burger bakar tersohor Burger Bakar Abang Burn sengaja ditinggalkan tanpa menafikan keistimewaannya.
 

#1 Don Burger Bakar

Medan Selera Taman Uda,Jalan Sultanah, 05350 Alor Setar

Don Burger Bakar bukanlah asing bagi penduduk Alor Setar walaupun masih terdapat jenama lain di sini. Don juga mempunyai cawangan di tempat lain. Antara hidangan atau menu yang menjadi saranan kebanyakan pengunjung di sini adalah Crispy Cheese.

Ia sangat sedap dan begitu menyelerakan. Pattinya yang berjus dan berperisa dilapisi dengan keju amat mudah menangkap selera. Sos di sini mempunyai rasa yang tersendiri.

Satu lagi menu yang menjadi piihan ramai adalah double trouble bakar. Double trouble ini menggabungkan patti daging bakar dengan isi ayam yang amat beraroma dan pastinya mengenyangkan. Sekali lagi, dengan sos yang tersendiri, dengan mudah burger ini akan menghantar kita terawang-awangan dalam setiap gigitan.

Don Burger Bakar
Don Burger Bakar

Pemilik kedai burger ini mencadangkan samada burger daging ataupun ayam kerana kedua-duanya mempunyai rasa yang tersendiri dan amat sedap. Manakala ada pelanggan yang mengatakan Burger Bakar Ayam dengan Cheese adalah yang paling sedap.

Selain menu burger, satu lagi kelainan di sini adalah minuman teh ais balang iaitu teh ais secukup rasa yang sedap dan dihidangkan di dalam balang. Dengan keasyikan burger dan sos yang hebat, disusuli dengan teh ais balang yang menyegarkan, Don Burger Bakar adalah tempat makan yang mesti dikunjungi.
 

#2 Hero Burger Bakar

Astaka Stadium, 10150 George Town, Pulau Pinang

Stadium Bandaraya Pulau Pinang adalah antara stadium tertua di Malaysia yang dibina sejak zaman British. Stadium ini dianggap keramat oleh peminat-peminat bolasepak Pulau Pinang.

Tapi apa yang menarik adalah berhampiran stadium ini terletak sebuah astaka makanan yang menyajikan pelbagai jenis makanan terutamanya makanan panas dan juga makanan Pulau Pinang. Di sini jugalah terdapatnya Hero Burger Bakar yang amat terkenal.

Di sini terdapat burger bakar dengan patti buatan sendiri yang amat berperisa cukup rempah dan herbanya. Ia diadun secara unik tanpa meniru mana-mana resepi yang lain. Piihan utama di sini adalah Double Trouble.  Burger ini mengandungi patti daging yang dibakar,  ayam  dua biji telur dan dua keping cheese. Dengan sos yang tersendiri, ia amat sedap dan sesuai di sajikan kepada individu.

Hero Burger Bakar
Hero Burger Bakar

Untuk sajian beramai-ramai gerai ini turut menghidangkan 500 gram superb yang mengandungi daging seberat 500 gm,  3 keping cheese dan 3 biji telur.  Menu ini sesuai untuk dimakan oleh 4 orang walaupun ada yang mampu menghabiskannya sendirian.

Satu keistimewaan di sini adalah pelanggan boleh ‘customized’ piihan burger.  Menu Skyscraper boleh dipilih ‘tingkat’nya dan juga apa saja tambahan kompone lain seperti salad, cheese, telur dan sebagainya.

Walaupun ada pendapat mengatakan servis yang agak lambat, tetapi sesuai dengan masa untuk memasak setengah kilogram daging. Kedudukannya di astaka makanan menjadikan Hero Burger Bakar boleh menjadi tempat makan sekeluarga. Boleh ke sini untuk facebook mereka.
 

#3 Minoz Burger Bakar

Bandar Machang, 18500 Machang

Penggemar burger di Kelantan juga tidak akan terlepas peluang menikmati burger bakar terbaik kerana di Bandar Machang, Minoz Burger Bakar yang beroperasi sekian lama menyajikan burger bakar yang dikatakan terbaik di Kelantan.

Apa yang menarik tentang gerai burger ini adalah ia bukan saja menyajikan burger bakar tetapi juga menyediakan menu burger seperti Cheezy Chicken yg kejunya sngt meletup utk dinikmati dan pilihan lain seperti Crispy Burger yg rangup ketika dimakan.

Kita pasti puas hati dengan sajiannya. Seperti juga yang lain, burger bakar ayam dan lembunya amat berperisa dengan patti buatan sendiri yang beraroma bakar. Sos yang tersendiri juga begitu memukau.

Minoz Burger Bakar

Kini Minoz burger mempunyai menu yang amat unik iaitu burger rusa, arnab, kambing dan lain-lain dengan harga yang diraskan amat berpatutan. Pilihan terbaru ini pastinya merupakan tarikan yang akan menambat nama Minoz Burger sebagai penyaji burger terbaik di Kelantan.

Seperti juga beberapa gerai burger bakar yang lain, di sini juga pelanggan boleh menempah burger mengikut kehendak sendiri. Akan tetapi burger standard ajian Minoz ini sudah memadai untuk menjerat selera kita dengan sos yang meleleh seperti ‘trade mark’ burger bakar itu sendiri.

Jika sudah kenyang dengan nasi kerabu, burger bakar Minoz boleh menjadi pilihan lain di Bandar Machang.
 

#4 Terengganu Grill Burger

Kiosk No 1. T Cafe Food Court, Sebelah Pasaraya Giant,  20050 Kuala Terengganu

Terengganu Grill Burger merupakan jenama burger bakar yang paling besar di Terengganu. Kebanyakan penduduk-penduduk generasi muda Kuala Terengganu pasti mengetahui malah pernah merasai sajian burger bakar TGB ini. Gerai ini menyajikan burger dengan patti daging yang dibuat sendiri dengan rempah ratus dan herba tersendiri. Tidak hairanlah perisanya juga amat tersendiri.

Burger biasa yang dipesan juga sudah mampu memukau dan menjadi tarikan penggemar burger bakar. Komponen-komponennya yang asas disajikan dengan sos yang pelbagai dan keju serta sayuran yang segar amat memberangsangkan. Pelanggan tidak akan teragak-agak untuk membayar berapa saja harga yag dikenakan.

Burger Bakar Terengganu

Selain burger biasa, antara menu yang menjadi pilihan di sini adalah Burgerilla yang mengandungi 2 patti daging lembu, 1 bakon dan 1 cheese yang dihidangkan dengan 2 sosej daging lembu bakar. Rasanya sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Bagi pelanggan yang berselera besar bolehlah memesan Burgermania yang menampilkan 3 patti daging lembu, 3cheese serta 3 sosej bakar yang mendampingi burger ini. Pastinya anda akan terduduk menikmati kehebatannya.

Di samping kehebatan menu burgernya, TGB juga menawarkan menu seperti kentang goreng, bakon serta sosej yang boleh dipesan secara berasingan. Jika anda mencari burger terbaik di Kuala Terengganu pastinya TGB adalah pilihan yang terbaik.
 

#5 Burger Bakar BOSS

A-23 Lorong Tun Ismail 10 (Seri Dagangan), 25000 Kuantan, Pahang

Sesuai dengan namanya, Burger Bakar BOSS sememangnya mengetuai industri burger bakar di Kuantan. Jika mencari burger bakar terbaik di Bandar ini, tidak apat tidak semua orang akan menunjukkan anda ke kedai Burger Bakar BOSS yang diberikan penilaian tertinggi.

Burger Bakar Boss
Burger Bakar Boss

Kedai ini dikatakan bukan sahaja menawarkan burger yang baik dan sedap tetapi juga memiliki servis yang amat baik dengan pekerjanya yang amat ‘friendly’ dan ramah serta begitu membantu. Tempat ini juga sesuai untuk bersantai bersama rakan-rakan atau keluarga. Pendek kata, anda boleh bersantai, bersembang dengan rakan-rakan sambil menikmati burger bakar terbaik di Kuantan.

Burgernya seperti biasa dijuarakan oleh patti daging yang besar dengan aroma bakar yang menyelerakan serta perisa yang cukup. Diapit oleh roti yang lembut dan dilimpahi oleh sos yang pelbagai perisa, anda pasti akan kembali.

Selain burgernya, hidangan meatballnya juga amat menyelerakan dan menerima permintaan yang tinggi daripada pengunjung. Minumannya juga disajikan dengan baik dan amat sedap sesuai dengan burger yang sedap. Terdapat menu combo untuk burger yang lengkap dengan minuman pilihan anda. Tidak diragukan lagi, inilah burger bakar terbaik Kuantan.
 

#6 JB Burger Bakar

Taman Impian Emas, Johor Bahru, Johor

Johor Bharu atau JB sentiasa menyajikan pilihan makanan yang tidak akan mengecewakan. Pilihannya banyak dan pelanggan tidak perlu runsing untuk mencari makanan terbaik. Terdapat begitu banyak jenama burger bakar yang berpusat di JB termasuklah beberapa jenama tersohor dari luar. Akan tetapi JB mempunyai jenama burger bakar setempat yang setanding.

JB Burger Bakar boleh dianggap pakar membuat patti daging burger untuk di bakar. Dengan hanya menggunakan daging dan rempah ratus serta herba mengikut resipi sendiri, pasti sekali keenakan patti JB Burger Bakar ini tidak mungkin dapat dinikmati di tempat lain.

JB Burger Bakar

Antara menu burger yang menarik di sini adalah Anak bentan yang sesuai untuk individu dengan cheese dan sos yang amat sedap. Terdapat juga burger yang sesuai disajikan ketika makan bersama keluarga dan rakan-rakan. Begitu juga menu lain-lain yang turut tidak ketinggalan menggamit pengunjung.

Kini JB Burger Bakar mempunyai patti kambing yang turut memiliki keunikan rasa rempah ratusnya. Pasti penggemar kambing tidak akan melepaskan burger bakar kambing ini.

Ada antara ‘outlet’ JB burger bakar yang menawarkan kombo dengan sebotol shisha. Makan burger sambil menikmati shisha mungkin trend baru yang menyeronokkan. Kita boleh mencubanya di JB Burger Bakar.
 

#7 Burger Bakar Dahsyat

Hadapan Restoran A Sri Rosmerah, Bukit Beruang, Melaka

Burger Bakar Dahsyat di Bukit Beruang ini sememangnya dahsyat. Gerai ini sentiasa penuh dengan pelanggan. Namun begitu, servisnya amat baik. Sambil menunggu pesanan, aromanya sudah cukup untuk membuatkan kita tidak senang duduk.

Patti burger ini adalah hasil resipi yang tersendiri dan mempunyai rasa yang penuh dan amat sedap. Dengan sos dan keju yang melimpah ruah, setiap gigitan akan meninggalkan impak yang melompat-lompat di dalam mulut menjadikan burger ini sememangnya dahsyat bukan hanya pada nama.

Burger Bakar Dahsyat
burger-bakar-dahsyat-1

Pelanggan di sini mencadangkan mana-mana burger yang ber’cheese’ kerana lebih berkrim dan mengundang rasa yang jauh lebih hebat. Dahsyatnya burger bakar di sini adalah kerana anda mungkin tidak menyedari sudah menghabiskan setiap hidangan dalam masa yang singkat. Burger Bakar Dahsyat ini juga sesuai sebagai tempat berkumpul sesama rakan taulan ataupun keluarga kerana suasana luarnya yang santai.

Tidak boleh disangkal bahawa burger bakar terbaik di Melaka adalah Burger Bakar dahsyat. Malahan gerai burger ini boleh ditempah untuk dibuka di tempat anda bagi majlis keraian atau sebagainya.
 

#8 DeqWan Burger Bakar

Taman Seri Pagi Senawang (Jalan lepas giant), 70450 Seremban, Negeri Sembilan

Mencari burger bakar di Seremban bukanlah satu tugas yang sukar kerana di sini, pelbagai jenama boleh didapati, namun Deqwan Burger Bakar mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Walaupun perkataan homemade amat sinonim dengan burger bakar, tetapi Deqwan menyajikan burger homemade terbaik.

Monster burger adalah produk terbaik deqwan dengan patti resipi tersendiri yang amat lembut dan memukau. Akan tetapi ‘man of the match’ untuk Deqwan Burger adalah homemade kambingnya yang dikatakan antara patti kambing terbaik di Seremban malah mungkin juga di Malaysia.

Selain itu, kehebatan kedai ini adalah kemampuannya menampilkan ‘charcoal bun’ yang biasanya hanya disajikan di restoran mewah ataupun rangkaian yang besar. Malah ‘charcoal bun’ Deqwan bukan setakat tangkap muat kerana ia amat sedap. Tambahan pula disertai oleh meat slice dan cheese yang mengujakan.

Deqwan Burger Bakar
Deqwan Burger Bakar
Deqwan Burger Bakar
Deqwan Burger Bakar

Satu lagi tarikan yang tidak terdapat di tempat lain adalah burger udang yang juga amat sedap. Bagi pelanggan yang tidak gemarkan daging lembu, kambing atau ayam, mugkin burger udang ini boleh menjadi pilihan yang semestinya tidak akan mengecewakan.

Oleh itu, jika anda mencari burger berkualiti restoran mewah tetapi pada harga warung, maka di sinilah tempatnya.
 

#9 Rawang Burger Bakar

Pusat Bandar Wangsa Maju Seksyen 5, 53300 Setapak, Kuala Lumpur

Rawang Burger Bakar tidak perlu diperkenalkan lagi kepada kebanyakan masyarakat kerana ia sudah sangat popular dan sinonim dengan burger bakar setaraf dengan rangkaian besar seperti Abang Burn.

Rangkaian RBB ini menjangkau sehingga ke pantai timur dan selatan tanah air. Mungkin belum cukup popular di utara, tetapi dijangkakan auranya akan tiba dalam masa terdekat.

RBB yang dilahirkan di Pusat Bandar Wangsa Maju Sek 5 Kuala Lumpur,  telah sedikit sebanyak mencetuskan satu fenomena baru kepada penggemar burger bakar di malaysia.  Ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menikmati keenakan burger bakar yang disajikan oleh RBB.

Antara keistimewaan RBB adalah teknik pembakaran patti menggunakan kayu arang dan bukannya “plate” atau “stone”. Ini menjadikan daging yang di masak lebih sekata dan jus dapat dikekalkan lebih lama. Malah aromanya juga akan menggamit sesiapa sahaja yang terhidunya.

Pattinya pula adalah adunan resipi tersendiri yang menggunakan rempah dan herba rahsia. Pastinya rasanya tidak akan dapat dinikmati di tempat lain. Sosnya juga unik dan hasil campuran tersendiri.

Rawang Burger Bakar
Rawang Burger Bakar

Menu RBB juga agak berbeza dengan nama-nama yang biasa kita dengar dalam negara seperti Isabella, Hot Chic, Chicken Pop, Madu Tiga, Ombak Rindu, Burgembira , KLCC dan berbagai-bagai lagi. Setiap menu mempunyai karakter dan kandungan yang tersendiri. Namun Ombak Rindu dikatakan antara yang paling popular sepopular filem tersebut.

Selain itu, juga terdapat menu Old skool atau lagenda iaitu patti yang diapit oleh roti potong biasa yang dibakar garing dengan sos dan cheese yang cukup menggamit memori. Bukan sahaja burger, menu ‘meatball’ juga disajikan yang dihidangkan dengan ‘garlic bread’ yang rangup dan menyelerakan serta mengenyangkan.
 

 #10 Lava Grill Burger

Restoran Bismillah (Taman Sri Serdang), 43400 Seri Kembangan, Selangor

Mengakhiri senarai ini adalah burger bakar Lava Grill Seri Kembangan yang juga dikenali sebagai burger bakar banjir. Bermula di Restoran Bismilah, Seri Kembangan, kini rangkaian burger banjir ini telah memiliki beberapa cawangan sekitar Lembah Kelang.

Keenakan burger ini terletak pada patti ayam dan dagingnya yang tebal dan berjus dengan perisa tersendiri yang amat sedap diapit oleh bun yang amat lembut dan enak. Daging serta kambingnya juga amat segar dan berbaloi untuk dicuba.
Semuanya di kedai ini adalah hasil buatan sendiri termasuk sos yang diubahsuai menjadikannya unik dan memiliki rasa tersendiri. Malahan sos blackpepper, sos keju dan mayonis juga adalah buatan sendiri.

Lava Grilled Burger
Lava Grilled Burger
Lava Grilled Burger

Patti dan roti dibakar di atas ‘lava rock broiler’ yang ditempah khas semata-mata untuk membakar burger ini. Burger yang dihidangkan di dalam pinggan dengan sos yang melimpah ruah dan membanjiri pinggan. Inilah sebabnya burger ini digelar burger banjir.

Tetapi jangan terkejut bahawa sos yang melimpah ruah itu tidak pernah cukup kerana pesona rasanya yang amat sedap dan mengheret deria rasa kita jauh ke alam lain.

Suasana di Lava Grill ini juga amat santai dan sesuai untuk beramah mesra dengan keluarga dan rakan-rakan malah amat sesuai untuk pertemuan semula. Tidak ketinggalan juga sebagai tempat makan yang romantic untuk pasangan bercinta.

Jika anda pernah merasa burger banjir ini, pastinya anda akan kembali kerana hanya di sini anda akan mendapat perasaan yang sama.
 

Kesimpulan

Senarai burger bakar terbaik ini sengaja tidak disusun mengikut ranking kerana amat sukar menentukan yang mana lebih baik. Semuanya berada dalam kelas masing-masing dan tidak tewas antara satu sama lain. Biarlah citarasa masing masing yang menentukan mana yang lebih baik kerana setiap orang mempunyai citarasa yag tersendiri.

Hakikatnya masih banyak lagi gerai burger bakar yang ‘outstanding’ di luar sana. Amat sukar untuk menyenaraikan semuanya, cukup sekadar memilih yang dianggap terbaik dan berada dalam kelas ‘famous’. Apapun sedikit sebanyak senarai ini memberikan panduan dimana untuk kita mendapatkan burger bakar terbaik negara.

Imej via Foursquare

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.