Warung Kuning bukan menjual Nasi Kuning atau apa sahaja yang berwarna kuning. Tidak juga menyajikan hidangan yang istimewa. Namun, warung ini tetap mempunyai ‘taring’ yang tersendiri untuk menarik pengunjung menjamu selera di sini.

Warung yang terletak di tepi jalan dengan hanya menggunakan kayu, papan dan atap zink ini nampak biasa sahaja. Tetapi, warung ini menampilkan hidangan dengan nama yang pelik dan unik.

Pada awalnya warung ini hanyalah sebuah warung kopi biasa sepertimana di tempat lain. Namun, ianya telah berubah menjadi sebuah warung yang menjual hidangan burger bersaiz besar serta bertingkat – tingkat ibarat Menara KOMTAR, begitulah ketinggian burger yang tercipta di warung ini.

Burger Leleh

Imej via facebook

Burger Leleh Bertingkat -Tingkat

Burger leleh atau burger banjir bertingkat ini dilapisi dengan kepingan daging burger yang tebal. Ditambah pula dengan sos cili dan mayonis yang melimpah ruah, meleleh menuruni lapisan daging. Hirisan sayur kobis dan tomato yang memenuhi lapisan daging begitu banyak sekali.

Daging burger yang digunakan adalah daging jenis homemade yang diperasakan dengan ramuan tersendiri. Biarpun dagingnya agak tebal, namun ramuan yang dicampurkan masih terasa enaknya. Daging burgernya garing di luar dan berjus di bahagian dalam memberikan satu kepuasan semasa gigitan pertama lagi.

Burger Bertingkat

Imej via facebook

Sebiji burger setinggi ini hanya boleh dihabiskan oleh 2 hingga 3 orang. Tetapi sekiranya anda  memang di tahap kelaparan yang maksima, mungkin juga boleh dihabiskan oleh anda. Pastikan perut benar – benar kosong ya ketika menikmatinya.

Air Minuman Yang Pelik

Jangan pula anda lupa memesan air minuman untuk diminum bersama semasa menikmati hidangan burger ini. Air gunung berapi antara yang popular di sini. Ia merupakan air yang mempunyai 3 lapisan iaitu di lapisan bawah adalah milo, dilapisi dengan susu pekat dan juga sirap.

Kepekatan  milo yang dicampurkan ke dalam Air Gunung Berapi cukup menggegarkan jiwa. Melegakan tekak yang kehausan sambal menikmati serbuk milo yang dicampurkan bersama. Ibarat gunung berapi yang meletus, dari situlah air ini mendapat nama. Ada juga Milo Ais Karat, Teh Tarik Dangdut, Air Bandung Meletup dan bermacam lagi air minuman yang boleh dicuba.

Air Pelik

Imej via facebook

Hidangan Baru Mesti Cuba

Selain hidangan burger, warung ini turut menyajikan menu hidangan yang baru buat para pelanggannya. Hidangan Koewtiau Goreng dan juga Char Kue Tiaw mula disajikan buat para pelanggan bagi memvariasikan menu di sini. Bagi yang ingin mencuba hidangan selain menu burger, boleh juga mencuba hidangan masakan panas ini. Ia turut menggunakan resepi kicap yang tersendiri sungguh menyelerakan.

Warung ini terletak berhadapan Jambatan yang menghubungkan antara Kuala Muda Penang dengan Kota Kuala Muda, Kedah. Waktu operasi warung ini adalah mulai jam 4.00 petang sehingga jam 11.00 malam setiap hari mulai hari Isnin hingga Ahad dan tutup pada hari Khamis. Harga burger dijual serendah RM 2.70 sebiji untuk burger biasa dan bagi burger bersaiz triple harganya pula adalah RM 8.00 sahaja.

Alamat : Warung Kuning, Jambatan Kota Kuala Muda, Kedah

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.