Sesekali ubah selera dengan makanan dari Indonesia sedap juga kan? Apa kata kita cuba pula bakso sebagai hidangan santapan. Pastikan perut anda sememangnya lapar jika datang ke sini.
Bagi yang tak tahu apa itu bakso, ia merupakan bihun sup daging dan sesetengah menggantikannya dengan suhun. Bahan tambahannya adalah daging lembu atau ayam yang dikisar dan dibentukkan seperti bebola. Enak dimakan bersama sambal kicap atau sambal lada.
Parit Raja sememangnya terkenal dengan hidangan bakso kerana rata – rata penduduk di sini adalah masyarakat berketurunan Jawa. Maka, tidak hairanlah jika bakso sangat popular di sini. Kuah bakso seakan – akan sup ayam atau daging tetapi dimasak menggunakan rempah dan adunan khas untuk menghasilkan kuah bakso yang sedap.
Jika anda sampai daerah ini, singgahlah di kedai makan yang menghidangkan bakso yang sememangnya meletop. Kedai makan tersebut terletak betul – betul di hadapan Masjid Parit Raja. Selepas menunaikan solat di Masjid Parit Raja Darat, bolehlah mencuba hidangan bakso di sini.
Ia sangat terkenal dengan bakso yang sedap sehingga anda akan menambah lagi. Kedai bakso tersebut kelihatan agak tersorok ke dalam dan bersebelahan bengkel motosikal. Kedai ini kelihatan biasa sahaja.
Sememangnya seperti sebuah kedai kampung yang sangat tipikal. Kelihatan tiada sebarang keistimewaan pun. Namun, pastikan anda memesan bakso jika telah sampai ke sini.
Sebaik sahaja anda menerima hidangan yang dipesan, jangan terkejut apabila melihat saiz hidangan yang padat di dalam sebuah mangkuk. Bakso yang terhidang merupakan campuran suhun dan juga bihun. Ditambah dengan hirisan daging yang begitu banyak.
Bebola daging bersaiz besar juga turut diletakkan bersama di dalam mangkuk bakso. Bukan satu biji tapi beberapa biji bebola daging dihidangkan bersama.
Cubalah anda hirup sup bakso yang terhidang di depan mata. Terasa begitu menyelerakan. Ramuannya begitu enak dan menyelerakan tambahan pula apabila dimakan bersama sambal kicap yang pedas.
Ibarat lagu dan irama yang tak dapat dipisahkan. Biarpun kedai makan ini terletak jauh dari ibu kota, namun ramai pelanggan dari ibu kota turut datang ke kedai ini bagi menikmati bakso yang sedap dan terlaris di Parit Raja ini.
Kedai makan ini walaupun kelihatan biasa sahaja, namun sering menerima kunjungan pengunjung dari luar terutamanya menjelang cuti umum dan cuti persekolahan. Pada hari biasa, ia sentiasa dipenuhi oleh masyarakat setempat yang sememangnya menggemari hidangan bakso di sini.
Hinggakan kanak – kanak juga meminati bakso yang dijual di sini kerana keenakan rasanya yang sedap dan tidak pedas melainkan dimakan bersama sambal kicap. Harga hidangan bakso yang dikenakan kepada para pengunjung tidaklah mahal dan sangat berpatutan.
Pemilik kedai makan ini masih mengekalkan harga makanan pada harga yang sama kerana ia merupakan satu kredit kepada pelanggan setianya.
Alamat : Jalan Parit Raja Darat, 86400, Johor