Mencari tempat makan di Kampung Baru? Untuk pengetahuan anda, Kampung Baru memang ada pelbagai jenis tempat makan yang menyajikan pelbagai jenis genre makanan. Tidak keterlaluan jika ianya digelar syurga makanan!

Berikut kami senaraikan 13 tempat makan di Kampung Baru yang wajib anda serbu. Senarai ini tidak mengikut ranking, jadi teruskan membaca ya!

#1 Nasi Lemak Wanjo Kampung Baru

Alamat: 8, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, 6.30 pagi – 12 tengahari dan dibuka semula 4 petang – 1 pagi

Nama restoran ini sudah tidak asing lagi di Kampung Baru. Bukan sahaja terkenal di Kampung Baru, malah di serata negeri! Buktinya, restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan sampai berebut tempat parkir!

nasi lemak wanjo kampung baru

Imej via Foursquare

Wah, agak-agaknya apa yang membuatkan nasi lemak di sini begitu istimewa? Menurut pelanggan, nasi lemak di sini rasanya cukup sedap. Tekstur nasinya gebu dan lembut, manakala sambalnya pula memang secukup rasa. Biasalah, resepi turun-temurun!

lauk @ nasi lemak wanjo kampung baru

Imej via Foursquare

Ada berbagai lauk-pauk yang anda boleh pilih. Antaranya sambal sotong, rendang ayam, sambal paru, ayam goreng dan banyak lagi. Yang pasti, pinggan anda pasti akan penuh dengan lauk dek kerana rambang mata!

#2 Suraya Seafood

Alamat: Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, 3.30 petang – 1 pagi

Jika anda peminat tegar makanan laut dan masakan Thai, anda memang rugi jika anda tidak singgah di Suraya Seafood ini! Restoran Suraya Seafood menghidangkan aneka jenis menu berasaskan masakan Thai dan tempatan.

makan @ suraya seafood kampung baru

Imej via Foursquare

Ada banyak menu yang istimewa di sini. Anda boleh cuba siakap stim, udang goreng tepung, kerang bakar dan tomyam. Untuk hidangan sampingan pula, kerabu maggie dan bihun celup merupakan antara yang terlaris, memang bikin kecur air liur!

pulut mangga @ suraya seafood kampung baru

Imej via Foursquare

Untuk pencuci mulut pula, kalau dah namanya masakan Thai, semestinya hidangan ini akan tersenarai – pulut mangga. Rasa santan yang berlemak dan buah mangga yang manis memang menaikkan selera!

#3 Nasi Lemak Antarabangsa

Alamat: 4, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, Selasa – Ahad dibuka pada 12 tengah malam hingga 12 tengahari dan dibuka semula pada 6 petang – 12 tengah malam. Isnin dibuka pada 6 petang – 12 tengah malam

Satu lagi restoran nasi lemak yang bukan biasa-biasa sedapnya – Nasi Lemak Antarabangsa! Level nasi lemak ini sendiri memang bertaraf antarangsa. Buktinya? Nasi lemak ini turut digemari pelancong luar!

nasi lemak rendang daging @ nasi lemak antarabangsa kampung baru

Imej via Foursquare

Keistimewaan utama nasi lemak di sini ialah ianya dibungkus dengan daun pisang. Bukan sahaja menambah selera, malah membangkitkan aroma! Sambalnya juga tidak kurang hebatnya, rasa manis dan pedas yang secukup rasa.

nasi lemak @ nasi lemak antarabangsa kampung baru

Imej via Foursquare

Lauk-pauk yang disediakan juga ada berbagai jenis, terutamanya yang dibuat sambal. Kami cadangkan agar anda cuba rendang daging, rendang ayam, sambal sotong dan sambal paru mereka, pasti ‘kaw’!

#4 HR Steak House

Alamat: 56, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, 3 petang – 12 tengah malam

Restoran ini cukup terkenal dengan stik yang bukan sahaja enak dan berkualiti tinggi, malah berpatutan harganya. Mana lagi nak cari stik yang sedap dan murah terutamanya di KL? Bukan senang, bukan?

Antara stik yang disediakan di HR Steak House ialah T-bone Steak, Sirloin Steak dan Rib Steak. Ramai memuji rasanya yang bukan sahaja enak malah segar dan ‘juicy’ isinya.

chicken combo + mussles kampung baru

Imej via Foursquare

Selain stik, restoran ini juga turut menyediakan makanan Barat. Antara menu yang terbaik di sini ialah Lamb Chop, Chicken Combo, Chicken Cordon Bleu dan Salmon Combo Mussels.

#5 Ayam Bakar Wong Solo

Alamat: 57, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, 11.30 pagi – 10.30 malam

Siapa sahaja yang tidak pernah terdengar tentang restoran Ayam Bakar Wong Solo? Restoran ini mempunyai beberapa cawangan di seluruh Malaysia, membuktikan yang ianya bukan biasa-biasa hebatnya!

Ayam Bakar Wong Solo juga mempunyai sebuah cawangan di Kampung Baru. Menghidangkan makanan Indonesia, restoran ini sentiasa dipuji dek kerana hidangan mereka yang bukan sahaja sedap malah menggunakan resepi asli.

ayam bakar @ wong solo

Imej via Foursquare

sotong goreng tepung @ wong solo kampung baru

Imej via Foursquare

Antara hidangan yang laku keras di sini ialah set ayam bakar, Ayam Penyet, Gado-gado, empal sapi dan sotong goreng tepung. Hidangan di sini juga bersaiz besar, berbaloi dengan harga yang ditawarkan.

#6 Restoran Kak Som Kg Bharu

Alamat: 19, 13, Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur

Waktu Operasi: 24 jam

Mengidam makanan Pantai Timur yang bukan sahaja enak dan asli resepinya malah berpatutan harganya? Usah gundah, Restoran Kak Som Kg Bharu ini pasti cocok dengan citarasa anda.

nasi kerabu @ kak som

Imej via Foursquare

nasi campur @ kak som

Imej via Foursquare

Antara hidangan yang wajib anda cuba ialah nasi kerabu, nasi dagang dan laksam. Selain itu, mereka juga ada menyediakan lauk-pauk dan ulam-ulaman yang cukup beraneka, cukup sesuai dimakan bersama nasi campur.

#7 Pekan Station

Alamat: 66, Jalan Raja Uda, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Khamis, 6.30 petang – 1 pagi

Jika dilihat dari luar, mungkin restoran ini tampak seperti kedai makan biasa sahaja. Namun, restoran Pekan Station ini merupakan antara restoran makanan Barat yang cukup popular di Kampung Baru.

Buktinya, restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan, sehinggakan nak cari ruang parkir pun agak susah jika datang lambat. Agak-agak apa yang membuatkannya begitu popular ya?

pasta @ pekan station

Imej via Foursquare

pasta chicken grill @ pekan station

Imej via Foursquare

Antara menu yang digilai ramai ialah Chicken Grill, Chicken Chop dan Meatballs. Selain itu, pasta di sini juga turut menerima tempias yang sama. Saiznya juga besar, pasti mengenyangkan!

#8 Restoran Songket

Alamat: 29, Jalan Yap Kwan Seng, Kampung Baru, 50450 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, hari minggu bermula 12 tengah hari – 3 petang dan dibuka semula pada 6 petang – 11 malam, manakala hujung minggu pula dibuka 5 petang – 11 malam

Dari nama restoran ini sahaja anda boleh teka hidangan apa yang disediakan di sini – semestinya hidangan tempatan. Ada beraneka jenis hidangan tempatan yang boleh anda cuba, yang pasti memang bikin ramai rambang mata!

makan @ restoran songket

Imej via Foursquare

Terkenal dengan tagline “True Malay Flavors’, antara hidangan tempatan yang wajib anda cuba ialah gulai ayam, ayam percik, sambal udang petai dan banyak lagi. Pasti penuh sepinggan dek kerana tak tahu nak pilih lauk yang mana!

#9 Gerai Pak Hassan

Alamat: 31, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, 7 pagi – 1 tengah hari manakala Ahad dari 7 pagi – 12 tengah hari

Roti canai dan nasi ayam – hidangan ini kita sudah biasa terdengar tentangnya, namun tidak pernah kita jemu dengannya. Ia juga merupakan menu yang wajib ada untuk sarapan. Kami yakin anda juga menggemarinya, bukan?

roti canai kari kaki ayam @ gerai pak hassan

Imej via Foursquare

Jika anda teringin untuk mencuba roti canai yang dicicah dengan kuah kari kaki ayam, anda wajib singgah di Gerai Pak Hassan. Warung ini memang cukup terkenal dengan hidangan tersebut yang jarang didapati di Kampung Baru.

nasi lemak pak hassan @ gerai pak hassan

Imej via Foursquare

Rata-rata pelanggan memuji rasa kuah karinya yang pekat dan banyak. Kaki ayamnya juga lembut. Selain roti canai, nasi lemak juga boleh didapati di sini. Sambal sotong mereka memang paling ‘win’!

#10 Alfiyah Lontong Jawa Asli

Alamat: Wisma Awal Dan Akhir, 50300, 161, 171, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, 7 pagi – 1 tengah hari

Selain roti canai dan nasi lemak, lontong juga merupakan menu yang wajib ada jika sebut sahaja tentang menu sarapan. Teringin untuk mencuba lontong Jawa yang dijamin enak? Singgah sahaja di Alfiyah Lontong Jawa Asli!

lontong @ alfiyah lontong jawa asli kampung baru

Imej via Foursquare

Menurut pelanggan, nasi impit untuk lontong memang lembut. Kuahnya juga pekat dan berlemak manakala sambalnya yang pedas melengkapkan keenakan menu ini. Jika dimakan bersama paru goreng, pasti lebih padu!

#11 Wak Nuar Ayam Penyet

Alamat: 65, Jalan Raja Uda, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Selasa, 10.30 pagi – 10.30 malam

Restoran ini memang terkenal dengan hidangan ayam penyetnya. Tambahan pula jika dimakan dengan sambal hijau yang juga merupakan keistimewaan utama menu tersebut, memang bikin ramai jatuh cinta!

sambal hijau @ wak nuar

Imej via Foursquare

Selain ayam penyet, restoran Wak Nuar Ayam Penyet juga menyediakan pecel lele dan soto yang tidak kurang hebatnya. Untuk minuman, anda wajib cuba Mangga Susu mereka. Tidak terlampau manis malah menyegarkan tekak!

#12 Kampung Baru Shell Out

Alamat: Stadium Kampung @ Laman Selera, Jalan Raja Uda, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, 5.30 petang – 12 tengah malam

Jika anda peminat tegar makanan laut tambahan pula jika dibuat ‘shell out’, ada satu restoran makanan laut di Kampung Baru yang wajib anda terjah – restoran Kampung Baru Shell Out!

Shell Out

Imej via Foursquare

Yang uniknya, nasi untuk set ‘shell out’ di sini dilapik dengan daun pisang. Rasanya pasti lebih enak dan aromanya juga cukup memikat. Harga yang ditawarkan untuk setiap set juga berpatutan, memang berbaloi!

#13 Nasi Padang Kampung Baru

Alamat: Lorong Raja Muda Musa 5, Kampung Baru (Lorong Raja Muda Musa 6), 50350 Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 pagi – 10 malam

Nasi Padang merupakan antara makanan Indonesia yang cukup popular di negara kita. Ianya bukan sahaja enak, malah mengenyangkan.

Teringin untuk mencuba Nasi Padang sesedap yang di Indonesia? Singgah sahaja di Nasi Padang Kampung Baru! Bukan sahaja sedap rasanya, aromanya cukup memikat dan harganya juga berpatutan.

nasi padang

Imej via Foursquare

Antara lauk yang ‘hangat’ di sini ialah dendeng, gulai tunjang, belut kering dan rendang ayam kampung. Lebih banyak anda ambil, pasti lebih berganda keenakannya!

Kesimpulan

Banyak juga tempat makan di Kampung Baru yang boleh anda singgah, bukan? Sebenarnya ada banyak lagi, namun jika kami senaraikan semuanya pasti tidak akan habis!

Kami nasihatkan agar anda datang awal supaya tidak berebut tempat parkir atau tempat duduk dalam restoran. Biar sempit dengan ruang, jangan sempit dengan peluang. Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.