Jerantut merupakan sebuah pekan yang terletak di Pahang. Jika anda pernah terdengar tentang Taman Negara, Tasik Bera dan Gunung Tahan, kesemuanya terletak sekitar Jerantut.
Walaupun ianya sebuah pekan yang kecil, jangan pandang sebelah mata! Tempat makan juga agak mudah untuk didapati di Jerantut ini. Dari masakan Barat ke masakan kampung, semuanya ada.
Masih tercari-cari tempat makan best di Jerantut? Usah gundah, kami ada senarainya! Berikut kami senaraikan 7 tempat makan menarik sekitar Jerantut yang wajib anda singgah. Teruskan membaca ya!
Alamat: NO,19.TAMAN FERI INDAH, Jalan Kg Pulau Mansok – Jerantut Feri, 27150 Jerantut, Pahang
Waktu Operasi: Setiap hari, 7 pagi – 7 malam
Murtabak merupakan hidangan yang cukup popular di negara kita. Hidangan ini selalunya laris dijual di pasar malam atau di bazar Ramadhan.
Anda teringin untuk menikmati murtabak yang bukan sahaja enak rasanya dan berpatutan harganya, malah besar saiznya? Bukan mudah untuk mencarinya, namun anda boleh mendapati murtabak sesempurna ini di Restoran Murtabak Jerantut Ferry!
Murtabak yang kerap dipesan di sini ialah murtabak daging dan ayam yang berharga RM 13. Mungkin harganya kedengaran mahal buat anda, namun ianya sangat berbaloi dek kerana intinya yang penuh dan saiz murtabak yang besar dan tebal.
Alamat: Jalan Jerantut – Benta, Kampung Bukit Dinding, 27000 Temerloh, Pahang
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, 12 tengah hari – 7 malam manakala Jumaat 2.30 petang – 7 malam
Kami yakin pasti ramai di kalangan pembaca yang menggemari makanan Itali yang tidak asing lagi namanya di negara kita – Pizza. Tambahan pula jika saiz dan topping pizza menepati citarasa anda, bukan?
Di Jerantut, ada sebuah restoran yang menyediakan pizza yang terbaik kualitinya. Pizza di sini dibakar di dalam relau kayu api, jadi rasanya lebih lazat dan aromanya juga cukup memikat.
Rata-rata pelanggan memuji pizza yang bukan sahaja enak, malah gebu dan besar saiznya. Harga yang ditawarkan juga cukup berpatutan dengan kualitinya, cukup berbaloi!
Keunikan utama pizza di sini ialah ianya menggabungkan selera Barat dan tempatan. Ada dua jenis pizza unik yang wajib anda cuba di sini – pizza sambal hitam dan sambal petai. Rasanya? Jangan risau, ramai yang suka!
Alamat: 120, Jalan Bandar Baru 13, Kampung Sungai Jan, 27000 Jerantut, Pahang
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, 12 tengah hari – 10 malam
Teringin menikmati makanan Barat sambil bersantai bersama keluarga mahupun sahabat handai? Restoran Ddlicious Bakery & Coffee ini pasti menepati citarasa anda!
Terkenal dengan hidangan Barat, restoran ini juga mempunyai konsep dekor moden kontemporari. Jika anda gemarkan suasana yang santai, restoran ini pasti cocok dengan anda!
Antara hidangan yang anda boleh cuba di sini ialah Fetuccini Carbonara dan Chicken Wrap. Pasta Carbonara di sini juga turut dipuji ramai dek kerana rasanya yang cukup berkrim namun tidak memuakkan, malah mengenyangkan!
Alamat: 98, 27000 Jerantut, Pahang
Waktu Operasi: Setiap hari, 7 pagi – 6 petang
Siapa sahaja yang tidak menyukai masakan kampung? Jika dinikmati untuk makan tengahari bersama secawan teh ais, pasti anda akan senyum sepanjang hari, bukan?
Mengidam masakan kampung? Singgah sahaja di Kak Nora Station! Restoran ini menyajikan pelbagai jenis lauk-pauk yang dijamin sesuai dengan citarasa anda.
Antara lauk yang popular di sini ialah Ikan Patin Tempoyak. Keistimewaan utama hidangan ini ialah rasa tempoyak yang berlemak dan isi ikan patin yang segar. Cukup menggamit selera!
Alamat: No.7 Kompleks Niaga Fasa 1, Jalan Bidai, 27000 Jerantut, Pahang
Waktu Operasi: Setiap hari, 8 pagi – 6 petang
Warisan Pak Din Roti Canai ini diusahakan sejak tahun 1969 lagi, boleh dikategorikan ‘legend’ tau! Ianya kini diusahakan di sebuah medan selera di Jalan Bidai.
Selain roti canai, restoran ini juga turut menyediakan nasi kerabu, nasi berlauk, nasi lemak dan nasi dagang. Nasi Kerabu di sini juga turut laku keras. Bukan sahaja enak dan mengenyangkan malah murah harganya!
Alamat: Jalan Bidai, Kampung Sungai Jan, 27000 Jerantut, Pahang
Waktu Operasi: Setiap hari, 9 pagi – 5 petang
Anda pernah terdengar tentang gulai asam rom kepala ikan kenerak? Jika anda berkunjung ke Jerantut, hidangan tradisi yang memang cukup pedas ini wajib anda cuba!
Restoran Z & Z Mak Anjang ini merupakan antara restoran yang menghidangkan hidangan tersebut. Walaupun kepedasan boleh bikin anda berpeluh, tetapi ianya juga boleh bikin anda ketagih dengannya.
Hidangan lain seperti ulam-ulaman dan lauk-pauk seperti gulai tempoyak juga turut disediakan. Lebih enak jika dimakan bersama nasi putih panas dan gulai asam rom, kami berani jamin!
Alamat: 98, Kampung Temin, 27000 Jerantut, Pahang
Waktu Operasi: Setiap hari, 4 petang – 11 malam
Sate merupakan hidangan yang cukup sesuai dimakan beramai-ramai, baik bersama keluarga mahupun sahabat handai. Kami juga yakin yang para pembaca di sini pasti merupakan peminat tegar sate, bukan?
Tercari-cari gerai sate sekitar Jerantut? Singgah sahaja di Satay Temin! Terkenal dengan tagline ‘Pasti puas hati’,tidak dinafikan ramai pelanggan sememangnya berpuas hati dengan kualiti sate dan harga yang ditawarkan.
Sate di sini dikatakan cukup enak. Dagingnya lembut di dalam dan rangup di luar. Ketupat nasinya juga lembut dan kuah sate pula memang pekat dan secukup rasa. Sekali makan, pasti nak lagi!
Sudah mula rambang mata kerana tidak tahu tempat makan mana yang anda mahu terjah dahulu? Jangan gelojoh, singgah sahaja satu-persatu. Kami yakin anda pasti akan turut menikmati makanan di tempat-tempat makan yang kami senaraikan ini.
Kami juga ingin menasihatkan agar anda datang awal, kerana dikhuatiri ruang dalam restoran dan ruang parkir akan penuh. Biar sempit dengan ruang, jangan sempit dengan peluang. Selamat menjamu selera!