Nak makan di mana? Apa yang menarik di daerah Yan ini agaknya ? Terdapat tarikan semula jadi yang boleh anda lawati seperti Air Terjun Titi Hayun, Pantai Murni, Air Terjun Seri Perigi, Pantai Tanjung Jaga, Pulau Songsong, Gunung Jerai, Air Terjun Batu Hampar, Air Terjun Puteri Mandi, serta Kampung Setar, Kampung Singkir Laut dan Jambatan Pulau Bunting.
Jika anda sudah pun merancang untuk ke destinasi tersebut, pastinya anda juga memerlukan tempat makan yang sesuai dijadikan singgahan untuk santapan. Apa kata anda cuba menjamu selera di beberapa buah kedai yang tersenarai ini.
Pastinya anda akan puas hati dapat menikmati hidangan yang enak serta dapat berkunjung ke destinasi yang menarik di daerah Yan.
Kedai Makan Seri Yan memang terkenal di daerah ini. Ia terletak di hadapan Pejabat Daerah Yan dan pastinya menjadi tumpuan kakitangan awam menjelang makan tengahari.
Kedai makan yang ringkas ini menyajikan pelbagai menu masakan melayu kampung yang semestinya menjadi pilihan ramai. Menu paling istimewa di kedai makan ini adalah gulai sembilang panas seperti yang terpampang di banner luar kedai ini.
Antara lain yang menjadi kegemaran serta pilihan ramai adalah gulai telur ikan, ikan keli bakar, daging bakar air asam, kurma kambing, asam pedas serta lebih 30 jenis lauk pauk yang boleh anda rasa di sini. Harga makanan di sini cukup murah dan rasa makanan juga tidak kurang hebat.
Alamat : No F 42 Jalan Sungai Udang Di Hadapan Pejabat Daerah Yan, Kedah 06900
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang setiap hari (kecuali Isnin tutup)
Peminat gulai itik boleh mencuba gulai itik yang sedap di Restoran Bersila ini. Uniknya restoran ini hanya dibuka apabila mempunyai stok itik sahaja memandangkan daging itik yang digunakan untuk masakan adalah dibela sendiri oleh pemilik restoran.
Sekiranya stok daging iti telah habis, maka pelanggan terpaksa menunggu berbulan – bulan lamanya. Walau pun beroperasi hanya apabila stok itik ada, namun pelanggan tetap restoran ini pastinya akan sentiasa menantikan restoran ini beroperasi semula.
Menu paling best dan menjadi pilihan sudah tentulah gulai itiknya serta itik goreng panas. Rasanya memang tak mampu diungkapkan dengan kata – kata. Bagi yang datang dari jauh, dinasihatkan untuk menghubungi restoran ini terlebih dahulu dan membuat tempahan awal kerana biasanya pelanggan memang ramai waktu makan tengahari.
Bagi yang tidak makan itik, terdapat juga menu – menu lain di sini seperti kari sotong, ketam, ayam goreng, ikan, daging, kerabu serta ulam – ulaman dan banyak lagi.
Alamat : Titi Serong, 06900 Yan, Kedah (sebagai landmark ia terletak bersebelahan IBS Hardware Titi Serong )
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 11.30 pagi hingga 3.30 petang setiap hari (kecuali Jumaat dan Sabtu tutup)
Jika anda datang ke daerah Yan ini, singgahlah di Jeti Nelayan Kampung Kuala Dulang Kecil. Pastinya anda tertanya – tanya apa yang menarik di sini selain laut serta jeti yang menjadi tempat untuk nelayan memunggah hasil tangkapan.
Kalau anda nak tahu, di sini terdapat sebuah tempat makan yang dikenali dengan nama Ombak Lara Mee Udang. Menu di sini memang best lah sebab anda akan dapat rasai kesegaran serta kemanisan udang yang digunakan dalam menu mereka.
Sudah tentulah udang yang digunakan segar dari lautan. Anda boleh mencuba mee udang yang sememangnya menu meletop di sini. Selain itu, terdapat juga nasi goreng udang, maggi udang serta mee goreng udang.
Yang pastinya udang yang digunakan di sini juga bersaiz besar dan sesuai dengan harganya.
Alamat : Jeti Nelayan Kampung Kuala Dulang Kecil, Yan Kedah
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari (kecuali Rabu tutup)
Orang utara akan menyebut lapar dengan sebutan lapaq. Bagi yang tengah lapaq tu, mai lah makan di Lapaq Western.
Macam – macam ada ! Ada western dulang, ada shell out, roti john, burger yang bermacam – macam jenis, mix couple steak dan yang terbaru ada yong tau fu di sini. Memang banyak pilihan dan rasanya memang sedap.
Alamat : Kampung Kuala Dulang Kechil, 06900 Yan, Kedah
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 5.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari (kecuali Selasa tutup)
Bila sebut nama Pak Maon, pastinya anda teringatkan cerita Nasib Do Re Mi, kisah Pak Maon dengan buku sejarahnya dan juga malam pesta muda mudi. Namun, di Titi Serong Yan ini terdapat sebuah restoran bernama Pak Maon Kitchen yang menyajikan pelbagai hidangan menarik.
Pak Maon Kitchen ini seakan – akan ala hipster walaupun namanya seperti zaman dulu – dulu. Hidangan di sini pula merupakan menu makanan Barat yang terdiri dari pelbagai jenis set yang unik seperti Set Do Re Mi, Set Nasib Do Re Mi dan juga Set Laksamana Do Re Mi.
Hidangan set ini disediakan di dalam dulang yang terdiri dari lamb chop, chicken grill, fries, spaghetti, coleslaw, sosej dan sos lada hitam. Memang kenyanglah kalau ambil set ini.
Alamat : Titi Serong Yan Kedah Yan, Kedah 06900
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam setiap hari (kecuali Selasa tutup)
Satu lagi kedai makan yang bercirikan hidangan Barat dikenali sebagai Kedai Burn. Bukan kedai terbakar ya !
Menyediakan pelbagai menu makanan Barat yang terdiri dari chicken chop, western dulang, nasi ayam chicken chop, burger, ayam Korea, roti pita cheese dan banyak lagi.
Keju yang digunakan bagi hidangan terdiri dari mozzarella cheese yang berkualiti dan pastinya memberi keenakan yang berbeza. Jangan ketinggalan untuk mencuba mangga smoothies dan soda herbs yang menyegarkan.
Alamat : 4, Jalan Pantai Murni, Taman Persisiran Sungai Yan, 06900 Yan, Kedah
Waktu Operasi: Dibuka mulai jam 5.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari (kecuali Khamis tutup)
Tu diaa udang antara 5 hingga 9 ekor diletakkan di atas hidangan yang dipesan oleh pelanggan. Menu yang memang rugi kalau tak cuba di sini adalah mee / bihun / kuetiaw udang, ketam atau special.
Kalau nak tahu apa yang special, kenalah datang dan pesan menu special di sini. Antara lain adalah nasi goreng ketam, nasi goreng udang dan juga mee / bihun / kuetiaw biasa tanpa udang atau ketam.
Harga pun sangatlah berpatutan, tambahan pula ketam dan udang yang digunakan adalah segar dan manis.
Alamat : K1, Simpang Empat Sungai Limau, 06800 Yan, Kedah
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 3.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari (kecuali Isnin tutup)
Negeri sebelah Utara memang terkenal dengan hidangan sup. Kalau tak percaya datanglah ke negeri sebelah Utara, memang sup menjadi hidangan hampir di merata tempat.
Warong Pakteh Makteh pula menyediakan pelbagai hidangan sup yang terdiri dari bihun / mee / kuetiaw sup daging atau ayam, laksa, rojak buah, lokching bakar, ABC, laici kang serta pelbagai minuman panas, sejuk dan juga berkarbornat.
Waktu kemuncak pelanggan datang menjamu selera di sini adalah mulai jam 5.30 petang hingga 7.30 malam. Pada waktu ini, pelanggan sememangnya ramai dan elakkan untuk datang pada masa ini bagi mengelakkan menunggu lama.
Alamat : Jalan Kuala Kampung Ruat, Persisiran Pantai Ruat, Kampung Simpang Tiga, 06900 Yan, Kedah (Jalan menghala Pantai Murni)
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 2.00 petang hingga 8.00 malam setiap hari (kecuali Khamis tutup)
Tatkala tibanya waktu tengahari, pastinya perut berkeriut kelaparan. Apa kata anda cuba hidangan tengahari di Kedai Makan Mak Nab pula.
Ia menyajikan pelbagai hidangan lauk pauk kampung ala Utara. Pelbagai menu yang anda boleh cuba di sini seperti ikan bakar, ayam dan daging bakar air asam, pelbagai jenis gulai kampung, kerabu, ulam – ulaman dan sayur – sayuran.
Pasti anda akan terkenangkan saat menjamu selera di sini kerana makanan yang disediakan memang sedap dan menyelerakan.
Alamat : Batu 25 ¼ Kampung Sungai Udang, 06900 Yan, Kedah
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang setiap hari (kecuali Sabtu tutup)
Sup bukan sebarang sup yang disediakan di Bihun Sup Daging Tempatan ini. Hidangan sup di sini menggunakana daging tempatan yang segar dan manis.
Hirisan daging yang dicampurkan ke dalam sup juga agak banyak sehingga menutupi permukaan atas mangkuk. Memang puas hati jika anda menjamu selera di sini, sudahlah dagingnya banyak, supnya juga begitu enak.
Walau pun meletakkan hirisan daging yang banyak, namun harga yang dikenakan begitu murah dan sangat berpatutan. Gerenti puas hati makan di sini.
Alamat : Merbok – Yan Kechil Rd, Ruat, 06900 Yan, Kedah
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 11.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari (kecuali Jumaa dan Sabtu tutup)
D’Manggis menyediakan hidangan sup gearbox yang memang terbaik. Malah, terdapat menu set yang terdiri dari nasi putih, sup gearbox, ikan pekasam atau ikan masin. Memang gabungan menu yang terbaik sekali.
Selain itu, anda juga boleh mencuba rojak, laksa serta bihun sup. Masing – masing memiliki keenakan yang tersendiri. Pastinya di sini menjadi salah satu destinasi tempat makan yang menarik untuk anda cuba.
Alamat : F502 Kampung Dusun Manggis Jln Titi Hayun, 06900 Yan, Kedah
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 12.00 tengahari hingga 6.30 petang setiap hari (kecuali Jumaat dan Sabtu tutup)
Pernah kah anda terfikir untuk mencuba daging rusa seumur hidup anda ? Bagi anda yang teringin kan daging rusa yang segar, manis dan enak, boleh datang Batas Ubi Deer Farm.
Di sini terdapat ladang ternakan rusa dan anda boleh berinteraksi serta membelai rusa – rusa yang ada di sini. Malah, anda juga boleh memberi makan kepada rusa – rusa ini.
Makanan di sini disediakan secara set dengan harga RM 140.00 untuk empat orang. Ia terdiri dari hidangan utama iaitu DIY mixed gril (chicken, ribeye beef & lamb atau chicken,ribeye beef dan venison), nasi atau vegie mixed potatoes dan juga soda herbs. Sup cendawan bersama garlic bread, aiskrim, teh pudina serta kerepek turut disajikan bersama.
Restoran di sini hanya dibuka pada setiap hari Jumaat dan Sabtu sahaja dan terdapat dua sesi iaitu Sesi pertama mulai jam 5.00 petang hingga 7.00 malam dan Sesi kedua pula dibuka mulai jam 8.00 malam hingga 10.00 malam. Tempahan perlu dibuat selewat – lewatnya sebelum hari Rabu setiap minggu.
Alamat : Lot 2679, Kampung Batas Ubi, Teroi, 06900 Yan, Kedah
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari Jumaat dan Sabtu sahaja mulai jam 5.00 petang hingga 7.00 malam (sesi 1) dan jam 8.00 malam hingga 10.00 malam (sesi 2)
Bihun sup di Sup E KKDK ini juga sangat menarik perhatian. Tambahan pula penggunaan hirisan dagingnya begitu banyak sekali.
Selain bihun sup, terdapat juga menu lain seperti mee / Maggie serta kuetiaw sup. Anda juga boleh mencuba nasi ayam, mee goreng udang, char kue teaw special (udang, ketam, telur mata) serta nasi goreng udang.
Ramai pelanggan datang menjelang petang dan biasanya waktu kemuncak adalah pada jam 6.00 petang hingga 9.00 malam.
Alamat : Kg Kuala Dulang Kecil, 06900 Yan, Kedah
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 3.00 petang hingga 10.30 malam setiap hari hari (kecuali Sabtu tutup)
Kesimpulan
Ternyata di daerah Yan ini begitu terkenal dengan hidangan sup yang enak bersama hirisan daging yang tidak kedekut. Harga makanan di daerah ini ternyata masih murah dan sangat berbaloi buat pelanggan yang datang menjamu selera.
Selain enak untuk dicuba, kadar harga yang sangat berpatutan membuatkan ramai pelanggan gemar berkunjung semula ke restoran yang sama.