Johor Darul Takzim terkenal dengan pasukan bola sepak tempatan yang mantap yang dikenali sebagai JDT. Selain itu juga, negeri ini turut dikenali sebagai salah sebuah negeri yang maju dan pesat membangun dari pelbagai segi seperti pembangunan, ekonomi serta pelancongan.

Memiliki pelbagai tempat – tempat menarik untuk dilawati, negeri Johor juga turut mempunyai gugusan pulau yang cantik, bersih dan masih terjaga rapi membuatkan ramai pelancong datang bercuti ke sini. Selain itu juga, negeri ini turut tersenarai sebagai sebuah lokasi makanan yang asli dan unik membuatkan ramai ingin mencubanya.

Bagi anda yang berkunjung ke Johor Bahru, pastikan anda mencuba makanan di beberapa restoran yang dicadangkan ini. Selamat mencuba !

#1. Onn Kitchen

Hidangan istimewa yang terdapat di Onn Kitchen terdiri dari pelbagai makanan tradisional seperti lontong kering, lempeng sambal ikan bilis serta roti canai. Menu nasi lemak sambal paru pula menjadi menu wajib pelanggan yang menjamu selera di sini. Rasa nasi yang lemak dengan sambal yang pedas begitu padu rasanya.

Chicken Grill

Imej via facebook

Anda juga boleh menikmati hidangan ala western menjelang petang dan malam. Memang cukup menepati selera anda. Hidangan di sini memang mencapai taraf lima bintang dan diperakui oleh pelanggan setia restoran ini.

Lamb Chop

Imej via sariyusa

Susun atur restoran ini yang menerapkan konsep ala hipster cukup selesa. Tempat makan serta perabot yang disediakan begitu mesra pelanggan dan sangat sesuai buat seisi keluarga.

Lokasi : No 29-A, Jln Tarom, Kampung Bahru, 80100 Johor Bahru

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 12.00 pagi setiap hari

#2. Restoran Sayam

Restoran Sayang ke Sayam? Oklah, mungkin bunyinya hampir sama tapi ternyata ia berbeza. Yang pasti, restoran ini menyediakan pelbagai masakan berasal dari Thailand dan sudah tentulah asli kerana tukang masaknya diimport khas dari sana.

Ketam Cili

Imej via restoransayam

Bagi penggemar makanan Thailand, anda boleh mencubanya di sini. Jika tidak pasti di mana, gunakan saja Waze dan pasti anda akan tiba di restoran ini.

Udang Butter

Imej via restoransayam

Kalau anda tidak tahu hendak memesan menu apa, penulis mencadangkan agar anda mencuba Siakap Stim Lemon dan Tomyam Chiangmai. Kedua – dua menu ini antara yang paling top di restoran ini. Makanan di sini semuanya sedap – sedap hinggakan anda pasti menjilat jari dan akan membuatkan anda terkenang – kenangkan makanan di sini.

Lokasi : No 19, Jln Stulang Laut, Taman Stulang, 80300 Johor Bahru

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 3.41 petang hingga 3.30 pagi setiap hari

#3. Kacang Pool Haji

Jika anda suka mencuba kelainan dalam hidangan, apa kata anda mencuba hidangan kacang pool Haji. Menu yang ringkas ini cukup istimewa dan mengenyangkan.

Kacang Pool

Imej via ppunlimited

Bagi anda yang ingin mencuba keaslian serta keenakan kacang pool ini, anda boleh datang ke Medan Selera Larkin yang beroperasi mulai jam 7.00 pagi hingga 1.00 pagi. Pastikan anda datang awal jika ingin menjamu selera di sini. Sekiranya kacang pool yang dijual pada hari tersebut habis awal, maka pelanggan yang datang lewat akan pulang dengan kecewa.

Nasi Ayam Kacang Pool

Imej via qasehdalia

Anda akan dapat merasai sendiri keenakan dan keunikan kacang pool ini. Telur separuh masak yang diletakkan di atas roti bakar cukup menggoda. Kuah kacang bersama daging yang dipadukan cukup menyelerakan.

Pada waktu tengahari pula, anda boleh menikmati pelbagai hidangan seperti nasi ambeng, nasi ayam dan bermacam lagi yang menarik. Pastinya anda tidak sabar untuk mencuba kacang pool di sini. Ia juga sangat sesuai menjadi sarapan pagi anda sekiranya berada di bandar Johor ini.

Lokasi : No 12, Jalan Sabar, Taman Dato Onn, 80350 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga jam 10.30  malam setiap hari

#4. Kopi Keju

Kopi atau keju, yang mana satu? Jika anda ke restoran Kopi Keju, jangan melepaskan peluang mencuba kepingan pisang goreng yang dihiasi dengan taburan keju serta coklat cair di atasnya. Ia begitu memikat hati sesiapa sahaja yang terpandangkannya.

Pisang Goreng Cheese

Imej via facebook

Ini adalah tempat yang wajib anda singgah sekiranya anda adalah peminat tegar pisang goreng cheese. Biarpun pisang goreng cheese sudah agak kurang popular, namun Kopi Keju masih tetap mengetengahkan menu ini kerana mempunyai pelanggan yang begitu meminatinya.

Pisang Goreng Cheese

Imej via facebook

Sambil menikmati pisang goreng cheese, anda boleh menikmati secawan kopi panas yang begitu menyegarkan.

Lokasi : 34, Jalan Nibong 17, Taman Daya, 81100 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 12.00 tengahari hingga 10.00 malam setiap hari (Jumaat tutup)

#5. Haji Wahid Mee Rebus

Mee rebus dan negeri Johor memang tidak dapat dipisahkan. Ia ibarat makanan legend di Johor yang begitu digemari ramai. Jika  anda berkunjung ke Johor, singgahlah ke restoran Haji Wahid Mee Rebus dan rasai sendiri keenakannya.

Mee Rebus Haji Wahid

Imej via facebook

Restoran ini telah wujud sejak tahun 1918 lagi yang diasas oleh Pak Baidali yang merupakan bapa kepada Haji Wahid. Pada tahun 1938, Haji Wahid telah mengambil alih dan perniagaan keluarga ini masih diteruskan hingga hari ini. Sambutan para pelanggan begitu luar biasa terutamanya dari penduduk tempatan.

Mee Rebus Haji Wahid

Imej via facebook

Keaslian resepi turun – temurun keluarga menjadi daya penarik utama pelanggan yang sering mengunjungi restoran ini. Hidangan mee rebus yang dinikmati masih memiliki rasa yang sama biarpun pemiliknya sudah berganti.

Lokasi : L1.2 Plaza Angsana, Pusat Bandar Tampoi, 81200, Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 12.00 tengahari hingga 10.00 malam setiap hari

#6. Murtabak Majid Special Cheese No.1

Hidangan murtabak ada di mana sahaja, tidak kira di bandar mana yang anda kunjungi. Malah, di pasar – pasar malam, murtabak bukanlah suatu menu yang asing. Namun, di Johor Bahru ini, terdapat murtabak yang begitu berbeza serta menyelerakan.

Murtabak Cheese

Imej via facebook

Murtabak Majid Special Cheese No. 1 menyediakan murtabak yang cukup berbeza. Ia ditambah dengan parutan keju yang membukit di dalam murtabak yang dimasak. Sebaik sahaja anda menggigit murtabak yang tersedia, anda akan rasai keju yang meleleh keluar dari murtabak tersebut.

Murtabak Cheese

Imej via facebook

Gabungan murtabak, daging dan bahan – bahan lain pasti membuatkan anda tergoda dengan keenakannya. Bagi peminat – peminat murtabak, jom singgah ke Murtabak Majid Special Cheese No. 1 ini.

Lokasi : No. 38, Lot 5581, Jln Kurniawan, Kampung Kurnia, 80250 Johor Bahru

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 12.00 tengahari hingga 7.00 malam setiap hari

#7. Village Briyani Café

Negeri Johor, selain terkenal dengan hidangan asli Melayu, ia juga terkenal dengan makanan India yang autentik. Village Briyani Café menyediakan nasi beriani yang enak serta pastinya anda merasa puas menikmatinya di sini.

 

Nasi Beriyani

Imej via facebook

Pelbagai nasi briyani yang boleh anda cuba seperti briyani udang, briyani ayam dan juga briyani kambing. Kalau anda hendak tahu, menu yang paling top di sini bukanlah briyani kambing tetapi briyani udang yang jarang ditemui di restoran lain.

Roti Nan

Imej via facebook

Lokasi : 15, Jalan Tun Abdul Razak 1/1, Wadi Hana, 80000 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 12.00 tengahari hingga 3.00 petang dan dibuka semula mulai jam 5.30 petang hingga 10.00 malam setiap hari

#8. Bubur Nasi Istimewa No.1

Para peminat bubur nasi, boleh cuba menjamu selera di sini. Pastinya anak – anak anda juga terpikat dengan bubur nasi yang disediakan. Mungkin sesetengah orang, bubur nasi adalah menu yang biasa – biasa sahaja. Namun, jika anda mencuba bubur nasi di sini, ternyata rasanya cukup luar biasa.

Bubur Nasi

Imej via facebook

Bubur nasi yang tersedia di sini dihidangkan bersama pelbagai lauk – pauk lain yang memberi rasa istimewa. Antara lauk yang digabungkan bersama adalah ikan bilis goreng, telur masin, lobak jeruk, kangkung goreng belacan dan banyak lagi.

Nasi Bubur

Imej via facebook

Setelah merasai keenakan bubur nasi di sini, pastinya anda ingin menikmatinya lagi.

Lokasi : 91, Jalan Sutera, Taman Sentosa, 80150 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.00 petang hingga 3.00 pagi setiap hari

#9.Warong Saga

Warong Saga telah dibuka sejak tahun 1986 lagi. Ia menyediakan menu masyarakat Johor yang begitu enak seperti laksa Johor, lontong kering, tauhu goreng dan banyak lagi.

Mee Rebus

Imej via akuyangsengal

Yang pastinya, menu paling hangat di Warong Saga adalah tauhu gorengnya yang rangup di luar dan lembut di dalamnya. Tambahan pula ia dimakan bersama sambal kicap yang begitu enak sekali.

Lontong Kering

Imej via johorkaki

Lokasi : 5, Jalan Mahmoodiah, Kampung Mahmoddiah, 80100 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 1.00 petang setiap hari

#10. Restoran ZZ Sup Tulang

Sup tulang, sup gearbox, sup daging, sup ayam antara hidangan sup yang begitu famous di Restoran ZZ Sup Tulang. Tetapi, yang paling terkenal dan mendapat permintaan ramai adalah sup tulangnya yang begitu superb.

Sup Tulang

Imej via facebook

Sup yang dimasak bersama rempah ratus istimewa menghasilkan sup yang agak pekat. Malah, daging yang dihidangkan begitu empuk dan lembut membuatkan ramai tertarik untuk menghirup sup di sini. Selain sup, anda juga boleh mencuba hidangan lain yang juga tidak kurang hebatnya seperti mee rebus, tomyam, bubur, mee soto dan juga laksa.

Mee Rebus Tulang

Imej via facebook

Lokasi restoran juga begitu strategic, malah menampilkan dekorasi berkonsep nature yang cukup mendamaikan buat semua pengunjung. Rasa hidangan memang terbaik dan sedap. Tak percaya ? Datang dan cubalah sendiri di restoran ini.

Lokasi : 20, Jalan Petri 5/1, Kampung Bahru, 80100 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.00 pagi hingga 1.00 pagi setiap hari

#11. Roslin Beriani House

Nasi beriani sememangnya popular di Johor. Adalah tidak lengkap bagi anda yang berkunjung ke Johor, namun tidak menikmati nasi beriani gam di Roslin Beriani House. Apa yang menarik sangat dengan Roslin Beriani House ini? Kalau anda hendak tahu, ia merupakan pengasas kepada beriani gam di Johor.

Roslin Beriani

Imej via facebook

Nasi beriani di sini dihidangakan bersama kari daging, kambing ataupun ayam. Karinya pula pekat, penuh dengan rasa rempah ratus yang memukau tatkala anda merasainya.

Roslin Beriani

Imej via facebook

Hidangannya sudahlah sedap, malah harganya pula sangat berpatutan dan di antara restoran nasi beriani gam yang mengenakan harga yang betul – betul berbaloi. Kualiti pula sudah tentulah yang terbaik buat pelanggan.

Lokasi : 14, Jalan Rebana, Taman Perbadanan Islam, 80250 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 6.30 petang setiap hari

#12. Banafee Village

Jika anda sudah puas menjamu nasi beriani di sekitar Johor, apa kata anda mencuba pula nasi ayam penyet asli dari negara seberang. Nak tahu di mana anda boleh mencuba nasi ayam penyet asli ? Cubalah di Banafee Village yang terletak di Taman Abad, Johor.

Nasi Goreng Banafee

Imej via facebook

Nasi ayam penyet di Banafee Village ini menggunakan resepi asli dari Indonesia. Ayamnya digoreng rangup, pastinya membuka selera anda. Ia turut dihidangkan bersama sup serta sambal yang memang tip top sama seperti di Indonesia.

Western Banafee

Imej via facebook

Jika anda tidak mahu mencuba nasi ayam penyet, apa kata anda cuba pula nasi padang, sup tulang merah atau ikan bakar di sini. Hidangannya juga tidak kalah pada rasa, pasti tidak mengecewakan. Memang sedap dan menjadi pujaan ramai pelanggan.

Lokasi : 9022, Jalan Dato Abdullah Tahir, Taman Abad, 80300 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka 24 jam setiap hari

#13. IT Roo Café

Para penggemar makanan western, bolehlah terjak ke IT Roo Café yang terletak di Jalan Dhoby, Bandar Johor Bahru ini. Menggunakan slogan “The Best Chicken Chop In Town” pastinya membuat penggemar makanan western untuk mencuba hidangan di sini.

Western IT Roo

Imej via facebook

Menu paling popular sudah tentulah chicken chopnya yang sedap. Selain itu, anda juga boleh mencuba meatball, lamb chop, spaghetti, chicken grill dan juga lamb chop. Anda juga boleh mencuba pelbagai masakan ala Cina di sini antaranya Cantonese kuey teow yang menjadi kegemaran ramai pengunjung selain makanan barat.

Chicken Chop IT Roo

Imej via facebook

 

Lokasi : No. 17, Jln Dhoby, Bandar Johor Bahru, 80000 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 12.00 tengahari hingga 9.30 malam setiap hari

#14. Restoran Anjung Tokoh

Restoran Anjung Tokoh menampilkan konsep santai yang kemas dan selesa buat para pengunjung. Suasana sebegini tenang membuatkan ramai pelanggan terutamanya dari golongan muda menjamu selera di sini.

Pasta Anjung

Imej via facebook

Restoran ini menghidangkan pelbagai makanan barat yang boleh anda cuba. Pemilik restoran ini mengetengahkan menu seperti chicken chop, aglio oglio dan burger banjir sebagai signature dish yang wajib anda cuba. Presentation cukup menarik dan pastinya hidangannya juga sedap sekali.

Pasta Anjung

Imej via facebook

Lokasi : Dato’ Jaafar Building, Jalan Yahya Aldatar, Johor, Malaysia, 80400

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 12.00 pagi setiap hari (kecuali Ahad tutup)

#15. Smokey Kuey Teow

Pernah tak anda mencuba char kuey teow lain dari yang lain? Rasanya kalau anda memesan hidangan char kuey teow di mana – mana restoran, rasanya pasti hampir sama kan?

Smokey Kuey Teow

Imej via idadamia

Namun, jika anda berkunjung ke Smokey Kuey Teow, cubalah char kuey teow di sini. Boleh mencuba char kuey teow basah, mahupun kering, terpulang kepada selera anda. Yang pastinya, char kuey teow di sini memberi rasa yang berbeza.

Char kuey teow yang dihidangkan mempunyai tekstur, persembahan dan rasa yang begitu berlainan. Restoran ini menampilkan rasa Melayu di dalam hidangan char kuey teow mereka. Sudah tentulah rasanya cukup berbeza.

Smokey Kuey Teow

Imej via facebook

Anda juga boleh memilih salah satu lauk untuk dimasak bersama samada udang, kerang mahupun ayam. Yang paling best, anda juga boleh merasai ketiga – tiga lauk ini dalam sepinggan char kuey teow dengan hanya memesan char kuey teow special. Best kan?

 Lokasi : No, 12, Lorong Mutiara, Kampung Melayu Majidee, 81100 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 malam hingga 12.00 pagi setiap hari

#16. Sedap Corner

Sedap Corner antara restoran yang telah lama bertapak di bandar Johor Bahru kira – kira sejak 32 tahun yang lalu. Mengekalkan rasa yang sama membolehkan restoran ini terus bertahan sehingga ke hari ini.

Nasi Ambeng Sedap Corner

Imej via foodadvisor

Mesti anda tertanya – tanya menu istimewa di Sedap Corner sehingga begitu lamanya masih meneruskan perniagaan mereka. Kalau anda hendak tahu, kenalah datang sendiri ke restoran ini. Menu utama yang menjadi permintaan ramai adalah ikan pari pakar, ayam goreng pandan dan juga char kuey teownya yang memang sedap dan kecur air liur dibuatnya.

 

Asam Pedas Sedap Corner

Imej via sislin76

Mungkin menunya kelihatan biasa, tapi cubalah dahulu baru tahu apa rasanya. Sesuai dengan nama restoran yang ditampilkan, hidangannya pun sedap.

Lokasi : No. 11, Jln Abdul Samad, Kampung Bahru, 80100 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 10.30 pagi hingga 11.00 malam setiap hari.

#17. Asam Pedas Botak

Hidangan asam pedas sangat terkenal di Melaka. Mungkin anda tidak tahu, di Johor juga turut terkenal dengan hidangan ini.

Asam Pedas Botak

Imej via facebook

Di Johor, menu asam pedas ini begitu terkenal di kalangan masyarakat Johor di Parit Jawa serta Kota Laksamana. Anda boleh rasai keenakan asam pedas di Restoran Asam Pedas Botak yang terletak di Johor Bahru ini.

Asam Pedas Botak

Imej via facebook

Asam pedas di sini mempunyai kuah yang pekat serta rempah ratus yang cukup menggoda. Malah, penggunaan ikan segar di dalam asam pedas ini menambah rasa yang lebih mengliurkan. Aromanya pasti membuka selera anda sebaik sahaja ia dihidangkan.

Anda juga boleh mencuba nasi ayam penyet yang juga menyelerakan di sini. Sambal yang disediakan juga memang terbaik.

Lokasi : 142, Jalan Lumba Kuda, Tanjung Puteri, 80300 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.00 pagi hingga 3.30 petang setiap hari (kecuali Ahad tutup)

Kesimpulan

Bandar Larkin sememangnya padat dengan penduduk tempatan. Kesibukan bekerja seharian, pastinya membuat ramai yang tidak sempat untuk menyediakan hidangan buat keluarga tersayang. Kewujudan restoran – restoran di sekitar bandar ini membolehkan rakyat tempatan serta pengunjung luar menjamu selera dengan tenang dan gembira.

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.