Gua Musang antara checkpoint yang menjadi tumpuan pelancong yang dari arah Kuala Lumpur dan Pahang. Ia merupakan tempat persinggahan utama kerana di sinilah terdapatnya bekalan petrol, gerai makan dan makanan segera serta sebagai tempat untuk berehat seketika dan sebagainya.
Bagi anda yang akan ke Kota Bharu atau destinasi seterusnya, pastikan singgah sebentar di Gua Musang ini terlebih dahulu. Jika lapar, isilah perut terlebih dahulu, dan jika kehabisan petrol boleh singgah ke stesen minyak berdekatan sebelum meneruskan perjalanan anda.
Artikel kali ini kita akan senaraikan tempat – tempat makan yang best di Gua Musang ini. Anda yang berkesempatan singgah di Gua Musang bolehlah mencuba di beberapa buah restoran atau tempat makan yang dicadangkan.
Sekiranya anda berada di Gua Musang, jangan lepaskan peluang untuk menjamu selera di restoran yang terkenal di kalangan para pembesar kerajaan ini. Ia dikenali dengan nama Restoran Dalam Taman.
Terletak di Kampung Kundur, Jalan Cameron Highland iaitu hanya kira – kira 200 meter sahaja dari Simpang Empat Taman Tropika dan 3km dari Stesen Minyak Shell Bandar Baru Gua Musang. Kedudukannya agak terpencil, namun menawarkan hidangan yang hebat dengan harga yang berpatutan.
Makanan di sini merupakan menu yang terdiri dari pencantuman budaya Thailand (masakan panas) serta masyarakat Kelantan yang menghidangkan ulam – ulaman dari hutan. Anda juga boleh mencuba daging rusa sebagai menu tambahan.
Antara menu lain yang boleh anda cuba selain lauk pauk kampung, anda juga boleh memesan menu seperti tomyam, ikan siakap stim, sayuran goreng, telur dadar dan banyak lagi. Dengan harga serendah RM 55 per set untuk lima orang dengan menu seperti ikan siakap 3 rasa / sweet sour, sayur kalian, tomyam, telur dadar, sambal belacan, ulam timun dan nasi.
Alamat : Taman Tasik Bandar Baru Gua Musang, 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari (kecuali Selasa tutup)
Jaraknya hanya kira – kira 200 meter sahaja dari Pusat Pemeriksaan JPJ Tanah Puteh. Restoran Bayu Lenang merupakan sebuah restoran yang agak unit berkonsepkan berehat sambil memancing. Sambil berehat bolehlah menghirup angin bayu yang bertiupan serta dapat merehatkan fikiran.
Restoran yang mendamaikan ini sangat sesuai buat seisi keluarga. Terdapat masakan panas ala Thai dan juga ala Chinese yang dikenakan dengan harga yang sangat berpatutan.
Bagi yang suka memancing, di sini adalah tempat yang pastinya menyeronokkan kerana terdapat sebuah kolam buatan dasar semulajadi yang begitu luas. Selain dapat menjamu selera, bagi kaki pancing anda boleh cuba memancing di sini dengan bayaran RM 25.00 sahaja untuk tempoh 3 jam. Malah, hasil pancingan anda boleh dimasak terus di restoran ini dengan kadar bayaran bergantung kepada jenis masakan.
Alamat : 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam setiap hari (kecuali Jumaat tutup)
Bagi penggemar hidangan sup, boleh mencuba sup air asam di sini. Rasa supnya memang tak dinafikan, memang sedap. Boleh juga dimakan bersama nasi putih, ikan masin, telur dadar dan sebagainya.
Terdapat bermacam menu lain yang turut membuka selera. Antaranya ada bersama telur dadar, ikan masin, daging bakar, ayam goreng kunyit, pelbagai sayur goreng, ikan siakap sweet and sour, siakap stim, creampuff sebagai pencuci mulut dan banyak lagi.
Alamat : PT 9316 jalan BB 8, Bangunan kesedar perdagangan, Bandar Baru Gua Musang, 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 9.30 malam setiap hari
Restoran ini sering menjadi tumpuan ramai hinggakan kadangkala keadaan di sini agak sesak dengan pelanggan yang datang. Ia juga sentiasa dipenuhi tidak kira masa.
Lokasi restoran ini terletak menghala ke jalan bandar lama ke Gua Musang iaitu di hujung jalan sebelum selekoh. Sepertimana namanya, menu utama di sini adalah nasi ayam.
Nasinya yang dimasak begitu lembut dan gebu. Anda juga boleh memesan menu masakan panas terutamanya tomyam yang sememangnya asli dari Thailand. Tukang masak pun dari negara jiran.
Harga makanan juga sangat berpatutan, malah keenakan hidangan yang disediakan pastinya membuatkan hati anda gembira.
Alamat : Bandar Utama PT 3274, 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 malam setiap hari
Restoran Kak Zah begitu ringkas dekorasinya, dengan lukisan dinding yang begitu menarik. Menyediakan pelbagai jenis hidangan dari sarapan pagi hingga ke petang. Menu yang anda boleh nikmati di sini terdiri nasi lemak, nasi dagang dan juga nasi kerabu.
Menjelang tengahari pula pelbagai lauk – pauk begitu menyelerakan disediakan di sini. Antara lauk pauk yang disediakan adalah kerutuk serati, gulai ayam, patin tempoyak, tilapia tomato, ikan aya itam pedas, dalca, ayam kurma dan banyak lagi.
Selain itu juga anda boleh mencuba sate ayam, colek – colek, air teh pior serta kudapan lain menjelang waktu petang. Semuanya enak dan pastinya anda puas hati dapat singgah makan di sini.
Alamat: No 1, Bangunan MDGM, 18300 Gua Musang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 3.00 petang setiap hari
Seawal 7.00 pagi restoran ini telah dibuka buat para pelanggan menjamu selera. Jika yang dalam perjalanan ke Kota Bharu, boleh singgah di sini dahulu.
Rasai keenakan nasi kerabu di sini, cukup rasa dan menyelerakan. Nasi lemak dan juga nasi dagangnya juga sedap tak terkata.
Nasi kukus ayam berempah juga terkenal di sini, di samping sup ayam kampung yang menyegarkan. Bagi penggemar dessert, bubur jagung dan kacang merah juga tersedia.
Pada sebelah malam, masakan panas menjadi pilihan, di tambah pula ikan celup tepung yang rangup dan mengiurkan. Chicken chop panas – panas dengan kuah yang mantap pasti menyeronokkan. Jangan lupa pada colek yang sering menjadi pilihan.
Alamat : Kampung Gata, 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 1.00 pagi setiap hari
Ikhwan Delight merupakan cawangan restoran yang kelima dibuka selepas Tanah Rata Cameron Highlands, Subang Bestari, Selangor dan Tumpat, Kelantan. Ia terletak di sebelah belakang Bank Rakyat iaitu berdekatan Maybank / Pizza Hut / KFC.
Macam – macam menu anda boleh rasai di sini seperti makanan Arab, makanan Barat yang terdiri dari pasta, pizza, burger dan juga makanan Asia / tempatan. Sarapan pagi juga boleh didapati di sini.
Pada sebelah malam, selain makanan panas, anda juga boleh memesan set steamboat yang cukup berbaloi. Anda juga boleh mencuba hidangan pencuci mulut yang sangat mengasyikkan.
Alamat : PT 7836, Jln Persiaran Raya, Taman Mesra, 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 11.00 malam
Nasi kukus panas – panas bersama ayam goreng berempah pastinya menyelerakan. Tambahan pula singgah semasa perut tengah lapar, mestilah habis nasi sepinggan.
Irdina Nasi Kukus ini menyediakan nasi kukus ayam goreng berempah yang memiliki peminat tersendiri. Sering menjadi tumpuan ramai terutamanya menjelang cuti sekolah atau cuti umum.
Set nasi kukus ini dihidangkan bersama kuah dan sambal cili. Selain ayam goreng berempah, terdapat juga ayam percik yang memang menjadi rebutan. Nasi kukus di sini dihidangkan beralaskan kertas pakai buang yang lebih praktikal dan memudahkan.
Alamat : Pekan Gua Musang, 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari
Sekiranya anda tiba di pekan Gua Musang ini di awal pagi, singgahlah bersarapan terlebih dahulu di Restoran Nasi Lemak Telur Puyuh ini. Menu utama sudah tentulah nasi lemak, yang berlaukkan telur puyuh dan juga sambal. Terdapat lauk pauk lain yang boleh anda nikmati juga seperti paru sambal, ayam goreng, puyuh goreng berempah dan sebagainya.
Selain nasi lemak, terdapat roti titab yang begitu popular, roti bakar, telur goyang, laksam, puri bersama kari, lontong, roti cotek banjir, somtam dan banyak lagi. Pastikan anda memesan air halia telur puyuh, yang memang berbeza dari minuman lain.
Alamat : PT 9331, Bandar Baru Gua Musang, 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari
Tidak ramai yang tahu lokasi Restoran Selera Sri Kolam kerana terletak di sebelah belakang Jalan Pulai ke Kampung Batu Papan. Menu utama di restoran ini adalah ikan tilapia yang merupakan ternakan kolam restoran ini.
Ikan tilapia yang diperolehi dari kolam ternakan pemilik restoran ini akan dijadikan gulai ikan atau pelbagai jenis menu lain yang enak. Selain ikan tilapia, anda juga boleh mencuba gulai ayam yang juga sedap.
Kolam ikan tilapia terletak bersebelahan restoran dan juga bersebelahan gua. Isinya tidak berbau dan begitu segar sekali.
Alamat : 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang setiap hari
Nusuk Café ini terletak di deretan rumah kedai berhadapan dengan Taman Etnobotani iaitu di laluan ke perumahan Taman Kesedar Putra 2. Menyediakan pelbagai makanan yang enak, pastinya rugi jika anda tidak menjamu selera di sini.
Menu – menu yang disediakan sangat menarik seperti gulai kawah, ayam percik, tomyam, sayur campur, pelbagai jenis ikan bakar dan banyak lagi. Anda juga boleh memesan shellout mengikut set yang bersesuaian dengan kapasiti anda.
Alamat : 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 2.00 petang hingga 12.15 pagi setiap hari
Dapat makan char kuetiaw setelah penat memandu, pastinya satu bonus. Sambil berehat sebentar, menikmati hidangan char kuetiaw pastinya menggembirakan.
Anda boleh cuba char kuetiaw Dataran ini yang begitu popular. Dihidangkan bersama udang yang bersaiz sederhana serta telur mata pastinya memukau.
Jika anda tidak mahukan char kuetiaw, boleh juga memesan masakan Barat seperti chicken chop, lamb chop, sosej, meatball dan sebagainya.
Alamat : Dataran Shell Gua Musang, 18300 Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 9.00 pagi 2.00 pagi setiap hari (kecuali Jumaat tutup)
Roti Canai London, siapa yang tak kenal di sekitar Gua Musang ini. Cukup popular, cukup glamour dengan roti canainya yang lembut di dalam, garing di luar.
Rata – rata pelanggan yang terdiri dari penduduk tempatan sangat menggemari roti canai di sini. Memiliki lot – lot parking yang banyak memudahkan para pelanggan meletakkan kenderaan mereka ketika menjamu selera di sini.
Sekiranya ingin datang bersarapan di sini, pastikan anda tiba awal kerana ianya sering dipenuhi pelanggan. Lokasinya yang terletak di laluan jalan untuk ke pasar besar, pastinya menjadi tumpuan ramai.
Selain roti canai, anda juga boleh mencuba murtabaknya yang agak tebal bersama isi daging / ayam serta ramuan lain. Teh tarik atau kopi panasnya pastinya menjadi pelengkap menu roti canai anda.
Alamat : Bandar Baru Gua Musang, 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.00 pagi hingga 5.00 malam setiap hari
Pastinya anda terliur tatkala teringatkan maggi ketam yang segar. Tambahan pula jika anda tengah lapar, mesti keinginan tidak tertahan lagi.
Sebuah Restoran Anjung Seafood yang terletak di pekan Gua Musang pastinya dapat memenuhi kehendak dan permintaan anda. Menunya berasaskan makanan laut cukup memikat hati.
Anda boleh memesan maggi ketam yang sangat menarik di sini. Shellout juga begitu menyelerakan. Terdapat juga menu – menu masakan panas yang pastinya menggegarkan selera anda.
Alamat : Pekan Gua Musang, 18300 Gua Musang, Kelantan
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari
Anda pastinya tidak lagi pening kepala memikirkan tempat untuk menjamu selera setibanya di kawasan Gua Musang ini. Biarpun pekan Gua Musang ini agak kecil, namun ia memiliki banyak tempat makan yang sedap dan murah untuk anda nikmati.
Jangan lupa simpan senarai tempat makan best di Gua Musang ini sebagai panduan anda suatu hari nanti.