Kedai makan ini menyajikan gulai kawah batang pisang sebagai menu sajian utama. Hidangan ini menggunakan resepi asli dari Kampung Belantek, Kedah. Setiap bahan yang digunakan untuk menghasilkan hidangan di sini terdiri dari bahan – bahan segar sahaja seperti daging lembu dan kambing yang diambil terus dari ladang.

Selain sajian utama, terdapat juga menu sampingan serta lauk pauk lain seperti ikan pekasam, sayur – sayuran, ulaman dan bermacam lagi.

Setiap hari, kedai makan ini dibuka mulai jam 7.00 petang hingga jam 6.00 petang. Lokasi kedai makan ini terletak berhampiran Lapangan Terbang Subang dan anda boleh menikmati hidangan sambil melihat kapal terbang yang berlepas dan akan mendarat.

Gulai Batang Pisang

Imej via facebook

Nasi Kukus Apollo

Sik Gulai Batang Pisang turut menyediakan menu seperti Nasi Kukus Apollo, ayam kampung goreng panas, ayam dara goreng berempah dan banyak lagi. Gulai batang pisang ini sebenarnya sangat popular di kalangan masyarakat kawasan pedalaman Kedah terutama masyarakat di daerah Baling dan Sik.

Menu ini juga merupakan salah satu hidangan wajib yang selalu dihidangkan semasa majlis perkahwinan di daerah Baling dan Sik. Biarpun ia sangat popular dan mendapat permintaan ramai, namun tidak semua kedai makan atau restoran menyajikan menu ini.

Berikutan menu ini agak renyah serta rumit untuk disediakan, oleh sebab itu ia agak sukar di dapati di mana – mana kedai makan. Ini kerana bahan utama iaitu batang pisang agak sukar diperoleh kerana tidak semua batang pisang sesuai dibuat gulai.

Menu Tengahari

Imej via facebook

Menyedari kesukaran untuk mendapatkan hidangan ini, Ruhaimi Abdul Rahman telah memperkenalkan hidangan tersebut di Sik Gulai Batang Pisang yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang. Batang pisang yang digunakan merupakan umbut atau empulur batang pisang yang terletak di bahagian tengah dan berwarna putih.

Stok batang pisang akan diperoleh sekali seminggu melalui peraih di sekitar kawasan Subang. Batang pisang yang paling sedap dijadikan gulai adalah batang pisang hutan yang lebih beraroma serta pisang abu yang rasanya lebih lemak  manis.

Sebanyak tujuh kilogram daging kambing dan tujuh kilogram daging lembu digunakan untuk menghasilkan gulai batang pisang tersebut. Gulai batang pisang ini menggunakan resepi rahsia tersendiri dan mendapat permintaan yang tinggi. Kerap kali gulai ini habis awal jika pelanggan yang lambat tiba pasti akan kecewa.

Pulut Ikan Masin

Imej via fecbook

Batang Pisang Ada Khasiatnya

Batang pisang ini sebenarnya mempunyai khasiat yang tersendiri. Ia baik untuk penghadaman selain dapat menyingkirkan asid urik yang menyebabkan penyakit gout. Antara menu lain yang turut disediakan di sini adalah 15 jenis masakan kampung. Ia seperti ayam kampung goreng, ikan bawal goreng panas, siput sedut masak lemak  dan gulai lemak kuning ikan jenahak. Tidak ketinggalan juga menu asam pedas pari, ikan masin tamban, ikan bakar, terung sambal dan juga peria telur.

Sik Gulai Batang Pisang ini turut menyajikan sarapan pagi buat para pelanggan yang merupakan menu ala kampung. Ia terdiri dari keledek rebus, ubi kayu rebus, pulut ikan masin, lempeng kelapa, lempeng pisang, nasi lemak, roti goyang, kuih muih dan banyak lagi. Kedai makan ini dibuka setiap hari mulai jam 7.00 pagi hingga jam 6.00 petang kecuali hari Ahad.

Alamat : Jalan Lapangan Terbang Subang Lama Shah Alam Selangor

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.