Ada di kalangan pembaca di sini yang merancang untuk berkunjung ke Kuching, Sarawak? Anda pasti teruja untuk menerokai kota Kuching yang kaya dengan pelbagai daya tarikan, termasuklah makanan asli Sarawak yang dihidangkan di pelbagai restoran dan warung di sana, bukan? Antara makanan asli Sarawak yang paling popular ialah Mi Kolok.

Bagi sesiapa yang ingin mencuba Mi Kolok, kami cadangkan anda singgah di Sepinang Sari Cafe yang bertempat di Kuching, Sarawak. Beroperasi sejak tahun 1996, Sepinang Sari Cafe boleh dikatakan antara restoran yang cukup dikenali di Sarawak. Pengunjungnya juga ada yang sanggup datang dari Brunei dan Indonesia! Mari kita lihat apa yang istimewa di sini.

mi kolok haji salleh @ sepinang sari

Imej via Foursquare

Mi Kolok Haji Salleh, Keaslian dan Keenakan Mi Kolok Tiada Tandingan

Mi Kolok Haji Salleh ini ialah resepi Mi Kolok yang dicipta sendiri oleh pemiliknya, Tuan Haji Salleh. Merupakan antara menu yang paling banyak dipesan, ianya dihidangkan bersama daging, tendon atau ayam, mengikut citarasa pengunjung itu sendiri. Daging dan ayam yang dihidangkan cukup lembut dan segar. Mi Kolok ini menggunakan resepi asli, menjadikan keenakannya berganda-ganda!

mi kolok special tendon @ sepinang sari cafe

Imej via Foursquare

Selain itu, menu Mi Kolok ini juga ada pelbagai versi. Antaranya Mi Kolok Kosong, Mi Kolok Special yang dihidangkan bersama isi tulang, Mi Kolok Special & Tendon dan banyak lagi. Dagingnya juga banyak dan segar. Yang seronoknya, kesemua hidangan Mi Kolok ini boleh didapati pada harga kurang RM20, cukup berbaloi!

mi sapi @ sepinang sari cafe

Imej via Foursquare

Mi Sapi, Murah dan Istimewa

Hidangan mi seterusnya yang cukup digilai pengunjung di Sepinang Sari Cafe ialah Mi Sapi. Mi Sapi ini lebih kurang sahaja seperti Mi Kolok, yang membezakannya dan Mi Kolok ialah ianya lebih bersup. Supnya memang secukup rasa dan tidak terlalu pedas. Hidangan Mi Sapi ini juga cukup bervariasi, antaranya Mi Sapi Tendon, Mi Sapi Tendon & Tulang dan banyak lagi. Memang kena dengan tekak pelbagai rasa!

mi pok @ sepinang sari

Imej via Foursquare

Banyak Lagi

Anda pernah terdengar tentang Mi Pok? Mi Pok ialah hidangan mi di mana bentuk Mi Pok seakan-akan Kuey Teow tetapi teksturnya sama sahaja seperti Mi Kolok. Mi Pok di Sepinang Sari Cafe ini turut mempunyai hidangan yang berbagai seperti Mi Pok Ayam, Mi Pok Daging, Mi Pok Tendon dan yang paling istimewa, semestinya Mi Pok Daging dan Tendon!

roti kahwin @ sepinang sari

Imej via Foursquare

Bukan hidangan mi sahaja yang ada di Sepinang Sari Cafe ini, Roti Kawin pun ada! Unik namanya, bukan? Roti Kawin ini ialah roti sandwic yang dibakar yang disapu mentega dan kaya di dalamnya. Harganya sangat murah, hanya RM1.20. Cukup enak dijamu semasa bersarapan Mi Kolok sambil menghirup minuman panas!

Sepinang Sari Cafe ini menyajikan makanan yang halal dan dijamin bersih, harga makanannya juga murah-murah belaka. Kualiti dan kuantiti makanannya juga memang terbaik, patutlah sehari demi sehari restoran ini senantiasa dipenuhi pelanggan!

Bagi yang sudah mula merancang untuk ke Sepinang Sari Cafe, cepat-cepatlah serbu ya dan anda digalakkan datang seawal mungkin jika tidak mahu terlepas peluang. Terletak di Jalan Satok di Kuching, Sarawak dan beroperasi pada setiap hari kecuali Selasa seawal jam 5:30 pagi sehingga 1 tengahari, lekaslah rebut peluang ini untuk mencuba Mi Kolok terbaik di Kuching!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.