Dahulu dan sekarang, banyak kafe yang dibuka mempunyai konsep tersendiri. Tetapi kebanyakan konsep hampir sama. Namun berlainan pula dengan Rumah Sarapan.
Dari nama sudah kita tahu kafe yang diusahakan oleh pasangan suami isteri ini menyediakan menu untuk sarapan. Pelbagai makanan sarapan disediakan di sini dengan harga yang berpatutan.
Sebaik melangkah ke dalam kafe, anda akan lihat idea yang dicetuskan oleh pemilik. Secara kasarnya, dekor kafe berkonsepkan minimalis dan santai.
Ia memang sesuai dengan konsep kafe yang menyediakan makanan yang ringkas tetapi menarik. Penggunaan perabot yang ringkas memberi rasa lebih relaks dan tenang untuk pengunjung.
Tidak ketinggalan dekor retro yang pasti menggamit kenangan pengunjung.
Setelah setahun beroperasi, Rumah Sarapan sudah berjaya menembusi hati pencinta makanan. Apa rahsianya?
Kebanyakan menu di sini tercetus daripada idea pemilik kafe sendiri. Antara menu yang paling popular di sini ialah Kacang Pool yang dimakan bersama roti bakar.
Pemilik kafe mahu peminat makanan di Utara mencuba makanan yang popular di Johor. Ramai pengunjung bersetuju bahawa Kacang Pool di sini hampir sama rasanya dengan Kacang Pool yang popular di sana.
Satu lagi hidangan dari Selatan ialah Lontong. Ramai pengunjung yang suka makanan Johor akan singgah di sini untuk menikmatinya.
Selain itu pemilik tidak lupakan makanan yang terkenal di Kedah, Nasi Lemuni. Nasi yang dimasak seakan nasi lemak itu bukan saja enak, malah mempunyai rasa tersendiri yang segar dan berbeza.
Nasi lemuni yang menjadi kegemaran pelanggan itu adalah resipi keluarga sejak turun-temurun.
Selain itu anda boleh juga menikmati roti bakar, roti kukus dan set makanan sarapan berunsur menu Barat. Paling penting harga di sini di bawah RM 10.00 sahaja.
Terdapat juga hidangan untuk si cilk menikmati sarapan.
Bagi Penulis, dengan persekitaran yang cukup tenang, ia dikira cukup murah. Saiz hidangan pula boleh dikira besar dan tidak terfikir akan membayar dengan harga ekonomi.
Silap hari bulan, anda mungkin akan berkongsi dengan rakan untuk mengelakkan pembaziran. Antara menu yang menrik minat penulis jika berkunjung ke sini selain Kacang Pool, sudah semestinya Roti Sambal.
Roti Sambal boleh dikatakan juga salah satu signature dish di Rumah Sarapan. Roti hotdog yang dibelah tengah di letak telur hancur dan dicurah sambal ikan bilis di atasnya.
Sambal ini memang enak. Paling penting adalah keseimbangan rasa pedas, masam, manis dan masin.
Usah berfikir lagi, cuba sendiri keenakan menu di sini dan anda mungkin akan bersetuju dengan rumusan penulis. Penulis ingin berpesan jika hari Jumaat, Sabtu dan Ahad anda perlu datang awal. Pada hari tersebut ramai pengunjung yang datang untuk bersarapan.
Jangan marah pemilik jika anda perlu menunggu untuk duduk. Namun penantian anda berbaloi setelah pesanan dihidangkan.
Rumah sarapan terletak di deretan rumah teres Taman Sejati Indah Sungai Petani. Nak mudah lagi, sebelah pasaraya Parkson/Giant. Cari pintu masuk kakitangan Giant akan nampak kedai ni.
Bagi yang menggunakan lebuhraya PLUS boleh keluar di susur Sungai Petani Selatan. Lepas plaza tol belok kiri kemudian nampak KFC belok kiri dan ambil simpang yang kedua di sebelah kanan.
Alamat:
C 182, Lorong 12, Taman Sejati Indah
08000 Sungai Petani
Waktu Perniagaan:
7.30 pagi hingga 11.30 pagi. Tutup setiap hari Selasa
FB Page : Jom Breakfast at Rumah Sarapan