Tanah Rata, Cameron Highlands merupakan antara tempat pelancongan utama yang paling popular di negara kita. Tanah Rata sering sahaja dikunjungi ramai pelancong, tidak kira dari luar atau dalam negara. Sambil menikmati cuaca yang sejuk dan pemandangan yang indah, perut jangan lupa pula diisi dengan makanan yang enak.
Bagi yang merancang untuk berkunjung ke Tanah Rata, Pahang, dan masih tercari-cari restoran manakah yang menghidangkan makanan yang enak pada harga yang berbaloi dengan kualiti makanannya, anda patut berkunjung ke restoran yang bakal kami cadangkan ini. Semestinya anda akan berpuas hati!
Restoran Taman Apple yang dahulunya dikenali sebagai Restoran Taman Abang yang bertempat di Tanah Rata, Pahang mula beroperasi sekitar tahun 2014 lagi. Terkenal dengan menu istimewanya iaitu Serunding Strawberi yang cukup unik, tidak hairanlah Restoran Taman Apple sentiasa dipeuhi dengan pelanggan. Mari kita lihat apa yang menarik di sini!
Anda pernah terdengar tentang Nasi Lemak Serunding Strawberi? Namanya sahaja cukup unik, anda pasti tertanya-tanya bagaimana rasanya bukan? Menu ini merupakan antara menu yang istimewa di Restoran Taman Apple kerana keunikannya yang menggabungkan serunding strawberi bersama nasi lemak.
Jangan musykil, kebanyakan pelanggan di sini juga terkejut dengan keenakan menu ini! Ada pelanggan yang mengatakan rasa Serunding Strawberi ini seperti rendang, ada pulak yang mengatakan yang rasanya seperti masak merah. Lain tekak lain rasa, jadi kami cadangkan anda sendiri yang cuba!
Bagi yang ingin mencuba nasi lemak versi lain, usah gundah! Restoran Taman Apple turut menyediakan Nasi Lemak Sambal Strawberi, Nasi Lemak Rendang Ayam dan Nasi Lemak Rendang Daging. Tidak keterlaluan jika kami katakan Restoran Taman Apple ini memang syurga nasi lemak, macam-macam nasi lemak ada, yang penting enak-enak belaka!
Bukan sahaja Nasi Lemak Serunding Strawberi sahaja yang dijual. Bagi yang berminat untuk merasai serunding strawberi tapi tidak menggemari masakan pedas, anda boleh mencuba set Nasi Kukus Serunding Strawberi. Dihidangkan bersama ayam berempah yang rangup, sambal yang tidak terlalu pedas dan semestinya hidangan uniknya iaitu serunding strawberi, anda pasti teruja dengan keenakan dan keunikannya!
Cuaca di Tanah Rata memang sejuk, jadi makanan panas memang pilihan yang cocok buat para pengunjung di sana. Kami cadangkan anda cuba menu ini – soto! Dua menu soto di sini iaitu Bihun Soto dan Mi Soto memang mendapat banyak pesanan, dek kerana hidangannya sendiri yang sedap dan dihidangkan panas-panas. Fuh, memang bikin kecur air liur!
Ini antara hidangan yang ‘laku keras’ di Restoran Taman Apple – set Kambing Bakar. Kedengaran biasa-biasa sahaja, tapi bila dah rasa, memang luar biasa sedapnya! Kambing Bakar ini dibuat dengan rempah yang istimewa, sosnya yang cukup digilai ramai pula hanya terdapat di Restoran Taman Apple sahaja. Jelaslah hidang ini memang istimewa, satu dalam sejuta!
Daging kambing bakar yang lembut dan segar ini dihidangkan bersama nasi putih, ulam-ulaman, sos istimewanya yang pedas tapi manis atau dihidangkan bersama sambal, dan dilengkapi dengan kuah sup, hidangan ini sememangnya mengenyangkan! Harganya juga kurang RM20, sangat berpatutan dengan kualiti dan kuantiti hidangan ini, anda wajib cuba!
Menu lain seperti Laksa Johor, Mi Rebus dan masakan panas juga ada dihidangkan di Restoran Taman Apple ini! Buffet steamboat juga turut dihidangkan pada waktu petang. Waktu bagi setiap hidangan juga berbeza, jadi anda boleh mencuba pelbagai hidangan istimewa lagi unik ini, hanya di Restoran Taman Apple yang terletak di Tanah Rata, Pahang. Bagi yang sudah mula berkeroncong perut itu, cepat-cepatlah singgah sebelum terlepas peluang ya!