Apabila disebut mee calong, tidak ramai yang tahu tentang hidangan ini. Malah, ada yang pertama kali mendengarnya. Tidak kurang juga ada yang tertanya – tanya dari mana asalnya mee calong ini.
Mee calong ini berasal dari daerah Beserah. Ia sangat sinonim dengan daerah itu kerana dikatakan hidangan ini antara hidangan kegemaran penduduk setempat.
Keenakan yang terdapat dalam mee calong terhasil dari bebola ikan dan kuah sup yang dihasilkan menggunakan isi ikan. Hidangan ini merupakan hidangan tanda pengenalan dan tarikan utama di Restoran Rasa Wau.
Keunikan hidangan ini membuatkan pemilik restoran ini iaitu Shezlinda Othman mengetengahkan menu pantai timur untuk dirasai bersama para pelanggannya. Antara menu yang disajikan di sini kebanyakan berasal dari negeri Pahang, Kelantan dan juga Terengganu. Pilihan menu ini berikutan menu tersebut sukar diperolehi di sekitar Lembah Klang.
Bagi menjamin keaslian mee calong ini, Shezlinda hanya menggunakan ikan selayang yang segar sebagai ramuan utama. Ikan selayang digunakan kerana ia mempunyai rasa yang manis, lemak dan lazat.
Terlebih dahulu ikan selayang akan direbus selama sejam bersama lada hitam, rempah sup bunjut, garam dan sedikit gula. Sebarang perasa tambahan tidak digunakan bagi menyediakan hidangan mee calong ini.
Isi ikan selayang akan diasingkan dari tulang dan kemudiannya dicampurkan bersama tepung sagu, tepung ubi dan juga sedikit garam. Tulang ikannya pula akan digunakan untuk menghasilkan pati utama sup mee calong.
Setiap hidangan mee calong akan didatangkan bersama bebola ikan, tauhu sumbat ikan bergoreng serta sambal cili padi bagi menyempurnakan rasa hidangan ini. Mee calong ini dihidangkan bersama keropok lekor sebagai bahan tambahan. Bagi anda yang ingin merasai keenakkannya, datanglah menjamu selera di sini.
Anda juga boleh mencuba menu yang sudah jarang ditemui di restoran – restoran Melayu masa kini, iaitu menu ayam kampung kapitan. Hidangan ini menggunakan ayam kampung sebagai ramuan utama. Bagi mengelakkan isi ayam kampung tersebut keras, ayam akan digoreng separuh masak terlebih dahulu.
Ayam kampung kapitan yang diperap bersama bawang besar, bawang merah, bawang putih, rempah kari serta halia menjadikan rasa ayam yang begitu istimewa. Hidangan lain yang boleh anda nikmati di sini adalah seperti ketam masak lemak cili api, tempoyak patin, gulai kawah, kerutup daging dan juga banyak lagi menu untuk dipilih.
Restoran ini menyajikan sebanyak 20 jenis menu setiap hari yang menampilkan hidangan yang masakan kampung yang begitu menyelerakan. Ikan patin yang dimasak tempoyak didatangkan khas dari Temerloh dan sememangnya segar dari ladang.
Keluasan restoran ini yang agak sederhana mampu menampung sehingga 50 orang pelanggan pada satu – satu masa. Ia beroperasi setiap hari mulai jam 9.00 pagi hingga jam 9.00 malam. Bagi yang ingin merasai sendiri keenakan hidangan di sini boleh lah datang seawal jam 9.00 pagi untuk menjamu selera.
Alamat : Sunway Giza, Block C-11-G, Jalan PJU 5/14, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor