Musim cuti sekolah sudah tiba. Kami yakin, pasti ramai pembaca yang bercadang untuk bercuti di tempat-tempat menarik di seluruh Malaysia, bukan? Selain melawat tempat menarik, tempat makan yang terbaik juga harus anda terjah!

Bagi yang bercadang untuk ke Kota Bharu, kami tahu restoran apa yang patut anda singgah. Restoran yang bukan sahaja menghidangkan makanan yang enak-enak belaka, malah harganya juga berpatutan.

Restoran Pohon Nako

Imej via Facebook

Restoran Pohon Nako – nama restoran yang tidak asing lagi di Kota Bharu, Kelantan. Restoran ini cukup dikenali dengan hidangan Nasi Sumatera dan harga yang sangat berpatutan, sehinggakan ianya pernah dianugerahkan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) pada tahun 2016!

nasi kuah kari ayam kampung @ Restoran Pohon Nako

Imej via Foursquare

Nasi Kuah Kari Ayam Kampung, Paling Digilai Ramai

Sebut sahaja ayam kampung, pasti ada yang sudah mula kecur air liur, bukan? Haa, inikan pula merasainya sendiri di restoran yang terbaik! Menu Nasi Kuah Kari Ayam Kampung ini cukup popular di kalangan pengunjung di sini.

Nasi putih panas yang disajikan bersama ayam kampung bersaiz besar yang digoreng rangup dan dilengkapi dengan kuah kari – satu kombinasi yang cukup ‘padu’! Harganya juga kurang RM10, berbaloi betul!

nasi lauk ikan keli goreng @ Restoran Pohon Nako

Imej via Foursquare

Nasi Lauk Ikan Keli Goreng, Bukan Biasa-Biasa!

Nasi putih berlaukkan ikan keli goreng mungkin kedengaran biasa-biasa sahaja bagi anda tapi tidak jika anda merasainya sendiri di Restoran Pohon Nako.

Ikan kelinya tidak kecil dan rapuh, malah ianya bersaiz besar dan rangup. Rasanya juga tidak terlalu masin dan isinya cukup segar. Cukup enak dimakan panas-panas bersama kuah kari atau sambal!

nasi lauk sambal sotong @ Restoran Pohon Nako

Imej via Foursquare

Nasi Lauk Sambal Sotong, Bikin Ramai Ketagih

Tidak kira anda pencinta makanan laut atau makanan pedas, menu Sambal Sotong ini pasti mendapat tempat yang istimewa di hati anda, bukan? Menu ini juga mendapat tempat yang istimewa di hati ramai pelanggan di sini!

Sotongnya bukan bersaiz biasa, saiznya cukup besar. Sambal yang pedas dan manis menjadi pelengkap keenakan hidangan menu ini. Cukup ‘kaw’ dikenakan bersama begedil dan nasi panas, kami berani jamin!

nasi lauk ikan kerisi @ Restoran Pohon Nako

Imej via Facebook

Banyak Lagi Pilihan Lauk yang Berbagai

Selain lauk ayam kampung dan ikan keli, anda juga boleh mencuba menu lain yang terdapat di Restoran Pohon Nako. Lauk yang disajikan di sini memang berbagai, harganya pun murah!

Antara lauk lain yang digilai di sini ialah ikan kerisi, ikan tenggiri, hati, limpa dan banyak lagi! Harganya juga tidak cekik darah, rasa pun sedap. Dijamin tambah berpinggan-pinggan!

Teh Beng Hijau Madu @ Restoran Pohon Nako

Imej via Foursquare

Teh Tarik Madu @ Restoran Pohon Nako

Imej via Foursquare

Banyak Lagi

Jika anda berada di Kelantan, minuman ini wajib anda cuba. Teh Tarik Madu yang cukup popular di Kelantan ini juga merupakan antara minuman yang laku keras di Restoran Pohon Nako.

Antara minuman terbaik yang disajikan di sini ialah Teh Tarik Madu dan Teh Beng Hijau Madu. Rasa kedua-duanya manis dan berkrim. Bagi yang lebih menyukai teh hijau, kami cadangkan agar anda cuba Teh Beng Hijau Madu. Memang mengancam!

Kami yakin ada antara pembaca di sini pasti mula kecur air liur, bukan? Bagi yang sudah mula merancang untuk menerjah Restoran Pohon Nako, cepat-cepatlah berbuat demikian sebelum terlepas peluang ya!

Terletak di Jalan Che Su, Kota Bharu, Kelantan dan beroperasi setiap hari bermula dari jam 10 pagi hingga 4 petang, tidak keterlaluan jika kami katakan yang anda akan menikmati makanan tengahari yang terbaik, hanya di Restoran Pohon Nako!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.