Bayangkan anda sedang menikmati makan malam anda di tepi sungai. Cahaya lampu dan bintang di langit menemani anda. Tenang dan nyaman. Sesekali bot yang dipenuhi pelancong menyusuri Sungai Melaka.
Beberapa orang kanak-kanak yang berada di dalam bot melambaikan tangan kepada anda. Anda membalas lambaian mereka dengan senyuman.
Itulah serba-sedikit suasana makan malam anda di Restoran Melayu Melaka. Sepertimana namanya, anda tiba di hadapan bangunan dua tingkat berbumbungkan rumah Melayu Melaka. Lebih cantik lagi adalah kerana ia terletak di Jalan Tun Mutahir, Kampung Morten.
Walaupun begitu, hiasan dalamannya tidaklah tradisional. Hiasan moden yang mementingkan keringkasan amat sesuai bagi menempatkan pelanggan yang boleh mencecah sehingga 940 orang.
Restoran Melayu Melaka terkenal dengan masakan Melayu pada harga yang amat berpatutan. Lebih 100 jenis lauk-pauk disediakan di sini. Maka, pelanggan tidak akan menghadapi masalah dalam pemilihan makanan. Malah, mungkin menjadi rambang mata kerana terlalu banyak pilihan.
Jika hendak disenaraikan semua jenis lauk-pauk itu tentu tidak sesuai. Cukuplah disebut beberapa juadah seperti nyonya chap chai, ubi kayu kukus dengan serunding ikan haruan, pecal, otak-otak, kari kepala jenahak, ayam kampung goreng berempah, itik kukus, aneka sup, sago gula Melaka, cendol, dan kuih-muih tradisi melayu.
Imej via Foursquare
Tidak lengkap jika ke Melaka tetapi tidak menikmati juadah utama mereka iaitu asam pedas. Restoran Melayu Melaka akan melengkapkan kunjungan anda dengan menyediakan kira-kira 10 jenis masakan asam pedas.
Sebagai sebuah negeri yang dikenali pelancong kerana lokasi-lokasi bersejarahnya, Restoran Melayu Melaka seringkali menjadi tumpuan mereka untuk mengenali masakan Melayu. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang asing jika restoran ini tidak kosong daripada dikunjungi pelanggan.
Restoran Melayu Melaka juga adakalanya sibuk kerana terdapat tempahan-tempahan besar seperti majlis korporat, perkahwinan, seminar, reunion, dan sebagainya. Mereka juga telah menambah perkhidmatan dengan menyediakan pakej perkahwinan yang meliputi katering, fotografi, nyanyian tradisional, penginapan dan ‘river cruise’.
Sekali-sekala terdengar juga keluhan pelanggan di atas layanan oleh sesetengah pekerja yang mungkin sedang keletihan. Walaupun begitu, Restoran Melayu Melaka masih menerima kunjungan ramai. Pelanggan sentiasa teruja dengan makanan secara buffet dan ala carte mereka yang dijual pada harga serendah RM6 tanpa mengabaikan kelazatannya.
Apatah lagi Restoran Melayu Melaka sendiri memberi penekanan kepada lokasi dan pemandangan yang indah dan kondisif.
Selain daripada makanan tradisi, pelanggan juga boleh memilih makanan barat jika mahukan kelainan. Populariti ‘shell out’ di kalangan rakyat Malaysia pada masa kini juga tidak disia-siakan oleh Restoran Melayu Melaka. Mereka juga turut menyediakan promosi ‘shell out’ bagi meraikan citarasa baru rakyat Malaysia.
Sekiranya anda keliru hendak memilih makanan, boleh minta pendapat pelayan. Pelayan pasti tahu makanan apa yang terkenal di Restoran Melayu Melaka dan mesti dicuba oleh anda.
Anda boleh membuat tempahan sama ada dengan menghubungi 06-2880701/03/04 atau secara atas talian di restoranmelayumelaka.com. Restoran Melayu Melaka juga aktif di media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk membolehkan penggemar makanan mengikuti perkembangan termasuk promosi-promosi terbaru mereka.