Buat pengunjung yang singgah menjamu selera di Restoran A&L berhampiran Klang, Selangor, pasti rambang mata dengan pilihan menunya. Bayangkan pilihan lauk untuk nasi campur saja ada lebih 20 jenis selain makanan sampingan seperti laksa dan bihun sup bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Para peminat hidangan kampung seperti asam pedas ikan pari, gulai tempoyak ikan patin mahupun gulai kawah pasti teruja. Menu hidangan di sini pasti akan memenuhi selera pelanggan seawal jam 10.30 pagi.

Tidak perlu khuatir dengan kualiti rasa dan persembahan, pemilik restoran berkenaan iaitu pasangan suami isteri, Mohd Zawawi Yusuf dan isteri, Laila Sani Abdullah sangat teliti dalam penyediaan semua hidangan dengan memilih sendiri bahan mentah di pasar.

Kari Daging

Imej via hmetro

Menurut Zawawi, restorannya dibuka seawal jam 7 pagi dengan menu sarapan merangkumi hidangan berat hinggalah kepada kudapan. Ia sering menjadi pilihan ramai terutaramanya para pekerja yang berada di kawasan persekitaran. Antara menu sarapan pagi yang menjadi pilihan adalah nasi lemak, bihun dan mee goreng serta kuih muih tradisional.

Pada sebelah tengahari pula, hidangan nasi campurlah merupakan menu utama di sini. Ia bukan sahaja dinikmati oleh masyarakat Melayu, namun masyarakat Cina dan India juga turut menjamu selera di sini.

Menu Popular Ada Disediakan

Terdapat pelbagai menu popular disediakan seperti gulai kawah, kari kepala ikan, tempoyak ikan patik dan juga asam pedas. Bagi menu hidangan ikan patin, hanya ikan patin segar digunakan yang dibawa terus dari Temerloh, Pahang. Kemanisan ikan patin ini jelas terasa enaknya.

Selain itu, set hidangan ayam penyet juga merupakan menu popular di kalangan pelanggan. Set ini turut menjadi pilihan pelanggan bukan Melayu.

Kari Kepala Ikan

Imej via hmetro

Gulai kawah yang disediakan di restoran ini menggunakan resepi istimewa bonda pemilik restoran. Oleh sebab itu juga, menu hidangan ini sering mendapat permintaan ramai kerana keenakan hidangan yang cukup sempurna.

Hidangan ini juga bergantung kepada harga dan stok daging di pasaran. Ini kerana sekiranya harga bahan mentah agak tinggi, agak sukar untuk dijadikan hidangan kerana harga lauk siap dimasak turut meningkat.

Laksa

Imej via hmetro

Restoran A & L ini juga menyediakan hidangan laksa buat para pelanggan. Kuah laksa yang pekat dan begitu terasa isi ikannya membuatkan ia mendapat permintaan ramai. Tambahan pula ia enak dimakan pada sebelah petang.

Ramai pelanggan setia restoran ini tetap berkunjung dan menjamu selera di sini kerana keenakan masakan di sini tiada tandingan di tempat lain. Jadi, tidak hairanlah para pelanggan sanggup datang dari jauh semata – mata ingin menikmati hidangan dari air tangan pemilik restoran ini. Waktu operasi restoran ini mulai jam 7.00 pagi setiap hari hingga jam 6.30 petang.

Alamat : 36, Pelangi Avenue, Jln Kelicap 42A/KU1, Off, Jalan Meru, 41150 Klang, Selangor

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.