Telur merupakan antara sumber protein yang diperlukan oleh tubuh badan kita. Jadi, tidak hairanlah ia sentiasa menjadi pilihan sebagai hidangan utama kerana jenis-jenisnya cara masakannya juga berbagai.
Cara masakan yang berkuah juga ada beraneka. Untuk itu, berikut kami senaraikan 10 resepi telur berkuah untuk anda. Teruskan membaca!
#1 Masak Lemak Kuning Telur Itik
Telur itik cukup enak jika dibuat masak lemak kuning. Ianya pedas dan aromanya sungguh memikat! Resepinya juga mudah untuk dicuba. Resepi ini dikongsikan oleh Mariana Zainal di laman Facebook.
Bahan-bahan:
5 biji telur itik
2 sudu besar cuka
½ periuk kecil air
1 biji kelapa parut (dikisar dengan 3 cawan air, perah dan ambil santannya)
1 batang serai (diketuk)
1 sudu kecil membukit garam (boleh tambah jika kurang)
½ sudu besar gula
1 keping asam keping
Sedikit bahan perasa jika perlu
Bahan kisar:
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Sedikit kunyit hidup / serbuk kunyit
10 biji cili padi (boleh tambah mengikut kepedasan)
Cara-cara:
Satukan bahan kisar, santan, serai, asam keping, gula dan garam.
Renehkan menggunakann api sederhana perlahan.
Kacau selalu jangan sampai pecah santan.
Setelah mula mendidih, masukkan telur itik dan masak selama 2-3 minit. Sesuaikan rasa.
Sedia untuk dihidang.
#2 Kurma Telur
Selain kurma ayam, kurma telur juga merupakan antara hidangan yang cukup menyelerakan. Rasanya yang berempah pasti akan buat ramai ketagih. Resepi ini dikongsikan oleh Roskaryati Abu Bakar di laman Facebook.
Bahan-bahan:
4 ulas bawang kecik/merah (dimayang halus)
4 ulas bawang putih (dimayang halus)
Sedikit halia( dimayang halus)
Sedikit kulit kayu manis dan bunga lawang *optional
3 cawan santan pekat.
2 paket rempah kurma
10 biji Telur (direbus)
2 biji cili merah/hijau
1 biji bawang besar (dibelah empat)
Cara-cara:
Tumis bawang merah, bawang putih, halia, kulit kayu manis dan bunga lawang.
Apabila bahan-bahan tumis tadi sudah layu, masukkan rempah kurma bersama 2 cawan air.
Kacau rempah kurma tu sehingga pecah minyak.
Apabila rempah kurma hampir kering dan pecah minyak masukkan santan.
Biar santan mendidih dan pekat/pecah minyak.
Masukkan telur, cili hiasan dan bawang besar.
Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
Setelah lebih kurang 2 minit, padamkan api.
Sedia untuk dihidang.
#3 Kari Telur Ikan Bilis Tumis Darat
Gulai tumis darat merupakan hidangan yang popular di negara kita terutamanya negeri Utara. Anda juga boleh memasak telur menggunakan cara masakan ini. Resepi ini dikongsikan oleh Siti Fatimah di laman Facebook.
Bahan-bahan:
7 biji telur (direbus)
1 cawan air asam jawa
Setengah cawan santan
1 ketul kiub pati ayam
Sedikit garam
Cili padi
Daun bawang
2 biji tomato
Bahan tumbuk:
1 rempah ikan Babas
Sengenggam ikan bilis
2 biji ubi ketang
4 ulas bawang kecil
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil jintan putih
Bahan tumis darat:
3 ulas bawang kecil
1 ulas bawang putih
1 inci halia
Halba campur
Daun kari
Cara-cara:
Rebus ubi bersama rempah, ikan bilis dan bahan yang ditumbuk hingga kuah betul-betul pekat.
Kemudian, tambahkan 2 cawan air.
Tunggu ubi lembut dan masukkan telur.
Masukkan air asam jawa, santan, kiub pati ayam dan sedikit garam. Masak selama 10 minit.
Masukkan hiasan tomato, daun bawang dan cili padi.
Masukkan ke dalam mangkuk.
Tumiskan bahan tumis darat.
Sedia untuk dihidang.
#4 Sambal Telur Cili Kering
Menu yang ringkas, namun mampu menambat hati ramai – sambal telur cili kering. Ianya juga mudah untuk disediakan. Resepi ini dikongsikan oleh Wan LuQman di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Cili kering (dibelah dua)
3 biji telur
5 ulas bawang putih
Ikan bilis
1-2 sudu besar sos tiram *optional
Minyak untuk menumis
Cara-cara:
Goreng garing cili kering dan toskan.
Tumiskan ikan bilis dan bawang putih dan goreng garing.
Tumbukkan cili kering, ikan bilis dan bawang putih tadi.
Panaskan minyak, tumiskan bahan tumbuk dan masukkan gula dan garam.
Pecahkan telur dan gorengkan.
Sedia untuk dihidang.
#5 Telur Rebus Air Asam
Ini merupakan resepi yang viral akhir-akhir ini – telur rebus air asam. Rasa masam dan berlemak pasti akan membuatkan anda tambah berpinggan-pinggan. Resepi ini dikongsikan oleh Norul Haisyu di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Telur rebus
Cili api
Bawang besar (dihiris/cincang)
Tomato (dihiris/cincang)
Bahan air asam:
Asam jawa
Garam seckup rasa
Serbuk perasa secukupnya
Air suam
Cara-cara:
Kupaskan telur rebus di bawah air yang mengalir. Toskan dan potongkan.
Masukkan cili, tomato dan bawang ke dalam telur. Ketepikan.
Bancuh sebati bahan air asam dan tuangkan ke dalam telur.
Biarkan meresap selama 15 minit.
Sedia untuk dihidang.
#6 Sup Telur
Resepi telur berkuah ini pula patut dicuba oleh mereka yang sedang berdiet sihat, memang menyihatkan dan mengenyangkan. Resepi ini dikongsikan oleh Nora Azni di laman Facebook.
Bahan-bahan:
4 biji telur ayam
7 biji bebola ikan (dibelah dua)
Setengah biji lobak (dibelah dua dan dipotong biasa)
3 ulas bawang putih (dicincang)
½ kiub pati ayam
Lada sulah
Garam
2 gelas air putih (kalau guna banyak telur lebih kan air untuk kuah)
Minyak masak
Cara-cara:
Panaskan 1 sudu besar minyak masak, tumiskan bawang putih.
Tumis sehingga bawang nampak kuning dan sedikit garing.
Kemudian, masukkan lobak.
Tambahkan 2 gelas air putih.
Perasakan dengan kiub pati ayam, garam dan sedikit lada sulah. Bila kuah dah mendidih, kecilkan sedikit api.
Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan tuang ke dalam periuk. Ulang sehingga telur habis.
Setelah telur masak, masukkan bebola ikan.
Setelah sup masak, masukkan api dan taburkan dengan bawang goreng dan daun sup.
Sedia untuk dihidang.
#7 Masak Lemak Telur Ikan Mayong
Telur ikan mayong merupakan jenis telur yang agak susah didapati kerana anya sering menjadi rebutan. Jika berkesempatan, cubalah resepi masak lemak ini, pasti sedap! Resepi ini dikongsikan oleh Luna Masod di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Telur ikan mayong (dibersihkan)
2 biji bawang besar (diracik atau ditumbuk)
Cilia pi (mengikut kepedasan) (ditumbuk)
1-2 butir kunyit hidup
Daun kunyit (diracik halus atau kasar)
Santan kelapa parut / kotak
Cara-cara:
Masukkan bahan-bahan tadi yang ditumbuk.
Masukkan santan, kacau dan tambahkan air mengikut kepekatan.
Kemudian, masukkan daun kunyit dan kacau hingga menggelegak.
Selepas itu masukkan garam, gula dan asam keping. Sebatikan semua rasa.
Masukkan telur ikan mayong yang sudah siap dibasuh tadi.
Masuk seketul-seketul, jika kurang masam anda boleh tambahkan buah mangga muda.
Sedia untuk dihidang.
#8 Telur Rebus Masam Manis
Ini merupakan resepi yang jarang didengari. Namun, jika anda buat sendiri pasti ramai yang memuji! Resepi ini dikongsikan oleh Leha Yusuf di laman Facebook.
Bahan-bahan:
5 biji telur (direbus)
1 senduk cili kisar
1 senduk sos cili
1 batang serai
3 helai daun limau
1 batang kayu manis ceylon
1 bunga lawang
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
½ inci halia
Sedikit garam
Cara-cara:
Tumis bawang, serai, halia, bunga lawang, daun limau hingga naik bau.
Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.
Masukkan sos cili, kacau rata. Masukkan sedikit garam.
Akhir sekali, masukkan telur dan padamkan api.
Sedia untuk dihidang.
#9 Telur Masak Kicap
Selalunya, hidangan yang ringkas ini yang dijadikan lauk semasa berkejaran ke tempat kerja, bukan? Kali ini, cubalah resepi telur masak kicap yang lebih ‘padu’! Resepi ini dikongsikan oleh Roshida Rifqi Raisha Rayyan di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Telur (digoreng separuh masak)
Bawang besar
Bawang putih
3 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos cili
Sedikit garam
Cili api
Cara-cara:
Tumis bawang merah dan bawang sehinga naik bau.
Masukan kicap manis bersama sos cili dan kacau sebati. Jika kurang masin, tambahkan garam.
Kemudian, masukkan telur dan bolak-balikkan telur tersebut.
Masukkan bawang besar dan cili api.
Sedia untuk dihidang.
#10 Asam Pedas Telur Ikan Mayong
Satu lagi resepi telur berkuah dan cara masakan telur ikan mayong yang popular ialah telur ikan mayong. Resepi ini dikongsikan oleh Faezah Mahmad di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan duri (dibasuh bersih)
Telur mayong
Air asam jawa secukupnya
Daun kesum
4 biji lada hitam (ditumbuk)
Gula, garam dan perasa
Bahan kisar:
3 biji bawang besar
2 biji bawang putih
Segenggam lada kering (direbus)
Halia sebesar saiz ibu jari
2 ketul kunyit
Secubit belacan
Cara-cara:
Tumiskan bahan kisar, daun kesum, lada hitam, secubit gula, garam, serbuk perasa dan air hingga naik minyak.
Masukkan kepala ikan dan biarkan sedikit lama.
Masukkan 1-2 cawan air hingga kepala ikan tenggelam.
Masukkan telur ikan mayong.
Masak lama sedikit sehingga mencapai kepekatan yang diingini.
Masukkan bendi sekejap.
Sedia untuk dihidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi telur berkuah, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!