Mencari resepi mudah untuk jualan? Jika anda baru mahu memulakan perniagaan, pasti mempunyai modal yang kecil untuk memulakannya. Pilihan jenis jualan juga terhad. F&B merupakan bidang yang ramai mahu ceburi dalam perniagaan. Salah satu sebabnya adalah ia sering mendapat permintaan ramai tidak kira waktu.

Sebenarnya terdapat pelbagai menu yang boleh anda jual dengan menggunakan modal yang sedikit tetapi memberi pulangan untung yang banyak. Antara contoh yang mudah termasuklah makanan ringan dan frozen seperti sosej, nugget dan karipap. Aiskrim dan buah potong juga antara jualan yang mudah untuk diolah dan dijual.

Jika mahukan kelainan, masak atau buat sendiri menu jualan anda. Hal ini membezakan kualiti dan rasa menu anda dengan kedai yang lain. Berikut merupakan resepi mudah untuk jualan yang boleh anda lakukan. Pastikan anda cuba atau R&D dahulu sebelum menjualnya agar tepat dengan citarasa dan permintaan semasa.

Pisang Goreng Crispy

Resepi mudah untuk jualan yang pertama ini sering mendapat permintaan yang banyak tidak mengira waktu. Walaupun ini adalah resepi pisang goreng crispy, namuan anda boleh menggunakan bancuhan tepung untuk membuat keledek dan cempedak goreng. Menurut Normala Kori, resepi ini mampu bertahan selama 4 hingga 5 jam kerangupannya.

Bahan yang digaul sebelum letak air:

  • 2 cawan tepung beras
  • 1 cawan tepung jagung
  • 1/2 tepung gandum
  • 1 biji telur gred C (jika telur gred A, guna separuh sahaja, tak boleh banyak sangat telur sebab kerangupan tidak akan tahan sampai 4 hingga 5 jam)
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 4 sudu besar makan air kapur (jangan terkurang dan jangan terlebih)
  • 1/2 sudu the garam
  • 1 sudu besar mentega

Cara penyediaan:

  1. Gaul kesemua bahan di atas.
  2. Masukkan 2 cawan air. Agak-agak sahaja, jangan terlalu pekat kerana kerak akan menjadi tidak cantik. Bagi cair sedikit.
  3. Sesudah digaul dengan air, letakkan pisang atau keledek untuk digoreng.
  4. Pastikan minyak betul-betul panas dan banyak. Jika mahu tepung melekat atau berkerak pada pisang atau keledek, renjis bancuhan tepung pada minyak panas sebelum memasukkan pisang.

Donut Gebu

Kuih frozen juga antara menu yang sentiasa mendapat permintaan ramai terutama pada waktu pagi dan petang. Resepi ini sangat mudah dan hanya menggunakan empat bahan utama. Dengan hanya satu resepi, anda boleh pelbagaikannya dengan pelbagai salutan atau topping pada donut seperti salutkan bersama horlick, milo, nestum, coklat dan sebagainya. Nak donut gebu dan lembut? Cubalah resepi dari Eti Nur Syafiraa.

Bahan A:

  • 1 paket Yis Mauripan
  • 2 sudu Susu Pekat
  • Air suam
  • Sedikit garam

Bahan B:

  • 850 g tepung gandum
  • 4 sudu besar Marjerin

Cara penyediaan:

1. Bancuh yis mauripan dengan air suam setengah gelas. Jangan panas sangat nanti yis tidak naik. Tambah susu pekat dua sudu besar. Masukkan sedikit garam dan tunggu sehingga yis naik dan berbuih.

2. Tepung gandum digaul bersama 4 sudu besar marjerin. Apabila sudah gaul, masukkan bahan A lalu tambah sedikit air sehingga jadi doh.

3. Tunggu sehingga doh naik dan buat bentuk bulat-bulat doh tersebut atau guna acuan donut. Rehatkan sekejap doh yang sudah di bentuk. Goreng dan toskan minyak kemudian letakkan topping mengikut citarasa sendiri.

Bun Gebu

Dengan hanya satu resepi bun juga, anda boleh pelbagaikan jualan dengan menjual pizza, roti sarang lebah, roti cheese dan sebagainya. Hanya menggunakan 1 kg tepung, pelbagai roti yang gebu anda boleh hasilkan. Jom cuba resepi dari EnaZamri Rashid.

Bahan-bahan:

  • 1 kg tepung bunga Rose
  • 2 sudu besar rata instant yeast
  • 2 sudu besar gula
  • 2 sudu besar susu tepung
  • 1 sudu besar butter
  • 1 sudu kecil bread softener
  • 1 sudu kecil garam
  • 2 biji kuning telur
  • 1/2 cawan whipped cream
  • Air secukupnya

Cara penggunaan:

  1. Letak semua bahan ke dalam mixer. Letak 2 mug kecil air perlahan-lahan sambil adunkan.
  2. Adun hingga elastik.
  3. Bentukkan dan letak bahan yang anda suka seperti sayur, sosej dan sebagainya.
  4. Panaskan dahulu oven dan bakar dalam suhu 175’c selama 13 minit.

Tips: Letak adunan di dalam plastik besar jika mahukan adunan cepat naik.

Nasi Lemak Pandan

Jika sebut tentang resepi mudah untuk jualan sarapan, kami cadangkan anda untuk menjual nasi lemak. Beri sedikit kelainan pada menu ini iaitu nasi lemak pandan, pasti lebih menarik perhatian ramai. Jika mempunyai modal yang lebih, anda boleh meletakkan pelbagai lauk dan sambal seperti nasi lemak ayam, sambal paru dan aneka rendang. Ikuti resepi nasi lemak pandan dari Nurha Muhammad yang sedap ini.

Bahan-bahan nasi:

  • Air rebusan pandan (3 helai daun pandan + secawan air, rebus dan ambil air sahaja)
  • 4 pot beras (basuh dan toskan)
  • 1 kotak kecil santan
  • 1 helai daun pandan – disimpul
  • 3 hiris halia
  • Sedikit garam
  • Air secukupnya

Cara penyediaan nasi:

  1. Satukan kesemua bahan di atas di dalam rice cooker. Masak nasi seperti biasa.

Bahan sambal nasi lemak:

  • 5 biji bawang merah saiz besar
  • 2 genggam cili kering – direbus
  • Segenggan ikan bilis
  • Sedikit pes asam jawa/ 1 keping asam gelugur
  • 1 keping nisan/ gula melaka
  • Garam
  • Minyak

Resepi sambal nasi lemak:

  1. Kisar bawang merah.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau.
  3. Sambil tumis bawang, kisar cili kering  rebus. Kemudian masukkan ke dalam tumisan bawang tadi. Kacau dan tumis sehingga pecah minyak.
  4. Basuh dan toskan ikan bilis lalu ditumbuk kemudian masukkan dalam sambal tadi. Pastikan api sederhana atau kecil dan sentiasa di kacau untuk elakkan sambal hangus.
  5. Masukkan  sedikit pes asam jawa atau asam gelugur, 1 keping nisan kerek atau gula melaka dan garam mengikut citarasa masing-masing.

Bahan-bahan sampingan:

  • Telur rebus
  • Timun jepun
  • Kacang tanah goreng
  • Ikan bilis goreng
  • Ayam goreng krispy

Buah Celup/ Marshmallow Celup

Manisan ini antara yang terlaris dan digemari ramai tanpa mengira umur. Kami hanya berkongsikan sos coklat yang menggunakan dua bahan sahaja. Anda boleh menggunakan marshmallow atau potongan buahan segar lalu salutkan bersama sos coklat.

Bahan-bahan sos coklat:

  • Beryl’s chocolate bar
  • Sedikit minyak masak

Cara penyediaan:

  1. Masak coklat dengan cara double boil dan masukkan sedikit minyak.
  2. Kacau dan tutup setelah coklat cair dan sebati.
  3. Celupkan buah atau marshmallow.
  4. Tabur choc rice atau bahan yang anda suka.
  5. Biarkan sejuk.

Air Balang Coklat Pekat

Air balang antara menu paling laris dan mudah untuk dijual tidak kira waktu. Modal untuk membeli bahan juga tidak memerlukan modal yang besar. Air coklat antara jenis air balang yang perlu ada. Ikuti resepi dari Air Balang Jalanan pasti menjadi. Resepi ini khas untuk balang kecil yang memuatkan 13.5 liter air. Jika mahu air lebih kaw, janganlah kedekut dalam meletakkan bahan-bahan. Nak lebih sedap, letakkan ais krim, mesti lebih pekat!

Bahan-bahan:

  • 1 kg coklat malt (tak kisah jenama apa yang penting sedap)
  • 2 tin susu pekat
  • 1L air panas
  • 1L air masak
  • ½bag atau ¾bag besar kiub ais

Tips: Masukkan ¼ air panas di dalam tin susu, kocakkan untuk kurangkan pembaziran.

Cara penyediaan:

  1. Masukkan air ke dalam balang.
  2. Masuk susu dan kacau sebati.
  3. Masukkan coklat lalu kacau sebati.
  4. Masukkan ais. Siap!

Cream Puff

Jual menu terkini yang viral juga antara mendapat permintaan yang ramai seperti cream puff. Nak lebih senang, guna sahaja tepung instant khas untuk cream puff. Bonda Riz Yaya Fiya berkongsikan resepi cream puff yang rangup dan tidak muak di Facebook. Jom cubanya sekarang!

Bahan-bahan:

  • 3 biji telur
  • 75g tepung kek
  • 70g air
  • 55g butter
  • 65g fresh milk
  • 6g gula
  • 1tsp garam
  • Esen vanilla

Cara penyediaan:

  1. Masak susu, butter dan air sampai larut menggunakan api kecil.
  2. Selepas larut masukkan tepung, garam dan gula. Kacau adunan sampai sebati atas api kecil dalam 2 atau 3 minit.
  3. Tutup api lalu masukkan 3 biji telur dan esen vanilla dalam adunan tepung. Kacau sampai betul-betul sebati.
  4. Masukkan ke dalam pipping bag.
  5. Alas loyang dengan parchment paper.
  6. Pipekan adunan jarak-jarak sebab dia akan mengembang.
  7. Masak kuih dalam ketuhar dengan 190c selama 20 hingga 30minit.
  8. Apabila sudah sejuk baru letak filling.

Bahan filling:

  • Non Dairy whipping cream
  • Strawberry jam

Cara penyediaan filling:

  1. Putar kedua-dua bahan sampai likat. Tak perlu letak gula kerana Non Dairy whipping cream sudah manis.

Choco Jar

Choco Jar antara menu yang pernah viral dan masih mendapat permintaan ramai sehingga kini. Muhammad Ali berkongsikan resepi choco jar yang akan bertahan lama kerangupannya walaupun telah dicampurkan dengan coklat. Tips penting adalah anda tidak perlu meletakkannya dalam peti dan elakkan terkena cahaya matahari secara terus.

Bahan- bahan:

  • 500 gram bubble rice / mini cocoa crunch
  • 500 gram chocolate (boleh pakai dark atau milk chocolate)
  • 70 gram minyak jagung (digunakan untuk chocolate compound seperti brand Beryls & Van Houtten sahaja)

Cara penyediaan:

  1. Sangai bubble rice atau cocoa crunch atas kuali. Sangai dalam 2 atau 3 minit agar kerangupannya tahan lama walaupun sudah dimasukkan dengan coklat.
  2. Apabila sudah sangai, biarkan sejuk.
  3. Cairkan coklat pakai kaedah double boil. Letak air panas mendidih dalam bekas besi. Terus letakkan bekas kedua yang besar dari bekas dibawah yang berisi air panas. Biarkan seketika sampai coklat mencair sepenuhnya (kaedah manual). Guna microwave lagi cepat.
  4. Sejukkan coklat selama 15 minit. Kalau pakai chocolate compound seperti beryls atau van houten, tambahkan minyak 70 gram sama ada minyak jagung, canola oil atau minyak masak.
  5. Masukkan bubble rice atau apa-apa cereal yang anda suka separuh bekas atau balang. Penuhkan balang dengan coklat tadi.

Tauhu Bergedil

Naddy’s Kitchen berkongsikan resepi tauhu bergedil yang sedap. Menu ini sedap dimakan pada waktu petang. Ini juga antara menu yang makin mendapat perhatian ramai.

Bahan inti:

  • Kentang dipotong nipis*
  • Bawang merah*
  • Bawang putih*
  • Daging cincang (ditumis asing)
  • Tauhu pok
  • Garam
  • Perasa
  • Daun bawang/ daun sup
  • Lada sulah

Cara penyediaan:

  1. Goreng bahan bertanda * sehingga layu dan kekuningan. Angkat dan toskan minyak lalu masukkan ke dalam bekas yang bersih. Tumbuk bahan yang digoreng tadi. 
  2. Masukkan daging cincang, garam, sedikit perasa, lada sulah, daun sup atau daun bawang tumbuk kan sekali sehingga sedikit lumat.
  3. Ambil tauhu pok kemudian potong permukaan atas sedikit dan sumbat inti tadi ke dalam tauhu sehingga padat.
  4. Ambil 3/4 biji telur ikut berapa banyak tauhu yang mahu di goreng. Gaul dengan sedikit garam dan ketepikan.
  5. Celup tauhu pok ke dalam telur lalu gaul mesra dan goreng sehingga kekuningan. Angkat dan toskan. Siap.

Bahan sambal kicap:

  • Cili padi hijau
  • Cili padi merah
  • Bawang putih
  • Kicap manis Jalen
  • Garam
  • Gula

Cara penyediaan sambal kicap:

  1. Kisar semua bahan diatas dan masak seketika.

Rangka Ayam

Ayam rangka antara menu yang sering dicari di pasar malam. Kerangupan ayam rangka memang sedap diratah begitu sahaja. Hanya menggunakan tiga bahan sahaja, anda dapat menghasilkan rangka ayam yang sedap dan sedikit pedas. Jom cuba resepi dari Zara Zulfa.

Bahan A:

  • Secawan tepung beras
  • Setengah cawan tepung bestari pedas
  • Air

Cara penyediaan:

  1. Campurkan semua bahan di atas. Pastikan adunan tidak pekat sangat dan tidak cair sangat.
  2. Perap ayam dalam bekas pertama. Lagi lama perap lagi sedap.

Bahan B:

  • Setengah cawan tepung beras
  • Secawan tepung bestari pedas

Cara penyediaan:

  1. Masukkan bahan di atas di bekas atau tupperware yang lain. Ambil rangka ayam yang diperap tadi dan masukkan ke dalam bekas ini. Tutup tupperware dan goncang
  2. Goreng menggunakan minyak panas yang banyak dan lebih baik goreng di dalam periuk dengan api yang besar. Lepastu sederhanakan api.

Bihun Sup Utara

Untuk menu berat, kami cadangkan anda untuk menjual bihun sup. Bihun sup banyak di pasaran namun cuba sedikit kelainan dengan menjual bihun sup utara. Kesedapannya bukan sahaja terletak pada sup, malah pada sambal merahnya. Berikut merupakan resepi dari Aifa Nur.

Bahan A (celurkan dengan air panas hingga lembut):

  • 1 paket bihun*
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit*

Bahan sup:

  • Setengah ekor ayam di cincang halus
  • 1 biji bawang besar dikisar
  • 5 ulas bawang merah dihiris (untuk ditumis)
  • 3 ulas bawang putih
  • Garam secukup rasa
  • Bawang goreng untuk hiasan

Bahan kisar:

  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci halia

Bahan tumis:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 bunga lawang
  • 3 buah pelaga
  • 3 bunga cengkih
  • 3 sudu minyak

Cara penyediaan sup:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumis. Masukkan pula bahan kisar. Tumis sehingga wangi dan naik aromanya.

2. Masukkan isi ayam yang di potong. Saya masuk bahagian tulang dulu bagi empuk.

3. Tabur bawang goreng dan daun sup di dalam periuk dan tutup periuk supaya baunya meresap ke dalam kuah.

4. Sedia dihidangkan bersama bihun yang di celur tadi.

Bahan sambal cili:

  • 20 tangkai cili kering dibuang biji dan direbus lembut
  • 3 sudu besar serbuk cili
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sekeping asam keping
  • 3sb minyak
  • Air secukupnya

Cara penyediaan:

  1. Kisar semua bahan di atas sehingga halus. Masukkan ke dalam kuali dan masak seketika hingga pecah minyak.
  2. Tutup api dan masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa.

Ais krim Malaysia (Paddle Pop)

Resepi mudah untuk jualan seterusnya aiskrim Malaysia yang mendapat permintaan ramai bukan sahaja sewaktu cuaca panas, malah sering menjadi permintaan untuk sebarang majlis. Cuba kelainan terhadap aiskrim Malaysia dengan cuba resepi dari MYaiskrim Perak Aiskrim Ciknija iaitu aiskrim paddle pop.

Bahan-bahan:

  • 1 tin susu pekat
  • 1 tin susu cair
  • 8 sudu makan tepung jagung
  • 5 tin susu air kosong
  • 2 sudu kecil esen vanila
  • 1 1/2 cawan gula (ikut kemanisan)

Cara penyediaan:

  1. Bancuhkan tepung jagung bersama 1 tin susu air kosong. Jika mahu lebih rasa lemak, letakkan coffee mate atau creamer Non Dairy. Tak nak letak pun boleh.
  2. Masak sehingga mendidih dan menggelagak.
  3. Bancuhan tepung jagung diletak selepas air mendidih sambil kacau. Jika tidak nanti  tepung akan berketul.
  4. Sesudah masak, asingkan 3 bahagian untuk warna kuning, warna merah dan warna biru (kurangkan pengambilan nisbah pewarna).

Jus buah

Jus buah antara minuman yang dicari terutama pada waktu tengah hari dan petang. Dengan cuaca yang panas, minum jus buah memang menyegarkan. Menurut Air Balang RM1, air mangga antara air yang paling laris penjualannya. Resepi di bawah khas untuk 33 liter.

Bahan-bahan:

  • 4 kg mangga masak dalam (bersamaan 23 biji mangga)
  • Air yang telah dimasak
  • Pewarna oren
  • 2 tin susu cair
  • 4 tin susu pekat

Cara penyediaan:

1. Kupas mangga masak dan buang bijinya.

2. Masukkan isi mangga tadi sehingga separuh daripada badan pengisar, kemudian masukkan air masak yang sejuk.

3. Kisar isi mangga menggunakan pengisar elektrik sehingga larut sekata.

4. Asingkan hasil kisar ke dalam bekas yang berasingan.

5. Ulang langkah tadi sehingga isi mangga habis dikisar.

6. Campurkan hasil kisar tadi ke dalam balang air yang berisi dengan 1 atau 2 bag ais. Kacau sehingga sekata.

Tips jus mangga:

  1. Gunakan air masak. Elakkan menggunakan air paip kerana ianya tidak elok untuk kesihatan. Rasa air mangga akan janggal kerana air paip mengandungi klorin.
  2. Masukkan perwarna oren setitik demi setitik kemudian kacau sehingga mendapat warna yang menarik.
  3. Jika ingin menjual jus mangga susu, sila masukkan 4 tin susu pekat dan 2 tin susu cair ke dalam air mangga dan kacau sehingga sekata.

Roti John

Pembekal Sejadah Gebu Selangor berkongsikan resepi roti john. Jika ke pasar malam, menu ini pasti terlintas di fikiran. Pada bulan puasa, menu ini lebih mendapat sambutan ramai. Resepi ini sesuai untuk semua peringkat umur.

Bahan-bahan:

  • 5 buku roti john panjang
  • Daging hancur
  • 2 biji telur untuk 1 keping roti (Jika guna 5 keping roti, 10 telur kena ada)
  • 3 biji bawang holland (potong dadu)
  • 4 ulas bawang putih (potong dadu)
  • 3 sudu rempah kari

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak lalu masukkan daging hancur. Tambah garam dan rempah kari. Pastikan masak dahulu daging.
  2. Masukkan bawang holland dan bawang putih dadu.
  3. Masukkan cili sos dan apabila sudah masak, ketepikan.
  4. Pecahkan 2 biji telur dan masukkan daging tadi dalam 3 sudu atau seberapa banyak yang nak. Kacau-kacau dan masukkan atas kuali (letak minyak dulu dalam 1 sudu).
  5. Potong roti ditengah namun jangan sampai putus. Letakkan atas pecahan telur dan daging tadi. Tunggu sehingga sudah kering sikit. Siap.
  6. Letakkan mayonis, sos cili dan thousand island di dalam roti john. Siap.

Dah ada idea berdasarkan resepi mudah untuk jualan di atas? Jom cuba resepi mengikut permintaan ramai dan bajet semasa yang anda ada. Rata-rata resepi sangat mudah untuk dibuat dan sentiasa mendapat sambutan.

Setelah mencuba resepi di atas, pastikan pilih menu yang menjadi kepakaran anda. Seeloknya, ambil suntikan Typhod dan daftar perniagaan anda dalam SSM. Paling penting, anda perlu tahu teknik pemasaran terkini agar lebih ramai ketahui tentang perniagaan anda. Gunakan media sosial yang merupakan salah satu platform terbaik untuk berniaga saat ini.

Ceburi bidang perniagaan sememangnya tidak mudah. Namun jika anda berminat, tetaplah bersemangat dan jangan mudah putus asa.

Kami juga menulis pelbagai artikel lain termasuklah resepi ikan cencaru sumbat yang laris dijual dan jenis ais krim viral Malaysia.

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.