Teringin makan laksa Johor dan sedang mencari resepi laksa Johor yang sedap? Nak beli laksa Johor memang susah kerana tak banyak yang menjualnya lebih-lebih lagi yang berada di luar Johor.

Cara membuatnya memang sangat mudah, sama seperti membuat laksa biasa. Namun apa yang membezakannya adalah laksa Johor menggunakan spageti, kuahnya ditambahkan dengan beberapa bahan lain serta hiasan makanannya juga berlainan.

Walaupun dinamakan laksa Johor, tahukah anda ramai yang berasal luar dari kawasan Johor juga amat menyukainya laksa ini. Buat pengetahuan anda setiap cara dan bahan memasaknya hampir sama. Namun yang membezakannya adalah jenis ikan yang digunakan.

Kami sediakan 7 resepi laksa Johor dengan menggunakan pelbagai jenis ikan buat anda cuba di rumah.

Laksa Johor (Ikan Selayang)

Laksa Johor pertama ini menggunakan ikan selayang. Resepi ini merupakan perkongsian oleh Zareen Azrina di Facebook. Jika anda penggemar ikan Selayang, jom cuba resepi ini!

Bahan-bahan:

  • 1kg ikan selayang
  • 3 sdb kerisik
  • 2 senduk besar cili kisar
  • 1 ½ paket kecil rempah kari ikan cap o
  • 2 sdb besar rempah daging cap o
  • 2 batang serai titik
  • 1 mangkuk kecil santan pekat
  • 1 ketul pati kiub ikan bilis
  • Asam keping secukupnya
  • Air rebusan ikan secukupnya
  • 2 bungkus kecil udang kering*
  • Kunyit hidup sebesar ibu jari*
  • Sedikit lengkuas*
  • 3/4 labu bawang besar *

Bahan Hiasan:

  • Bunga kantan
  • Daun kesom
  • Taugeh
  • Kacang Panjang
  • Timun

Cara-cara memasak:

1. Rebus spageti dengan sedikit minyak dan anda juga boleh meletakkan sedikit garam. Kemudian toskan.

2. Kisar semua bahan bertanda * kemudian tumis bahan kisar bersama rempah kari, cili kisar dan serai sehingga terbit minyak.

3. Masukkan isi ikan, santan, kerisik dan air rebusan ikan secukupnya. Kacau-kacau biar kuah berpalut.

4. Masukkan asam keping, pati kiub ikan bilis, garam dan sedikit gula.

5. Letak bunga kantan sekuntum dan daun kesom. Reneh sehingga kuah masak.

Cara membuat sos cili:

1. Rebus segenggam cili kering dan toskan.

2. Kisar bersama sedikit belacan, gula dan sedikit air. (Guna pengisar kering)

3. Tuangkan ke dalam bekas dan siap.

Laksa Johor (Ikan Mackerel)

Tak perlu risau jika tiada ikan yang segar untuk membuat laksa. Guna sardin tin atau mackerel juga sama dan dapat menghasilkan kuah yang pekat. Ikuti resepi enak yang dikongsikan oleh Nor Syamimi Haji Sapiyee ini.

Bahan kisar:

  • Bawang besar
  • Halia
  • Serai
  • Lengkuas
  • Udang kering

Bahan Tumis:

  • Bahan kisar
  • Cili kering kisar
  • Rempah kari

Bahan Tambahan:

  • Ikan Sardin Mackerel yang dikisar (asingkan kuah)
  • 2 sudu kerisik
  • Santan
  • Asam keping
  • Garam
  • Gula sikit

Bahan Tabur:

  • Taugeh
  • Limau
  • Daun kesom
  • Bunga kantan
  • Timun
  • Bawang besar

Cara memasak:

1. Tumiskan bahan kisar termasuk cili kering dan rempah kari sehingga naik bau.

2. Masukkan ikan mackerel, kerisik dan asam keping ke dalam periuk.

3. Masukkan santan dan perasakan dengan gula dan garam.

4. Sementara kuah laksa sedang masak, rebuskan spageti bersama sedikit minyak.

5. Hidangkan laksa bersama hiasan atau bahan taburnya.

Laksa Johor (Ikan Tenggiri)

Resepi laksa Johor ketiga ini menggunakan ikan tenggiri. Lebih unik apabila diletakkan bersama udang kering dan ikan masin kurau yang dikisar bagi menambahkan kesedapan berganda. Tak percaya? Cuba sahaja resepi milik Nur Masri ini.

Bahan-bahan A:

  • 2 bungkus spageti

Bahan B:

  • 2 biji bawang besar
  • 6 biji bawang merah
  • 6 biji bawang putih
  • 2 batang serai
  • Sedikit halia
  • Sedikit lengkuas
  • Sedikit kunyit

Bahan C:

  • 4 senduk lada kisar/cili kisar (lada/cili kering)
  • 4 sudu besar rempah kari ikan
  • 4 sudu besar kerisik
  • 2 cawan santan
  • 4 asam keping
  • 5 -6 ketul ikan tenggiri
  • 5-6 ekor udang basah
  • 1 cawan udang kering (kisar)
  • 2 keping Ikan masin kurau (kisar)
  • Bunga kantan
  • Daun kesum

Cara memasak:

1. Rebus spaghetti dan letak sedikit garam serta minyak.

2. Ambil beberapa urat spaghetti dan pegang bahagian tengah lalu pusing menjadi no 8 di atas pinggan agar kelihatan kemas.

3. Kisar semua bahan B.

4. Rebus buang tulang dan kisarkan isi ikan menggunakan air rebusan.Tulang ikan yang dikisar hendaklah diasingkan dengan tapis lalu ambil airnya buat kuah.

5. Tumis bahan kisar hingga keluar minyak.

6. Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dan lada kisar.

7. Masukkan isi ikan, udang basah, udang kering dan ikan masin yang telah dikisar. Biarkan seketika sehingga mendidih.

8. Masukkan bunga kantan dan daun kesum.

9. Masukkan asam keping, kerisik dan santan.

10. Masukkan garam dan gula perang/melaka.

11. Kacau sehingga masak.

12. Siap untuk dihidangkan bersama spaghetti dan bahan hiasan.

Bahan hiasan:

  • Timun
  • Kacang panjang
  • Taugeh
  • Bunga kantan 
  • Bawang besar
  • Limau kasturi
  • Sambal belacan
  •  Lobak masin

Laksa Johor Dapur Che Ween (Ikan Temenung)

Resepi laksa Johor yang menggunakan ikan putput dan ikan temenung ini telah dikongsikan Azuin Mohd di Facebook. Beliau turut menyediakan resepi sambal enak untuk dimakan bersama laksa ini. Berikut merupakan bahan dan cara memasaknya.

Bahan-bahan kuah:

  • Ikan Putput seekor + ikan temenung lemak 6 ekor (rebus dan isinya kisar halus, tulangnya kisar asing)
  • 4 biji bawang besar sedang
  • 4 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • Halia dan lengkuas
  • 1 batang serai yang dipotong nipis (kisar halus dengan bawang, halia dan lengkuas)
  • 3 sudu kerisik
  • 4 keping asam keping
  • 2 -3 sudu gula merah
  • Ikan kurau masin 1 tapak tangan + udang kering sudu makan (rendam dengan air panas dan kisar)
  • ½ kg udang basah (kisar isi dengan halus manakala kulit direbus. Kemudian kisar dengan air udang tadi lalu tapis masuk ke dalam air rebusan ikan)
  • 2 cawan santan
  • 2 paket perencah asam pedas adabi
  • 2 sudu biji ketumbar dan jintan manis yang disangai dan ditumbuk halus
  • 1 senduk nasi cili kering
  • 2 sudu chili flakes
  • Bunga kantan
  • Garam
  • Perasa Hilal (pek warna kuning)
  • 3 sudu rempah kari

Cara memasak:

1. Tumis serai ketuk, bahan-bahan yang dikisar halus serta perencah asam pedas.

2. Masuk air ikan dan udang.

3. Masukkan isi ikan lalu kacau.

4. Masukkan isi kurau dan udang kering lalu kacau sehingga sebati masuk .

5. Masukkan biji ketumbar dan jintan manis yang ditumbuk halus.

6. Letakkan kerisik, gula merah, santan ,asam keping,b unga kantan dan perasakan garam.

Bahan sambal laksa:

  • 10 biji cili hidup merah
  • 7 biji cili padi
  • 1 sudu belacan
  • Gula
  • Garam

Cara membuat sambal:

1. Kisar semua bahan dengan perahan air limau kasturi.

2. Siap dihidangkan.

Laksa Johor (Ikan Selayang)

Kuah laksa ini turut menggunakan ikan selayang namun terdapat sedikit kelainan. Namun rasanya masih tetap padu. Jom cuba resepi milik Maria Fathil ini.

Bahan-bahan Kuah:

  • 1kg ikan selayang
  • 500 gm udang basah
  • 6 sb udang kering
  • 1 genggam ikan bilis
  • 4 biji bawang besar
  • 6 biji bawang putih
  • 3 sb kerisik
  • 25 tangkai lada kering
  • 5 sudu besar rempah kari
  • 3 batang serai
  • Sehiris halia
  • Sehiris lengkuas
  • Sedikit asam jawa
  • 6 sb gula merah atau gula melaka.
  • 1 mangkuk kecil ikan kering kurau (goreng..blender)
  • 1 biji kelapa (santan)
  • Garam, gula pasir dan ajino(jika suka) secukupnya

Cara memasak:

1. Rebus ikan dan udang basah. Airnya jangan dibuang.

2. Kisar semua bahan di atas termasuk air rebusan.

3. Tumis bawang besar dan bawang putih sedikit.

4. Masukkan bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai dan lada kering yang telah dikisar.

5. Tumis sehingga garing dan pecah minyak lalu masukkan air asam.

6. Masukkan ikan, udang basah, udang kering, ikan bilis dan ikan kering kurau.

7. Kacau hingga sebati.

8. Masukkan santan, gula merah, gula pasir, garam dan ajino (jika suka).

Bahan hiasan:

  • Bawang besar
  • Taugeh
  • Timun
  • Limau Kasturi
  • Daun Kesom
  • Daun Selasih
  • Kacang panjang

Sambal belacan:

  • Tumbukkan atau kisar cili, belacan dan garam.

Resepi Laksa Johor (Ikan kembung/selar)

Jika anda mempunyai ikan kembung atau ikan selar sahaja di rumah, gunakan saja untuk membuat kuah laksayang sedap. Rohaidah Ismail telah berkongsi resepi di Facebook dan merupakan resepi yang telah dikongsikan oleh ibu mertuanya. Buat pengetahuan anda, resepi ini menggunakan 3 kg ikan.

Bahan A (kisar):

  • 3 kg ikan kembung / ikan selar besar (Rebus, buang tulang & kisar halus)

Bahan B (kisar):

  • 3 biji bawang besar
  • 6 ulas bawang putih
  • 3 batang serai
  • 1 senduk cili kering

Bahan Tumis:

  • 5 senduk minyak masak
  • 2 inci kayu manis
  • 1 kg santan
  • 1 senduk kerisik
  • 3 senduk rempah kari
  • 2 inci lengkuas (diketuk)
  • Air (mengikut kepekatan yang anda mahu)
  • 3 keping asam keping
  • ½ ketul gula tebu
  • 3 sudu gula pasir
  • Garam da perisa  (secukup rasa)

Bahan Rebus:

  • Spaghetti (Direbus terlebih dahulu)

Bahan Tabur:

  • Daun kesum
  • Bawang holland
  • Sambal belacan
  • Limau kasturi
  • Taugeh
  • Timun

Cara-cara memasak:

1. Rebus bahan A lalu buang tulang ikan & kisar halus. Ketepikan dalam bekas lain.

2. Panaskan minyak lalu masukkan kayu manis, masukkan bahan B dan lengkuas (diketuk). Tumis sehingga naik bau dan kekuningan.

3. Masukkan rempah kari, bahan A, santan, gula pasir, gula tebu, asam keping, kerisik, perasa dan air secukupnya.

4. Dikacau hingga mendidih dan pecah minyak.

5. Siap untuk dihidang.

Bahan tabur:

  • Buang kulit timun dan sagat halus
  • Bawang holland dibelah 2 dan sagat halus
  • Daun kesum cincang halus
  • Taugeh
  • Sambal belacan lagi pedas lagi ngam
  • Limau kasturi dibelah dua

Laksa Johor (Ikan Parang)

Zalifah Hj Denan telah berkongsi resepi laksa Johor dan menggunakan ikan parang untuk membuat kuahnya yang pekat. Resepi ini cukup mudah untuk diikuti tetapi rasanya memang mantap. Jom cuba resepi ini!

Bahan kisar:

  • Sebiji bawang besar
  • 4 biji bawang merah
  • 4 biji bawang putih
  • 3 batang serai
  • 8 tangkai cili kering
  • Kerisik
  • Santan
  • ½ genggam udang kering
  • 4 sudu besar rempah kari ikan

Cara memasak:

1. Rebus setengah ekor ikan parang atau tenggiri dengan halia dan bawang putih.

2. Buang tulang dan kisar isinya menggunakan air rebusan.

3. Kisar tulang namun asingkannya dari isi dan tapis airnya buat kuah.

4. Tumis bahan kisar sehingga naik bau.

5. Masukkan rempah kari yang telah dibancuh.

6. Masukkan isi ikan dan udang kering . Kacau dan tunggu mendidih.

7. Masukkan kerisik dan santan dan tunggu mendidih semula.

8. Masukkan garam, gula dan asam keping sekeping.

9. Masak menggunakan api kecil supaya mesra rasanya kecuali masa menumis.

Bahan aksesori:

  • Timun
  • Daun kesom
  • Daun selasih
  • Bunga kantan
  • Lobak asin
  • Taugeh
  • Bawang besar
  • Sambal belacan
  • Limau kasturi

Senangkan resepi laksa Johor di atas? Tengok gambar sahaja sudah cukup mengiurkan. Jom mencubanya, pasti bertambah terutama jika dimakan seisi keluarga atau bersama rakan.

Kami juga ada menulis pelbagai resepi lain yang boleh anda cuba seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.