Resepi labu yang menarik dan sedap untuk anda cuba. Labu merupakan salah satu sayur yang kerap dijadikan hidangan di kampung. Hal ini kerana, labu bukan sahaja sedap untuk dimakan, malah khasiat labu yang pelbagai juga menjadikan sayur ini di sukai ramai. Antara khasiat labu adalah untuk menjaga sistem pencernaan agar berfungsi dengan baik.

Selain rasanya yang sedap dan manis, labu juga boleh diolah untuk dijadikan pelbagai masakan. Terdapat pelbagai jenis masakan yang berasaskan labu dapat anda cuba. Antaranya labu dijadikan sayur lemak, kuih-muih dan kudapan yang sihat untuk anda. Jom tengok pelbagai resepi labu yang menarik untuk anda cuba.

Labu Masak Lemak Kuning

Imej via [facebook]

Labu masak lemak kuning sememangnya menarik selera makan anda. Masakan kampung yang cukup terkenal. Lauk ini memang sangap sedap dimakan bersama ikan goreng mahupun belacan. Jom tengok resepi yang dikongsi oleh Hazman di laman facebook.

Bahan-bahan:

  • Labu
  • 1 sudu besar udang kering
  • 2 biji bawang merah kecil
  • 2 ulas bawang putih
  • 200ml santan kara
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu kecil garam
  • Daun kunyit
  • Air

Cara Penyediaan:

1)Potong labu petak-petak dan basuh bersih.

2)Sediakan periuk dan didihkan air. Rebus labu sehingga labu lembut.

3)Renda mudang kering ke dalam air sehingga lembut.

4)Tumbuk udang kering yang telah direndam tadi sehingga lumat menggunakan lesung batu.

5)Hiris bawang merah dan bawang putih. Ketepikan.

6)Panaskan sedikit air, masukkan bawang yang telah dihiris bersama dengan udang kering yang ditumbuk tadi. Kacau rata.

7)Masukkan santan dan air. Kacau sebati dan biarkan sekejap.

8)Masukkan 1 sudu kecil serbuk kunyit dan kacau sebati.

9)Masukkan labu dan kacau sebati.

10)Masukkan daun kunyit yang telah diikat ke dalam periuk.

11)Masukkan garam dan kacau sehingga kuah pekat.

12)Hidangkan ke dalam mangkuk dan siap. Selamat mencuba!

Puding Labu

Imej via [facebook]

Nak pudding yang sihat menggunakan bahan semulajadi? Jom cuba puding labu ni. Bukan setakat visual yang cantik, rasanya juga pasti sedap. Jom tengok resepi yang dikongsi oleh Jemayah Bujang di laman facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 biji labu (1.5kg)
  • 5 biji telur ayam gred A
  • 1 keping gula melaka
  • 3 sudu besar gula pasir (boleh tambah kalau nak manis lagi)
  • 200ml santan pekat
  • Secubit garam
  • 2 sudu Air pandan atau
  • 2 sudu kecil esen vanilla

Cara Penyediaan:

1)Panaskan periuk kukus terlebih dahulu.

2)Bersihkan labu dan potong bahagian atas labu. Buang segala isi kandungan dalam labu dan bersihkan.

3)Campurkan kesemua bahan dan blender hingga halus.

4)Masukkan labu ke dalam loyang bagi mengelakkan labu bergerak semasa dikukus.

5)Kukus lebih kurang 45 minit atau sehingga isi labu lembut.

6)Sejukkan sebelum dipotong. Sedap di makan ketika sejuk. Selamat Mencuba!

Labu Masak Lemak Putih

Imej via [facebook]

Labu masak lemak putih sememangnya menjadi kegemaran ramai. Gulai labu yang berlemak ditambah dengan rasa madu yang cukup manis pastinya memikat anda. Jom tengok cara penyediaan labu masak lemak putih yang mudah ini. Resepi dikongsi oleh Umi Rahmat di laman facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan bilis
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Labu
  • Sayur bayam
  • Cili basah
  • Air
  • Santan

Cara Penyediaan:

1)Tumbuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis sehingga hancur.

2)Masuk bahan yang telah ditumbuk tadi ke dalam periuk.

3)Tambahkan air dan labu. Didihkan sehingga labu lembut.

4)Setelah labu lembut, masukkan bayam dan cili. Kacau rata dan biarkan sehingga mendidih.

5)Setelah mendidih, masukkan santan dan garam. Kacau sehingga rata.

6)Pastikan santan tidak pecah dan setelah mendidih tutup api.

7)Hidangkan labu ke dalam mangkuk dan siap!

Labu Goreng Rangup

Imej via [facebook]

Kalau biasa kita dengar tentang cendawan goreng, kali ni labu goreng pun ada tau. Sedap untuk dijadikan kudap-kudap. Resepi mudah ini dikongsi oleh Sha Roziah di laman facebook.

Bahan-bahan:

  • Labu (buang kulit dan hiris nipis)
  • 1 cawan tepung beras
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu kecil baking powder
  • Sedikit kunyit serbuk
  • Sedikit garam

Cara Penyediaan:

1)Basuh labu dan buangkan kulitnya.

2)Hiris nipis labu dan ketepikan.

3)Sediakan pinggan dan masukkan tepung beras, tepung gandum, baking powder, serbuk kunyit dan garam.

4)Masukkan air secukupnya dan gaul bahan-bahan sehingga sebati.

5)Pastikan bancuhan tidak terlalu pekat atau cair.

6)Celupkan labu yang telah dihiris tadi ke dalam bancuhan tepung. Gaul sehingga rata.

7)Sediakan kuali dan panaskan minyak. Pastikan minyak panas sebelum masukkan labu tadi.

8)Goreng labu yang telah disalut tepung dengan api perlahan. Goreng sehingga labu garing dan toskan.

9)Hidangkan labu ke dalam pinggan dan siap!

Labu Siam Tumis

Imej via [facebook]

Resepi labu tumis siam yang ringkas dan mudah ini dikongsi oleh page Masakan Lezatku. Bagi anda yang baru pertama kali ingin mencuba masakan labu ini, boleh tengok resepi di bawah.

Bahan-bahan:

  • 1 buah labu siam
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1/2 sudu teh gula pasir
  • 1/4 sudu teh garam
  • 2 cm lengkuas
  • 1 lembar daun salam

Bahan Tumis:

  • 1 buah tomato kecil
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 2 cili merah

Cara Penyediaan:

1)Bersihkan getah yang ada pada labu siam dengan memotong labu menjadi 2 bagian.

2)Gesek-gesekkan labu sehingga getah keluar.

3)Kupas labu dan parut labu sehingga bentuknya memanjang.

4)Tumis buah tomato, bawang putih, bawang merah dan cili ke dalam kuali.

5)Masukkan labu siam dan kacau sehingga bahan-bahan layu.

6)Tambahkan air, gula dan garam. Kacau sehingga rata.

7)Tunggu sehingga air menjadi pekat dan meresap ke dalam labu.

8)Tumis labu siam siap untuk disajikan. Selamat mencuba!

Lepat Labu

Imej via [facebook]

Sayur labu sememangnya sesuai untuk dijadikan pelbagai hidangan. Sekiranya anda pening dengan menu petang anda, apa kata anda cuba resepi lepat labu. Resepi ini dikongsi oleh Alya Mikayla. Cara penyediaannya sama seperti menyediakan lepat pisang. Jom tengok resepi di bawah.

Bahan-bahan:

  • 500 gm labu kuning (kukus dan dilecek)
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung tepung beras
  • 1/2 cawan pati santan
  • 1 biji kuning telur
  • 1 sudu besar garam
  • Gula secukup rasa (saya guna brown sugar)
  • Kelapa parut (inti)
  • Garam (inti)
  • Daun pisang (layukan dulu)

Cara Penyediaan:

1)Didihkan air dan rebus labu sehingga labu lembut.

2)Toskan labu yang telah masak dan lenyekkan.

3)Campurkan tepung gandum, tepung beras, kuning telur, santan dan gula. Ke dalam labu yang telah dilenyek.

4)Gaul adunan sehingga sebati dan sekiranya adunan terlalu lembik, tambah sedikit tepung.

5)Sediakan daun pisang yang telah dilayurkan.

6)Ambil adunan labu 1 atau 2 sudu dan letakkan ke atas daun pisang.

7)Masukkan inti kelapa yang telah digaulkan dengan garam ditengah-tengahnya.

8)Bungkus labu seperti buat lepat biasa.

9)Sediakan periuk dan didihkan air. Kukus sehingga labu masak.

10)Hidangkan labu ke dalam pinggan. Selamat mencuba!

Kuih Bingka Labu

Imej via [facebook]

Selain dari kuih lepat, labu juga boleh dijadikan kuih bingka. Bingka labu merupakan salah satu kuih tradisional masyarakat melayu yang tidak mempunyai penambahan warna dalam masakan. Rasa bingka labu yang berlemak dan lembut pastinya menjadi kesukaan keluarga anda. Jom tengok resepi yang dikongsi oleh Zaleha Yusof di laman facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 biji telur
  • 2 cawan santan
  • 2 cawan tepung gandum
  • 3/4 cawan gula
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 2 sudu besar butter
  • 2 cawan labu (di rebus dan di lenyek)
  • Hiasan sedikit bijan

Cara Penyediaan:

1)Panaskan oven pada suhu 200 celcius.

2)Sapukan loyang dengan butter.

3)Sediakan blender dan masukkan telur, santan, tepung gandum, gula, garam ,esen vanilla, butter dan labu. Bland sehingga bahan sebati.

4)Masukkan bahan yang telah diblender ke dalam loyang.

5)Bakar selama 1 jam dan letakkan biji bijian di atas kuih.

6)Tunggu sehingga kuih sejuk sebelum di potong.

7)Potong kuih mengikut saiz yang anda mahukan. Kuih siap untuk dihidang. Selamat mencuba.

Koci Labu Leleh

Imej via [facebook]

Peminat kuih koci, selain dari kuih koci yang berasaskan beras pulut hitam, anda juga boleh menghasilkan kuih koci dari sayur labu. Jom tengok resepi yang dikongsi oleh Zaleha Yusof di laman facebook miliknya.

Bahan-bahan:

Doh Koci

  • Garam
  • Labu
  • 2 atau 3 cawan tepung pulut
  • Air

Cara Penyediaan Doh:

1)Sediakan periuk dan didihkan air.

2)Rebus labu dengan garam dan toskan.

3)Lenyekkan labu dan gaul dengan tepung pulut sebanyak 2 atau 3 cawan.

4)Tambahkan air sedikit demi sedikit dan gaul sehingga sebati.

Inti

  • 2 buku gula melaka
  • Daun pandan
  • Sebiji kelapa parut
  • 3 sudu besar gula
  • Santan
  • 1 atau 2 cawan tepung beras
  • Garam

Cara Penyediaan Inti:

1)Sediakan periuk dan masukkan 2 buku gula melaka bersama air masak.

2)Masak hingga air mendidih dan gula cair. Masukkan daun pandan dan sebiji kelapa parut.

3)Masukkan 3 sudu besar gula dan kacau sehingga sebati dan kering.

Cara penyediaan:

1)Sediakan doh koci dan masukkan inti ke dalam koci.

2)Bulatkan dan ulang proses 1 sehingga doh habis.

3)Sediakan periuk dan masukkan santan. Masak dengan api perlahan.

4)Masukkan garam dan gaul sebati. Masukkan koci yang telah siap tadi dan biarkan mendidih.

5)Tutup api dan masukkan koci yang telah siap ke dalam mangkuk.

6)Koci siap untuk dimakan. Selamat mencuba!

Kerepek Labu Rangup Lemak Manis

Imej via [facebook]

Sayur labu banyak, tak tahu nak buat apa? Jangan risau, jom tengok cara membuat kerepek menggunakan sayur labu. Kerepek yang pastinya sedap dan sihat untuk dimakan bersama keluarga anda. Resepi kali ini dikongsi oleh Pakcu Love di laman facebook. Cara penyediaan yang mudah dan dijamin sedap.

Bahan-Bahan:

  • 1 biji labu
  • Minyak untuk menggoreng

Cara Penyediaan:

1)Potong labu kecil-kecil.

2)Buang kulit labu (tinggal yang hijau sikit). Pastikan kulit tidak dikupas terlalu tebal.

3)Sagat labu nipis-nipis (panjang-panjang).

4)Basuh dibawah aliran air tidak perlu rendam dalam air garam.

5)Keringkan atau jemur dibawah cahaya matahari.

6)Goreng dibawah api yang sederhana.

7)Sejukkan dulu sebelum masukkan dalam balang. Siap!

Cucur Labu Manis

Imej via [facebook]

Korang semua mesti pening kepala kan nak masak apa pagi ni. Lagi-lagi yang ada anak sekolah, mesti pening fikir sarapan apa nak buat pagi ni. Jangan risau, jom tengok resepi cucur labu manis ni. Resepi ini dikongsi oleh page Kelab Mama di laman facebook.

Bahan-bahan:

  • 300 gram labu manis (potong dan kukus kemudian lenyekkan)
  • 1/4 cawan gula kastor
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/2 sudu teh baking powder
  • 1 sudu teh yis mauripan
  • 1/2 sudu teh garam

Cara Penyediaan:

1)Campurkan semua bahan ke dalam bekas.

2)Gaul rata dan masukkan labu yang telah dilenyek.

3)Gaul sehingga sebati dan biarkan adunan sedikit sejuk.

4)Tutup adunan dan biarkan dalam 1 atau 2 jam sehingga adunan agak kembang.

5)Sediakan kuali dan panaskan minyak.

6)Goreng cucur dalam minyak penuh. Gunakan api kecil untuk pastikan kulit luar cucur labu garing dan rangup.

7)Tosakan dan hidang cucur ke dalam pinggan. Selamat mencuba.

Selain dari resepi labu, kami juga ada berkongsi pelbagai resepi yang menarik untuk anda cuba. Jangan lupa untuk comment dan share. Selamat mencuba!

Penulis: kiraasla

Writing makes me happy!

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.