Restoran ini terletak di Sungai Merab, Bangi menghidangkan hidangan makan tengahari dan juga makan malam.
Bagi penduduk Putrajaya dan Sg. Merab, Perantau Hill bukanlah suatu nama asing bagi mereka.
Dahulunya, kedai ini cumalah sebuah warung kecil sahaja namun telah berkembang maju, dan wujudlah Restoran Perantau Hill yang lebih gah buat para pelanggannya.
Kalau anda nak tahu, Perantau Hill ini terkenal dengan ayam kampung gorengnya yang begitu sedap.
Teksturnya luarannya rangup serta garing tidak langsung mencacatkan isi di bahagian dalam yang ternyata kekal lembut serta berjus.
Ia dihidangkan bersama pencicah kicap yang diadun bersama cili padi dan juga sehiris limau nipis sebagai penyedap rasa.
Menu istimewa di restoran ini sewaktu makan tengahari sudah tentulah ayam kampong gorengnya yang sentiasa menjadi pilihan ramai.
Selain itu, masakan kampong begitu banyak di sini, ada kerabu kerang, gulai kawah, ulam – ulaman bersama sambal belacan, sambal tempoyak dan banyak lagi.
Pada sebelah malam pula, Perantau Hill menyajikan pelbagai masakan panas. Sememangnya pelanggan agak ramai menjelang malam.
Antara hidangan istimewa di sebelah malam adalah tomyam kelapanya yang begitu unik dan sudah tentulah sedap.
Tomyam yang dipesan akan dihidangkan di dalam sebiji kelapa muda dan keenakkan rasanya sungguh berbeza.
Selain itu, menu lain yang boleh anda cuba adalah seperti ikan bawal stim limau, kailan ikan masin, telur dadar, ikan masak tiga rasa, sotong celup tepung dan bermacam – macam lagi.
Perantau Hill yang kini terletak di atas tapak yang luas sangat memberi keselesaan buat para pelanggan.
Banyak kemudahan yang disediakan buat para pelanggan antaranya ruang makan di sebelah dalam dan di sebelah luar yang banyak memudahkan para pelanggan menjamu selera di sini.
Terdapat juga ruang makan bersila dan para pelanggan boleh menjamu selera di ruangan ini mengikut keselesaan.
Kemudahan surau juga disediakan buat para pelanggan yang ingin mengerjakan solat sebaik sahaja masuknya waktu solat.
Ruang parking yang luas juga memudahkan pelanggan meletakkan kenderaan.
Ruang makan berpendingin udara juga disediakan buat pelanggan yang lebih gemar berada di ruang yang lebih sejuk.
Harga makanan yang dikenakan di restoran ini adalah berpatutan dan setaraf dengan perkhidmatan yang disediakan.
Oleh sebab itu, restoran ini pernah dianugerahkan dengan Anugerah Kedai Harga Patut pada tahun 2011 dan Anugerah Kedai Pilihan Rakyat 1 Malaysia pada tahun 2012 oleh KPDNKK.
Setiap hari Perantau Hill akan memulakan operasi perniagaannya untuk hidangan makan tengahari mulai jam 11.00 pagi hingga jam 4.00 petang.
Bagi sebelah malam, restoran ini memulakan operasi pada jam 5.00 petang hingga jam 1.00 pagi.
Pelanggan mulai ramai menjelang selepas waktu solat Maghrib dan ia semakin bertambah sehingga larut malam terutamanya di hujung minggu atau cuti – cuti am.
Alamat : Perantau Hill Restaurants & Katering, Jalan Air Hitam, Kampung Sungai Merab, 43000 Sungai Merab Luar, Selangor,