Bila bercakap sahaja tentang tempat makan di Penang, semestinya nasi kandar akan termasuk dalam senarai. Ada banyak restoran nasi kandar yang popular dan salah satunya ialah Nasi Kandar Kampung Melayu.

Restoran yang mula beroperasi sejak tahun 1970-an ini memang boleh dikategorikan sebagai restoran ‘legend’. Mana tidaknya, setelah lebih 40 tahun, ianya masih relevan sehingga kini!

Jadi, apa yang membuatkan Nasi Kandar Kampung Melayu begitu popular di kalangan pencinta makanan ya? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

Jumlah Lauk Yang Cukup Berbagai

Kalau dah namanya nasi kandar, memang wajiblah lauk-pauknya ada berbagai jenis. Ditambah pula dengan kuah banjir dan sayur yang memenuhi pinggan, memang menyelerakan!

lauk-pauk @ Nasi Kandar Kampung Melayu

Imej via Foursquare

Di Nasi Kandar Kampung Melayu, ada beraneka jenis lauk-pauk yang disediakan. Kadangkala sampai pengunjungnya mengambil masa yang lama dek kerana tidak tahu mahu pilih yang mana.

nasi kandar

Imej via Instagram

Antara lauk yang wajib anda cuba di sini ialah kari kepala ikan, ayam ros, sayur bendi, kari sotong, telur rebus dan banyak lagi. Walaupun berlainan rasa, keenakkannya masih sama!

Lauk Kari, Sedapnya Tidak Terperi

Mungkin anda sudah bosan mendengarnya, namun jika anda merasai kari di sini pasti anda akan jatuh cinta! Agak-agak apa yang membuatkan kari di sini begitu istimewa?

Restoran ini tidak menggunakan pes kari buatan, malah kari di sini menggunakan rempah kari giling yang asli. Ianya juga merupakan resepi turun-temurun dari Sri Lanka sejak berpuluh tahun yang lalu!

kari sotong @ Nasi Kandar Kampung Melayu

Imej via Foursquare

kari kepala ikan @ Nasi Kandar Kampung Melayu

Imej via Foursquare

Antara lauk kari yang boleh anda cuba ialah kari kepala ikan, kari sotong, kari kambing dan kari ayam. Aromanya yang harum dan rasanya yang berempah bikin ramai jatuh cinta!

Servis Berkualiti, Kebersihan Terjaga & Harga Berpatutan

Wah, memang ‘3-in-1’ betul restoran Nasi Kandar Kampung Melayu ini! Tiga aspek ini pasti dititikberatkan oleh pelanggan sebelum singgah di mana-mana restoran – servis, kebersihan dan harga.

pekerja @ Nasi Kandar Kampung Melayu

Imej via Foursquare

Jangan risau, restoran ini memang dipuji ramai. Menurut pelanggan, pekerja-pekerja di sini ramah dan cukup ringan tangan membantu pelanggan.

Kebersihan restoran juga turut terjaga. Dari segi harga pula, tidak terlalu mencekik darah dan berpatutan. Patutlah ramai pelanggan meninggalkan ulasan yang postif-positif belaka!

Banyak Lagi

Buat pengetahuan anda, restoran ini dibuka seawal 6 pagi lagi. Jika tekak anda kurang berselera menikmati nasi kandar pagi-pagi, usah gundah!

roti canai

Imej via Instagram

Hal ini kerana roti canai dan roti telur di sini juga merupakan antara hidangan terlaris. Saiznya agak besar, jika dinikmati bersama kuah kari atau dal, pasti lebih lazat!

Kesimpulan

Banyak juga menu yang enak-enak di restoran Nasi Kandar Kampung Melayu ini, bukan? Kami yakin anda pasti sudah terliur memikirkan karinya yang cukup istimewa.

Jangan tunggu lama-lama, lekas serbu sebelum terlepas peluang! Kami nasihatkan agar anda datang awal kerana selalunya, ramai pelanggan terpaksa berbaris. Biasalah, restoran nasi kandar kegemaran ramai!

Berikut kami sertakan alamat dan waktu operasi restoran, selamat menjamu selera!

Alamat: A-29, Jalan Kampung Melayu, Kampung Melayu, 11500 Ayer Itam, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, 6.15 pagi – 1.30 tengah hari

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.