Konsep restoran Nasi Daun Pisang sebenarnya sudah lama wujud di Malaysia namun kini kembali hangat diperkatakan di kalangan food hunter. Ianya menjadi menu pilihan ramai terutama untuk makan tengah hari.

Menu popular ini sebenarnya berasal daripada Tamil Nadu iaitu di India Selatan, dimana hidangan nasi beralaskan daun pisang bersama beberapa lauk pilihan, kuah kari, sayur dan papadom.

Disebabkan menu ini kian popular di kalangan penggemarnya tidak mengira bangsa, lebih banyak restoran bertemakan menu ini wujud dengan lebih banyak pilihan lauk dan semestinya muslim friendly serta halal.

Jika anda berada di KL dan Selangor, kami senaraikan kedai nasi daun pisang yang sedap dan perlu anda kunjungi. Mana tahu, ada yang berdekatan dengan lokasi anda.

Macha & Co, Petaling Jaya

Imej via [ Macha & Co ]

Buat yang berada di Selangor, Macha & Co adalah salah satu tempat makan nasi daun pisang yang halal, sesuai untuk anda cuba. Menjelang tengah hari, pasti tempat makan ini dipenuhi ramai memandangkan ramai yang sedia maklum dengan keenakan menu unik di sini.

Konsep yang sama tetapi rasanya yang berbeza dan unik kerana menggunakan resepi rahsia dan turun temurun dari tiga generasi. Paling best, ini adalah kedai nasi daun pisang yang sangat selesa kerana anda dapat menikmati hidangan tersebut di kawasan berpendingin hawa dan bersih!

Ada yang tengah diet tapi masih nak cuba menu ini? Jangan risau, Macha & Co ada menyediakan nasi perang yang sesuai untuk mereka yang tengah diet!

Lokasi: The Curve, G41, Street Mall, Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara, 47820 Petaling Jaya, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-10.00 pm)

Yap Kee Banana Leaf, Klang

Warga Klang pasti selalu makan tengah hari di sini. Siapa tak kenal dengan restoran lejen ini yang telah beroperasi sejak 1923. Bukan sahaja penduduk setempat, malah pelancong juga ramai ke sini dan sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya lebih-lebih lagi pada waktu kemuncaknya iaitu tengah hari.

Antara lauk yang menjadi pilihan ramai adalah ikan goreng dan ayam goreng berempah. Pengunjung mempunyai tiga pilihan kuah iaitu kuah kari ayam, kari kambing dan kari ikan. Padankan pula menu ini bersama minuman terlaris seperti Kedondong Asam, Jus Oren dan Asam Boi Limau. Kombinasi yang sangat menyegarkan!

Harga juga memang sangat berbaloi buat mereka yang tinggal di ibu kota iaitu serendah RM 9 bergantung kuantiti dan jenis lauk yang dipilih.

Lokasi: 26, Jalan Besar, Kawasan 1, 41000 Klang, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (11.30 am-4.00 pm)

Kanna Curry House, Petaling Jaya

Imej via [ Kanna Curry House ]

Lagi satu pilihan nasi daun pisang di Petaling Jaya yang boleh anda kunjungi berada di Seksyen 17 Petaling Jaya. Walaubagaimanapun, jika ada pecinta Kanna Curry House, mereka mempunyai enam cawangan lain sekitar Selangor termasuk di Klang, Puchong dan Kepong.

Kanna Curry House juga adalah restoran nasi daun pisang paling lejen kerana telah menghidangkan makanan ini sejak 1976. Cukup membuatkan ramai orang termimpi-mimpi dengan hidangannya.

Gabungan nasi panas yang beralaskan daun pisang, dimakan pula bersama kuah kari yang pekat dan padu pasti membuatkan anda menjilat jari. Nak lagi sedap, makan bersama sotong goreng!

Lokasi: 29, Jalan 17/45, Seksyen 17, 46400 Petaling Jaya, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-9.00 pm)

Acha Curry House, Petaling Jaya

Apa yang menarik di sini? Semestinya lebih banyak pilihan kari, lauk dan sayur untuk dimakan bersama nasi beralaskan daun pisang.

Bukan sahaja kari ikan dan kari ayam, malah ada kari ketam dan kari ikan masin. Memang unik! Untuk sayur pula, gandingan bersama jeruk timun, puri labu mahupun taugeh pasti melengkapkan selera anda. Terdapat dua pilihan nasi yang menjadi pilihan ramai iaitu nasi putih dan Indian Rice.

Pengujung juga boleh menambah menu sampingan lain seperti tenggiri goreng, sambal ikan bilis mahupun ketam.

Lokasi: Paul, 42, Jalan SS 2/4a, SS 2, 47300 Petaling Jaya, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.30 am-4.30 pm)

Laxmi’z Kitchen, Rawang

Imej via [ Laxmi’z Kitchen ]

Orang Rawang juga boleh berkunjung ke Laxmi’z Kitchen untuk mendapatkan nasi daun pisang yang sedap di Selangor.

Dengar cerita, Ketam Masala di sini memang tiada tandingannya. Bukan itu sahaja, sambal tumis udang petai, sotong goreng, kambing peratal menjadi kesukaan ramai.

Lokasi: 1, Jalan Rawang, 48000 Rawang, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-9.00 pm)

Restoran Curry Leaf, Petaling Jaya

Imej via [ Curry Leaf ]

Jika datang ke sini, rugi jika tak cuba Udang Masala, Kari Kepala Ikan dan Chicken Peratal. Antara menu yang perlu dicuba untuk dimakan bersama nasi beralaskan daun pisang.

Tandori, Vadai dan Thosai antara menu sampingan yang perlu anda cuba. Ramai pengunjung yang berpuas hati dan rata-rata memang menjadikan restoran ini sebagai restoran sajian menu India yang perlu dikunjungi jika ke Selangor.

Lokasi: Ground Floor, 75, Jalan SS 21/37, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Selangor

Waktu operasi: Khamis-Selasa (7.00 am-9.00 pm)

Restoran Sri Nirwana Maju,Bangsar

Restoran Sri Nirwana Maju adalah salah satu port nasi daun pisang terkenal di ibu kota. Apabila ramai yang sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya lebih-lebih lagi penduduk setempat, pasti keenakannya tiada tandingan.

Menu yang perlu pengunjung cuba adalah nasi biryani, dikatakan antara yang tersedap di Kuala Lumpur. Antara lauk yang pasti membuatkan anda rambang mata adalah kari kambing, daging masak hitam dan sotong goreng tepung berempah.

Lokasi: 43, Jln Telawi 3, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (11.30 am-10.00 pm)

Devi’s Corner, Bangsar

Jika anda tanya penggemar nasi daun pisang yang tersedap di Bangsar, pasti ramai yang mengesyorkan Devi’s Corner sebagai pilihan terbaik.

Ramai yang jatuh cinta dengan kari ketam di sini. Kuahnya pekat dan secukup rasa dimakan bersama ketam segar yang mempunyai isi yang manis. Menu lain pun ada dan kebanyakannya memang sedap. Harga juga berpatutan.

Lokasi: 9, Jalan Telawi 2, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-11.00 pm)

Fathima Banana Leaf, Bangsar

Imej via [ Sini Kaki ]

Lokasi restoran ini memang strategik dan mudah dicari kerana berdekatan dengan LRT Bangsar. Hal ini menjadikan salah satu faktor ia menjadi pilihan ramai selain keenakannya yang ramai sedia maklum. Restoran halal ini terkenal dengan aneka kuah kari yang pekat dan surr.

Lokasi: 10, Jalan Bangsar Utama 1, Bangsar, 59000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-7.00 pm)

Restoran Vishal Food & Catering, Brickfields

Nak rasa nasi daun pisang ori seperti di India Selatan? Makan di Restoran Vishal Food & Catering pasti memenuhi citarasa anda terutama yang pernah merasai rasa asli menu ini. Ramai yang menyukai hidangan kari yang pekat, pedas dan surr. Sesuai untuk mereka yang kuat makan pedas!

Ada nasi putih dan nasi biryani yang boleh dipilih. Antara lauk terlaris semestinya mutton varuval dan chicken varuval. Pelbagai hidangan lain yang sedap dan kebanyakan menu merupakan hidangan dari Tamil Nadu.

Lokasi: 22, Jalan Scott, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-11.00 pm)

Makan nasi daun pisang pasti memberi nikmat yang berbeza. Mana tidaknya, makan nasi panas, lauk pauk lain dengan aroma daun pisang menyerlahkan lagi keenakannya. Rugi jika makan nasi daun pisang menggunakan sudu dan garpu, tidak rasa umphh!

Apa tunggu lagi, jom ajak yang tersayang untuk makan sesuatu yang berbeza untuk makan tengah hari ini. Dah cuba pasti nak lagi!

Mencari tempat makan unik dan luar biasa di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor? Ini cadangan tempat makan best buat anda!

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.