Kaum Kadazan antara sebuah etnik peribumi yang menetap di pantai barat Sabah dan juga kawasan pendalaman sekitarnya. Kaum ini terbentuk hasil gabungan dua kaum utama Sabah iaitu Kadazan dan Dusun. Oleh kerana terdapatnya persamaan dari segi bahasa, budaya dan situasi politik, kaum ini disatukan dan dikenali sebagai kaum Kadazan.

Kaum ini begitu kaya dengan pelbagai budaya dan adat istiadat yang merupakan warisan turun temurun nenek moyang mereka. Ia melambangkan keindahan adat dan budaya mereka sebagai kaum terbesar di Sabah.

Di samping itu, masyarakat ini terkenal dengan keistimewaan makanan tradisi mereka. Ia adalah lambang serta identiti sesuatu kaum.

Terdapat pelbagai jenis makanan yang biasanya boleh dilihat melalui kepelbagaian jenis hidangan semasa musim perayaan seperti Pesta Keamatan. Makanan ini akan disediakan dengan pelbagai cara mengikut kebiasaan amalan tradisi kaum Kadazan. Oleh sebab itu penyediaannya memiliki keunikan yang tersendiri.

Antara hidangan tradisional yang begitu terkenal dan masih diteruskan sehingga hari ini adalah seperti berikut :

#1. Hinava

Hinava merupakan hidangan tradisional bagi suku kaum KadazanDusun di Sabah. Ia membawa maksud hidangan yang dimasak tanpa menggunakan api.

Hinava dihasilkan daripada isi ikan segar yang dicampurkan bersama biji buah bambangan yang diparut. Selain itu, bahan lain seperti cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam juga dicampurkan.

Hinava

Imej via traveloka

Ia juga turut dikenali dengan nama Hinava Ginapan. Isi ikan yang digunakan adalah mentah dan tidak perlu dimasak kerana ia akan dimasak secara semulajadi menggunakan perahan jus limau. Ikan yang boleh dijadikan hidangan ini biasanya ikan tenggiri ataupun isi ikan yu. Selain ikan, ia juga boleh digantikan dengan udang atau sotong bagi menyediakan hidangan ini.

Hinava

Imej via bigpocket17

Biasanya hinava dihidangkan semasa majlis – majlis tertentu seperti majlis perkahwinan. Ia juga akan menjadi hidangan istimewa semasa sambutan Pesta Keamatan atau Tadau Keamatan.

#2. Noomsom

Noomsom antara makanan tradisi yang popular bagi masyarakat Kadazandusun. Ia merupakan sejenis jeruk yang terdiri daripada beberapa jenis nomsoon. Antara nomoon yang popular adalah Nomsoon Sada (ikan), Nomsoon Bambangan (buah) dan Nomsoon Tuhau (ulam/sayuran).

Noomsom

Imej via syurgamakanan

Nomsoon Sada biasanya menggunakan jenis ikan air tawar. Ikan tersebut perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dijerukkan menggunakan isi buang pangi yang ditumbuk. Selain itu, campuran nasi dan garam juga turut digunakan. Kesemua bahan ini akan dimasukkan ke dalam botol atau bekas kecil dan diperam selama sepuluh hingga dua belas hari sebelum boleh dimakan.

Noonsom

Imej via zecksite

Noonsom Bambangan pula dihasilkan dari isi buah bambangan yang dihiris dan dicampur dengan biji buah bambangan yang telah diparut bersama sedikit garam. Kesemua bahan ini akan dimasukkan ke dalam bekas kecil atau botol dan diperam selama seminggu.

Noonsom Tuhau pula diperbuat dari tumbuhan bernama tuhau yang dihiris halus sebelum dijeruk dengan cuka, garam dan cili merah. Kesemua bahan ini akan dicampurkan dan dimasukkan ke dalam botol selama beberapa minit sebelum dihidangkan. Ia tidak perlu diperam lama sebelum boleh dinikmati.

#3. Bosou

Bosou atau dikenali sebagai Tonsom ini juga merupakan salah satu hidangan tradisional bagi suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah. Ia seakan pekasam atau jeruk. Biasanya ia dihasilkan dari ikan Kepayang ataupun daging mentah hasil dari pemburuan di hutan.

Bosou

Imej via facebook

Ikan atau daging mentah yang digunakan akan digaul bersama nasi putih, garam, serta buah – buahan yang terdiri dari buah nangka, nenas muda serta tuhau bagi penambah perisa. Ia juga boleh dicampur dengan batang pisang atau polod. Sekiranya nasi yang dicampurkan baru masak, ia perlu dibiarkan sehingga mencapai suhu bilik terlebih dahulu.

Bosou ini juga dicampurkan dengan pangi sebagai bahan pengawet yang boleh mengelakkan bosou menjadi basi dan berbau busuk. Kesemua campuran ini akan diperam dalam bekas dan ditutup rapat selama seminggu atau sehingga ia benar – benar telah masak sebelum boleh dimakan.

Bosou

Imej via tanomkinotuan

Bekas penyimpanan bosou perlulah yang kedap udara kerana ia memiliki bau yang agak kuat. Ini supaya dapat mengelakkan ia dicemari lalat serta pertumbuhan fungi. Biasanya bekas menyimpan bosou ini berbentuk labu yang ditutup dengan menggunakan lilin lebah.

Secara tradisinya, bosou disimpan dalam kakanan (tajau), namun kini ia disimpan di dalam botol kaca atau bekas plastik. Bosou boleh dimakan begitu sahaja atau juga dimasak terlebih dahulu bagi menghilangkan baunya yang kuat. Ia boleh dimasak bersama bawang, cili serta bahan lain sebagai penambah perisa.

#4. Tuhau

Umbut tepus atau Tuhau dalam Bahasa Kadazan merupakan sejenis sayur beraroma yang berasal dari keluarga Zingiberaceae. Ia mempunyai bau serta rasa yang agak masam dan seakan – akan halia.

Tuhau merupakan sejenis tumbuhan yang dijadikan sebagai hidangan tradisional masyarakat Kadazan. Tuhau juga dikenali dengan nama saintifiknya E.coccinea. Ia banyak terdapat di kawasan Tambunan, Ranau dan Keningau, Sabah.

Tuhau

Imej via malaymail

Kebiasaannya batang tuhau yang baru akan diambil, dihiris atau dihancurkan. Tuhau juga boleh dijerukkan dengan mencampurkannya dengan cili, cuka serta perahan jus limau, garam dan gula. Ia boleh dimakan bersama ikan bakar, ikan goreng serta ikan masin.

Tuhau ini boleh dihidang sebagai makanan tambahan pada bila-bila masa sahaja. Malah, ia juga dimakan bersama sup ikan, atau dimasak bersama ayam ataupun daging.

Tuhau

Imej via jolyday

Tuhau dikatakan dapat mengurangkan tekanan darah tinggi serta dapat mencuci darah yang kotor. Malah, ia dikatakan mempunyai serat yang tinggi dan bagus untuk kesihatan.

Tuhau mudah didapati di pasar – pasar tamu atau pasar basah samada dalam bentuk sambal, jeruk ataus serunding. Ia turut digunakan sebagai perencah dalam masakan tradisional Sabah.

#5. Sup Manuk Lihing

Sup Manuk Lihing ini dikenali sebagai Sup Ayam Lihing dalam Bahasa Melayu. Ia merupakan sejenis makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah.
Bahan – bahan yang diperlukan untuk memasak hidangan ini ialah seekor ayam kampung , minuman keras yang dikenali sebagai ‘Lihing’ serta hirisan halia.

Sup Manuk Lihing

Imej via peppers-love

Bagi menyediakan hidangan ini, ayam kampong yang telah dipotong dicampurkan dengan setengah cawan lihing , hirisan halia, garam dan serbuk perasa. Ia dibiarkan sehingga mendidih dan ayam betul-betul lembut sebelum dihidangkan.

Sup Manuk Lihing

Imej via akuman999

Sup Manuk Lihing ini juga dikatakan bagus untuk para ibu yang baru lepas bersalin kerana sup tersebut dikatakan dapat membuang angin dalam badan. Sup ini boleh dimakan begitu sahaja tetapi biasanya ia turut dimakan bersama nasi.

#6. Tapai 

Tapai merupakan kegemaran masyarakat Kadazan dan merupakan hidangan tradisional mereka. Ianya juga sering dihidangkan semasa meraikan majlis – majlis perayaan.

Tapai

Imej via kamaluddin

Tapai ini mempunyai dua jenis yang berbeza iaitu tapai minuman dan juga tapai makanan. Tapai minuman agak jarang dihidangkan.

Tapai

Imej via facebook

Biasanya tapai diperbuat daripada beras ataupun ubi kayu. Tapai juga turut dikenali dengan nama Lihing.

#7. Nasi Linopot

Nasi linopot merupakan nasi yang dibungkus di dalam daun. Lopot bermaksud bungkus atau lipat. Daun yang biasanya digunakan untuk membungkus nasi adalah daun punti (pisang), timadang (tarap), kobu, tangaq, longkobung, tarabak dab tooropoi.

Nasi Linopot

Imej via malaysiaaktif

Untuk membuat nasi ini, beras yang digunakan adalah jenis padi huma. Beras padi huma ini mempunyai warna seperti merah, ungu perang dan putih. Nasi linopot ini memiliki aromanya yang tersendiri hasil penggunaan daun.

Nasi Linopot

Imej via facebook

Hidangan ini biasanya disajikan semasa majlis – majlis perayaan seperti Pesta Keamatan dan juga majlis perkahwinan. Sekiranya terdapat kematian, linopot ini akan dibungkus menggunakan daun tarap.

Nasi ini boleh dimakan bersama pelbagai lauk pauk atau boleh dimakan bersama tuhau, bosau, jeruk bambangan, daun ubi, ikan bilis, ikan goreng dan sebagainya.

#8. Butod

Butod merupakan sejenis ulat yang hidup dan tinggal di dalam pokok rumbia yang reput. Ia turut dikenali dengan nama Rhynchophorus Ferrugineus dan merupakan makanan istimewa di kalangan masyarakat tempatan. Setelah dewasa, butod turut dikenali sebagai kumbang sagu atau kumbang kelapa, kerana ia juga boleh ditemui di pokok kelapa.

Butod

Imej via borneotropical

Ulat ini berwarna putih kekuningan dengan kerutan di sekitar badannya. Ulat sagu ini tidak mempunyai kaki dan hanya menggerakkan perutnya untuk bergerak atau melompat. Butod mengandungi gizi yang tinggi dan bebas kolesterol. Malah, mempunyai lemak baik dan protein yang bagus untuk tubuh.

Butod

Imej via borneotropical

Biasanya butod ini memakan batang rumbia yang reput sebagai makanan. Kaum Kadazan menikmati butod ini secara mentah mahupun digoreng bersama bawang sehingga garing. Butod yang telah digoreng boleh dimakan bersama nasi panas. Butod ini rasanya lemak seperti keju.

Biasanya butod ini biasanya dijadikan sebagai “pusas” semasa upacara keramaian. Proses untuk mendapatkan butod ini agak sukar kerana pokok rumbia perlu ditebang terlebih dahulu untuk dijadikan sebagai tempat bertelur butod.

#9. Losun

Losun merupakan sejenis daun bawang liar tempatan atau dikenali juga sebagai tomboutung. Ia kelihatan seakan daun kucai dan mempunyai bau yang agak kuat. Biasanya kaum Kadazan menjadikan ia sebagai salad atau sayur campur.

Losun

Imej via publicinsta

Biasanya losun ini dicampurkan dengan bunga kantan dan juga cili putih dan dimasak bersama ikan masin ataupun ikan bilis. Ia boleh dimakan bersama nasi putih.

Losun

Imej via facebook

#10. Bambangan

Bambangan merupakan buah yang sangat terkenal di kalangan suku kaum Kadazan. Malah, ia menjadi kegemaran penduduk Sabah. Buah ini sering dijadikan sebagai jeruk dan dimakan dengan mencampurkannya dengan hirisan cili.

Bambangan

Imej via malaymail

Selain itu, ia juga boleh dimasak bersama ikan basung dan boleh dimakan bersama nasi putih dan ikan rebus.

Bambangan

Imej via downbelowadventure

#11. Ambuyat

Ambuyat merupakan makanan tradisi suku kaum Kadazan jua. Ia terhasil daripada pokok rumbia yang telah diproses menjadi sagu rumbia.

Ambuyat

Imej via willflyforfood

Biasanya ambuyat ini dimakan bersama sayur – sayuran, sup ikan serta lauk pauk lain yang bersesuaian mengikut selera masing – masing. Sagu tersebut perlu dicampurkan dengan air suam dan garam terlebih dahulu sebelum dicampurkan dengan air panas.

Ambuyat

Imej via facebook

Air panas perlu dicampur dengan kuantiti yang betul supaya ia tidak terlalu cair ataupun terlalu pekat. Ambuyat ini boleh dicampurkan dengan cili padi kisar atau ditumbuk serta perahan limau nipis bagi membangkitkan. Isi ikan yang dicampurkan juga perlu dibuang tulangnya terlebih dahulu.

Makanan ini sebaiknya dimakan menggunakan kayu penyepit supaya lebih mudah untuk menikmatinya kerana ambuyat ini agak melekit.

#12. Pinaasakan

Pinaasakan atau pinarasakan merupakan hidangan yang berasaskan isi ikan samada ikan air tawar atau ikan air masin. Ia antara makanan tradisi kaum Kadazan dan sangat popular di kalangan masyarakat Sabah.

Pinasakan

Imej via star2

Hidangan ini menggunakan ikan basung. Ianya akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dicampur dengan sedikit kunyit dan halia yang telah ditumbuk.

Antara bahan yang digunakan adalah sedikit biji asam jawa atau buah asam ‘takob-bakob’, garam, serbuk perasa dan sedikit air. Kemudian, kesemua bahan yang telah digaul bersama akan ditumis di atas dapur dan dimasak sehingga air hampir kering.

PInasakan

Imej via tallypress

Dahulunya, ketika tiadanya peti sejuk untuk menyimpan makanan, kaum Kadazan terpaksa mencari cara untuk menyimpan bahan mentah dari buruk. Maka, mereka telah mencipta sejenis makanan yang boleh disimpan sehingga lima hari lamanya tanpa sebarang penyejukan.

Pinaasakan sedap dimakan bersama nasi putih dan sambal pedas.

#13. Tinonsok Takano

Tinonsok Takano atau tinonsok kasau makanan yang popular di kalangan suku kaum Kadazan. Ia merupakan hidangan nasi atau ubi keledek tumbuk.

Dahulunya, Tinonsok Takano ini diperbuat bagi memperbanyakkan jumlah nasi agar dapat dimakan seisi keluarga. Makanan ini dihasilkan bagi menjimatkan kegunaan beras untuk kegunaan Pesta Keamatan.

Tinonsok Takano

Imej via tanomkinotuan

Ia diperbuat daripada campuran beras serta ubi manis yang dimasak bersama dalam satu bekas. Setelah masak, ia akan ditumbuk menggunakan alat khas untuk sebatikan kedua – dua bahan tersebut.

Proses menumbuk perlu dilakukan semasa masih panas agar mudah kedua – duanya bersatu. Selepas selesai menumbuk, ia akan dibungkus menggunakan daun. Antara daun yang paling sesuai digunakan adalah daun pokok wonihan kerana ia memberi aroma yang wangi serta sedap.

Selain daun pokok wonihan, daun seperti daun , daun pokok toitap, daun pokok gayo luba, daun pokok kiwit, daun pokok doringin, daun pokok rombiyung, daun pokok kobu (famili dalam pokok bemban),  dan sebagainya juga boleh digunakan.

#Kesimpulan

Biarpun telah ramai masyarakat Kadazan berhijrah ke bandar – bandar besar bagi meneruskan kehidupan, namun makanan tradisi mereka tetap tidak dilupakan. Ini dapat dilihat semasa meraikan sambutan perayaan seperti Pesta Keamatan, hidangan tradisi tetap disajikan.

Ini membolehkan generasi – generasi baru kaum Kadazan dapat mengenali makanan tradisional serta budaya mereka biarpun telah merantau ke ibu kota. Malah, budaya serta makanan tradisional mereka dapat diteruskan biarpun telah tinggal berjauhan dari tanahair tercinta.

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.