Makanan Indonesia sememangnya memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Ia bukan sahaja begitu enak dimakan, namun cara penyediaannya juga agak berbeza. Tambahan pula penggunaan bahan serta rempah ratusnya begitu lengkap.
Hidangan masyarakat Indonesia pastinya membuatkan ramai yang terliur. Malah, melihatkan gambar hidangan sahaja sudah pastinya membuatkan ramai yang teruja dan tergoda.
Bagi anda yang tidak mengetahui apakah hidangan tradisional Indonesia, artikel ini boleh membantu anda untuk mengenalinya. Anda juga boleh cuba mendapatkan hidangan ini sekiranya bercuti ke Indonesia. Selain murah, ianya juga cukup enak untuk dinikmati.
Berikut merupakan antara makanan tradisional Indonesia yang telah wujud sejak turun temurun.
Nasi ayam penyet berasal dari daerah Jawa Timur, Indonesia. Pada asalnya, hidangan ini diperbuat dari tempe yang direndam dengan air sup, garam dan ketumbar. Tempe tersebut kemudian digoreng dan dimakan bersama sambal.
Ia kemudiannya diolah dan dimakan bersama tauhu goreng, ulaman serta ayam yang dilumatkan dan dimakan bersama nasi putih. Nasi ayam penyet begitu popular di Indonesia dan boleh didapati di seluruh pelosok Indonesia.
Nasi tumpeng merupakan hidangan nasi bersama lauk pauk yang disajikan dalam bentuk kon. Nasinya berwarna kuning, namun ia juga boleh menggunakan nasi putih biasa atau nasi uduk.
Hidangan ini biasanya disajikan semasa majlis – majlis kenduri atau sambutan sesuatu majlis atau hari perayaan. Nasi tumpeng biasanya disajikan di atas bekas bulat tradisional yang diperbuat dari anyaman buluh. Lauk pauknya pula terdiri daripada campuran 7 jenis lauk yang berbeza.
Nasi ambeng berasal dari Jawa Tengah, Indonesia. Ia antara makanan popular masyarakat Jawa. Hidangan ini merupakan nasi putih yang disajikan di atas dulang dengan lauk pauk disekelilingnya.
Antara lauk pauk yang dimakan bersama adalah seperti tempe goreng, telur rebus, urap, bihun goreng, opor ayam, serunding kelapa, tauhu goreng dan banyak lagi. Kehadiran bergedil juga memberi kepuasan semasa menikmati hidangan ini.
Hidangan ini biasanya dimakan beramai – ramai sekitar empat hingga lima orang individu yang berkongsi hidangan yang sama. Nasi ambeng biasanya disediakan semasa majlis – majlis perayaan atau hari istimewa seperti kenduri kendara.
Sambal goreng merupakan hidangan wajib yang sering disajikan menjelang hari – hari istimewa seperti Hari Raya Aidilfitri atau majlis keraian lain. Ia begitu enak dimakan bersama nasi putih.
Ia diperbuat daripada pelbagai bahan seperti tempe, udang, kacang buncis, kentang, kicap, garam, gula dan sebagainya yang digoreng bersama.
Bakso merupakan salah satu makanan terbaik Indonesia. Ia merupakan bebola daging yang diperbuat daripada daging ayam atau lembu, malah terdapat juga kombinasi kedua – duanya. Kuah sup dan mee menjadi pelengkap hidangan bakso.
Bakso enak dimakan bersama sambal kicap yang pastinya membangkitkan selera.
Sate merupakan kegemaran ramai, malah sate yang dikatakan berasal dari Indonesia ini turut menjadi kegilaan ramai. Antara sate yang paling digemari adalah sate Padang dan juga sate Madura.
Sate merupakan hirisan daging yang dicucuk dengan lidi dan kemudiannya dibakar di atas arang. Ia boleh diperbuat daripada daging ayam, lembu, kambing dan arnab. Sate disajikan bersama sos kacang pedas.
Kebiasaannya daging sate akan diperap dengan bahan – bahan perapan terlebih dahulu sebelum dibakar. Sate yang telah siap dimasak boleh dimakan bersama nasi himpit yang lebih menyelerakan.
Gado – gado seakan salad khas Indonesia. Ia terdiri dari sayur kubis, lobak merah, kangkung, bayam yang direbus terlebih dahulu. Sayur – sayuran ini akan dihidangkan bersama tauhu goreng, tempe serta lontong atau ketupat.
Hidangan ini dimakan bersama sos kacang pedas dan manis.
Indonesia memiliki pelbagai jenis hidangan soto yang sememangnya makanan asal negara tersebut. Antara soto yang begitu popular di Indonesia adalah soto Betawi, coto Makassar, soto ayam, soto daging dan soto perut lembu.
Keunikan rempah yang digunakan untuk menghasilkan soto menjadikan hidangan ini begitu unik. Soto seakan sup daging tradisional yang terdiri dari rempah ratus serta bahan – bahan lain. Ia turut dicampurkan bersama lobak merah, kobis, bihun, ayam, kambing atau daging.
Soto turut ditaburi dengan bawang goreng, sambal kicap serta perahan limau nipis yang akan memberikan keenakan yang lebih terserlah.
Nasi uduk berasal dari Betawi Jakarta. Hakikatnya ia berbeza dari nasi putih. Nasi uduk digaul terlebih dahulu bersama santan, daun salam, dauk limau, serai serta laos. Kemudian dikukus hingga masak dan aromanya cukup wangi.
Nasi uduk biasanya dimakan bersama lauk seperti telur dadar, tempe, daging, udang goreng, sayur asem atau lalapan. Ia turut dihidangkan bersama bawang goreng, tauhu, ayam goreng, sambal kemiri merah mahupun sambal kacang.
Nasi Padang antara hidangan lagenda dari Sumatera Barat terutamanya di Padang. Hampir 90% masyarakat Indonesia sangat menggemari hidangan ini. Ia memiliki rasa yang begitu klasik sehingga mendapat tempat di hati para peminat hidangan ini.
Lauk pauk nasi padang ini kebanyakannya pedas dan bersantan. Ia terdiri daripada ayam goreng, ayam bakar, ikan bakar, ikan goreng, rendang dan sebagainya.
Gudeg berasal dari Yogyakarta dan juga boleh didapati di setiap kota di Indonesia. Gudeg merupakan makanan tradisional yang memiliki rasa yang manis.
Bahan yang digunakan untuk menghasilkan gudeg terdiri daripada telur rebus, nangka muda, tauhu, tempe dan juga ayam. Gudeg turut dimakan bersama kulit lembu segar atau sambal goreng krecek.
Gudeg terdiri dari dua jenis yang berbeza iaitu gudeg kering dan juga basah. Perbezaannya adalah dari penggunaan santannya. Gudeg basah menggunakan santan yang lebih banyak berbanding gudeg kering.
Rawon merupakan makanan tradisional Indonesia terutamanya masyarakat Jawa Timur. Ianya seakan sup daging berwarna coklat pekat kehitaman. Warna yang terhasil adalah kerana penggunaan kacang kluwak sebagai bahan rawon.
Penggunaan kacang kluwak juga memberikan rasa pedas pada rawon. Hidangan ini dimasak menggunakan bahan yang berbeza dengan masakan Indonesia lain. Ia telah memberikan rasa khas yang berbeza, aroma yang begitu memikat jiwa. Biasanya rawon dimakan bersama nasi putih dan juga taugeh rebus.
Bagi menambahkan lagi keenakan rawon ini, ia turut dicampurkan bersama daun bawang, sambal serta perahan limau nipis ke dalamnya.
Pecel lele merupakan hidangan Indonesia yang berasaskan ikan keli. Biasanya hidangan ini boleh ditemui di dataran Jawa.
Ikan yang dipilih untuk hidangan ini biasanya bersaiz sederhana hingga besar. Ia akan digoreng kering menggunakan minyak panas. Ia digoreng kering supaya teksturnya garing dan rangup.
Ikan yang telah siap digoreng akan disajikan bersam sambal serta lalapan sebagai pelengkap hidangan.
Opor ayam berasal dari Jawa Tengah dan juga Jawa Timur bahagian barat. Biasanya ia menjadi antara hidangan utama menjelang Hari Raya Aidilfitri dan juga merupakan makanan tradisi masyarakat Indonesia.
Ayam yang digunakan perlu direbus bersama bahan seperti santan, serai, kencur dan lain – lain lagi. Hidangan ini biasanya dimakan bersama ketupat mahupun sotong. Malah, turut dimakan bersama nasi putih.
Ada juga masyarakat yang menikmati hidangan ini bersama sambal goreng yang turut menambah kenikmatannya.
Pepes turut dikenali sebagai pais. Biasanya ia menggunakan isi ikan ataupun ayam untuk menghasilkannya. Ia turut dicampurkan dengan beberapa bahan lain seperti jamur, tauhu, tomato, cili serta daun kemangi.
Pepes ini akan dibungkus menggunakan daun pisang dan kemudiannya dibakar di atas api hingga ia masak dan kering.
Pempek merupakan makanan yang berasal dari Palembang. Pempek atau turut dikenali sebagai empek – empek diperbuat daripada isi ikan serta tepung kanji. Selain itu, ia juga menggunakan telur, bawang putih, serbuk perasa serta garam.
Rasa pempek yang begitu enak membuatkan ramai penggemar hidangan ini ketagih setelah menikmatinya.
Perkedel adalah berasal dari Indonesia. Ia diperbuat daripada kentang rebus serta bahan lain. Teksturnya agak lembut serta rasanya yang enak sering menjadi kegemaran ramai.
Selain menggunakan ubi kentang, ia juga boleh menggunakan tauhu yang dilumatkan. Bentuknya adalah bulat dan digoreng sehingga masak sebelum dihidangkan.
Sayur asem merupakan hidangan berkuah yang dimasak bersama pelbagai sayuran. Antara sayur yang digunakan adalah kacang panjang, kacang tanah, melinjau, nangka muda, labu siam dan juga jagung.
Ia turut dimasak bersama beberapa makanan laut yang memiliki rasa yang agak masak masam seakan tomyam. Sayur asem ini sangat enak dimakan bersama nasi putih dan ikan teri goreng serta sambal.
Tauhu gejrot berasal dari daerah Cirebon, Jawa Barat. Tauhu yang digunakan bukanlah tauhu biasa, namun ianya menggunakan tauhu seumedang. Ia disajikan bersama kuah pedas serta manis rasanya.
Tauhu ini akan direndam dahulu dalam air garam sebelum digoreng bagi memberikan rasa sedikit masin. Setelah digoreng, ia akan dipotong kecil dan disirami dengan sos. Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan sos ini adalah cili merah, cili hijau, cili padi, gula merah, bawang merah, air asam serta kicap manis.
Pecal merupakan hidangan yang terdiri dari pelbagai jenis sayuran yang direbus terlebih dahulu. Antara sayuran yang dijadikan hidangan ini adalah seperti kacang panjang, taugeh, daun turi, kemangi, kangkung, serta sayuran lain.
Ia dimakan bersama kuah kacang yang diperbuat daripada kacang tanah, cili, garam, gula, bawang, asam jawa serta limau purut. Kuah kacang ini akan disiramkan di atas sayuran rebus dan digaul bersama. Biasanya pecal ini boleh dimakan begitu sahaja atau boleh juga dimakan bersama nasi putih dan juga keropok.
Karedok seakan hidangan pecal. Namun, sayuran yang digunakan dalam karedok ini tidak perlu direbus terlebih dahulu dan disajikan dalam keadaan mentah. Antara sayuran yang digunakan untuk karedok adalah kacang panjang, taugeh, kemangi, timun, kol serta terung.
Karedok ini dimakan bersama kuah kacang yang diperbuat daripada kacang tanah, cili, kencur, gula jawa, bawang putih, air asam serta belacan. Hidangan ini mempunyai rasa pedas serta memiliki sensasi yang berbeza kerana menggunakan sayur mentah.
Biasanya ia boleh disajikan bersama lontong ataupun nasi putih.
Kolak merupakan makanan yang diperbuat daripada potongan pisang atau ubi dan direbus bersama santan dan gula jawa. Oleh kerana ia diasak menggunakan santan dan gula jawa, maka hidangan ini akan memiliki rasa yang manis serta lemak pada kuahnya.
Hidangan ini biasanya disediakan pada bulan puasa kerana rasanya yang manis sangat sesuai sebagai hidangan berbuka puasa. Pisang kapok adalah sangat sesuai dijasikan kolak kerana rasanya yang lebih manis serta lembut.
Kolak biasanya dijual menjelang bulan Syaban dan juga bulan Ramadhan boleh didapati dari penjaja – penjaja di kota.
Batagor merupakan akronim dari baso tauhu goreng. Untuk membuat batagor, tepung sagu akan dimasukkan ke dalam kulit pangsit yang kemudiannya akan digoreng garing. Ia turut disajikan bersama kuah kacang dengan potongan tauhu putih di sekitarnya.
Kuah kacang memberi rasa pedas pada batagor. Ia diperbuat daripada kicap manis, gula, garam, bawang putih, cili serta perahan limau nipis. Kesemua bahan ini akan disatukan dan akan disiramkan di atas batagor.
Kerak telor antara makanan asli dari masyarakat Betawi. Bahan utama untuk menghasilkan kerak telor ini adalah beras pulut serta telur. Hidangan ini mendapat nama dari penggunaan telur serta bahan – bahannya dimasak sehingga menjadi kerak.
Kerak telor akan dimasak menggunakan beras ketan, yang kemudiannya diisi dengan telur, halis, kencur, gula, garam, ebi serta bawang goreng yang dikacau bersama. Bagi menghasilkan kerak telor ini, ia sebaiknya dimasak menggunakan dapur arang kerana panasnya adalah lebih sekata.
Rasa kerak telor ini begitu enak serta harus dinikmati kerana ia merupakan antara makanan tradisional Indonesia yang semakin sukar ditemui.
Semur jengkol bukan suatu yang asing bagi masyarakat Indonesia. Jengkol yang juga dikenali dengan nama jering di Malaysia. Ia memberi aroma yang kurang menarik tetapi dari sisi lain, olahan resepi yang menggunakan jering ini memberi rasa yang lazat seperti semur jengkol.
Ia merupakan makanan masyarakat Betawi dan memiliki kuah yang berwarna kehitaman. Semur jengkol atau jering rebus agak basah dan berkuah, namun hasil inovasi masyarakat Indonesia, semur jengkol telah dihasilkan dalam bentuk kering pula.
Rasa semur jengkol adalah pedas, namun ada juga yang menyajikannya dalam bentuk manis dan sesuai dimakan bersama nasi putih. Biarpun jengkol atau jering ini menghasilkan bau yang kuat, namun ia memiliki gizi yang cukup tinggi. Walaubagaimanapun, ia tidak boleh dimakan secara berlebihan kerana boleh menyebabkan keracunan serta penyakit lain.
Biasanya, jengkol ini perlu direbus terlebih dahulu sehingga lembut dengan masa kira – kira dua jam sebelum ditumis dengan bahan – bahan lain.
Empal gentong merupakan makanan yang berasal dari Cirebon, Jawa Barat. Empal yang bermaksud daging lembu dimasak menggunakan periuk tanah liat yang dikenali sebagai gentong. Hidangan ini dimasak diatas kayu api dari pohon mangga yang menghasilkan aroma yang berbeza.
Daging lembu bersama perut lembu akan dimasukkan ke dalam gentong dan dimasak sehingga teksturnya benar – benar lembut.
Empal gentong enak dimakan bersama nasi putih ataupun lontong. Dagingnya begitu terasa rempah ratus yang diperap yang meresap ke dalam daging. Ia banyak dijual di restoran serta warung dengan harga yang sangat berpatutan.
Setiap hidangan Indonesia adalah asli dan ia boleh didapati di seluruh pelosok Indonesia. Hampir kesemua masakannya menggunakan rempah ratus asli yang memberi rasa sebenar serta menunjukkan identiti bangsa.
Makanan dari negara ini tidak hanya digemari oleh penduduk tempatan, malah turut digemari ramai pelancong dari luar.