Langkau ke kandungan

33 Makanan Tradisional India + Juadah Deepavali (TERBAIK!)

Masakan India yang dibawa oleh etnik India di Malaysia ini telah sebati dengan jiwa dan raga rakyat Malaysia. Biarpun makanan kaum India diperbuat dari…

Dikemas kini 10 Oktober 2026oleh Itawrah11 minit bacaan
Aneka makanan tradisional India seperti murukku, tosai, dan nasi daun pisang
Kandungan

Makanan tradisional India yang popular di Malaysia termasuk tosai, idli, putu mayam, nasi daun pisang, biryani dan murukku. Untuk Deepavali, antara juadah yang mesti dicuba ialah athirasam, nei urundai, mysore pak, halwa serta tart nanas. Senarai 33 makanan dan minuman ini merangkumi sarapan, hidangan utama, kudapan, manisan dan pilihan restoran.

Masakan India yang dibawa oleh etnik India di Malaysia ini telah sebati dengan jiwa dan raga rakyat Malaysia. Biarpun makanan kaum India diperbuat dari rempah ratus yang berbeza, namun ia memiliki keenakan yang tersendiri.

Daun kari, minyak sapi, serbuk kari, pelbagai rempah, herba serta sayuran antara bahan yang sering digunakan dalam masakan India terutama bagi pengamal vegetarian. Kepercayaan agama serta budaya India telah memberi pengaruh dalam sesuatu masakan.

Deepavali 2026 jatuh pada Ahad, 8 November 2026, menurut PublicHolidays.com.my. Nak kenali juadah rumah terbuka? Mulakan dengan murukku dan manisan dalam bahagian Deepavali di bawah!

Pelbagai makanan serta minuman kaum India yang begitu enak dan unik boleh anda nikmati tanpa perlu terbang jauh hingga ke benua India.

Juadah Wajib Deepavali

Menu Deepavali berbeza mengikut keluarga. Dalam perkongsian SBS Food, murukku, athirasam dan nei urundai antara kudapan yang dikaitkan dengan sambutan ini; ada keluarga yang menghidangkan tart nanas dan ada yang menghidangkan sodhi.

#1. Murukku

Murukku antara makanan tradisional masyarakat India. Sebut sahaja namanya pasti ramai mengenalinya. Menurut Dewan Budaya, murukku merupakan kuih wajib semasa Deepavali dan turut menjadi kudapan kegemaran pelbagai kaum.

Murukku
Imej via revisfoodography

Selain nama murukku, ia turut dikenali dengan nama chakli dan chakri. Bahan utama untuk menghasilkan kuih ini adalah tepung beras dan tepung kacang hitam (urad dhal).

Murukku
Imej via hungryforever

Murukku biasanya berbentuk bulatan atau berbentuk halus. Ia dibuat menggunakan acuan khas dengan menekan doh yang telah diuli atau cara pemutaran.

Kerangupan kuih ini diiringi dengan rempah ratus yang sedikit pedas membuatkan ia menjadi pilihan ramai menjelang hari – hari perayaan.

#2. Athirasam

Athirasam merupakan salah satu makanan yang wajib ada yang disediakan bersama kuih – muih tradisi yang lain. Ia merupakan makanan tradisi yang telah lama wujud di Tamil Nadu.

Athirasam
Imej via facebook

Athirasam sering disajikan semasa majlis – majlis utama seperti majlis keagamaan dan juga perkahwinan. Ia seakan kuih peneram jika di Malaysia, namun cara penyediaannya sedikit berbeza.

Athirasam
Imej via facebook

#3. Nei urundai

Nei urundai merupakan manisan masyarakat India. Ia sangat digemari oleh kanak – kanak kerana biasanya golongan ini gemar makanan manis.

Nei urundai
Imej via marudhuskitchen

Manisan ini diperbuat dari tepung kacang dhal, minyak sapi, rempah serta buah kismis. Setelah manisan ini siap dimasak, ia akan dibentukkan dengan bentuk bebola dan dibungkus dalam kertas warna.

Nei urundai
Imej via raskitchen

#4. Chittu urundai

Chittu urundai ini berbentuk bebola kecil dan menjadi kuih tradisi semasa perayaan Deepavali. Ia telah menjadi manisan yang semakin dilupakan oleh masyarakat India.

Chittu urundai
Imej via thestar

Chittu urundai diperbuat menggunakan tepung kacang hijau, kelapa parut, bijan hitam dan jaggery. Ia akan dicelupkan ke dalam campuran tepung beras dan tepung gandum sebelum digoreng dalam minyak sapi.

Chittu urundai
Imej via karileaves

#5. Ketti urundai

Jika anda pernah melihat kuih atau manisan sebesar genggaman tapak tangan, ianya dikenali dengan ketti urundai. Ketti urundai merupakan manisan yang masih diteruskan oleh sebilangan kecil masyarakat India.

Ketti urundai
Imej via juespantry

Ia menggunakan tepung dhal dan juga kacang hijau untuk menghasilkannya. Tekstur manisan ini agak keras, namun di situlah tarikan sebenar manisan ini.

Ketti urundai
Imej via facebook

#6. Mysore Pak

Mysore pak ialah manisan India yang dibuat daripada tepung kacang kuda (besan), gula dan minyak sapi. Menurut Wikipedia, manisan dari Mysore ini terkenal dengan tekstur kaya yang cair di mulut dan dinikmati semasa perayaan di India Selatan.

#7. Halwa

Halwa ialah antara manisan tradisional yang dihidangkan sebagai pembuka jamuan Deepavali, seperti dicatat oleh Dewan Budaya. Dalam amalan yang dihuraikan itu, hidangan manis seperti halwa dan laddu dinikmati dahulu sebelum juadah lain.

#8. Tart Nanas (Pineapple Tart)

Tart nanas, atau pineapple jam tart, ialah biskut rapuh dengan inti jem nanas. Dalam perkongsian SBS Food, Priya Gauri Anandan menyebut tart ini sebagai kudapan yang mesti ada untuk Deepavali di rumahnya. Tart nanas juga digemari ketika pelbagai perayaan di Malaysia, bukan hanya Deepavali.

#9. Sodhi

Sodhi ialah hidangan bersantan dengan halba dan biji sawi. Dalam SBS Food, Thirun Nadason mengenangkannya sebagai sebahagian daripada makan tengah hari Deepavali keluarganya, bersama nasi, kari dan sayur-sayuran.

Sarapan dan Hidangan Utama

#10. Tosai

Tosai, ada juga yang menggelarnya dosa, dosai, dosay, dose, dhosha, thosai atau juga chakuli. Pelbagai pilihan tosai yang boleh dicuba seperti tosai telur, tosai cili, tosai bawang, tosai rawa, tosai ghee dan sebagainya.

Tosai
Imej via toprecipes

Makanan ini sering dinikmati hampir kesemua rakyat Malaysia terutamanya kaum India. Ia boleh didapati di restoran mamak dan juga restoran India.

Tosai
Imej via hariharimasakmakan

Ia sering menjadi hidangan sarapan dan juga makan malam dan ianya kaya dengan sumber karbohidrat dan juga protein. Tosai biasanya dimakan bersama chutney kelapa, kari kambing atau juga kari ayam.

#11. Idli

Idli merupakan kuih yang juga berasal dari India. Ia mempunyai pelbagai jenis seperti sanna, rave atau sambar idli.

Idli
Imej via mapsofindia

Idli boleh dimakan semasa sarapan pagi mahupun sebagai makanan ringan. Bahan utama untuk menghasilkan idli ini adalah vigna mungo dan juga nasi.

Idli
Imej via panasonicsmartcookbychandribhat

#12. Putu Mayam

Putu mayam antara makanan tradisional India yang mendapat sambutan menggalakkan dari semua bangsa dan tidak mengira umur. Kuih ini diperbuat dari tepung beras atau tepung idiyappam bersama air ataupun santan.

Putu mayam
Imej via blog.tourism

Untuk menghasilkan putu mayam, ia akan dibentuk menjadi doh terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam acuan yang ditekan bagi menghasilkan bentuk seperti mee halus. Putu mayam dimakan bersama kelapa parut, gula perang / gula Melaka dan juga gula pasir.

Putu mayam
Imej via signaturemarket

Hidangan ini biasanya dijual di kaki – kaki lima sebagai makanan jalanan dan juga boleh didapati di pasar – pasar malam tempatan. Ia sesuai dijadikan sarapan pagi dan juga minum petang.

#13. Nasi Daun Pisang

Nasi daun pisang antara makanan tradisi yang masih kekal sehingga hari ini. Masyarakat India sering menggunakan daun pisang sebagai alas makanan pengganti pinggan.

Nasi daun pisang
Imej via media.malaymail

Nasi daun pisang dihidangkan bersama pelbagai jenis sayuran, kari, jeruk dan juga papadom. Lauk ikan atau daging boleh ditambah mengikut pilihan.

Nasi daun pisang
Imej via kitepunye

Versi vegetarian menggunakan kari sayuran atau dhal tanpa ikan dan daging. Jika ditambah kari ikan atau lauk daging, hidangan itu bukan lagi vegetarian. Biasanya hidangan ini dinikmati dengan tangan bagi mengekalkan tradisi masyarakat India.

#14. Biryani

Ada yang menyebutnya biryani, beriani, biriani mahupun nasi briyani. Ia antara hidangan masyarakat India yang menggunakan pelbagai jenis rempah ratus bermula dengan ketumbar hinggalah buah pelaga. Biasanya hidangan ini menggunakan beras basmati.

Biryani
Imej via recipes.timesofindia

Hidangan ini sering dimakan bersama kari kambing mahupun kurma.

Biryani kambing
Imej via realfood.tesco

#15. Ayam Tandoori

Ayam tandoori sememangnya terkenal di mana jua, sama popular dengan nasi beriani.

Ayam tandoori
Imej via mohonclashh

Sebelum dipanggang, ayam diperap terlebih dahulu dengan rempah ratus.

Ayam tandoori
Imej via mypositiveparenting

Bahan – bahan yang digunakan sebagai perapan adalah seperti minyak biji sawi, garam masala, garam, yogurt, serbuk ketumbar, serbuk cili, serbuk jintan serta rempah khas India iaitu kasuri methi.

Ayam tandoori enak dimakan bersama roti naan, atau nasi beriani. Hidangan ini juga cukup terkenal di serata dunia.

#16. Naan

Naan antara makanan India yang tidak boleh anda lupakan. Ia antara makanan khas masyarakat India.

Naan
Imej via budgetbytes

Naan juga merujuk kepada roti yang dibakar menggunakan ketuhar dan saiznya agak tebal. Ia juga mirip roti pita dan biasanya menggunakan yis untuk menghasilkan naan.

Naan
Imej via recipes.instantpot

Biasanya naan dimakan bersama kari. Bagi menambah selera juga, ia sangat enak dimakan bersama ayam tandoori.

#17. Chhole Bhature

Chhole bhature antara makanan India yang begitu terkenal di pelosok dunia. Nama lain untuk hidangan ini adalah bhatura chana atau poori chhola.

Chhole bhature
Imej via hebbarskitchen

Chhole bhature ini merupakan hidangan dari bahagian utara benua India. Ia menggunakan tepung gandum, air, garam dan gula serta minyak.

Chhole bhature
Imej via indiatimes

Biasanya ia dimakan pada waktu pagi atau sebagai hidangan petang. Hidangan ini boleh dimakan bersama kari kambing, daging dan sebagainya.

Makanan Ringan dan Kudapan

#18. Vadai

Vadai merupakan sejenis makanan tradisional kaum India. Ia mempunyai dua versi iaitu paruppu vadai dan ulunthu vadai. Paruppu vadai biasanya diperbuat daripada kacang dal, hirisan cili hijau, daun kari, serta bawang merah.

Vadai
Imej via indian-tamil-recipe

Ulunthu vadai pula diperbuat daripada tepung beras dan berbentuk roda dengan lubang di tengah. Ulunthu vadai biasanya dimakan sekali dengan chutney. Vadai perlu digoreng dengan minyak yang banyak.

Vadai
Imej via mozismenu

Kedua – dua vadai ini begitu enak dimakan semasa minum petang.

#19. Samosa

Samosa merupakan snek paling terkenal di India dan di serata tempat. Ia menggunakan kaedah menggoreng mahupun bakar.

Samosa
Imej via cilantroandcitronella

Bahan – bahan yang digunakan termasuk kentang, bawang, kacang dan rempah. Samosa sering menjadi hidangan utama, hidangan pembuka mahupun hidangan ringan.

Samosa
Imej via mycurrystation

Biasanya samosa berbentuk segitiga dan begitu enak dimakan semasa masih panas.

#20. Sippi

Sippi merupakan hidangan yang mudah tetapi jarang sekali disediakan. Walau bagaimanapun, ia semakin dilupakan kerana kurang penggemar.

Sippi
Imej via mcsfood

Ianya diperbuat dari tepung gandum, gula dan digoreng dalam minyak. Biasanya sippi ini akan disalut dengan serbuk gula atau bagi yang tidak gemar makanan manis, ianya akan dihidangkan tanpa serbuk gula.

#21. Seedai

Seedai ini berbentuk bebola kecil. Ia digoreng dalam minyak panas dan boleh dijadikan manisan ataupun sebaliknya.

Seedai
Imej via traditionallymodernfood

Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkannya adalah tepung gandum, kelapa parut, rempah ratus serta tepung dhal. Namun, seedai semakin dilupakan biarpun menjelang perayaan hari Deepavali.

Seedai
Imej via awesomecuisine

#22. Kandarppam

Kandarppam manisan yang berbentuk seakan apam tetapi saiznya lebih kecil. Ia menggunakan beberapa jenis bahan untuk menyediakannya.

Kandarppam
Imej via singaporechettinadrecipes

Manisan ini semakin kian luput dan sukar ditemui, namun kandarppam ini sangat popular di kalangan etnik Chettinad di Tamil Nadu, India.

Kandarppam
Imej via solaiachiskitchen

#23. Dhokla

Dhokla merupakan makanan vegetarian yang berasal dari India. Ia diperbuat daripada tepung beras dan kacang.

Dhokla
Imej via tarladalal

Makanan ini sangat sesuai dimakan semasa sarapan pagi, sebagai hidangan sampingan atau makanan ringan. Campuran kedua bahan dicampurkan dan direndam semalaman bagi mendapatkan tekstur dan rasa yang dikehendaki.

Dhokla
Imej via frugalfoodist

Dhokla ini juga ditambah dengan bahan lain seperti cili, ketumbar, halia serta soda penaik. Adunan ini dikukus selama 15 minit di dalam bekas dan dipotong mengikut saiz yang dikehendaki.

Manisan dan Pencuci Mulut

#24. Gulab Jamun

Gulab jamun merupakan manisan atau pencuci mulut yang sangat terkenal di India. Hidangan ini memiliki rasa yang sangat manis.

Gulab Jamun
Imej via hungryforever

Gulab jamun diperbuat daripada susu yang dibentuk bulat. Bagi memberi rasa manis, bebola susu ini akan direndam dalam sirap gula yang sangat manis.

Gulab Jamun
Imej via hebbarskitchen

Rasanya yang sederhana membuatkan ia boleh diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

#25. Jalebi

Jalebi merupakan manisan serta kudapan bagi masyarakat India. Ia sering dihidangkan semasa sambutan perayaan majlis keramaian.

Jalebi
Imej via halaalrecipes

Jalebi ini rasanya manis kerana setelah ia siap dimasak, jalebi akan disirami dengan sirap gula yang pekat. Manisan ini boleh dimakan semasa masih panas ataupun sejuk.

Jalebi
Imej via oneplatter

Bahan – bahan yang digunakan adalah tepung gandum, yis, gula serta minyak untuk menggoreng. Jalebi kelihatan seperti keropok namun rasanya sangat berbeza.

#26. Laddu

Laddu atau juga disebut laddoo merupakan manisan tradisional India yang berbentuk seakan bebola berasal dari benua India. Nama manisan ini berasal dari Bahasa Sanskrit Lattika.

Laddu
Imej via justdial

Laddu diperbuat dari tepung, minyak sapi atau mentega serta gula. Ia turut dicampurkan dengan kekacang mahupun kismis kering.

Laddu
Imej via indiamart

Biasanya laddu ini disajikan semasa majlis – majlis perayaan atau majlis keagamaan.

Minuman

#27. Lassi

Jika di negara Barat, lassi ini tidak ubah seperti smoothie. Cara membuatnya pula mirip milkshake, di mana bahan – bahannya terdiri dari yogurt dan juga rempah – rempah asli India.

Lassi
Imej via archanaskitchen

Selain menggunakan rempah, lassi ini turut dicampur dengan buah – buahan bagi menambah keenakan minuman ini. Terdapat pelbagai jenis lassi India iaitu lassi manis, mango lassi dan juga bhang lassi.

#28. Teh Chai atau Teh Masala

Teh masala merupakan teh yang rasanya manis, pedas berempah serta memiliki aroma yang begitu menawan. Teh ini diperbuat daripada pelbagai rempah ratus.

Teh masala
Imej via idntimes

Teh ini dicampurkan dengan buah pelaga, kulit kayu manis, lada hitam, bunga lawang serta biji ketumbar untuk menghasilkan teh ini. Teh chai secara tradisinya dibuat menggunakan air suam dan susu panas. Ia juga ditambah dengan kemanisan mengikut kesesuaian.

Teh masala
Imej via facebook

Minuman ini boleh didapati di kebanyakan restoran India dan sering juga dijadikan hidangan di rumah. Biarpun teh chai terasa berempah, namun ia memiliki khasiat yang tersendiri.

#29. Butter Chicken

Hidangan butter chicken mungkin namanya sama seperti menu sajian khas Cina. Namun, ia ternyata berbeza kerana ia bukanlah hidangan ayam mentega ala masakan Cina.

Butter chicken
Imej via simplyrecipes

Butter Chicken seakan kari yang penuh dengan pelbagai rempah. Biasanya hidangan ini boleh didapati di restoran – restoran yang menjual makanan India.

Butter chicken
Imej via workingmother

#30. Rogan Josh

Rogan josh, juga dikenali sebagai rogan gosht, merupakan hidangan daging kambing dari Kashmir.

Rogan josh
Imej via maunikagowardhan

Rogan josh terdiri daripada kepingan daging kambing yang dimasak bersama kuah berempah, bawang putih dan halia. Hidangan ini biasanya dimakan bersama nasi ataupun roti.

Rogan josh
Imej via cdkitchen

#31. Tikka Masala

Tikka masala atau juga dikenali dengan kari ayam adalah hidangan India yang sangat terkenal. Ia merupakan potongan ayam yang diperap bersama rempah dan juga yogurt.

Tikka masala
Imej via honestcooking

Ayam ini akan dibakar dalam ketuhar dan dihidangkan bersama sos masala. Antara bahan lain yang digunakan untuk menghasilkan sos masala ini adalah yogurt, krim serta tomato yang menjadikan warnanya lebih perang.

Tikka masala
Imej via simplyrecipes

Tikka masala ini boleh digantikan dengan daging kambing ataupun isi ikan mengikut citarasa masing – masing.

#32. Kathi Roll

Makanan jalanan turut terkenal di India. Pelbagai makanan jalanan dijual bermula dari makanan ringan hinggalah makanan utama.

Kathi roll
Imej via yummyindiankitchen

Kathi roll ini seakan kebab ala Timur Tengah, bezanya hanyalah pada roti yang digunakan. Untuk menyediakan hidangan ini, kathi roll menggunakan paratha atau roti leper India.

Kathi roll
Imej via hungryforever

#33. Kofta

Kofta merupakan bebola daging yang berasal dari benua India. Ia terdiri daripada daging cincang yang biasanya terdiri dari daging lembu, ayam, mahupun kambing.

Kofta
Imej via thecuriouschickpea

Bebola daging ini dicampuri dengan rempah ratus serta bawang yang akan memberikan rasa yang lebih enak. Kofta di India biasanya dimasak bersama kari pedas ataupun sos. Ia akan dimakan bersama nasi atau roti India.

Kofta
Imej via vegecravings

Selain kofta daging dan ayam, terdapat juga kofta udang dan juga kofta vegetarian.

Kesimpulan

Masyarakat India sememangnya kaya dengan pelbagai jenis makanan. Ia bukan sahaja digemari oleh kaum India, malah mendapat perhatian ramai.

Selain kaum India sendiri, kaum Melayu dan juga Cina sangat menggemari hidangan mereka. Mungkin ada yang tidak menggemari makanan India, namun ia tetap mendapat sambutan kerana keunikan hidangan mereka.